Categories
AGENDA NASIONAL

Jemaah umrah alami kerugian hanya perlu bawa kad pengenalan

KUALA TERENGGANU, 11 FEB: Jemaah umrah yang bakal menerima pembayaran daripada kerajaan ekoran menanggung kerugian sepanjang penangguhan sementara ibadah tersebut selama sebulan bermula 8 Jan lepas, hanya perlu membawa kad pengenalan masing-masing ke mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) kelak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata mereka tidak perlu melakukan sebarang pendaftaran memandangkan senarai nama akan diberikan oleh agensi pelancongan yang mengendalikan umrah mereka.

“Kita akan ambil nama (jemaah umrah yang terlibat) daripada agensi pelancongan, nama-nama ini kita akan pastikan ‘clear’, betul ada akaun dia, maka kita suruh ahli jemaah pergi ambil (bayaran) di Tabung Haji.

“Tidak perlu daftar. Bawa kad pengenalan sahaja. Apabila senarai nama diberi kepada MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya), jadi MOTAC akan beri kepada Tabung Haji,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Perniagaan Program Inspirasiku MyHAUS di Kampung Raja Barang dekat Chendering, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan akan membayar 50 hingga 60 peratus kerugian yang dialami oleh jemaah umrah sepanjang penangguhan sementara ibadah tersebut selama sebulan bermula 8 Jan.

Ahmad Marzuk berkata TH dan MOTAC telah melakukan tapisan senarai jemaah yang menanggung kerugian, bagaimanapun proses berkenaan masih dalam penelitian di peringkat akhir dan ia dijangka dapat diselesaikan pada pertengahan bulan ini.

Terdahulu, Idris menyampaikan replika cek bantuan perniagaan sebanyak RM5,000 kepada seorang asnaf yang menjalankan perniagaan kuih dan roti, Mohd Khaizuan Oslan Affandi, 34.

Secara keseluruhannya, Program Inspirasiku MyHAUS yang dilaksanakan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah memberi bantuan bernilai RM50,000 kepada Mohd Khaizuan meliputi bantuan baik pulih tempat tinggal, bantuan kelestarian perniagaan dan bantuan pendidikan anak-anak.

Mohd Khaizuan yang juga bapa kepada empat anak itu sebelum ini turut menerima bantuan peralatan perniagaan seperti peti penyimpanan roti dan mesin membuat roti serta diberi bimbingan untuk menguruskan perniagaannya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Proses nilai risiko, SOP umrah dimuktamad bulan depan

SHAH ALAM, 19 JUN: Penilaian risiko dan tatacara operasi piawai (SOP) perjalanan umrah akan dimuktamadkan menjelang pertengahan Februari ini.

Menurut kenyataan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Kesihatan hari ini, perkara itu adalah maklum balas daripada sesi libat urus kedua-dua kementerian itu bersama Persatuan Agensi Pelancongan (Umrah) hari ini.

Libat urus yang dikendalikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin itu adalah bagi mendapatkan maklum balas berhubung hala tuju industri umrah susulan keputusan penangguhan sementara yang sedang berkuat kuasa.

“Kedua-dua menteri dalam maklum balas mereka telah menyatakan komitmen untuk memperincikan dan memperhalusi setiap isu serta cadangan yang dikemukakan di peringkat kementerian masing-masing sebelum membentangkan cadangan penambahbaikan kepada Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 akan datang,” menurut kenyataan itu.

Antara perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri pelancongan umrah adalah SOP berkaitan pelaksanaan perjalanan umrah, isu bayaran balik dan penjadualan semula penerbangan, perlindungan insurans, garis masa pembukaan semula perjalanan umrah dan bantuan pemulihan kepada industri pelancongan.

Sehubungan itu, kedua-dua kementerian berharap agar semua pemain industri dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan aktiviti umrah dapat terus dilaksanakan dengan selamat.

Turut hadir dalam sesi libat urus itu pengurusan tertinggi kedua-dua kementerian, wakil agensi persekutuan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jabatan Imigresen Malaysia serta ahli daripada Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

55 hotel tutup operasi akibat pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Sebanyak 55 hotel ditutup sepenuhnya manakala 86 hotel ditutup sementara dari Mac 2020 hingga kini akibat pandemik COVID-19, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata hotel-hotel itu adalah hotel yang berdaftar dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan diiktiraf oleh MOTAC.

Beliau berkata berikutan penutupan sepenuhnya dan sementara hotel-hotel terlibat, dianggarkan lebih 8,000 pekerja sektor perhotelan dibuang kerja.

“Bagi menghidupkan semula aktiviti pelancongan dan kelangsungan pekerjaan sektor ini, pelbagai bantuan telah disediakan secara langsung menerusi pakej rangsangan ekonomi antaranya Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) serta Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) contohnya bantuan kewangan secara one-off (sekali beri) kepada penggiat industri.

“Bantuan-bantuan lain seperti pelanjutan diskaun bil elektrik kepada penggiat industri, pengusaha hotel, pengendali taman tema dan sebagainya sehingga 31 Dis ini, pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan serta penangguhan pembayaran ansuran cukai dan skim subsidi upah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Jefridin Atan berhubung jumlah hotel di negara ini yang terpaksa menutup operasi atau gulung tikar akibat pandemik COVID-19 dan bantuan yang diberikan MOTAC kepada pengusaha-pengusaha terlibat.

Menjawab soalan asal Jefridin mengenai inisiatif yang diambil MOTAC dalam memulihkan semula sektor pelancongan terutamanya melibatkan penyelenggaraan kawasan tumpuan utama, Santhara berkata sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi tujuan penyelenggaraan kemudahan atau infrastruktur pelancongan dengan 89 projek sedang dilaksanakan di bawah peruntukan itu di seluruh negara sehingga kini.

Selain itu, beliau berkata melalui Belanjawan 2021, MOTAC juga diperuntukkan RM20 juta bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi Kampung-kampung Budaya di empat negeri iaitu Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

“Secara umumnya, MOTAC sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan pelancongan sentiasa ditambah baik. Ini bagi membolehkannya menjadi tarikan kepada pelancong sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk setempat.

“Projek penyelenggaraan dan naik taraf juga telah dilaksanakan di kawasan tumpuan utama dan popular bagi memastikan ketersediaan infrastruktur pelancongan di tahap yang optimum serta selamat dikunjung menjelang pembukaan sektor pelancongan kelak,” katanya.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelancong seluruh negara boleh ke Langkawi kecuali dari kawasan PKPD

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Pelancong domestik yang memenuhi kriteria tatacara operasi piawai (SOP) dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 September ini.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya  Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengunjung perlu memohon kebenaran polis sebelum ke pulau berkenaan serta menunjukkan bukti dokumen seperti tiket penerbangan, tiket feri atau resit hotel.

Beliau berkata kebenaran tersebut tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurut Nancy, bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri sebelum ke Langkawi.

“Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka dari Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan,” katanya pada sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini hari ini.

Nancy berkata antara SOP ditetapkan untuk ke Langkawi yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan adalah terhad kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.

Beliau berkata tiada had umur ditetapkan selain perlindungan insuran dan saringan COVID-19 juga tidak diwajibkan.

Bilangan penumpang dalam kenderaan pula tertakluk kepada kapasiti kenderaan dan pengunjung yang perlu menyesuaikan dengan waktu perkhidmatan feri ke pulau peranginan itu dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah atau Perlis.

Selain itu, beliau berkata jenis percutian dibenarkan ialah secara harian, bermalam percutian dengan tempahan dan percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Aktiviti gelembung pelancongan Langkawi yang dibenarkan termasuk penginapan di hotel atau inap desa (homestay); aktiviti pantai; sukan air; snorkeling; selam skuba; aktiviti pelancongan minat khas; aktiviti eko geo-kembara, premis hasil seni, budaya dan warisan; taman tema dan pusat hiburan keluarga dan lawatan bersifat akademik.

Nancy berkata MOTAC akan membuat pemantauan pelaksanaan gelembung pelancongan Langkawi dan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat berkaitan program itu dalam masa dua minggu.

Beliau berkata MOTAC menyasarkan 420,000 pengunjung dari September ke Disember tahun ini.

Sementara itu, Nancy turut mengumumkan Malindo Air dan Firely menawarkan potongan RM50 bagi harga tiket penerbangan di bawah program Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 1.0.

“Malaysia Airlines dan Air Asia pula masing-masing menawarkan harga promosi bermula RM89 dan RM59 sehala,” katanya.

Selain itu, pelancong boleh menikmati e-baucar bernilai RM50 dan RM100 bagi tempahan tiga hari dua malam di hotel yang mengambil bahagian, menerusi kempen Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experince Malaysia Like Never Before.

Menurutnya, terdapat 10 pakej ditawarkan oleh pelbagai agensi pelancongan dengan tawaran serendah RM202 bagi Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan.

— BERNAMA

 

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

SOP laksana ibadah di tanah suci diperincikan

MAKKAH, 19 APRIL: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan memperincikan tatacara operasi piawai (SOP) berkenaan ibadah di tanah suci khususnya dalam menggariskan peranan syarikat pengelola jemaah haji dan pengendali umrah.

Ketua Setiausahanya Datuk Dr Noor Zari berkata SOP yang digariskan akan mengikut ketetapan semasa kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

Noor Zari berkata Motac selaku kementerian yang mengawal selia pengendalian pakej umrah atau ziarah, berperanan melihat aspek SOP bagi kedua-dua negara dan hal-hal kebajikan jemaah Malaysia semasa mengerjakan umrah apabila pihak kerajaan bersedia membenarkan semula pelaksanaan ibadah itu.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menyertai delegasi Malaysia ke Arab Saudi bagi lawatan kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang berakhir semalam.

“Para delegasi berpeluang untuk mengikuti pelbagai protokol yang telah ditetapkan kerajaan Arab Saudi dalam melaksanakan ibadah sama ada di Masjidilharam atau Masjid Nabawi.

“Di samping itu para peserta delegasi juga berpeluang untuk meneliti dokumen dan kenyataan rasmi yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi berkaitan kebenaran mengerjakan ibadah haji yang lalu dan umrah terkini,” katanya.

Noor Zari berkata Motac dan delegasi terlibat turut mengadakan perbincangan bagi menyediakan draf kerangka SOP untuk dipertimbangkan kerajaan Malaysia sebagai persediaan sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan ibadah itu berlangsung apabila sempadan antara kedua-dua negara kembali dibuka.

Perbincangan yang dibuat meliputi beberapa perkara penting seperti proses-proses dan keperluan melibatkan peranan pelbagai pihak berkaitan pelaksanaan SOP yang perlu dipatuhi pada tiga jangka waktu termasuk sebelum berangkat, semasa mengerjakan ibadah di Tanah Suci dan setelah kembali ke Malaysia.

Kerajaan Arab Saudi telah memperkenalkan dasar-dasar baharu dan menguatkuasakan SOP yang ketat sejak membenarkan semula aktiviti umrah kepada umat Islam selain warganegara Arab Saudi pada 1 Nov 2020 lalu.

“Pindaan dari semasa ke semasa turut dibuat kepada SOP tersebut selaras dengan langkah-langkah pencegahan Covid-19 di negara itu dan Motac mengikuti rapat sebarang perkembangan baharu berhubung perkara tersebut,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

13 SOP diperkenal rancakkan sektor pelancongan

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menetapkan 13 tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan sektor pelancongan dan kebudayaan dapat dilaksanakan dalam norma baharu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Nancy Shukri berkata SOP berkenaan dibentuk bagi membantu penggiat industri untuk terus berdaya saing dalam situasi pandemik Covid-19.

“SOP ini akan menjadi panduan kepada orang ramai serta penggiat industri bagi merancakkan sektor tersebut semasa pandemik ini.

“Penyediaan SOP ini melibatkan sesi libat urus antara Motac dengan pemain industri berkaitan pelancongan seperti hotel, taman tema dan agensi pelancongan,” katanya dalam kenyataan  semalam.

Beliau berkata meskipun sektor tersebut antara yang terjejas teruk sepanjang tempoh Covid-19 melanda negara, Motac tetap komited melipatgandakan usaha bagi memastikan industri itu terus bertahan dan pulih dengan segera seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

MATA minta agihan peruntukan tambahan RM200 juta Motac disegera

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dapat menyegerakan agihan peruntukan tambahan RM200 juta di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan untuk 2021 yang diumumkan kementerian itu semalam.

Sambil meluahkan kelegaan atas peruntukan tambahan itu, Presiden MATA Datuk Mohd Khalid Harun berkata ini kerana peruntukan yang diumumkan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sebelum ini masih belum dibelanja.

“Kami (MATA) berasa agak lega sedikit selepas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri memberitahu beliau berjaya mendapatkan peruntukan tambahan itu.

“Demi kelangsungan industri pelancongan, kami harap Motac bangkit dan bersama merasakan nadi kesengsaraan penggiat industri pelancongan ketika ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Nancy mengumumkan peruntukan tambahan itu diberikan kepada Mota bagi pelaksanaan pakej rangsangan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan untuk tahun depan, selain daripada belanjawan yang dibentangkan di Parlimen pada 6 November lepas.

Nancy semasa mempengerusikan sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan dan kebudayaan secara dalam talian semalam, berkata pelaksanaan pakej rangsangan tersebut termasuk baucar penginapan, diskaun destinasi pelancongan, diskaun pakej pelancongan keluarga serta penyemarakkan seni dan budaya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Pelancongan domestik naik, permintaan penginapan menggalakkan

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Industri pelancongan domestik negara menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila kegiatan pelancongan dibenarkan semula selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan mulai 10 Jun.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata kadar purata penginapan di beberapa hotel bandar dan resort di seluruh negara adalah menggalakkan terutama di lokasi yang menawarkan keindahan alam semula jadi seperti pulau, pantai, tanah tinggi atau di pinggir hutan.

Beliau berkata sejumlah 180,000 tempat duduk pesawat terjual bermula 10 hingga 28 Jun lepas bagi tempoh penerbangan Julai hingga September 2020 melalui kempen promosi tiket penerbangan domestik yang dijalankan oleh syarikat penerbangan AirAsia.

Pengunjung kelihatan berswafoto semasa matahari terbenam di Pantai Chenang, antara lokasi wajib singgah sekiranya bercuti ke Langkawi. Foto: BERNAMA

“Trend mingguan kadar penginapan juga menunjukkan peningkatan berbanding minggu sebelumnya. Walaupun tidak mendadak atau ketara peningkatannya, ia masih memberi indikatif positif,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Yamani Hafez Musa (BN-Sipitang) mengenai sambutan pengusaha pelancongan dan rakyat terhadap galakan kerajaan mempromosi kempen melancong dalam negeri (domestik).

Nancy berkata perkembangan itu hasil inisiatif penggiat industri pelancongan tempatan melalui tawaran pakej pelancongan istimewa dengan harga promosi menarik bagi hotel, tiket kapal terbang domestik serta diskaun harga masuk ke produk dan destinasi pelancongan.

Dalam pada itu, Nancy menjelaskan susulan pembatalan kempen Visit Malaysia 2020 (VM2020) Mac lepas, peruntukan RM90 juta bagi kempen itu disimpan untuk kegunaan kempen VM edisi akan datang.

Katanya, walaupun VM2020 dibatalkan, kementerian itu masih menjalankan pemantauan untuk memastikan negara-negara yang akan bekerjasama dengan Malaysia adalah negara dari kategori Zon Hijau Covid-19.

Beliau menjawab soalan tambahan yang diajukan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang ingin tahu mengenai perancangan kementerian terhadap peruntukan yang disalurkan untuk kempen itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MOTAC giat promosi Tahun Melawat Malaysia 2020

PUTRAJAYA, 6 OGOS: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merencana pelbagai program bagi mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) di luar negara, termasuk di China, Bosnia, United Kingdom dan India.

Sehubungan itu, Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi menafikan dakwaan mana-mana pihak yang merasakan kurang promosi dijalankan bagi menjayakan kempen berkenaan.

Selain itu katanya, kempen VM2020 juga sedang rancak dilaksanakan Tourism Malaysia melalui 38 pejabatnya di luar negara.

“Usaha promosi VM2020 bukan tiada atau berkurang, sebaliknya bertambah,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin, di sini hari ini.

Berhubung pertemuan itu, Mohamaddin berkata, beliau dimaklumkan MAHB sedang dalam perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan luar yang berminat untuk beroperasi di negara.

“Kita ada menerima permintaan dari syarikat penerbangan India dan negara Asia Barat, jika semua perbincangan berjalan lancar kita jangka mereka akan mula beroperasi selewatnya hujung tahun ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

MOTAC nafi Doraemon pilihan promosi TMM 2020

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 24 APRIL: Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) tidak pernah meluluskan sebarang gerak promosi menampilkan Doraemon sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, kenyataan dikeluarkan Pengerusi Balai Seni Negara, Datuk Rashidi Hasbullah itu bersifat peribadi dan bukan yang dipersetujui MOTAC bagi tujuan promosi TMM 2020.

“Ia adalah kenyataan peribadi pengerusi Balai Seni Negara itu ketika menghadiri majlis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pada Mac lalu.

“Jika perkara itu diangkat kepada saya, saya tidak akan luluskan”, katanya dalam kenyataan.

Kenyataan terbabit dikeluarkan Mohamaddin bagi mengelakkan kekeliruan umum berkenaan promosi negara menjelang TMM 2020 yang tular, pada Selasa.

Katanya, jika perkara mempromosi watak kartun animasi Jepun itu benar berlaku, sudah pasti ia dijelaskan beliau ketika sesi sidang media prestasi kementerian, pada Isnin.

“Saya berharap orang ramai tidak terkeliru dengan apa yang ditularkan di laman media sosial dan berharap kenyataan ini dapat memberi gambaran jelas kepada umum,” katanya.

Categories
NASIONAL

Malaysia tuan rumah Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Seni dan Budaya

PUTRAJAYA, 9 MAC: Malaysia buat julung kalinya akan menganjurkan Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Seni dan Budaya, pada 11 hingga 14 Mac ini, di KL Performing Arts Centre (KL PAC), Kuala Lumpur.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) dalam kenyataan hari ini berkata, persidangan kali kelapan itu bertujuan memberi inspirasi berhubung kesan perubahan global dalam kalangan masyarakat, teknologi, politik, alam sekitar ke atas budaya dan persekitaran kreatif.

“Persidangan ini juga mencari perspektif berbeza bagaimana kerajaan dan pembuat dasar mencari keseimbangan antara permintaan semasa, di samping memelihara budaya dalam arus kemajuan dan transformasi masyarakat,” katanya.

Dianjurkan bersama International Federation of Arts Councils and Culture Agencies (IFACCA) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), MoTAC berkata, persidangan itu bertemakan ‘Minda Mudah Alih: Budaya, Pengetahuan dan Perubahan’.

“Tema ini diilhamkan Malaysia atas dasar negara ini kaya dengan kepelbagaian budaya dan tradisi yang unik,” katanya.

MoTAC berkata, lebih 400 peserta dari 70 negara akan menghadiri persidangan itu dengan 93 penceramah akan membentangkan pelbagai isu.

Katanya, pembekal perkhidmatan komunikasi, YTL Communications Sdn Bhd, akan turut menyumbangkan perkhidmatan internet percuma Yes sepanjang tempoh persidangan.

“Sidang Kemuncak ini diharap dapat menemukan idea dan solusi baharu menerusi pandangan dan perkongsian ilmu oleh karyawan, ilmuan, penyelidik, pembuat dasar dan semua yang terbabit dalam sektor seni budaya serta teknologi di seluruh dunia.

“Ia sebagai usaha merancakkan dan memacu sektor industri kreatif di negara kita di peringkat global,” katanya.

Maklumat lanjut persidangan boleh didapati di laman sesawang www.artsummit.org atau melalui laman sosial Facebook World Summit on Arts and Culture. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kementerian mahu jadikan MRTM produk pelancongan budaya

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 26 NOV: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) komited menjadikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) sebagai satu produk pelancongan budaya, di negara ini.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, ia bagi menjadikan MRTM sebagai pemangkin kepada peningkatan kedatangan jumlah pelancong ke Malaysia.

“Penganjuran MRTM Deepavali 2018 ini sudah pasti membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni dan budaya serta industri pelancongan selain meningkatkan pendapatan pelbagai industri.

“Ia selaras dengan hasrat Malaysia mensasarkan kedatangan 30 juta pelancong asing, pada 2020 dengan pendapatan RM100 billion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan MRTM 2018 Peringkat Kebangsaan anjuran MOTAC, di Perkarangan Kompleks Sukan Pandamaran, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Sementara itu, Mohamaddin berkata, sebanyak 17.3 juta pelancong melawat Malaysia, sejak Januari hingga Ogos 2018.

“Pada tahun ini, kita menyasarkan 26.4 juta pelancong akan melawat Malaysia dengan anggaran pendapatan RM84.9 billion kepada negara,” katanya.