Categories
AGENDA NASIONAL

Kudrat terbatas akibat kemalangan, tetap gigih beri khidmat tunda kereta percuma

DENGKIL, 28 DIS: Walaupun kesihatan diri kurang memuaskan ekoran kecederan teruk selepas terlibat dalam kemalangan tiga tahun lepas, situasi itu tidak melunturkan niat murni K Maniam Rajoo, 46, untuk menawarkan perkhidmatan tunda kereta dan motosikal secara percuma kepada mangsa banjir dekat sini.

Beliau berkata selepas mengalami patah di kedua-dua belah tulang rusuk, leher serta kaki kanan akibat kemalangan itu, pergerakan dan tenaga beliau tidak seperti sebelumnya, namun apabila kudratnya didamba bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan, terutama di saat yang kritikal, beliau tetap bangkit untuk menyahut panggilan.

Katanya susulan kejadian banjir besar 18 Dis lepas, beliau bersama empat rakannya turut menyumbang tenaga mereka dengan ikhlas, tanpa bayaran, untuk menunda kereta serta motosikal, sebaik sahaja dihubungi beberapa jiran yang meminta mereka menunda kenderaan agar tidak ditenggelami air, atau untuk dihantar ke bengkel.

K Maniam Rajoo memastikan motosikal yang terjejas dibawa dalam keadaan baik sebelum dihantar ke pusat servis ketika tinjauan di Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto BERNAMA

Kesemua jiran dan rakannya itu tinggal berhampiran kawasan kediamannya di Pangsapuri Jenderam Indah, di sini.

“Mereka tahu saya buat bisnes (perniagaan) perkhidmatan tunda dan saya ada lori kren. Ketika itu (18 Dis) air sudah mulai naik paras pinggang orang dewasa di kawasan kediaman kami,” kata bapa kepada tiga anak itu kepada Bernama ketika ditemui di sini baru-baru ini.

“Saya pun bergegas ke lokasi sekitar pukul 8 malam berdasarkan maklumat dari pemanggil. Kami tunda kereta dahulu ke tempat tinggi,” katanya yang mempunyai tiga lori kren bagi muatan lima tan, 10 tan dan 15 tan.

Menurutnya sehingga kini 20 kereta dan 15 motosikal telah ditunda ke bengkel bagi tujuan pembaikan setelah banjir surut sejak tiga hari lepas.

“Saya harap perkara ini dapat diuar-uarkan sebab ramai tidak tahu saya tawarkan perkhidmatan ikhlas ini secara percuma. Niat saya ikhlas, jadi saya bantu untuk tunda sampai ke bengkel yang mereka tetapkan supaya mereka puas hati dengan perkhidmatan saya dan mempercayai saya,” kata beliau yang berasal dari Changlun, Kedah.

Sementara itu pemilik bengkel motosikal NPS Motorcycle Workshop, A Devarajoo, 42, berkata beliau mengenakan harga berpatutan kepada pemilik yang menghantar motosikal mereka untuk dibaiki setelah rosak akibat bencana banjir, memandangkan mereka perlu membiayai pelbagai kos kerosakan barangan lain.

A Devarajoo membaiki motosikal milik salah seorang mangsa banjir di bengkel miliknya, NPS Motorcycle Workshop di Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto BERNAMA

Anak jati Selangor itu berkata dengan bantuan dua pekerjanya, beliau sedaya upaya akan menyiapkan kerja-kerja pembaikan motosikal agar dapat dipulangkan kepada pemilik dengan segera, dan biasanya kos yang dikenakan adalah antara RM100 dan RM200 sahaja.

“Biasanya motosikal yang ditenggelami banjir akan rosak pada bahagian ‘palam pencucuh’ dan penapis udara. Selepas baiki, saya akan servis dengan menukar minyak hitam,” katanya yang baharu memulakan operasi bengkel di Kampung Lalang, di sini tiga bulan lepas.

Pemilik bengkel kereta ZAS Auto, Mohd Hamizul Jubri, 46, pula berkata sehingga kini beliau menerima hampir 10 kereta daripada pemilik di sekitar Dengkil dan Shah Alam yang perlu dibaiki selepas rosak akibat banjir.

Mohd Hamizul Jubri memulakan kerja mengasingkan bahagian-bahagian dalam kereta yang diselaputi lumpur di bengkel miliknya ZAS Auto, Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto BERNAMA

Mekanik yang telah membuka bengkel sejak empat tahun lepas itu berkata antara masalah yang dihadapi kereta ditenggelami air adalah masalah elektrik, enjin atau ‘gear box’ dan sistem penghawa dingin dimasuki air.

“Walaupun kerja agak rumit, tapi saya anggap kereta-kereta ini macam kereta saya sendiri. Saya akan buat kerja dengan teliti agar pemilik berpuas hati dan tiada istilah harga tinggi. Saya caj pada harga berpatutan yang penting mereka puas hati dengan hasil kerja saya,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis lancar Ops Lampu Isyarat Merah mulai hari ini

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Polis melaksanakan Ops Lampu Isyarat Merah mulai hari ini susulan ramai pengguna jalan raya didapati tidak mematuhi peraturan lalu lintas terutamanya tidak memberhentikan kenderaan di lampu isyarat merah.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata operasi sehingga 31 Disember itu bertujuan mengesan mereka yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah, terutamanya dalam kalangan penunggang motosikal, termasuk penghantar makanan atau barangan serta pemandu kenderaan lain.

“Tindakan saman serta merta akan diambil atau direkodkan butiran kenderaan terlibat bagi tindakan susulan. Kami memandang serius sikap dan trend pemanduan ini yang boleh menyebabkan kemalangan serta menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata statistik penguatkuasaan yang melibatkan kesalahan melanggar lampu isyarat merah pada tahun lepas merekodkan 69,267 saman, dengan motosikal mencatatkan kesalahan tertinggi iaitu 32,657 diikuti kereta (29,873), lori (2,808) dan 3,929 lain-lain kenderaan.

Bagi tempoh sejak Januari hingga Nov pula 52,170 saman dikeluarkan dengan kenderaan motosikal mencatatkan saman tertinggi iaitu 26,764 diikuti kereta (20,751), lori (2,208) dan 2,447 lain-lain kenderaan.

Azisman berkata individu yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah boleh diambil tindakan di bawah Kaedah 17 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Permaisuri ganti motor, sumber rezeki gadis penghantar makanan

SHAH ALAM, 6 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor berkenan menyampaikan sumbangan motosikal kepada wanita penghantar makanan yang ditimpa musibah.

Sumbangan peribadi oleh Tengku Permaisuri Norashikin diserahkan kepada Nur Athirah Abdul Latiff selepas motosikalnya dicuri ketika bekerja di Batu Caves, kelmarin.

“Baginda berasa amat sedih dan terharu apabila membaca berita yang tular mengenai nasib malang Nur Athirah.

Nur Athirah Abdul Latiff bersama motosikal yang diterima hasil sumbangan peribadi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Foto Facebook Selangor Royal Office

“Baginda berharap melalui sumbangan ini, Nur Athirah dapat kembali meneruskan kerja harian dengan sempurna seterusnya membantu keluarga,” titah baginda dalam kenyataan di Facebook Selangor Royal Office.

Sumbangan itu disampaikan oleh Juruiring Polis kepada DYMM Tengku Permaisuri Selangor Inspektor Noor Hidayu Aziz.

Tengku Permaisuri Selangor turut berharap masyarakat lebih peka dan bersifat kemanusiaan serta bertimbang rasa antara satu sama lain.

“Baginda turut mendoakan agar sekalian rakyat terus dimurahkan rezeki dan sentiasa di dalam perlindungan Allah SWT,” titah baginda.

Nur Athirah, 23, anak kedua dari tiga beradik tinggal bersama ibunya dan menyara keluarga dengan melakukan kerja penghantaran makanan sepenuh masa.

Dia yang baharu dua minggu melakukan pekerjaan itu kehilangan motosikal sewaktu mengambil makanan di sebuah pasar raya di Batu Caves untuk dihantar kepada pelanggan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Suspek curi motosikal dikesan kontak rapat individu dikuarantin

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Seorang daripada dua lelaki tempatan yang diberkas ketika leka dengan kegiatan mencuri motosikal di kawasan parkir Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kelmarin ditahan di wad selepas didapati mempunyai kontak rapat dengan seorang individu di bawah pengawasan (PUS) yang memakai gelang pink dan menjalani kuarantin di blok Program Perumahan Rakyat Kerinchi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata suspek yang berusia 19 tahun turut menjalani pemeriksaan suhu badan yang didapati mencecah 38.5 darjah celsius.

“Suspek turut menjalani ujian saringan Covid-19 dan sedang menunggu keputusan lanjut. Sementara seorang lagi suspek (yang berusia 26 tahun) dibawa ke unit kecemasan dan sedang dirawat susulan berlaku pergelutan bersama mangsa,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan selepas kegiatan mereka disedari seorang pemilik kenderaan yang menuju ke kawasan parkir berkenaan.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian pada kira-kira 4.24 petang oleh mangsa yang juga bekerja sebagai polis bantuan di situ.

“Mangsa yang selesai menjalankan tugas telah menuju ke motor jenis Yamaha 125z miliknya sebelum melihat kelibat dua suspek berkenaan,” katanya.

Zairulnizam berkata susulan itu, mangsa telah meminta bantuan rakan setugasnya sekali gus membawa kepada penahanan kedua-dua suspek.

“Mangsa dalam masa sama telah menjalankan pemeriksaan dan menemukan beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri motosikal,” katanya.

Beliau berkata semakan lanjut polis turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah.

“Suspek belum dapat disoal siasat namun polis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bas ekspres, motosikal tidak dibenar perjalanan antara negeri

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Mereka yang terlibat dalam perjalanan rentas negeri bermula esok hingga 10 Mei ini tidak dibenar menggunakan perkhidmatan bas ekspres atau motosikal.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata perkara itu telah dimuktamadkan oleh polis sebelum ini.

“Bagi perjalanan menerusi penerbangan pula perjalanan di Semenanjung Malaysia dibenarkan namun mereka yang mahu ke Sabah dan Sarawak perlu membuat permohonan secara dalam talian melalui platform disediakan (kerajaan negeri) sebelum membeli tiket penerbangan,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sin hari ini.

Mengulas bilangan individu yang dibenar menaiki sesebuah kenderaan ketika perjalanan rentas negeri, beliau berkata peraturan mengehadkan kepada empat orang.

“Bagaimanapun, ia bergantung pada budi bicara petugas sekatan jalan raya yang membuat pemeriksaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Penunggang motosikal masih enggan manfaat laluan khas di lebuh raya

SHAH ALAM, 9 JAN: Walaupun pelbagai peringatan diuar-uarkan pasukan keselamatan termasuk tindakan saman supaya penunggang motosikal menggunakan laluan khas kenderaan itu di beberapa lebuh raya di Lembah Klang, namun ia dilihat umpama ‘mencurah air ke daun keladi’.

Tinjauan Bernama di Lebuhraya Persekutuan mendapati walaupun kebanyakan penunggang motosikal patuh dan memanfaatkan laluan khas disediakan kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya, namun masih banyak yang sanggup mempertaruhkan nyawa dengan menggunakan jalan utama.

Keadaan sama juga berlaku di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dengan penunggang motosikal dilihat selesa menggunakan jalan utama tanpa menghiraukan risiko tatkala bersaing dengan kenderaan berat.

Sudah masuk tahun baharu 2020, namun sikap penunggang motosikal yang masih degil itu tidak asing dalam kalangan pengguna lebuh raya malah menjadi rutin kepada golongan berkenaan yang bukan sahaja berani ‘mencelah’ di antara kereta tetapi juga lori.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Supt Azman Shari’at berkata pelbagai alasan sering diberikan oleh penunggang motosikal setiap kali penguatkuasaan dilakukan di lebuh raya terbabit.

“Ada penunggang sengaja tidak mahu menggunakan laluan khas motosikal dengan alasan seperti mahu cepat sampai, jalan motosikal melambatkan pergerakan dan permukaan jalan (motosikal) yang rosak.

“Penguatkuasaan memang ada dan mana-mana penunggang motosikal yang ditahan kerana menggunakan jalan utama, mereka akan disaman. Setakat ini, hanya saman saja boleh dikenakan terhadap golongan ‘degil’ itu,” katanya kepada Bernama.

Azman berkata walaupun polis perlu menguatkuasakan undang-undang, namun pihaknya perlu mengambil kira keselamatan anggota apabila terpaksa ‘mencelah’ di antara kenderaan bergerak yang dilihat sangat berbahaya.

Berikutan kemalangan maut membabitkan motosikal lebih tinggi berbanding kenderaan lain, Azman menasihatkan pengguna jenis kenderaan itu supaya sentiasa mematuhi undang-undang, berhemah ketika di jalan raya dan sentiasa menggunakan laluan khas.

Justeru itu, katanya, mana-mana pihak digalakkan mengemukakan cadangan yang lebih berkesan supaya undang-undang sedia ada dapat dipinda untuk memastikan penunggang motosikal sentiasa menggunakan laluan khas kenderaan tersebut.

“Jika ada cadangan (daripada mana-mana pihak) yang boleh menangani masalah penunggang motosikal (tidak mematuhi peraturan untuk menggunakan laluan khas), kami bersedia untuk menelitinya kerana buat masa ini polis hanya menguatkuasakan undang-undang sedia ada (saman),” katanya.

BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sokong hadkan penunggang motosikal guna lorong kiri

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Kementerian Kerja Raya menyokong cadangan mengehadkan penunggang motosikal untuk menggunakan hanya lorong kiri atau lorong perlahan sahaja di jalan-jalan raya atau lebuh raya sebagai dasar baharu untuk membendung perangkaan yang membimbangkan mengenai kes kematian dan kecederaan dalam kalangan mereka.

Menteri Kerja Raya Baru Bian dalam satu temu bual dengan portal berita dalam talian ‘The Mole’ berkata dasar yang dicadangkan itu akan memaksa penungang motosikal untuk menggunakan lorong-lorong itu sahaja terutama pada waktu puncak sebelah pagi dan petang pada hari-hari bekerja.

“Perangkaan mengenai kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya pada waktu puncak semasa ke tempat kerja atau pulang yang melibatkan penunggang motosikal dan pembonceng telah mencapai tahap yang membimbangkan sejak empat tahun lepas,” katanya.

Menurut perangkaan, lebih 4,000 orang mati dalam kemalangan motosikal setiap tahun dan beribu-ribu lagi cedera.

“Saya fikir kita boleh menguatkuasakan peruntukan tertentu pada waktu-waktu berkenaan pada hari-hari bekerja dengan mengehadkan penunggang motosikal untuk menggunakan lorong paling kiri sahaja di jalan raya. Ini mungkin boleh dilaksanakan.

“Saya fikir sebarang cadangan supaya dasar itu dikuatkuasakan sepanjang masa tidak sesuai buat masa ini,” kata Baru sebagai mengulas cadangan oleh kumpulan pro-keselamatan jalan raya The Safety First Group supaya kerajaan memaksa penguatkuasaan dasar itu yang merangkumi semua.

Menteri itu bagaimanpun berkata pelaksanaan dasar yang dicadangkan itu tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana pihak berkuasa perlu mendapatkan maklum balas terlebih dahulu daripada pihak-pihak yang berkepentingan.

The Safety First Group juga telah berjumpa Baru dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk menggesa pelaksanaan budaya menunggang motosikal yang selamat di negara ini.

Ia juga telah menggesa kerajaan untuk menguatkuasakan had laju 70km/j untuk ‘kapcai’ atau motosikal berkuasa rendah.

“Buat masa ini, untuk mengenakan peraturan had laju sedemikian terutama bagi penunggang motosikal mungkin belum boleh lagi. Kita perlu menjalankan kajian mendalam memandangkan ini memerlukan pemerhatian yang teliti untuk satu tempoh yang pajang terutama dalam keadaan lalu lintas yang bercampur-campur di lebuh raya dan lebuh raya ekspres selain jalan-jalan di sekitar bandar, pekan kecil dan juga di kawasan luar bandar,” kata Baru.

Penasihat The Safety First Group Datuk Seri Azman Ujang menyifatkan respons yang menyokong cadangan mengehadkan motosikal kepada lorong kiri sahaja itu sebagai “berita yang amat menggembirakan”.

“Meskipun angka mereka yang terbunuh dalam kemalangan motosikal amat membimbangkan, terutama dalam kalangan orang muda saban tahun, tetapi tidak banyak yang telah dilakukan untuk menangani isu yang serius ini,” katanya.

Azman berkata sokongan menteri kepada isu ini amat memberi keyakinan memandangkan usaha membendung perangkaan tinggi kematian di jalan raya ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan dan ia “boleh dilakukan”.

Beliau berkata sebagai permulaan para penunggang motosikal sendiri hendaklah mempunyai perasaan ayangkan nyawa sendiri dengan menunggang secara defensif di lorong sebelah kiri dan mengelak daripada mencelah sesuka hati di lorong tengah dan berebut-rebut ruang dengan kereta dan kenderaan-kenderaan berat lain.

“The Safety First Group akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam mengenai budaya menunggang motosikal dengan selamat untuk menyelamatkan nyawa,” tambah beliau.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hadkan lorong kiri untuk motosikal, elak kemalangan maut

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sedang mengkaji cadangan menghadkan lorong kiri jalan raya khusus untuk pengguna motosikal, terutama kapcai bagi mengurangkan kadar kemalangan maut pengguna kenderaan itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Rosli Isa berkata, statistik JKJR 2018 menunjukkan lebih 60 peratus daripada 6,742 kes kemalangan maut lalu lintas membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Justeru, beliau berkata, pihaknya sedang melihat keberkesanan pelaksanaan langkah itu di negara maju, seperti Hong Kong dan Australia.

“Penggunaan lorong kiri untuk motosikal berkuasa kecil 150 cc dan ke bawah sudah lama dipraktikkan di negara itu.

“Di Malaysia, nyawa penunggang dan pembonceng motosikal diibaratkan ‘telor di hujung tanduk’ apabila ada antara penunggang motosikal terutama yang berkuasa kecil menggunakan lorong tengah dan kanan jalan raya,” katanya lapor BERNAMA.

Katanya, tabiat menggunakan lorong tengah dan kanan mendedahkan penunggan motosikal kepada risiko kemalangan serta kematian apabila berlanggar dengan kenderaan lain yang lebih besar.

“Kita juga akan melihat keperluan mengurangkan kelajuan motosikal 150cc dan ke bawah untuk dihadkan maksimum sekurang-kurangnya 70 kilometer perjam (km/j) kerana berdasarkan kajian lalu, faktor utama kemalangan maut motosikal adalah disebabkan ‘speeding’,” katanya.

Terdahulu, sebuah kumpulan WhatsApp dikenali sebagai Safety First menyuarakan cadangan sama kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, bagi mengurangkan kadar kematian yang tinggi membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal berkuasa rendah.

Kumpulan itu yang mempunyai kira-kira 500 anggota berpendapat, undang-undang sepatutnya digubal segera bagi mengharamkan motosikal kecil menggunakan lorong tengah atau kanan jalan raya yang dikhususkan untuk kereta dan kenderaan besar lain.

Sementara itu, Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kebanyakan penunggang motosikal berkuasa kecil di bandar besar sering dilihat menyelit di celah kenderaan lain, terutama pada waktu puncak.

“Di jalan yang tiada lorong khas motosikal, memang selalu penunggang motosikal berkuasa kecil atau kapcai ini menyelit dan menggunakan lorong tengah serta lorong kanan.

“Ini menyusahkan kenderaan besar yang lain, sedangkan lorong kanan dan lorong tengah untuk kenderaan besar dan laju.

“Memang sudah tiba masanya untuk kapcai ini hanya dibenarkan menggunakan lorong kiri demi keselamatan penunggang dan pembonceng kerana motosikal adalah kenderaan yang kecil serta apabila berlaku kemalangan, sememangnya risiko maut itu tinggi,” katanya.

 

Categories
SUKANKINI

Adam Norrodin sertai Kejohanan Superbike Malaysia hujung minggu ini

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 JUL: Pelumba Moto3 negara, Muhammad Adam Norrodin, menggunakan tempoh rehat MotoGP dengan menyertai perlumbaan pusingan kedua Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK), di Litar Sepang, hujung minggu ini.

Adam akan menyertai pasukan ZK Racing dimiliki Muhammad Zulfahmi Khairuddin untuk perlumbaan Supersport 600cc bagi membentuk gandingan bersama abangnya, Muhammad Ibrahim Norrodin.

“Saya teruja untuk berdepan cabaran dalam perlumbaan minggu ini dengan peluang berlumba bersama abang saya, dalam ZK Racing.

“Pelumbaan ini akan saya gunakan sebaiknya untuk mencatat keputusan terbaik dan terima kasih kepada ZK Racing yang memberi peluang selain sebagai persiapan bagi menghadapi baki saingan Moto3, selepas ini,” katanya.

Mengulas penyertaan Adam, Zulfahmi berkata, ia adalah satu penghormatan untuk ZK Racing selaku pasukan perlumbaan baharu untuk mempunyai Adam dan mekanik Team Racing IT, Habib.

“Saya harap pelumba yang lain akan mengambil kesempatan untuk belajar sebanyak mungkin daripada Adam. Begitu juga untuk krew pasukan, mereka boleh belajar daripada Habib dengan pengalamannya menyediakan motosikal untuk kejohanan dunia yang sangat mencabar.

“Semoga semuanya berjalan lancar dan ZK Racing dapat mencapai keputusan baik, pada hujung minggu ini,” katanya.

MSBK memasuki pusingan kedua selepas berehat panjang dengan pusingan pembukaan diadakan, pada pertengahan Mei.

Selain dari Kejohanan Supersports dikendalikan berdasarkan peraturan WSBK 600cc, pusingan kedua juga akan menampilkan pusingan pembukaan Desmo Ducati dan pusingan ketiga Piala Idemitsu Asia selain kategori MSBK tradisional Superbike, Superstock serta Super 250.

Selepas perlumbaan di Grand Prix Qatar di Losail dan WSBK Thailand di Buriram, ATC, iaitu program pembangunan junior disokong pemegang hak MotoGP di seluruh dunia, Dorna, kini diunggulkan pemain muda Jepun, Haruki Noguchi.

Beliau mengumpul 95 mata hasil tiga kemenangan dan satu tempat kedua selepas empat perlumbaan dengan kelebihan 25 mata berbanding Bill Van Eerde (Australia) dengan 70 mata diikuti Mario Aji (Indonesia) (53).

Danial Shahril adalah pelumba tempatan mengumpul mata terbanyak dengan 35 mata, di tangga kelima.

MSBK akan bermula esok dengan sesi kelayakan pada hari pertama dan kedua diikuti perlumbaan, pada 29 Julai ini.

Categories
NASIONAL

Penunggang dan pembonceng motosikal catat kematian tertinggi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 FEB: Ops Selamat 12 sempena perayaan Tahun Baharu Cina menyaksikan penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan jumlah kematian tertinggi.

Dalam tempoh enam hari ops itu dijalankan, ia mencatatkan 61 angka korban.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, ia menunjukkan peningkatan kadar kematian tiga kes atau lima peratus berbanding tempoh sama, tahun lalu.

Katanya, pengguna kereta pula mencatat 14 kematian, pejalan kaki pula dua kematian, pengguna basikal (1), van (2), bas (1), lori (3) dan lain-lain tujuh kematian.

“Daripada jumlah 91 kes kemalangan maut dalam tempoh enam hari ini, penunggang motosikal masih menjadi penyumbang utama iaitu 61 daripada 91 kes maut,” katanya.

Ops Selamat 12 adalah kempen keselamatan selama dua minggu yang bermula 9 Februari sehingga 23 Februari ini mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’.

Untuk rekod, dalam tempoh sama, kemalangan mencatatkan penurunan 554 kes iaitu 9,466 berbanding 10,020 kes bagi tempoh sama Ops Selamat 10, pada tahun lalu.

Kes kemalangan maut juga menurun dua kes berbanding Ops Selamat 10 iaitu 89 kes pada Ops Selamat kali ini berbanding 91 kes bagi tempoh sama, tahun lalu.

Manakala, jumlah kematian mencatat penurunan tujuh kes berbanding Ops Selamat 10 iaitu 91 kes pada Ops Selamat kali ini berbanding 98 kes bagi tempoh sama lalu.

 

 

 

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Petronas Sprinta Racing sedia hadapi Moto3 2018

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 16 FEB: Petronas Sprinta Racing bersedia menghadapi cabaran dalam Kejohanan Dunia Moto3 2018 dengan melancarkan pasukannya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, pada 14 Februari lalu.

Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abdul Rahman berkata, pihaknya yakin penyertaan dalam kejohanan itu bakal mengukuhkan jenama pasukan itu dan berbangga ia dapat direalisasikan.

“Ia memberikan gambaran jelas akan komitmen dikongsi PETRONAS Sprinta Racing bersama SIC yang percaya bakat Malaysia berpotensi untuk diketengahkan di peringkat tertinggi jika diberi peluang dan bimbingan,” katanya dipetik http://www.sicracingteam.com/

Perkongsian strategik PETRONAS dan SIC menyaksikan pasukan itu menampilkan penunggang tempatan, Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki dari Jepun dengan jentera Honda NSF250RW.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, kerjasama antara kedua pihak amat menggembirakan dan SIC berbangga memiliki Petronas sebagai rakan strategik.

“Pasukan dimiliki adalah kemuncak matlamat kita bersama untuk membangunkan bakat bagi perlumbaan kejohanan dunia dan menerusi kejohanan MotoGP kita akan berusaha mencapai tahap lebih tinggi.

“Penunggang juga mempunyai keazaman tinggi dan dengan kepakaran teknikal dalam pasukan diketuai Johan Stigefelt, maka kita akan berusaha meletakkan Malaysia, di peta kejohanan dunia,” katanya.

 

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Australia lokasi terbaru Kejuaraan Motoskal Asia FIM 2018

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Kejuaraan Motosikal Asia FIM 2018 akan berlangsung enam pusingan dengan Australia sebagai destinasi baru dalam kalendar kejuaraan.

Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand menjadi lokasi bagi ujian pra-musim seterusnya perlumbaan pembuka musim, pada 27 Februari hingga 4 Mac 2018.

Perlumbaan selanjutnya dilangsungkan di Adelaide, Australia dan ia akan menjadi siri perlumbaan antarabangsa pertama di litar serba baru, litar The Bend Motorsport Park.

Ia akan dijalankan serentak bersama Kejuaraan Superbike Australia selama empat hari, bermula 19 hingga 22 April ini.

Perlumbaan ketiga pula di Litar Suzuka, Jepun yang dijadualkan, pada 1 hingga 3 Jun ini.

Penggal kedua kejuaraan bersambung di Litar Lumba Motor Madras, Chennai, India, 3 hingga 5 Ogos diikuti Indonesia (Pusingan 5) dari 12 hingga 14 Oktober.

Saingan penutup tirai musim 2018 sekali lagi akan diadakan di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, pada 30 November hingga 2 Disember ini.

 

KALENDAR KEJUARAAN MOTOSIKAL ASIA FIM 2018

Ujian Pra-Musim Litar Antarabangsa Chang, Thailand, 27 – 28. Februari 2018.

Pusingan 1 Litar Antarabangsa Chang, Thailand, 2 – 4 Mac 2018

Pusingan 2 The Bend Motorsports Park, Australia, 19 – 22 April 2018.

Pusingan 3 Litar Suzuka, Jepun, 1 – 3 Jun 2018.

Pusingan 4 Litar Lumba Motor Madras, India, 3 – 5 Ogos 2018.

Pusingan 5 Litar Sentul, Indonesia, 12 – 14 Oktober 2018.

Pusingan 6 Litar Antarabangsa Chang, Thailand, 30 November – 2 Disember 2018.