Categories
PBT SELANGOR

Tanah runtuh: MPAJ nafi tiada tindakan terhadap aduan gelongsoran

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyangkal dakwaan bahawa tiada tindakan daripada MPAJ berkaitan aduan mengenai cerun daripada penduduk di Taman Bukit Permai 2, Ampang, di sini, sebelum ini.

Pegawai Perhubungan Awam MPAJ Norhayati Ahmad berkata hasil semakan yang dibuat mendapati MPAJ menerima aduan kerosakan longkang di hadapan rumah Jalan 1/2 dan bukan di tapak ini.

Beliau berkata sejak kejadian gelongsoran tanah di taman itu, MPAJ menerima maklumat bahawa tiada tindakan diambil selepas penduduk membuat aduan.

“MPAJ telah membuat semakan aduan berkenaan dan mendapati ia adalah kerosakan longkang di hadapan rumah iaitu di Jalan 1/2K dan bukan di tapak ini.

“Aduan mengenai longkang pecah ini sudah diperiksa dan anggaran kos pembaikan adalah RM1 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norhayati berkata semakan dilakukan MPAJ di tapak gelongsoran itu mendapati tiada aduan diterima berkaitan perkara itu.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPAJ: Bayar cukai taksiran, peluang menang kereta

SHAH ALAM, 24 JAN: Warga Ampang berpeluang memenangi hadiah utama sebuah kereta dengan membayar cukai taksiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Agensi itu memaklumkan cabutan bertuah dengan hadiah bernilai lebih RM300,000 itu adalah sempena 30 tahun penubuhan MPAJ.

“Caranya mudah sahaja dengan membuat bayaran cukai taksiran MPAJ tahun 2022 melalui Icomm MPAJ di pautan https://icomm.mpaj.gov.my atau boleh download di Google Play atau App Store,” katanya di Facebook.

Penyertaan bermula dari 1 Januari hingga 28 Februari bagi penggal pertama dan 1 Julai hingga 31 Ogos bagi penggal kedua.

Keterangan lanjut boleh layari www.mpaj.gov.my

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA, MPAJ dan MPKS giat bersih kawasan terjejas banjir

SHAH ALAM, 25 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) giat menjalankan kerja pembersihan di kawasan masing-masing yang terjejas banjir minggu lalu.

Menerusi Twitter, MBSA memaklumkan aktiviti pembersihan pascabanjir dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi seperti di Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22 di sini melibatkan petugas jabatan landskapnya dan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Manakala pembersihan di Masjid Sri Muda, Seksyen 25 pula dibantu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), petugas Istana Negara serta sukarelawan.

Di Bukit Lanchong, Seksyen 28, MBSA memberitahu kerja berkaitan dibantu petugas Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan KDEBWM.

Inisiatif sama dijalankan MPAJ di Sungai Lui, Hulu Langat dianggotai 40 sukarelawan terdiri daripada penguat kuasa dan kakitangan.

Pegawai Komunikasi Korporatnya Norhayati Ahmad berkata misi bantuan terbabit menumpukan Sekolah Rendah Agama Sungai Lui, Madrasatul Hassanah Sungai Lui dan Masjid Batu 14, Hulu Langat.

Sukarelawan MPAJ pada 24 Disember 2021 berganding bahu membersihkan kawasan Sekolah Rendah Agama Sungai Lui, Hulu Langat yang terjejas banjir. Foto MPAJ

“Mereka mengeluarkan karpet yang basah dan membersihkan lumpur dalam kawasan masjid,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, MPKS memaklumkan kerja pembersihan dijalankan di 10 rumah penduduk sekitar Taman Suloh Bestari, Bestari Jaya termasuk sebuah dewan.

Seramai 100 kakitangan diketuai Yang Dipertua Rahilah Rahmat dan Setiausaha Yusli Askandar dikerah bagi melancarkan proses pembersihan tersebut.

“Aset MPKS turut digerakkan seperti alatan pembersihan, ‘waterjet’ dan ‘backhoe’ serta tong Roll On Roll Off (RoRo) untuk melicinkan proses pembersihan,” katanya menerusi Facebook.

Sukarelawan MPKS pada 24 Disember 2021 membersihkan kediaman penduduk terjejas banjir di Taman Suloh Bestari, Bestari Jaya, Kuala Selangor. Foto Facebook MPKS

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
ADN SELANGOR

Tiga lokasi tanah runtuh dikesan di DUN Bukit Antarabangsa

SHAH ALAM, 19 DIS: Terdapat tiga lokasi tanah runtuh dikesan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa susulan hujan berterusan di negeri ini beberapa hari lalu.

Sebuah rumah terjejas susulan tanah runtuh yang dikesan berlaku di DUN Bukit Antarabangsa pada 19 Disember 2021. Foto Facebook DUN Bukit Antarabangsa

Tiga lokasi berkenaan ialah di Taman Sering Ukay, Ukay Heights dan Dataran Ukay yang melibatkan dua kediaman.

“Yang dipertua MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) telah dimaklumkan oleh Pejabat Penyelaras DUN Bukit Antarabangsa dan Unit Cerun.

“Jabatan Kejuruteraan MPAJ telah diarahkan oleh yang dipertua untuk tindakan segera,” menurut DUN terbabit di Facebook.

Semalam, Selangor mengalami banjir kilat di beberapa kawasan disebabkan taburan hujan lebih dua kali ganda paras tertinggi pernah direkodkan sebelum ini.

Antara daerah yang terjejas teruk ialah Shah Alam, Klang, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Banjir Ampang: MPAJ, agensi diminta serah laporan dalam dewan negeri

SUBANG, 26 NOV: Kerajaan Negeri meminta beberapa agensi termasuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menghantar laporan penuh kejadian banjir kilat di Ampang minggu hadapan.

Dato’ Menteri Besar berkata laporan itu perlu diserahkan dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).

“Kita kena dapatkan laporan penuh untuk mengetahui apakah punca daripada kerja-kerja pembinaan berhampiran atau sebaliknya. Namun semua pihak perlu bertanggungjawab untuk memastikan atau mengelak kejadian berulang.

“Bagaimanapun, keutamaan adalah selesaikan hal kebajikan melibatkan 260 rumah yang terjejas melibatkan 600 individu kemudian baru kita lihat apa kesannya walaupun ada penafian,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Tambah Amirudin, insiden banjir yang berlaku di kawasan itu bukanlah lokaliti titik panas dan Kerajaan Negeri pasti sedar kerana sistem perparitan yang tidak baik serta kini sedang diproses.

“Kita memang pastikan dan harap kemajuan pesat dapat ditangani dengan cara berhemah supaya tiada kejadian banjir atau tanah runtuh disebabkan kecuaian terutama projek pembinaan serta pembangunan berhampiran sungai.

“Ini bukan sahaja memberi kesan kepada limpahan air tetapi kepada bekalan air kerana ada keladak yang memberi kesan kepada penutupan Loji Rawatan Air Ampang Intake,” katanya.

Baru-baru ini, beberapa kawasan sekitar daerah Ampang, Hulu Langat dan Gombak mengalami banjir kilat selepas hujan lebat hampir tiga jam di Lembah Klang.

Di Ampang antara kawasan terlibat Taman Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan.

Susulan kejadian, Kerajaan Selangor menggerakkan beberapa agensi antaranya pihak berkuasa tempatan (PBT), KDEB Waste Management bersama pusat khidmat dan penyelaras DUN memberi bantuan kecemasan serta membantu proses perpindahan.

Categories
EXCO SELANGOR

MPAJ kesan tapak sesuai untuk bina krematorium

SHAH ALAM, 23 SEPT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenal pasti satu lokasi sesuai untuk dijadikan tapak krematorium atau pusat pembakaran mayat.

EXCO kerajaan tempatan berkata bagaimanapun lokasi seluas 9.8 ekar di Lot 208, Mukim Hulu Kelang itu dalam proses penambahan kelas guna tanah memandangkan tapak terbabit untuk jirat Cina atau Buddha.

“MPAJ dalam proses mengemukakan permohonan penambahan fungsi tapak kepada Kerajaan Negeri bagi membolehkan krematorium dibina di kawasan itu.

“Selepas mendapat kelulusan kerja pembinaan akan dilaksanakan segera,” kata Ng Sze Han selepas melawat tapak berkenaan bersama Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Sze Han berkata setakat ini hanya empat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai kompleks pembakaran iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Klang.

“Usaha ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri menetapkan semua PBT menyediakan sekurang-kurangnya satu krematorium dalam kawasan masing-masing selain perlu mengenakan harga berpatutan untuk perkhidmatan,” katanya.

Pada 30 Ogos ketika sidang Dewan Negeri Selangor, Sze Han mengarahkan semua PBT mengambil tindakan segera berhubung tapak kompleks tersebut khususnya membabitkan kematian akibat Covid-19.

Categories
EXCO SELANGOR

RM7 juta diperuntuk jaya dua projek atasi sesak di Ampang

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kerajaan Negeri membelanjakan hampir RM7 juta bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas sekitar Pandan Mewah, Ampang.

EXCO kerajaan tempatan berkata jumlah itu merangkumi kos pembinaan jambatan dua hala di Persimpangan Jalan Pandan Utama dan Pandan Mewah serta pelebaran jalan sekitar Hospital Ampang.

“Kerajaan Selangor dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memandang serius isu lalu lintas di kawasan ini. Kepadatan penduduk menyebabkan masalah berlaku dan perlu diurus segera.

“Projek jambatan menelan kos RM6.4 juta manakala pelebaran jalan di bahagian belakang dan sisi Hopital Ampang melibatkan belanja RM500,000. Dua projek ini bakal memanfaatkan kira-kira 10,000 penduduk,” kata Ng Sze Han.

Terdahulu beliau membuat lawatan di dua lokasi terbabit bersama Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Sze Han berkata kontraktor bertanggungjawab bagi projek itu sudah dilantik dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.

“Pelebaran jalan di Hospital Ampang itu untuk dijadikan 200 tapak letak kereta memandangkan tempat terhad. Dimaklumkan hospital menerima 600 pesakit dan pelawat setiap hari.

“Bagaimanapun hanya 591 tapak parkir yang ada dengan separuh darinya dikhaskan kepada petugas hospital. Ini tidak mencukupi,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Isu Bukit Tabur: MPAJ sita jengkaut, letak batu penghadang

SHAH ALAM, 11 SEPT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyita jengkaut dan meletakkan batu penghadang di lokasi kerja-kerja tanah tanpa kelulusan di lot 759 Mukim Hulu Kelang.

Yang Dipertua Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata tindakan itu susulan aduan mengenai aktiviti tanah tanpa kebenaran yang tular di media sosial petang tadi, lapor Harian Metro.

“Kami menyita sebuah jengkaut dan meletakkan batu penghadang di lokasi berkenaan bagi menghalang kenderaan berat masuk semula ke kawasan itu.

“MPAJ memandang serius mengenai isu ini dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya.

Jelas Mohd Fauzi, lot berkenaan merupakan tanah pertanian bagaimanapun semakan mendapati tiada sebarang permohonan kerja membersihkan kawasan dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Kami mengambil maklum berhubung perkara itu dan sudah mengambil tindakan penguatkuasaan di lot 759 itu kira-kira jam 11 pagi tadi.

“Pihak pemilik tanah melakukan kerja-kerja pembersihan tanah dan penebangan pokok dengan menggunakan satu unit jengkaut,” katanya.

Menurut Mohd Fauzi, tindakan diambil mengikut Seksyen 70(A), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta133).

Petang tadi, Dato’ Menteri Besar memberitahu aktiviti tanah di kawasan Bukit Tabur tiada kaitan dengan Kerajaan Negeri dan tidak mendapat kelulusan PBT.

Susulan itu, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bahagian penguat kuasa dikerah ke lokasi bagi menghentikan aktiviti berkenaan.

Penjelasan itu dibuat susulan pertanyaan seorang pengguna Twitter yang mempersoalkan bagaimana kerja-kerja tanah boleh dilakukan di situ sedangkan aktiviti pendakian tidak dibenarkan.

Categories
PBT SELANGOR

MPAJ tangguh khidmat bersemuka, laksana urusan dalam talian

SHAH ALAM, 12 JAN: Semua perkhidmatan di Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 26 Januari.

Yang dipertua berkata orang ramai yang mempunyai pertanyaan, permasalahan, aduan dan lain-lain boleh menghubungi pegawai bertugas (24 jam) menerusi talian 03-42968100 / 42857333 atau e-mel [email protected].

“Semua pembayaran seperti cukai taksiran, kompaun, lesen dan bil pelbagai boleh dilakukan secara dalam talian menerusi pautan http://https//:icomm.mpaj.gov.my manakala urusan berkaitan penjaja pada pautan https://intranet.mpaj.gov.my/penjaja.

“MPAJ memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi. Sila layari laman sesawang http://www.mpaj.gov.my untuk mengetahui status terkini perkhidmatan,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim menerusi kenyataan semalam.

Kerajaan memutuskan pelaksanaan PKP di Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah selama 14 hari bermula hari ini.

Categories
PBT SELANGOR

MPAJ: Lulus program lesen niaga sementara, bantu IKS dapat permit sah

SHAH ALAM, 3 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meluluskan cadangan pelaksanaan program Lesen Perniagaan Sementara Bersyarat (LPSB) terhadap semua pengusaha aktiviti dan premis kilang tanpa kebenaran.

Yang dipertuanya berkata kelulusan itu diputuskan melalui mesyuarat penuh MPAJ bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (IKS) yang beroperasi di kawasan industri serta komersial mendapatkan lesen sah sementara.

“Program ini menumpukan premis beroperasi tanpa lesen di kawasan zon perindustrian dan zon komersial diwartakan dalam Rancangan Tempatan MPAJ (Pengubahan 2) 2020.

“Kita memberi lesen sementara selama dua tahun bermula Januari 2021 hingga Disember 2022 bagi pemilik tanah atau premis untuk melengkapkan serta mematuhi syarat ditetapkan,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim kepada SelangorKini.

Beliau berkata proses permohonan LPSB dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Jabatan Pelesenan dan pemilik premis akan diberi taklimat secara berperingkat bermula bulan ini.

Categories
PBT SELANGOR

Perbaharui lesen niaga sebelum hujung tahun elak dikompaun

SHAH ALAM, 3 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menggesa peniaga memperbaharui permit sebelum hujung tahun ini bagi mengelak tindakan kompaun.

Yang dipertuanya berkata kegagalan berbuat demikian menyebabkan peniaga didenda RM200 bagi tempoh Januari hingga Mac 2021 manakala RM700 untuk bulan berikutnya.

Mohd Fauzi Mohd Yatim memaklumkan pembaharuan lesen boleh dimohon dan dicetak secara dalam talian melalui pautan https//.www.icomm.gov.my.

“Salinan lesen perniagaan yang dicetak akan dilengkapi imbasan kod QR dan perlu dipamerkan sepanjang masa pada kawasan mudah dilihat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata sebanyak 804 daripada keseluruhan 9,959 peniaga sudah memperbaharui lesen antara 1 Oktober hingga 17 November dengan kutipan RM530,653.80.

 

Categories
PBT SELANGOR

MPAJ gesa premis berlesen daftar program kutipan caj beg plastik

SHAH ALAM, 3 DIS: Semua premis berlesen di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) digesa mendaftar program kutipan caj 20 sen beg plastik sebelum hujung tahun ini.

Yang Dipertuanya Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata hanya 294 daripada keseluruhan 9,959 premis berbuat demikian setakat 17 November lalu.

“Untuk kategori bebas beg plastik pula, sebanyak 37 premis berdaftar setakat ini. Semua pemegang lesen diingatkan mematuhi arahan Kerajaan Negeri,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pemegang lesen yang sudah mendaftar program kutipan caj beg plastik perlu hadir ke pejabat MPAJ untuk memperbaharui sijil pendaftaran perniagaan 2021.

Bermula 1 Januari lalu, Kerajaan Selangor meluluskan pelaksanaan kutipan caj beg plastik melalui pihak berkuasa tempatan untuk dimasukkan ke tabung amanah bagi program kesedaran alam sekitar.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak RM1.1 juta berjaya dikutip melalui program itu.