Categories
PBT SELANGOR

MPAJ periksa 4,603 premis sejak PKP, pastikan patuhi SOP

SHAH ALAM, 7 NOV: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menjalankan pemeriksaan ke atas 4,603 premis sejak 18 Mac lalu sehingga kelmarin, kata yang dipertuanya.

Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata daripada jumlah itu, 4,048 mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) manakala selebihnya gagal mengikut peraturan.

Menurutnya, kesemua 388 premis yang gagal mematuhi SOP dikenakan tindakan kompaun dan amaran.

“MPAJ juga melaksanakan 950 aktiviti nyahkuman sepanjang tahun ini di kawasan awam,” katanya dalam kenyataan pada 5 November.

Sebelum itu, beliau turun padang ke Medan Selera MPAJ di Angsana Hilir dan sekitar Ampang Point bagi memeriksa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mohd Fauzi bersama kakitangan barisan hadapan MPAJ turut melakukan proses nyahkuman di laman santai Ampang dan laluan Senario Ampang.

“Saya berpuas hati dengan kaedah kawalan pematuhan SOP yang dijalankan seperti penjarakan sosial dalam premis, penyediaan cecair nyahkuman dan pemeriksaan suhu badan,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPB-PBT: MB ucap tahniah kejayaan tiga PBT raih markah tertinggi

SHAH ALAM, 5 NOV: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan tahniah kepada tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini yang berjaya meraih markah tertinggi bagi Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT) seluruh Malaysia.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PBT tersebut ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Semoga anugerah ini akan menyuntik warga kerja PBT di Selangor untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya di Facebook malam ini.

Sementara itu, berdasarkan semakan di Facebook tiga PBT berkenaan, MBPJ mengumpul markah 97.60 peratus, MBSA (97.50 peratus) manakala MPAJ (96.85 peratus).

Majlis Penganugerahan Bintang Perkhidmatan PBT secara maya disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dari kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Program itu merupakan julung kali diadakan melibatkan 152 PBT di negara ini bagi mengiktiraf prestasi kerajaan tempatan yang terbaik berdasarkan penilaian SPB.

10 PBT mendapat markah tertinggi dengan Majlis Perbandaran Manjung menyandang tempat pertama, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (kedua) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (ketiga).

Sistem pengredan bintang dinilai berdasarkan empat kriteria utama antaranya pengurusan, pengurusan kewangan, pengurusan pelanggan dan perkhidmatan teras.

 

Categories
PBT SELANGOR

MPAJ laksana program baharui lesen niaga dalam talian

SHAH ALAM, 6 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melaksanakan program pembaharuan lesen perniagaan bagi 2021 secara dalam talian bermula 1 Oktober sehingga 31 Disember depan.

Yang dipertuanya berkata pembayaran boleh dibuat melalui sistem iCOMM memandangkan kaunter pembaharuan lesen berkaitan tidak menerima wang tunai.

“Kegagalan pemegang lesen memperbaharuinya selepas 31 Disember akan dikenakan kompaun RM200 bagi tempoh Januari hingga Mac manakala RM700 untuk April hingga Disember,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim kepada SelangorKini.

Pemegang lesen boleh melayari laman sesawang www.icomm.mpaj.gov.my dan sebarang pertanyaan boleh hubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-42857344 atau 03-42857324.

Categories
PBT SELANGOR

2,913 kes denggi di MPAJ sehingga 21 September

SHAH ALAM, 5 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merekodkan 2,913 kes denggi dan sifar kematian sehingga minggu epid ke-39 berakhir 21 September lalu.

Yang dipertuanya berkata tiada lokaliti titik panas dikenal pasti selain hanya satu berstatus kawasan wabak tidak terkawal manakala 21 yang lain lokasi wabak terkawal.

“Satu kawasan itu ialah di Taman Ampang Utama dengan lima kes dan 35 hari tempoh wabak,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim kepada SelangorKini.

Beliau berkata 21 lokaliti tersebut pula antaranya kawasan Pandan Perdana dengan dua kes dan empat hari tempoh wabak serta Taman Putra Sulaiman, Pandan Mewah dan Taman Kosas masing-masing tiga kes dan dua hari tempoh wabak.

“Kesemua kawasan ini mencatat dua kes iaitu Kampung Cheras Baru dengan dua hari tempoh wabak, Taman Cheras Hartamas (lima), Taman Bukit Segar (13), Kampung Ampang Campuran (lapan) dan Taman Keramat (sembilan).

“Manakala Taman Dato’ Ahmad Razali pula tiga kes dan lapan hari tempoh wabak,” katanya.

Lokaliti wabak terkawal lain seperti berikut:

1. Pandan Jaya – dua kes, sembilan hari tempoh wabak
2. Kampung Tasik Tambahan – dua kes, 10 hari tempoh wabak
3. Ampang Jaya – empat kes, sembilan hari tempoh wabak
4. Taman Keramat – dua kes, 11 hari tempoh wabak
5. Lembah Jaya Utara – empat kes, 12 hari tempoh wabak
6. Taman Sri Angsana Hilir – empat kes, 14 hari tempoh wabak
7. Pandan Perdana – empat kes, 15 hari tempoh wabak
8. Taman Kosas – enam kes, 15 hari tempoh wabak
9. Taman Dato Ahmad Razali – tiga kes, 15 hari tempoh wabak
10. Bandar Baru Ampang – lima kes, 18 hari tempoh wabak
11. Bukit Antarabangsa – tiga kes, 23 hari tempoh wabak

Categories
PBT SELANGOR

Tunggakan cukai taksiran lebih RM72 juta, MPAJ giat kesan pemilik harta

SHAH ALAM, 5 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memaklumkan jumlah tunggakan cukai taksiran mencecah RM72.79 juta sejak 2017 hingga Ogos lalu.

Yang dipertuanya berkata setakat ini sebanyak RM13.59 juta berjaya dikutip menerusi operasi tunggakan dan sitaan cukai taksiran.

“Untuk tempoh tersebut, 29,399 notis dan waran dikeluarkan dengan hanya 10,084 (notis dan waran) dibayar oleh orang ramai manakala baki 19,315 lagi kita masih belum terima bayaran,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim kepada SelangorKini.

Beliau berkata MPAJ menghantar Notis 7E di Ukay Perdana, Ampang Utama, Taman Dato’ Ahmad Razali, Jalan Memanda Ampang Point, Taman Nirwana dan Taman Dagang sepanjang Ogos lalu.

Menurutnya, jumlah tunggakan bagi kesemua lokasi berkenaan berjumlah RM6.3 juta dengan RM751,402.54 berjaya dikutip.

“Bilangan notis yang sudah dihantar ialah 2,556 dengan 626 atau 24.5 peratus daripadanya berbayar sementara 1,930 (75.5 peratus) lagi tidak berbayar,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Baik pulih tanah runtuh Taman Kelab Ukay siap 60 peratus

SHAH ALAM, 3 SEPT: Kerja baik pulih tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa berjalan lancar dengan 60 peratus siap setakat ini.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Norhayati Ahmad berkata pihaknya memantau kerja kontraktor dari semasa ke semasa bagi memastikan ia siap mengikut jadual pada Disember.

“Kerja pemasangan kepingan besi sebagai penghadang pergerakan tanah di tebing anak Sungai Sering, baiki longkang dan beberapa proses lain untuk mengukuhkan tebing berjalan ikut jadual.

“Kita telah capai tahap 60 peratus dalam tempoh tiga bulan kerja baik pulih yang bermula pada Jun, Julai dan Ogos. Jadi kita ada tempoh empat bulan sehingga Disember untuk siapkan baki 40 peratus lagi,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pada 30 Mei lalu, penghuni di tujuh rumah di taman perumahan berkenaan diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di belakang kediaman mereka.

Penduduk kemudian dipindahkan ke Hotel De Palma, Ampang selama tujuh hari dengan kos ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

Selangor turut memberi bantuan sewa rumah RM1,000 selama enam bulan dan sumbangan kewangan RM500 manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperuntuk sehingga RM3,000 bagi bantuan sewa.

Pada 4 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM433,800 bagi kerja baik pulih dan pengukuhan tebing Sungai Sering oleh Jabatan Pengairan dan Saliran negeri selain kajian terperinci di kawasan berkenaan yang berdepan insiden tanah runtuh sejak beberapa tahun lalu.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Kamera badan lindungi penguat kuasa, pastikan tadbir urus cekap

OLEH IDA NADIRAH IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 OGOS: Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) mula melengkapkan anggotanya dengan kamera badan bagi memastikan kecekapan dan ketelusan tadbir urus.

Timbalan pengarah Jabatan Pengurusan Korporat dan Strategik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berkata alat tersebut dipakai setiap hari atau ketika operasi khas, lapor Selangor Journal.

“Ini sebahagian tindakan proaktif kami memantau tingkah laku anggota ketika berada di lapangan, yang juga rujukan atau bukti jika berlaku kejadian tidak diingini,” kata Azfarizal Abdul Rashid, sambil menambah tiada kes dilapor setakat 23 Julai lalu.

Katanya, enam daripada 12 unit kamera tersebut kini digunakan Jabatan Penguatkuasaan.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Norhayati Ahmad berkata anggotanya menggunakan peranti berkenaan sejak Julai tahun lalu.

Jelasnya, kesemua 10 unit kamera yang memiliki daya tahan bateri lapan jam menggunakan sistem pengawasan mudah alih keselamatan IAC (integriti, ketersediaan dan kerahsiaan)

“Alatan ini memiliki kualiti video 32GB dalam definisi tinggi dan mampu menangkap visual malam serta suara untuk keselamatan anggota jika berlaku serangan fizikal atau perbalahan.

“Ini juga untuk meningkatkan integriti, kecekapan dan ketelusan ketika berurusan dengan rakyat,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memberi tempoh sehingga hujung tahun kepada semua PBT untuk melengkapkan anggota mereka dengan kamera badan.

Selain MPSJ dan MPAJ, Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga sudah menggunakan peranti tersebut.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Kerja baik pulih tanah runtuh Taman Kelab Ukay siap Disember

SHAH ALAM, 15 JUN: Kerja membaik pulih kawasan tanah runtuh di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa dijangka siap hujung tahun ini, menurut Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporatnya Norhayati Ahmad berkata tempoh enam bulan diperlukan untuk memantau pergerakan tanah, pembaikan cerun, pembersihan tapak dan pembinaan tembok penahan.

“Setakat ini kerja penyiasatan tanah dan mengukur kesan kerosakan di rumah terjejas siap dilakukan manakala kerja mereka bentuk tembok penahan sedang dilaksanakan.

“Kerja baik pulih bermula 1 Jun lalu dan kita jangkakan siap sepenuhnya pada 1 Disember tahun ini,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pada 4 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM433,800 bagi kerja baik pulih dan pengukuhan tebing Sungai Sering oleh Jabatan Pengairan dan Saliran negeri.

Turut dilaksanakan ialah kajian terperinci di kawasan berkenaan yang berdepan insiden tanah runtuh sejak beberapa tahun lalu.

Selain itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperuntuk RM2 juta bagi membina tembok penahan di kawasan tanah runtuh.

Pada 30 Mei lalu, penghuni di tujuh buah rumah di Taman Kelab Ukay diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat itu.

Categories
PBT SELANGOR

MPAJ: 44 tindakan ke atas premis halang kaki lima

SHAH ALAM, 12 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenakan 44 tindakan terhadap premis perniagaan didapati membuat halangan di kaki lima sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

MPAJ menerusi Facebook semalam memaklumkan operasi penguatkuasaan dibuat berikutan premis berkaitan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) Selangor.

“Operasi yang dijalankan ini melibatkan 28 premis (yang melakukan kesalahan).

“Secara keseluruhannya, sebanyak 44 tindakan diambil termasuk menyita, mengenakan kompaun terhadap pemilik premis dan merampas lesen perniagaan,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

MPAJ, jabatan hutan bina laluan air atasi banjir lumpur

SHAH ALAM, 1 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Jabatan Hutan Selangor akan membina laluan air di bukit berdekatan Taman Ampang Saujana bagi mengatasi masalah banjir lumpur di kawasan berkenaan, kata EXCO perumahan.

Haniza Talha berkata ia bertujuan untuk mengalirkan air hujan ke saluran parit monsun terdekat kerana antara sebab utama banjir adalah taburannya yang semakin banyak dan sistem perparitan yang tidak diselenggara.

“Saya mendapat aduan penduduk berkenaan banjir lumpur disebabkan hujan lebat sejak beberapa hari di kawasan perumahan ini yang terletak betul-betul bersebelahan dengan bukit,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Haniza bersama Yang Dipertua MPAJ, Dato’ Abdul Hamid Hussain membuat lawatan ke Taman Ampang Saujana bagi mencari penyelesaian.

Haniza berkata beliau juga meminta pihak berkenaan membersihkan longkang berdekatan untuk memudahkan aliran air ke parit.

“Untuk penyelesaian jangka panjang, MPAJ akan membuat kolam takungan di dalam kawasan bukit tersebut untuk menakung air hujan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

PKP: Menara MPAJ ditutup, urusan guna dalam talian

SHAH ALAM, 11 APRIL: Ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan dua minggu lagi, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan menutup semua urusan perkhidmatan di pejabat mereka.

MPAJ berkata penutupan kepada orang awam dibuat akibat penularan wabak jangkitan Covid-19.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi. Sila layari laman sesawang MPAJ mpaj.gov.my untuk mengetahui status terkini perkhidmatan,” kata Yang Dipertuanya Dato’ Abdul Hamid Hussain dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berkata meminta orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan, permasalahan atau aduan, boleh terus menghubungi talian 24 jam di 03-42800950 atau emel ke [email protected].

Manakala bagi urusan pembayaran cukai taksiran, kompaun, lesen dan bil, boleh dilakukan secara dalam talian di pautan icomm.mpaj.gov.my.

Categories
PBT SELANGOR

MPAJ anjur sambutan Hari AIDS Sedunia

OLEH ALIFF HAIKAL

PANDAN INDAH, 9 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menganjurkan sambutan Hari AIDS Sedunia 2019 peringkat Hulu Langat di Padang Perbandaran MPAJ pada 8 Disember lalu bagi memupuk kesedaran terhadap penyakit itu.

Pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan di Facebook memaklumkan program sempena Hari Tanpa Kenderaan itu membabitkan golongan remaja, agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

“Usaha menangani masalah ini memerlukan kerjasama bersepadu daripada semua agensi termasuk badan kerajaan, bukan kerajaan, dan individu penghidap HIV bagi memastikan aktiviti pencegahan serta kawalan dapat dilaksana dengan lebih berkesan,” katanya.

Program dirasmikan Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari dan turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Unit HIV dan STI Jabatan Kesihatan Selangor, Dr Ozrinalifah Omar.

Antara pengisian program ialah acara larian, pameran haiwan, pertandingan memanah, ‘live band’, pertandingan mewarna dan ‘booth’ kesihatan MPAJ serta pemeriksaan HIV dan AIDS secara percuma.