Categories
PBT SELANGOR

MPKj buka 33 lokasi bazar, tiga karnival Ramadan tahun ini

SHAH ALAM, 25 FEB: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) meluluskan pembukaan 33 tapak bazar Ramadan dalam kawasan pentadbirannya untuk tahun ini.

Yang Dipertua Najmuddin Jemain berkata mesyuarat jawatankuasa kawalan perniagaan dan penjaja turut meluluskan penganjuran tiga karnival Ramadan bagi memudahkan masyarakat mendapat keperluan raya.

“Pemohon dan penganjur yang berjaya diwajibkan hadir taklimat pada 3 Mac bertempat di Hotel Bangi Resort. Surat tawaran akan diserahkan pada sesi berkenaan,” katanya berucap dalam majlis mesyuarat bulanan hari ini.

Pada 21 Februari EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenal pasti lebih banyak lokasi bazar bagi mengelak kesesakan pengunjung.

Langkah itu akan memudahkan pemantauan serta memastikan peniaga dan pengunjung patuh tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Categories
PBT SELANGOR

Sempena sambutan Jubli Perak, MPKj tawar diskaun 25 peratus sewa dewan

SHAH ALAM, 7 FEB : Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menawarkan diskaun sebanyak 25 peratus bagi sewaan dewan komuniti di sekitar kawasan pentadbirannya sepanjang Mei.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi Facebook memaklumkan tawaran dibuat sempena sambutan Jubli Perak serta terbuka kepada semua pihak yang mahu menyambut keraian.

Menurut MPKj, pemberian diskaun tertakluk kepada program seperti majlis perkahwinan, pertunangan, kesyukuran, aqiqah, makan malam, ‘hi tea’ dan hari jadi.

Sebarang pertanyaan boleh hadir ke kaunter pentadbiran am dan keurusetiaan di tingkat 1 Menara MPKj atau hubungi talian 03-87377899, sambungan 7037 atau emel kepada: [email protected].

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hanya 30 minit mohon lesen di kaunter bersepadu MPKj

KAJANG, 28 JAN: Tempoh permohonan lesen bawah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) disingkatkan antara 15 hingga 30 minit sahaja melalui inisiatif kaunter bersepadu.

Kemudahan bagi memohon 95 perkhidmatan lesen membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam melaksana sistem penyampaian cekap, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Kita dapat lihat bagaimana kaunter bersepadu ini melancarkan permohonan lesen kepada 30 minit sahaja, paling cepat 15 minit sekiranya dokumen pemohon lengkap.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perasmian Kaunter Bersepadu dan Sambutan Jubli Perak (25 Tahun MPKj) di Menara Majlis Perbandaran Kajang pada 28 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya berharap MPKj dapat terus meningkatkan sistem perkhidmatannya untuk manfaat masyarakat,” katanya selepas merasmikan kaunter tersebut di Menara MPKj hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Haris Kasim dan Yang Dipertua MPKj Najmuddin Jemain.

Amirudin juga berharap MPKj yang menyambut ulang tahun ke-25 tahun ini terus melaksana pelbagai inisiatif untuk menjadikan Kajang sebagai bandar lestari dan berdaya huni.

Tambahnya, pihak berkuasa tempatan itu berpotensi diangkat sebagai bandar raya susulan pertumbuhan beberapa penempatan moden, namun perlu memenuhi keperluan memajukan sesetengah kawasan.

“Pada masa sama harus pastikan menyedia kemudahan dan perkhidmatan terbaik,” kata menambah Sungai Lui dan Sungai Gabai yang menjadi tarikan pengunjung perlu dipadankan dengan pemodenan.

 

Categories
PBT SELANGOR

MPKj tarik 75 kenderaan tersadai, atasi isu lambakan

SHAH ALAM, 26 JAN: Sebanyak 75 kenderaan buruk dan tersadai di kawasan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ditarik ke depoh bermula 4 Januari sehingga semalam.

Yang dipertuanya Najmuddin Jemain berkata tindakan penundaan dengan kerjasama Car Medic Sdn Bhd menumpukan kawasan sekitar Kajang dan Semenyih.

“Sebanyak lima jentera tunda digunakan bagi melancarkan oeperasi mengangkut kenderaan terbiar atau tersadai ini.

“Pihak operator Car Medic juga menggunakan kren tadano bagi mengalih kenderaan pelbagai guna yang ditinggalkan pengusaha bengkel membaiki kenderaan Bandar Rinching,” katanya dalam mesyuarat MPKj hari ini.

Pada 22 November tahun lepas Najmuddin berkata MPKj menjadi pihak berkuasa tempatan pertama dalam negara menggunakan kaedah kitar semula kenderaan buruk bersifat mesra alam.

Beliau berkata kaedah End Live Vehicle (ELV) digunakan bagi mengatasi lambakan kenderaan buruk sekitar daerah terbabit.

Menurutnya kerjasama pintar dijalin bersama Car Medic Sdn Bhd yang akan menunda semua kenderaan buruk ke depoh simpanan di Bandar Baru Bangi sebelum dibawa semula ke depoh syarikat berkenaan untuk proses ELV.

 

 

 

Categories
PBT SELANGOR

MPKj sedia pelbagai program, inisiatif sempena sambutan Jubli Perak

SHAH ALAM, 26 JAN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang kini mencapai usia 25 tahun akan mengadakan program sempena sambutan Jubli Perak sepanjang tahun ini.

Yang dipertuanya berkata antara program yang dirancang adalah Perasmian Kaunter Bersepadu dan Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Perak yang akan disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari pada 28 Januari ini.

“Antara inisiatif yang dirancang termasuk Baucar Khas Bayaran Cukai Taksiran RM10 untuk pembayaran setahun melalui sistem e-bayar MPKj bagi tahun 2022 untuk 5,000 akaun pembayar cukai taksiran terawal Januari 2022 dan 5,000 akaun terawal pada Februari.

“Tujuan MPKj melaksanakan insentif ini sebagai penghargaan kepada pembayar cukai, menggalakkan pembayar cukai membuat bayaran melalui e-bayar dan menggalakkan pembayar cukai mengemas kini maklumat pegangan dan maklumat pemilik,” kata Najmuddin Jemain.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Majlis Bil 1/2022, MPKj pada hari ini.

Najmuddin berkata pihaknya juga memberi tawaran kompaun RM10 bagi kesalahan meletak kenderaan sehingga 28 Februari.

“Kempen ini adalah terhad kepada pesalah-pesalah bagi kesalahan yang diperuntukkan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (Majlis Perbandaran Kajang) 2007,” katanya.

Inisiatif lain yang ditawarkan adalah potongan 25 peratus bagi kos sewaan dewan komuniti, bayaran sewaan Disember melibatkan premis milik MPKj (50 peratus) dan bayaran sewa premis milik MPKj untuk enam bulan ke hadapan (25 peratus).

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Pengeluaran sisa bah selesai, MPKj bersihkan tiga stesen pemindahan

SHAH ALAM, 26 JAN: Tiga stesen pemindahan sementara (TS) bagi pengurusan sampah pukal bawah seliaan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dibersihkan sepenuhnya kelmarin.

Pembersihan di stesen Sungai Lui, Batu 14 dan Taman Sri Nanding dibuat setelah pengeluaran sisa banjir ke Tapak Pelupusan Sisa Lengai Misi Restu selesai, kata yang dipertuanya.

“MPKj juga membaik pulih tapak TS Taman Sri Nanding melibatkan pembaikan tanah, pembersihan longkang di kawasan sekitar dan membaiki pagar yang rosak,” kata Najmuddin Jemain pada mesyuarat bulanan secara maya hari ini.

Beliau berkata sebanyak RM294,000 diperuntuk bagi kerja kecemasan pembersihan pascabanjir manakala RM200,000 lagi untuk pelupusan sampah serta pemulihan tanah di Taman Sri Nanding.

Sementara pelupusan 21,928.23 tan sisa pukal banjir di Misi Restu Sdn Bhd bersama KDEB Waste Management pula melibatkan kos sebanyak RM566,573.13, katanya.

Kerajaan Selangor membuka 11 stesen pemindahan sampah pukal di empat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mempercepat kerja pembersihan pascabanjir pada Disember tahun lalu.

Selain MPKj, PBT berkenaan ialah Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Categories
PBT SELANGOR

Papan tanda salah ejaan jawi di Semenyih diganti

SHAH ALAM, 22 JAN: Papan tanda nama di Jalan Dana Permai, Semenyih yang dikesan mempunyai kesalahan tulisan jawi diganti semalam, maklum Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, penukaran papan tanda baharu mengikut spesifikasi dibuat dalam tempoh 24 jam selepas kesilapan berkenaan tular baru-baru ini.

Jelasnya, pemasangan papan tanda terdahulu dibuat pemaju mengikut kelulusan pelan infrastruktur pada 4 Oktober 2017 dan disahkan individu profesional mempunyai gambaran lengkap.

“Namun terdapat kesilapan dilakukan pembekal papan tanda nama tersebut di mana tulisan jawi tidak mengikut pelan kelulusan sebenar,” kata MPKj dalam kenyataan hari ini.

PBT itu menambah penyelenggaraan kemudahan di kawasan tersebut belum diserahkan kepada pihaknya, sebaliknya masih bawah tanggungjawab pemaju.

“Perlu ditegaskan bahawa semua pihak perlu memastikan keseluruhan pembinaan di tapak mengikut kelulusan pelan infrastruktur telah diluluskan,” katanya lagi.

Categories
PBT SELANGOR

Pusat urut antara ratusan premis gagal dapat lesen, ubah suai tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 19 JAN: Mengubah suai premis tanpa kebenaran antara sebab permohonan lesen perniagaan ditolak oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sepanjang tahun lalu.

Antara premis terlibat ialah pusat urut tradisional, perindustrian, kedai makan dan kedai gunting rambut, kata Pegawai Perhubungan Awamnya Kamarul Izlan Sulaiman.

“Mereka juga dikesan membuat permohonan perniagaan lain tetapi ketika beroperasi perniagaan jenis lain pula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah pihaknya mengeluarkan 300 notis amaran dan surat pemakluman lesen ditolak selain
135 kompaun kerana berniaga tanpa lesen serta lesen tamat tempoh.

Kamarul Izlan turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas dengan menyita premis berkenaan jika masih gagal mematuhi arahan ditetapkan.

“Dalam notis tersebut pihak jabatan menyenaraikan sebab lesen ditolak dan perkara yang perlu pemohon patuhi untuk pertimbangan kelulusan lesen perniagaan,” katanya lagi.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj: Caj RM1,500 seekor jika ternakan ditangkap, atasi isu haiwan berkeliaran

SHAH ALAM, 15 JAN: Caj tangkapan RM1,500 dikenakan terhadap individu sekiranya haiwan ternakan ditangkap penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

MPKj memaklumkan operasi yang bermula semalam dijalankan bagi menangani masalah haiwan berkeliaran di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Awas penternak di kawasan pentadbiran MPKj, operasi tangkapan haiwan akan dilaksanakan.

“Ternakan yang berkeliaran akan ditangkap dan penternak akan dikenakan caj tangkapan RM1,500 seekor,” katanya di Facebook.

MPKj juga memaklumkan operasi berkenaan akan dijalankan setiap hari bagi membendung masalah berkenaan.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA, MPKj buka kaunter bergerak untuk kutipan cukai, kompaun

SHAH ALAM, 2 DIS: Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) membuka kaunter bergerak hujung minggu ini bagi memudahkan orang ramai menyemak dan membayar cukai taksiran, cukai pintu serta kompaun.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulakan program pada Sabtu di pekarangan parkir Plaza Shah Alam, Seksyen 9 mulai jam 11 pagi hingga 5 petang.

Manakala Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membuka kaunter pada Ahad sempena program Komuniti Ceria dari jam 9 pagi hingga 2 petang di Dewan Seri Cempaka, Saujana Impian.

Tumpuan MBSA meliputi kempen pengurangan kompaun parkir serendah RM 10 dan diskaun 70 peratus bagi Undang-Undang Kecil (UUK) Kedai Gunting Rambut 1983, UUK Taman 2005 dan UUK Vandalisme 2005.

Turut ditawarkan diskaun ialah UUK Establisyemen Makanan 2007, UUK Pengendali Makanan 2007, UUK Iklan 2007, UUK Penjaja 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan UUK Pasar 2007.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj antara 12 PBT paling mampan tahun ini

PUTRAJAYA, 9 NOV: Sebanyak 69 daripada 102 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dinilai menerusi sistem Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInets) pada tahun ini berada di tahap mampan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Baki 33 lagi PBT yang dinilai menerusi sistem itu pula mencapai tahap sederhana mampan,” katanya ketika berucap pada majlis penghargaan Bandar Mampan 2021 dan Anugerah Kejiranan Hijau 2021 secara maya hari ini.

Sistem MURNInets diwujudkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) sejak 1998 bagi mengukur tahap kemampanan bandar dan pelaksanaannya selaras dengan Sustainable Development Goals (SDGs) dan agenda Perbandaran Baharu (New Urban Agenda).

Pengukuran Bandar Mampan di Malaysia dilaksanakan berasaskan kepada kerangka MURNInets yang mengandungi lima strategi, enam dimensi, 20 tema dan 39 penunjuk yang dibentuk berdasarkan dasar pembangunan utama negara berkaitan ekonomi, sosial dan fizikal.

“Pengukuran kemampanan bandar ini akan memperkukuhkan usaha PBT dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat seterusnya berusaha meningkatkan tahap kemampanan bandar dan tahap daya huni di kawasan masing-masing,” kata Reezal Merican.

Reezal Merican berkata aspek bandar mampan dan kejiranan hijau merupakan komponen penting dalam menjayakan aspirasi Malaysia Berdaya Huni (eng:Liveable Malaysia) selaras matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau berkata aspirasi itu akan dijadikan landasan asas untuk menggembleng usaha individu, komuniti, PBT dan pihak berkuasa negeri agar sama-sama menuju kerangka Keluarga Malaysia yang lebih makmur dan terangkum.

“Kita semua adalah Keluarga Malaysia, tidak kira sama ada di bandar mahupun di luar bandar yang mengimpikan kehidupan yang selesa, dikelilingi kejiranan yang mampan, hijau dan selamat.

“Bandar mampan sejahtera dan berdaya huni yang disokong dengan kejiranan hijau merupakan aspirasi dalam pembangunan negara seiring semangat Keluarga Malaysia yang menekankan kualiti kesejahteraan rakyat dan kemampanan bandar,” katanya.

Pada majlis hari ini 12 PBT terpilih sebagai kawasan PBT paling mampan berdasarkan tiga kategori iaitu Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah, dan antara penerima penghargaan bandar mampan adalah Perbadanan Putrajaya, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Daerah Labis.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPKj cadang naikkan cukai taksiran pada 2023

KAJANG, 1 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bercadang menaikkan kadar cukai taksiran pada 2023.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata kadar kenaikan dicadangkan adalah tidak melebihi RM20 untuk penduduk yang tidak membuat pengubahsuaian kediaman.

“Buat masa ini, cukai taksiran dikenakan tidak pernah dinilai sejak 1986. Perbincangan bersama Kerajaan Negeri diwakili EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han telah dijalankan tiga minggu lalu.

“Antara dicadangkan ialah semakan dilakukan tahun hadapan dan kenaikan pada 2023 tetapi semuanya tertakluk kepada hasil perbincangan serta arahan lanjut Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Bayar dan Menang Cukai Taksiran MPKj 2021 di Dewan Seri Cempaka Saujana Impian di sini hari ini.

Najmuddin menjelaskan, kenaikan cukai taksiran itu amat membantu dalam pengurusan dan pentadbiran MPKj.

“Walaupun kadar cukai taksiran mengikut 1986, kita cuba sediakan perkhidmatan mengikut tahap 2000.

“Ini yang cuba disampaikan kepada penduduk walaupun peruntukan hasil tidak seperti diharapkan, kita tetap berusaha memberikan yang terbaik,” katanya.