Categories
PBT SELANGOR

MPKj galak penduduk bayar cukai taksiran ikut tempoh

KAJANG, 1 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berharap penduduk membuat pembayaran cukai taksiran dalam tempoh ditetapkan.

Yang dipertuanya berkata tindakan pemegang akaun melaksanakan pembayaran mengikut tempoh memudahkan pihaknya menjalankan tugasan diamanahkan.

“Inisiatif cabutan bertuah ini sebahagian daripada kempen menggalakkan penduduk membayar penuh dan lebih awal selain tidak mempunyai tunggakan.

“Pada masa akan datang kita akan perkemas lagi pertandingan bergantung pada sambutan. Namun apa yang penting segala yang MPKj terima kita pulangkan kepada penduduk,” kata Najmuddin Jemain.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Bayar dan Menang Cukai Taksiran MPKj 2021 di Dewan Seri Cempaka Saujana Impian di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 45 pemegang akaun cukai taksiran dipilih sebagai pemenang dalam cabutan bertuah menerusi kempen tersebut yang dilancar pada 1 Januari hingga 28 Februari.

Antara hadiah ditawarkan ialah satu motosikal Yamaha Y15, enam basikal pelbagai jenis, lapan televisyen android, 10 telefon pintar dan 20 barangan elektrik.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj sita 10 lori buang sampah haram sepanjang Oktober

SHAH ALAM, 28 OKT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita 10 lori kerana terbabit dalam aktiviti membuang sampah secara haram di daerah itu sepanjang Oktober, tertinggi berbanding bulan lalu.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata tindakan dibuat menerusi operasi gempur Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan.

“Empat lori disita di Jalan Kuari Sungai Long manakala Taman Pusara Twin Palms dan Bukit Ampang masing-masing dua lori, Kampung Simpang Balak serta lain-lain kawasan (satu),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Bulanan di Bilik Mesyuarat Utama Menara MPKj pada Selasa.

Menurutnya, sebanyak 17 kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan mencemarkan alam sekitar mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPKj 2007.

Sementara itu, Najmuddin berkata operasi akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan tersebut demi menjamin kualiti hidup masyarakat.

Pihak berkuasa tempatan itu menyita 51 lori atas kesalahan berkenaan sejak operasi gempur dijalankan awal tahun ini.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj pantau sungai elak jadi tong sampah masyarakat

HULU LANGAT, 4 OKT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan kerjasama sukarelawan Sahabat Sungai memantau kerap sungai Pekan Semenyih bagi memastikan tidak tercemar.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata pihaknya kecewa dengan sikap masyarakat yang seolah merancang untuk membuang bahan buangan itu sehingga menjadi punca pencemaran terhadap sungai.

“Berdasarkan pemantauan kita dapati ada sampah terikat elok dalam plastik dibuang ke sungai…ini bermakna mentaliti masyarakat mengenai penjagaan alam sekitar masih kurang, mereka anggap kawasan itu tong sampah.

“Oleh itu, kita bersama Sahabat Sungai akan terus melaksana aktiviti pembersihan, memantau dan memberi kesedaran kepada penduduk setempat agar menjaga kebersihan sungai daripada tercemar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Semenyih Prihatin Sungai di Pekan Semenyih di sini semalam.

Menurut Najmuddin, perbuatan membuang sampah ke dalam sungai juga menjadi punca henti tugas loji rawatan air sehingga menyebabkan ketiadaan bekalan air.

“Saya harap masyarakat mulai sedar dan tidak menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya perlu bekerjasama menjaga kebersihan kawasan persekitaran termasuk sungai,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPKj terus pantau SOP, elak masyarakat alpa

HULU LANGAT, 4 OKT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan kerjasama polis meneruskan operasi tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan orang awam meskipun Selangor beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata pemantauan itu akan dilakukan di sekitar kawasan tumpuan ramai seperti pasar raya, pasar awam, pasar pagi dan kawasan rekreasi.

“Kita masih meneruskan operasi pemantauan kerana tidak mahu kejadian sama berulang seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) satu dan dua sebelum ini dengan kes jangkitan Covid-19 tinggi kerana masyarakat gagal mematuhi SOP.

“Kita harus memastikan masyarakat maklum virus wabak masih ada dan jangan sesekali lalai,” katanya ketika ditemui pada program Semenyih Prihatin Sungai di Pekan Semenyih di sini semalam.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa tiga PPN berkuat kuasa pada Jumaat dengan beberapa kelonggaran tambahan untuk individu lengkap dos vaksin.

Kebenaran baharu termasuk majlis rasmi kerajaan dan swasta, pembukaan semula sektor latihan kemahiran serta kehadiran penonton ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi.

Categories
PBT SELANGOR

Penduduk Kajang beri kerjasama, 90 peratus patuhi SOP

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kira-kira 90 peratus penduduk Kajang dan sekitarnya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.

Pegawai perhubungan awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berkata hasil pemantauan anggota penguat kuasanya bersama agensi lain mendapati kebanyakan orang awam dan peniaga memberi kerjasama penuh dalam perkara berkaitan.

“Hanya sebahagian kecil yang ingkar dan telah diberi amaran. Kita mengalu-alukan kerjasama semua untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat individu melanggar undang-undang atau memalsukan sijil vaksin,” kata Kamarul Izlan Sulaiman ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, ketua bahagian korporat dan perhubungan awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berharap masyarakat tidak leka meskipun banyak sektor ekonomi mula dibuka termasuk membenarkan makan di restoran.

“Harap masyarakat kekal berdisiplin mematuhi SOP dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika menjamu selera di kedai makan.

“Pemantauan berterusan akan terus dilakukan MBSA sama ada di taman awam dan premis perniagaan,” kata Shahrin Ahmad.

Categories
PBT SELANGOR

Najmuddin dilantik yang dipertua MPKj baharu

SHAH ALAM, 2 OGOS: Najmuddin Jemain dilantik sebagai yang dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) baharu berkuat kuasa 19 Julai lalu.

Berucap selepas majlis angkat sumpah hari ini, Najmuddin meminta MPKj berganding bahu membantu golongan terkesan akibat penularan Covid-19 seperti individu hilang kerja, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas.

“Seluruh kakitangan MPKj perlu sentiasa proaktif menghulurkan bantuan mengikut kemampuan serta memudahkan urusan pemegang taruh bagi bersama-sama bangkit,” katanya.

Najmuddin berkata beliau juga akan memberi fokus meningkatkan sistem penyampaian pihak berkuasa tempatan itu selaras sasaran mencapai status bandaraya di bawah Pelan Strategik MPKj 2021-2025.

Selain itu menjayakan dasar digital negara dan bandar pintar dengan memperkenalkan perkhidmatan serta aplikasi dalam talian bagi memudahkan urusan orang ramai.

Najmuddin, 46, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya (UM) dan Ijazah Sarjana Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan pegawai daerah Hulu Langat menggantikan Dato’ Zulkefli@Zulkefli Khalid.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

870 pemandu teksi, bas sekolah di Kajang terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 11 APRIL: Seramai 870 pemandu teksi dan bas sekolah di kawasan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menerima manfaat bakul makanan menerusi program Bingkisan Mesra Selangor.

Yang dipertuanya berkata sumbangan kepada individu terjejas pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan kali kedua itu meliputi beras 10 kilogram, tepung, gula, susu pekat manis dan minyak masak bernilai RM100.

“Bakul makanan ini bertujuan membantu dan memberi keceriaan kepada pemandu teksi dan bas yang terkesan daripada segi ekonomi sepanjang pandemik Covid-19,” kata Dato’ Zul-kefli@Zulkefli Khalid dalam kenyataan.

Beliau memaklumkan seramai 30 pemandu teksi dan bas sekolah menerima bakul makanan yang diagih secara pandu lalu di perkarangan Stadium Kajang semalam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Dato’ Zul-kefli@Zulkefli Khalid menyerahkan bantuan bakul makanan kepada pemandu teksi di perkarangan Stadium Kajang pada 10 April 2021. Foto Facebook MPKj

Menurutnya, baki penerima akan dihubungi melalui data maklumat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor untuk serahan dalam tempoh dua minggu bermula Isnin ini.

Menerusi Pakej Kita Selangor yang diumum 20 Januari lalu, RM4.35 juta diperuntuk bagi menjayakan Program Bakul Makanan untuk membantu golongan terjejas akibat wabak.

Bantuan itu meliputi pemandu teksi dan bas, petugas barisan hadapan, penyewa projek perumahan rakyat (PPR), warga tani dan pemandu lori KDEB Waste Management.

Bakul makanan antara 20 inisiatif dalam pakej keseluruhan bernilai RM73.9 juta, turut merangkumi pendidikan dan keusahawanan bagi membantu golongan memerlukan termasuk menggerakkan ekonomi.

 

Categories
PBT SELANGOR

MPKj pasang penghadang plastik di Jalan Saujana Impian, elak kemalangan

SHAH ALAM, 18 MAC: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memasang penghadang plastik di atas pembahagi Jalan Saujana Impian, Kajang sementara menunggu status pemilikan laluan tersebut.

Pegawai perhubungan awamnya berkata pemasangan sepanjang 160 meter sebagai langkah jangka pendek susulan aduan pengguna berhubung keadaan keselamatan di jalan terbabit.

“Garisan palang melintang di tapak juga dicat menggunakan ‘hot applied thermoplastic’ bagi memperlahankan kelajuan kenderaan.

Kerja meningkatkan tahap keselamatan di Jalan Saujana Impian, Kajang bagi mengelakkan kemalangan pada 12 Mac 2021. Foto Facebook MPKj

“Justeru, orang ramai dinasihatkan berhati-hati semasa menggunakan laluan tersebut,” kata Kamarul Izlan Sulaiman kepada SelangorKini.

Status pemilikan jalan yang menjadi antara lokasi panas nahas jalan raya belum diputuskan dan sedang dibincangkan bersama Jabatan Kerja Raya serta Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Sebelum ini, penduduk mendakwa jalan itu mempunyai selekoh berbahaya yang boleh mengakibatkan kemalangan namun pihak berkuasa tempatan terbabit tiada kuasa untuk mengubah jajaran laluan tersebut.

Dalam kejadian 8 Mac lalu, sepasang suami isteri meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan van di lokasi terbabit.

Remyzan Baharuddin, 42, dan isterinya, Suzyla Ahmad Dahlan, 40, disahkan maut di lokasi kejadian apabila kereta berlanggar dengan van dari arah bertentangan yang hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan dan memasuki laluan mereka.

Dua anak mangsa, Raiha Syuhaida Remyzan, 13, dan Ra’if Adam Lutfan Remyzan, 7, cedera di kepala dan menerima rawatan di Hospital Kajang.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj lulus 11 permit penjaja, kawal aktiviti niaga di Hulu Langat

SHAH ALAM, 25 FEB: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) meluluskan permohonan 11 permit penjaja sementara di pinggir jalan Batu 18, Hulu Langat bagi mengawal aktiviti perniagaan kawasan pentadbirannya.

Pegawai perhubungan awamnya berkata kelulusan di bawah program Pasca Covid-19 sebagai usaha membantu menjana ekonomi rakyat yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kamarul Izlan Sulaiman menjelaskan sewa bulanan RM150 dikenakan kepada penjaja terbabit meliputi caj kutipan sampah (RM90) dan permit perniagaan (RM60).

“Perkara ini selaras dengan hasrat Kerajaan Selangor untuk memberikan kelulusan kepada permohonan peniaga kecil yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Selaras Undang-Undang Kecil Penjaja 2007 (MPKj), semua jenis perniagaan dijalankan dalam kawasan MPKj perlu dilesenkan atau dipermitkan sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, peniaga di kawasan berkenaan merungut apabila dikenakan bayaran RM150 sebulan.

Ini kerana, kata peniaga keuntungan diperoleh ketika tempoh PKP kurang memuaskan sekali gus jumlah bayaran itu menjadi beban kepada mereka.

Sementara itu, Izlan berkata hampir 20 binaan tanpa kelulusan atas tanah kerajaan termasuk aktiviti perniagaan dikesan beroperasi di kawasan terbabit berdasarkan bancian pada 25 November lalu.

“Justeru, kami (MPKj) mengambil inisiatif mempermitkan aktiviti penjajaan di kawasan itu dengan kadar fi ditetapkan.

“Kita mengambil cakna berkaitan aduan yang dikemukakan dan akan mempertimbangkan cadangan serta penambahbaikan,” katanya lagi.

 

Categories
PBT SELANGOR

MPKj sita tiga lori buang sampah haram bulan ini

SHAH ALAM, 29 JAN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita tiga lori kerana terbabit dalam aktiviti membuang sampah haram sepanjang bulan ini.

Yang dipertuanya berkata jumlah itu berkurang berbanding 15 kenderaan dikenakan tindakan untuk tempoh sama tahun lalu ekoran pelaksanaan operasi statik di pintu masuk tapak sampah berkenaan.

“Dua lori disita ketika membuang sampah di Jalan Kuari Sungai Long, Sungai Serai di mukim Hulu Langat manakala satu lagi di kawasan lain yang tidak dijalankan secara komersial.

“Sebanyak 39 kompaun dikeluarkan atas kesalahan itu mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 4 dan UUK 13(1) Pembuangan, Pemungutan dan Pelupusan Sampah Sarap MPKj 2007,” kata Dato’ Zul-kefli@Zulkefli Khalid dalam kenyataan.

Beliau berkata tindakan itu diambil Unit Alam Sekitar (Gempur), Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan (JPPK) dan gerakan membanteras kegiatan haram itu akan diteruskan MPKj bagi menjamin kualiti hidup masyarakat.

Untuk rekod, pihak berkuasa tempatan itu menyita 101 lori atas kesalahan berkenaan sepanjang tahun lalu.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Bas Smart Selangor MPKj guna sistem ‘Scan to Ride’ bermula Januari 2021

SHAH ALAM, 26 DIS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mula menggunakan sistem ‘Scan to Ride’ bagi kesemua perkhidmatan Bas Smart Selangor bermula 1 Januari ini.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan sistem berkenaan boleh didapati menerusi aplikasi Citizen E-Payment Platform (CEPat) yang boleh dimuat turun melalui Playstore dan AppStore.

“Scan to Ride dilaksanakan di kesemua bas Smart Selangor, untuk menggunakannya, pengguna perlu mengimbas kod QR Smart Selangor pada pintu bas.

“Pengguna bukan warganegara akan dikenakan caj sebanyak 90 sen pada tarikh yang akan diumumkan kelak. Sementara buat rakyat tempatan, perkhidmatan ini masih kekal percuma,” kata MPKj menerusi Facebook.

Tambahnya lagi, pengguna tidak dibenarkan menaiki bas berkenaan sekiranya tidak mengimbas kod QR bermula Januari depan.

Aplikasi ‘Scan to Ride’ membolehkan pengguna membayar tambang melalui kad atau mengimbas kod QR.

Usaha itu selaras hasrat mewujudkan masyarakat Selangor tanpa tunai serta ke arah Negeri Pintar menjelang 2025.

 

 

Categories
PBT SELANGOR

MPKj buka permohonan permit niaga sementara pasca Covid-19

SHAH ALAM, 12 DIS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membuka permohonan permit penjaja sementara pasca Covid-19 kepada penduduk tempatan.

Menerusi kenyataan di Facebook, pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan kelulusan permit akan diberi sehingga 31 Disember tahun depan.

“Lokasi atau tapak perniagaan adalah tertakhluk kepada Pihak Berkuasa Melesen dan satu tapak untuk seorang pemohon sahaja.

“Antara perniagaan dibenarkan ialah menjual makanan dan minuman, barangan kering serta basah juga buah-buahan. Peniaga hanya boleh menggunakan konsep bawa dan pulang sahaja,” kata majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, MPKj memaklumkan terdapat tiga sesi waktu perniagaan dibenarkan iaitu 7 pagi hingga 11 pagi, 12 tengahari hingga 7 malam dan 7 malam hingga 12 malam.

Orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pelesenan dan Penjaja MPKj di talian 03-87377899 sambungan 2504/2511/2011.