Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wanita termuda dilantik ketuai pengurusan komuniti kampung

SABAK BERNAM, 8 MEI: Seorang wanita berumur 28 tahun menjadi individu termuda dilantik menerajui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Selangor.

Nur Farehan Nieza Osman menyifatkan pelantikan sebagai pengerusi MPKK Kampung Parit 16 Binjai Patah, Mukim Sungai Panjang satu pengiktirafan kepada belia wanita.

“Amanah diberikan amat berat terutama ketika mula-mula saya menyandang jawatan, sudah tentu penerimaan masyarakat berbelah bahagi.

“Namun selepas lapan bulan, masyarakat mula menyokong dan bersama-sama menjayakan program MPKK demi manfaat semua,” katanya selepas menerima watikah pelantikan di Dewan Seri Sekinchan semalam.

Borhan Aman Shah (tiga, kanan) menyerahkan watikah pelantikan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada Nur Farehan Nieza Osman ketika Jelajah Ramadan Kita Selangor daerah Sabak Bernam di Dewan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 7 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Seramai 79 individu termasuk enam wanita menerima watikah pelantikan pengerusi MPKK daerah Sabak Bernam yang disempurnakan EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah.

Bagi Pengerusi MPKK Kampung Parit 5/6 Gambut Mukim Panchang Bendena Mas Lina Husein, 40, jawatan itu memberi peluang kepadanya mendekati golongan ibu tunggal.

“Sebelum ini kebanyakan ibu tunggal kurang selesa untuk berinteraksi dengan lelaki, justeru usaha membantu mereka antara matlamat utama saya,” katanya.

Salasiah Sahak, 45, yang juga pengerusi MPKK Kampung Parot 16, Binjai Jaya, Mukim Sungai Panjang pula berharap lebih ramai wanita berpeluang menerajui pimpinan peringkat kampung.

“Pelantikan lebih ramai wanita seiring sasaran 30 peratus penglibatan golongan ini di peringkat kampung,” katanya yang dilantik sejak 2018.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Selangor kaji wujud kampung dalam kampung, licinkan tadbir urus

KUALA LANGAT, 3 JAN: Kerajaan Negeri mengkaji keperluan menstrukturkan semula kampung tradisi yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi di setiap daerah.

EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata penyusunan itu dengan mewujudkan kampung dalam kampung bagi melicinkan tadbir urus pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Borhan Aman Shah menjelaskan kewujudan kampung dalam kampung bakal memudahkan penduduk untuk menjalankan aktiviti setempat.

“Baru-baru ini kita mengadakan sesi dialog di beberapa daerah berhubung perkara ini, jadi saya mahu kenal pasti jumlah penduduk di kampung terbabit. Jika ada keperluan, kita akan wujudkan satu lagi kampung dalam kampung.

“Bagaimanapun, ia perlu diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dikaji sebelum diselidik oleh Pejabat Tanah dan Daerah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Agihan Bakul Makanan kepada penduduk sekitar Seri Jugra di Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seri Jugra di sini semalam.

Mengulas lanjut, ahli dewan negeri Tanjung Sepat berkata penduduk terlalu ramai di sesebuah kawasan menyebabkan pengerusi MPKK sukar mentadbir sesebuah kampung dengan cekap.

Beliau juga bimbang agenda Kerajaan Negeri tidak sampai ke sasaran berikutan keluasan kampung melebihi jangkauan.

“Malah, kita tidak mahu kampung berkenaan berdepan isu kekurangan kemudahan misalnya dengan berkongsi balai raya,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor tanggung penuh elaun ketua kampung tradisi

SHAH ALAM, 14 SEPT: Elaun bulanan ketua kampung tradisi ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri selepas Putrajaya tidak lagi mengiktiraf fungsi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

EXCO Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Rodziah Ismail berkata Kerajaan Negeri sebelum ini membayar elaun berjumlah RM500 manakala baki RM700 dibayar kerajaan pusat.

“Organisasi MPKK diguna pakai secara rasmi sejak 27 Jun 2018 dan Selangor hanya mengiktiraf MPKK sahaja. Kita menolak perubahan nama kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Mesyuarat EXCO bersetuju supaya kita membayar sepenuhnya elaun ketua kampung walaupun langkah ini memberi beban kewangan kepada Kerajaan Negeri,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Kesatuan Penghulu Negeri Selangor di Hotel Concorde hari ini.

Pada 10 Julai, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata MPKK dijenamakan semula sebagai JPKK manakala Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Hanya guna telefon, MPKK Kampung Sungai Kertas tak jangka juara

SHAH ALAM, 6 JUN: Video pendek hasil ciptaan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Kertas yang memaparkan kisah seorang lelaki pengutip barang terpakai menerima tontonan 15,000 sehari, kata pengerusinya.

Jamil Azaman berkata beliau tidak menjangka video yang dirakam hanya menggunakan telefon bimbit itu sekali gus merangkul juara Pertandingan Video Pendek Kampungku Raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di musim Covid-19.

Katanya beliau berharap supaya video berkenaan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya penduduk kampung supaya sentiasa bantu-membantu dan sentiasa berganding bahu tidak mengira taraf.

“Pertandingan anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi memberi peluang kepada MPKK seluruh Selangor lebih kreatif dan berdaya saing.

“Terima kasih kepada yang terlibat dan tidak ketinggalan, terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari selaku Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan yang sentiasa memberi semangat dan dorongan,” katanya kepada SelangorKini.

Kemenangan berkenaan turut meraih perhatian Amirudin selaku ADN Sungai Tua, katanya kejayaan MPKK berkenaan adalah membanggakan.

“Tahniah diucapkan kepada MPKK Kampung Sungai Kertas atas kejayaan yang membanggakan ini. Tahniah juga kepada semua MPKK yang turut menyertai pertandingan Kampungku Raya ini. Syabas,” tulisnya menerusi Facebook.

https://www.facebook.com/kitakansekampung/videos/560853281239555/

Semalam EXCO Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata video Kampung Sungai Kertas menambat perhatian juri selepas video dipaparkan di laman Facebook Kitakan Sekampung mendapat jumlah tontonan lebih 26,000 termasuk 340 tanda suka dan 274 perkongsian.

Ia antara inisiatif baharu diperkenalkan bagi mencungkil kreativiti ahli MPKK sekali gus berpotensi mengetengahkan keunikan sesebuah kampung tradisi di negeri ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

Penceramah tiada tauliah beri kesan buruk – MPKK

KLANG, 5 JUN: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mahu isu penceramah tidak bertauliah menggunakan institusi masjid dan surau di negeri ini bagi menyampaikan ceramah agama berbaur politik diberi perhatian serius.

Biro Pemantapan Spiritual MPKK Bukit Kapar Md Jamaludin Ramlan, 52, berkata ia bagi mengelak timbul perkara meragukan dalam kalangan masyarakat terutama dengan penyebaran pantas maklumat di media sosial masa kini.

“Sebahagian (penceramah) tiada tauliah malah ada yang suka mencampur-aduk isu politik ketika menyampaikan kuliah dan hal ini sepatutnya tidak berlaku di tempat ibadat.

“Walaupun hanya 10 hingga 15 peratus penduduk yang datang ke masjid namun ia tetap memberi kesan buruk apabila menerima maklumat bertentangan dengan matlamat asal Kerajaan Negeri,” katanya pada Penyerahan Bantuan Kewangan Khas (BKK) Aidilfitri kepada Setiausaha dan Ahli Biro MPKK Kampung Tradisi Selangor di Pejabat Daerah Klang di sini semalam.

Md Jamaluddin, salah seorang daripada 408 penerima dari 34 kampung tradisi yang menerima manfaat tersebut melibatkan peruntukan RM122,400.

Beliau berkata bantuan itu sebagai bukti penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasa dan pengorbanan ahli MPKK sepanjang berkhidmat kepada masyarakat setempat.

“Kami terharu dan berterima kasih atas sumbangan ini sekali gus merasakan segala penat lelah selama ini dihargai lebih-lebih lagi ketika musim Aidilfitri disambut dalam suasana norma baharu.

“Tidak dinafikan pelbagai masalah serta cabaran dihadapi untuk menguruskan kampung yang memiliki ramai penduduk tetapi saya selalu mengingatkan kepada ahli jawatankuasa supaya bersabar dan masing-masing memberi komitmen baik,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Program komuniti boleh dilaksana ikut SOP – Rodziah

KLANG, 5 JUN: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) boleh menjalankan program di kawasan masing-masing bersesuaian tatacara operasi piawai (SOP) untuk disertai komuniti setempat, kata EXCO pembangunan luar bandar, desa dan kampung tradisi.

Rodziah Ismail berkata ramai menganggap program tidak dapat dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi ia bukan isu kerana ketua kampung boleh melaksanakannya dengan peruntukan disediakan.

“Banyak program lain yang sesuai boleh dibuat bergantung kepada cara untuk menguruskan bantuan dalam limitasi SOP ditentukan kerajaan dan ketua kampung perlu jadi contoh kerana mereka individu paling dekat dengan penduduk bagi memastikan golongan berkaitan mematuhi SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Penyerahan Bantuan Kewangan Khas (BKK) Aidilfitri kepada Setiausaha dan Ahli Biro MPKK Kampung Tradisi Selangor di Pejabat Daerah Klang di sini semalam.

Seramai 408 penerima dari 34 kampung tradisi menerima manfaat tersebut melibatkan peruntukan RM122,400.

Pada 15 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan khas kewangan RM300 sekali bayar kepada setiausaha dan AJK Biro MPPK di 371 kampung tradisi dengan implikasi kewangan RM1.335 juta.

Categories
EXCO SELANGOR

Bayaran khas ahli majlis komuniti kampung selesai minggu depan

HULU SELANGOR, 3 JUN: Bayaran bantuan khas kewangan RM300 kepada ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan diselesaikan selewat-lewatnya Selasa depan.

EXCO Pembangunan Luar Bandar Rodziah Ismail berkata lima daerah masih belum menerima bantuan tersebut membabitkan 12 orang ahli di setiap kampung tradisi.

“Ini adalah program julung kali. Sebelum ini bantuan hanya diberikan kepada pengerusi, namun kita panjangkan ke ahli MPKK selepas melihat jasa mereka membantu Kerajaan Negeri,” katanya selepas menyerahkan bantuan berkenaan kepada MPKK Hulu Selangor semalam.

Sebelum itu, Rodziah menyerahkan bantuan sama kepada MPKK di 32 kampung tradisi daerah Gombak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Bisnes Amal Pemerbadanan Menteri Besar Mohd Jaafarudin Md Ali Al-Hafiz berkata sumbangan tersebut bakal dijadikan program tahunan.

Pada 15 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan khas kepada setiausaha dan AJK Biro MPPK di 371 kampung tradisi membabitkan implikasi kewangan RM1.335 juta.

Categories
EXCO SELANGOR

MPKK perlu proaktif, sesuaikan norma baharu dalam tugas

GOMBAK, 2 JUN: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diminta proaktif mengendalikan tugas bagi membantu pentadbiran Kerajaan Negeri, kata EXCO pembangunan luar bandar, desa dan kampung tradisi.

Rodziah Ismail berkata pengurusan mereka perlu ditambah nilai dan harus membiasakan diri dengan norma baharu dalam menunaikan tanggungjawab susulan penularan Covid-19 yang banyak mengubah kelaziman berbanding sebelumnya.

“Dalam keadaan sekarang kita kena aktif berdepan masalah rakyat. Jadi individu penuh berkemahiran sama ada ‘soft skills’ atau ‘hard skills’,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan khas kewangan RM300 kepada setiausaha dan AJK Biro Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) daerah Gombak.

Seramai 432 penerima dari 36 kampung tradisi menerima manfaat tersebut melibatkan peruntukan RM129,600.

Pada 15 Mei lalu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan khas kewangan RM300 sekali bayar kepada setiausaha dan AJK Biro MPPK di 371 kampung tradisi membabitkan implikasi kewangan RM1.335 juta.

Categories
EXCO SELANGOR

Pengorbanan MPKK bantu penduduk tangani Covid-19 dihargai

KUALA SELANGOR, 1 JUN: Pengorbanan masa dan nyawa dipertaruhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi membantu masyarakat ketika penularan wabak Covid-19 amat dihargai Kerajaan Negeri, kata EXCO Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi.

Rodziah Ismail berkata ahli jawatankuasa (AJK) MPKK tidak pernah putus asa membantu kerajaan menjaga kebajikan penduduk walaupun berdepan pelbagai risiko ketika negara berdepan wabak itu.

“Rata-rata AJK MPKK ini terdiri dari golongan yang berisiko kerana sudah berusia, tetapi mereka tetap menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Kita terhutang budi dengan jasa mereka dan diharapkan semoga Bantuan Kewangan Khas (BKK) Aidilfitri oleh Kerajaan Selangor dapat menggembirakan mereka,” katanya ketika majlis penyampaian bantuan khas kewangan RM300 kepada setiausaha dan AJK Biro MPKK daerah Kuala Selangor di sini, hari ini.

Majlis di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor itu turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad, ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli dan ADN Permatang, Rozana Zainal Abidin.

Seramai 660 penerima dari 55 kampung tradisi di Kuala Selangor menerima manfaat tersebut melibatkan peruntukan RM19,800.

Pada masa sama Rodziah mengingatkan MPKK yang bertindak sebagai tulang belakang Kerajaan Negeri tidak mencampur adukkan isu politik ketika berkhidmat.

“Sekarang berlaku pergolakan politik dalam negara, tetapi saya berharap supaya MPKK lebih pentingkan untuk jaga rakyat, saya tidak mahu MPKK melakukan perkara tidak baik.

“Kalau boleh jadi ‘gentleman’, jika rasa tidak selesa, lepaskan jawatan dan sekiranya mahu kekal teruskan pikul amanah dengan seikhlas mungkin,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

MPKK guna aplikasi ‘Kita Kan Sekampung’, pertama di Malaysia

PETALING JAYA, 1 JUN: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bakal menggunakan aplikasi khas untuk memudahkan masyarakat membuat aduan dan memberi maklum balas, kata EXCO Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi.

Rodziah Ismail berkata aplikasi ‘Kita Kan Sekampung’ sedang dibangunkan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan setakat ini dalam peringkat akhir percubaan sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

“Aplikasi ini adalah pertama di Malaysia dan kita jangkakan dapat digunakan dalam tempoh terdekat disemua kampung tradisi di Selangor sekaligus meningkatkan keberkesanan komunikasi dua hala.

“Jadi ketua kampung ada aplikasi khas untuk berurusan dengan komuniti, orang kampung dan kepemimpinan peringkat atasan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan bantuan khas kewangan RM300 kepada setiausaha dan AJK Biro MPKK daerah Petaling.

Seramai 228 penerima dari 19 kampung tradisi di Petaling menerima manfaat tersebut melibatkan peruntukan RM68,400.

Pada 15 Mei lalu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan khas kewangan RM300 sekali bayar kepada setiausaha dan AJK Biro MPPK di 371 kampung tradisi membabitkan implikasi kewangan RM1.335 juta.

Mengulas lanjut Rodziah berkata penggunaan aplikasi pintar di peringkat MPPK seiring dengan inisiatif pelaksanaan Negeri Pintar terulung di peringkat serantau.

Categories
SELANGOR

639 pemimpin MPKK sertai kursus induksi pengurusan kampung

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SERI KEMBANGAN, 4 APRIL: Seramai 639 pengerusi dan setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) seluruh Selangor menghadiri Kursus Induksi anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), di Hotel Palace Of The Golden Horses, di sini.

Kursus yang dikendalikan Institut Kemajuan Desa (INFRA) itu diadakan selama dua hari, bermula 3 hingga 4 April lalu.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, program itu bagi memastikan semua ketua kampung cekap menguruskan kampung masing-masing.

“Pelbagai latihan dan modul diberikan dalam kursus ini antaranya berkaitan tanggungjawab dan peranan MPKK, pemantapan sistem profil kampung serta menjalinkan hubungan dengan agensi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Interaksi Pemimpin Bersama MPKK Negeri Selangor 2019, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan melancarkan program Sarang Ekonomi Desa, pada Jun ini.

Rodziah berkata, program itu bertujuan menambah pendapatan penduduk kampung dengan memanfaatkan segala kelebihan yang ada di kampung berkenaan.

“Tahun ini kita akan mulakan projek percubaan dan tahun akan datang kita pilih sekurang-kurangnya lima buah kampung untuk melahirkan 50 usahawan desa,” katanya.