Categories
PBT SELANGOR

Selvax: MPKL bantu peniaga, penjaja kecil daftar vaksin

SHAH ALAM, 6 JULAI: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) membantu peniaga dan penjaja kecil untuk menerima suntikan dos pertama vaksin di bawah Program Vaksin Selangor (Selvax).

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam kenyataan di Facebook mengalu-alukan golongan terbabit yang belum mendapat vaksin untuk tampil mengemukakan maklumat diri sebelum 12 tengah hari esok.

“Kepada semua penjaja dan peniaga kecil (seperti pasar malam, pagi, minggu, tani dan awam serta semua jenis penjaja dan kiosk milik MPKL) yang mempunyai lesen sah, diminta mengemukakan nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor lesen MPKL, nombor telefon, umur dan ID MySejahtera.

“Maklumat itu boleh dikemukakan melalui pautan google form https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSe81EPNWXLD7y96J-XrGM6jH4rclLvSziLViVh7-yVK573Esg/viewform?vc=0&c=0&w=1&flr=0 atau menghantar pesanan ke talian WhatsApp 013-269 5733,” katanya.

Peluang tersebut hanya terbuka kepada mereka yang belum menerima pengesahan janji temu dos pertama vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

Categories
PBT SELANGOR

Dua individu didenda parkir lori tepi jalan, bela anjing tanpa lesen

SHAH ALAM, 8 APRIL: Dua individu di Kuala langat disaman RM1,500 atau sebulan penjara selepas didapati bersalah meletakkan lori di bahu jalan dan membela anjing tanpa kebenaran.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata pesalah pertama iaitu pengusaha syarikat pengangkutan didakwa meletakkan lori melebihi 2 tan metrik di bahu jalan di kawasan Taman Sri Putra, Banting.

“Dia didakwa di bawah Undang-Undang Kecil 7(1), Undang-Undang Kecil Taman (MDKL) 2005.

“Individu kedua pula didakwa di bawah Undang-Undang Kecil 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (MDKL) 2007 iaitu memelihara dan menyimpan anjing tanpa lesen di Taman Yayasan, Jenjarom,” menurut kenyataan di Facebook.

Kedua-dua pendakwaan dilakukan Ketua Pegawai Pendakwa MPKL Tuan Hasrizal Abdul Rahim di hadapan Majistret Mahkamah Telok Datok, Tuan Saifuddin Rafiee hari ini.

Categories
PBT SELANGOR

Dua individu didenda buang perabot tepi jalan, niaga tanpa lesen

SHAH ALAM, 11 MAC: Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting semalam menjatuhkan hukuman denda atau penjara terhadap dua individu yang melakukan kesalahan membuang sampah dan meniaga tanpa lesen.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata individu pertama merupakan tukang masak hotel didenda RM600 atau penjara sehari kerana membuang perabot di kawasan Jalan SP 1, Bandar Saujana Putra.

“Tertuduh didakwa atas kesalahan Undang-Undang Kecil 3(a) Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran (MDKL) 2007,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Tambahnya, individu kedua didenda RM1,500 kerana menjalankan perniagaan rokok elektronik tanpa lesen dari pihak berkuasa tempatan itu di kawasan sama.

“Tertuduh didakwa atas kesalahan Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDKL) 2007,” katanya.

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Tuan Saifuddin Rafiee.

Categories
PBT SELANGOR

PKP: MPKL tutup khidmat bersemuka, jalani operasi dalam talian

SHAH ALAM, 14 JAN: Semua perkhidmatan di bangunan dan pejabat cawangan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) ditutup sehingga 26 Januari susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertua Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata orang ramai yang mempunyai permasalahan, aduan dan urusan boleh menghubungi pegawai di talian 03-31872825 / 2732 / 8957.

“Bayaran lesen, cukai taksiran, kompaun parkir dan sewa boleh dilaksanakan melalui portal http://etaksiran.mdkl.gov.my termasuk perbankan internet seperti Maybank2U, pos online, Cimb Click dan Jompay,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah permohonan projek boleh dilaksanakan dengan e-penyerahan dan e-pemprosesan di http://osc3plus.kpkt.gov.my/.

“MPKL memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi. Sila layari laman sesawang di http://www.mpkl.gov.my untuk mengetahui status perkhidmatan terkini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

MPKL nafi tiada pematuhan SOP di Pasar Awam Banting

SHAH ALAM, 31 DIS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menafikan laporan berhubung tiada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di Pasar Awam Banting susulan perintah penutupan selama 10 hari bermula 29 Disember lalu.

Yang Dipertua Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata pihaknya mengikut sepenuhnya SOP di semua pasar awam kendalian MPKL termasuk Pasar Awam Banting.

“Antara SOP yang dilaksanakan ialah pemeriksaan suhu kepada semua peniaga, pekerja serta pengunjung, penyediaan cecair pembasmi kuman dan kawalan penjarakan sosial.

“Selain itu, seluruh pasar awam MPKL akan disanitasi secara berkala dua kali seminggu dan tiada keperluan untuk disanitasi tiga kali sehari.

Beliau menambah, polis juga memberi bantuan rondaan di semua pasar awam di daerah itu bagi memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan terdapat 25 kes positif Covid-19 di Pasar Awam Banting dan seramai 101 peniaga disaring hari ini.

Pengarahnya Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pasar itu ditutup 10 hari berikutan terdapat individu tidak patuhi SOP seperti tidak menjaga penjarakan, tiada rekod pembasmi kuman tiga kali sehari dan tiada rekod saringan tanda gejala kepada pekerja.

Categories
PBT SELANGOR

Pasar Awam Banting ditutup 10 hari untuk sanitasi

SHAH ALAM, 29 DIS: Pasar Awam Banting ditutup 10 hari berkuat kuasa hari ini hingga 7 Januari depan bagi proses sanitasi, kata Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Yang Dipertua Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata kerja semburan premis diselia pihaknya, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran serta Pejabat Kesihatan Daerah.

“Ia bagi memastikan sanitasi awam dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Saya menyeru orang awam dapat bersabar dan memberi kerjasama sebaiknya,” katanya melalui hebahan di Facebook.

Beliau menjelaskan operasi berkenaan dilakukan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor perkenan Majlis Perbandaran Kuala Langat dimasyhur

BANTING, 9 SEPT: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) secara rasmi dimasyhur sebagai Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bermula hari ini selepas diperkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Detik bersejarah itu berlangsung di Dewan Seri Jugra yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Yang Dipertua MPKL, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

Amirul Azizan berkata usaha naik taraf status daerah kepada perbandaran dimulakan sejak 2007 dan pewartaan perakuan status baharu itu dibuat pada 1 Mac lalu.

“Pada 9 September 2020 sejarah tercipta, Kuala Langat terus menyinar.

“Sesungguhnya kejayaan MPKL mendapat perakuan untuk naik taraf sebagai sebuah majlis perbandaran adalah hasil kerja keras yang memakan tahun untuk direalisasikan bagi meyakinkan pihak Kerajaan Negeri dan seterusnya pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya pada Majlis Pengisytiharan MPKL.

Logo rasmi Majlis Perbandaran Kuala Langat dipamerkan dalam pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Langat di Dewan Seri Jugra, Banting pada 9 September 2020 selepas diperkenankan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau menjelaskan dengan pengisytiharan itu, MPKL turut memperkenalkan slogan baharu iaitu ‘Indah, Harmoni dan Bestari’ selain menggunakan logo yang memaparkan menara Masjid Sultan Alaeddin, Jugra berteraskan warna merah dan kuning.

Tambahnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu komited untuk memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat dengan perkhidmatan yang bersifat segera, tepat dan berkualiti ke arah kesejahteraan rakyat.

“Tahun 2020 menjadi permulaan MPKL untuk melakar kecemerlangan sebagai dekad baharu pelaksanaan dan penyampaian perkhidmatan PBT yang akan memberi penumpuan dan fokus dalam memberikan perkhidmatan perbandaran yang terbaik.

“Kita juga akan merangka serta melaksanakan projek pembangunan yang berimpak tinggi termasuklah untuk kemudahan infrastruktur awam, memajukan kawasan pelancongan dan menjaga warisan sejarah serta alam semula jadi seiring sebagai pembangunan yang mampan dan lestari,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPKL kompaun rumah pekerja dibina tanpa kelulusan

SHAH ALAM, 30 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengkompaun rumah pekerja milik sebuah kilang di Bandar Mahkota yang dibina tanpa kelulusan.

Yang Dipertuanya, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata rumah tersebut menjadi punca bau dan pencemaran air parit yang mengalir ke sungai berhampiran.

“Justeru, kita mengeluarkan dua notis kesalahan mengikut Seksyen 70(13)(c) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 Dan Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan Dan Perindustrian MPKL 2007,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan pihaknya tidak berkompromi berhubung perkara itu dan mana-mana pihak yang didapati membina struktur bangunan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan akan dihadap ke mahkamah.

Operasi pemeriksaan semalam turut melibatkan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat, polis, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Imigresen, Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor.

Categories
PBT SELANGOR

Padah buang sampah secara haram, tukang cat didenda RM1,500

SHAH ALAM, 27 OGOS: Mahkamah Majistret Telok Datok semalam mengenakan denda RM1,500 atau penjara enam hari kepada seorang tukang cat kerana membuang sampah secara haram.

Tertuduh disabit atas kesalahan membuang sampah di bawah Undang-Undang Kecil 3 (a), Undang-Undang Kecil Mencegah kekotoran MDKL 1994 apabila didapati melakukan perbuatan itu di kawasan Jalan Persiaran Mahkota, Bandar Mahkota, Banting.

Yang dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan individu atau mana-mana pihak melakukan kesalahan seperti itu.

“Saya berharap kes ini menjadi pengajaran kepada yang lain, MPKL akan mengambil tindakan perundangan terhadap mereka yang melakukan kesalahan sama pada masa akan datang,” kata Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

Penduduk Kuala Langat yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pembuangan sampah haram boleh menghubungi pihak berkuasa tempatan itu melalui talian 03-3187 2825 atau Sistem Pengurusan Aduan Selangor (SISPAA).

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPKL: 97 permohonan penjaja sementara, 58 dilulus

SHAH ALAM, 21 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menerima 97 permohonan lesen penjaja sementara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Jun lalu.

Yang dipertuanya berkata daripada jumlah itu 58 permohonan diluluskan dan 31 masih dalam proses manakala lapan lagi ditolak.

“Permohonan ditolak disebabkan tidak memenuhi syarat. Kita memberikan panduan supaya mereka membetulkan kesilapan dan permohonan semula boleh dkemukakan.

“MPKL masih memproses semuanya dan mengalu-alukan golongan berpendapatan rendah (B40) yang ingin mendapatkan lesen untuk mendaftar,” kata Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPKL Bilangan 6/2020 di Dewan Kompleks Sukan, Kuala Langat.

Beliau menjelaskan setakat ini terdapat lapan lokasi pusat penjaja sementara dan peniaga memperoleh kelulusan boleh memilih lokasi perniagaan sesuai dengan jarak kediaman mereka.

Minggu lalu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memberikan permit perniagaan sementara kepada 180 peniaga kecil serta penjaja di Bandar Baru Sungai Buloh melalui program penyusunan semula peniaga dan penjaja kawasan berkenaan.

Terbaharu Majlis Perbandaran Kajang juga mengikut langkah MBSA dengan mengeluarkan permit sementara kepada 150 peniaga dan penjaja kecil tidak berlesen.

Categories
PBT SELANGOR

MPKL sita kilang ubah suai struktur tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 3 JULAI: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) semalam menyita sebuah kilang di kawasan perindustrian Bukit Changgang, Kuala Langat kerana menambah struktur bangunan tanpa kebenaran.

Yang Dipertuanya Mohamad Zain A Hamid berkata kilang memproses barangan dari China yang memiliki lebih 10 pekerja juga beroperasi tanpa lesen.

“Tindakan mengikut Akta 133, Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974 dan pemilik diberi arahan lisan supaya tidak cuba memotong tali sita atau berdepan tindakan mahkamah.

“Semua pemilik kilang di daerah ini diingatkan sentiasa mematuhi peraturan dan tidak memikirkan keuntungan semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam operasi berlainan, MPKL menutup tiga premis di sekitar Kampung Bukit Changgang dan Labohan Dagang yang tidak memiliki lesen peniagaan serta dikendalikan warga asing.

“Pelbagai barangan disita sebagai bukti. Sekali lagi diingatkan kita tidak pernah memberi atau mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga asing di daerah ini,” kata Mohamad Zain lagi.

Categories
PBT SELANGOR

Ingkar arahan, MPKL potong bekalan utiliti kilang haram

SHAH ALAM, 1 JULAI: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bertindak memotong bekalan air dan elektrik sebuah kilang haram memproses sisa aluminium berikutan ingkar arahan henti operasi.

Yang Dipertuanya Mohamad Zain A Hamid berkata tindakan pemotongan bekalan utiliti itu dilaksanakan bersama Jabatan Alam Sekitar, polis, Pengurusan Air Selangor dan Tenaga Nasional Berhad.

“Kita mendapati kilang itu melakukan dua kesalahan iaitu mendirikan struktur bangunan besi tanpa kelulusan bertulis dan menjalankan urus niaga tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan.

Bagi kesalahan pertama, beliau berkata premis itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 70 (13) (C) Akta 133, Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974 manakala Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDKL) 2007 (kesalahan kedua).

Katanya, satu notis pemberitahuan UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKL) 2007 (4) juga dikeluarkan.

“MPKL akan sentiasa memantau dan menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan Kuala Langat bebas daripada aktiviti kilang haram.

“Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya pemilik gagal mematuhi peraturan sedia ada. Semua pengusaha kilang diingatkan agar mendapatkan lesen perniagaan terlebih dahulu sebelum menjalankan perusahaan,” katanya.