Categories
PBT SELANGOR

Bayar cukai, kompaun lebih mudah dengan sistem bayaran pintar

SHAH ALAM, 5 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mewujudkan sistem pembayaran pintar mesra pengguna bagi memudahkan urusan penduduk setempat.

Yang dipertuanya berkata sistem dinamakan sebagai iP3KS membolehkan penduduk menyemak dan membayar beberapa jenis perkhidmatan secara dalam talian.

Rahilah Rahmat berkata kemudahan termasuk semakan dan pembayaran cukai taksiran, kompaun, tempahan dewan, permohonan dan pembaharuan lesen serta pembelian dokumen tender.

“Sejajar agenda pendigitalan Kerajaan Negeri, MPKS sebagai salah satu agensi kerajaan mengambil peluang menjadikan platform digital untuk mewujudkan jalinan perkhidmatan yang mesra dan mudah kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan itu turut menggunakan internet berkelajuan tinggi 1 Gigabit sesaat melalui rangkaian Jaringan Gigabit Selangor.

Rahilah menjelaskan inisiatif tersebut akan diteruskan selaras pendigitalan lestari dan mampan mengikut pelan strategik pentadbiran Setiausaha Kerajaan Selangor, MPKS 2021-2025 serta Teknologi Komunikasi Maklumat 2021-2025 yang masih dalam perancangan.

Inisiatif itu sejajar empat teras utama pendigitalan seperti berikut:

1. Pemantapan infrastruktur secara inklusif dan bersepadu

2. Pengukuhan infratruktur pendigitalan stabil dan mampan

3. Pemerkasaan persekitaran pendigitalan pentadbiran negeri

4. Pengukuhan kepakaran dan kepimpinan pendigitalan pentadbiran negeri

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Bukit Malawati, Sky Mirror antara lokasi popular bakal dinaik taraf

SHAH ALAM, 5 SEPT: Projek menaik taraf beberapa pusat pelancongan sekitar Kuala Selangor tersedia dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Malawati, kata yang dipertuanya.

Rahilah Rahmat berkata cadangan penambahbaikan membabitkan Bukit Malawati, Sungai Selangor, Kelip-Kelip, Taman Alam dan Sky Mirror, hasil perbincangan bersama penduduk setempat.

“Kawasan tersebut merupakan lokasi tumpuan utama pelancong dari dalam dan luar negara. Bagi menaik taraf kawasan itu, langkah pertama dibuat dengan menyediakan RKK Bandar Malawati Kuala Selangor.

“Bagaimanapun, jumlah peruntukan yang akan dibelanjakan bergantung kepada kemampuan kewangan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS),” katanya dalam kenyataan.

Beliau memaklumkan Dataran Malawati di Pekan Lama Kuala Selangor dengan reka bentuk universal selesai dinaik taraf bawah rancangan berkenaan untuk kegunaan orang awam khususnya pelancong luar.

Rahilah berkata Unit Pelancongan MPKS juga giat mempromosi produk pelancongan semula jadi melalui media sosial bagi menarik kedatangan orang ramai sebaik pandemik pulih.

Dalam kenyataan sama, beliau menjangka sebanyak 21 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di persimpangan jalan utama dan lokasi tumpuan awam, awal tahun depan.

“Tujuan pemasangan untuk mengesan arus trafik ketika waktu puncak dan data tersebut dapat menganalisis kecekapan tempoh masa lampu isyarat di persimpangan jalan yang terlibat,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Diskaun 40 peratus sewa tapak antara usaha MPKS ringan beban penjaja

SHAH ALAM, 5 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyediakan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban peniaga yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kemudahan meliputi diskaun 40 peratus bayaran sewa tapak penjaja dengan syarat tiada tunggakan selain pengurangan 25 peratus caj sewa tapak pasar pagi dan malam sehingga akhir tahun ini.

Yang Dipertuanya Rahilah Rahmat berkata bayaran ansuran sebanyak dua kali bagi permit parkir turut diberikan kepada pengusaha bengkel, kedai aksesori dan cuci kenderaan.

“MPKS juga memberi pengecualian sewa bagi premis yang tidak dibenarkan beroperasi dan diskaun 30 peratus pengurangan kadar sewa bagi perniagaan makanan dan kilang memproses makanan.

“Selain itu, pengecualian denda lewat turut diberikan kepada semua penyewa premis,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah MPKS menyediakan premis dan ruang niaga yang masih kosong untuk disewakan kepada penjaja kecil termasuk memudahkan kaedah tawaran sewaan.

“Bagaimanapun, setiap permohonan masih perlu melalui proses dan syarat yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Rahilah berkata sebanyak 1,500 bakul makanan diagih kepada penduduk terkesan meliputi kawasan strata dan taman perumahan setakat Ogos.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Naik taraf Santuari Kelip-kelip, agenda MPKS tarik pengunjung

SHAH ALAM, 29 OGOS: Menaik taraf kemudahan di Santuari Kelip-kelip, Kuala Selangor antara agenda pertama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MDKS) selepas bertukar status.

Yang Dipertua Rahilah Rahmat berkata penambahbaikan melibatkan pembinaan dewan baharu serta pontun di jeti bagi menarik kehadiran orang awam.

“Dalam masa sama, tandas dan jeti juga akan dibaik pulih bagi keselesaan pengunjung. Kita juga akan melihat keperluan lain dari semasa ke semasa.

“Ini sebagai persediaan menerima lebih ramai pengunjung susulan penukaran status daerah ini kepada perbandaran,” katanya kepada SelangorKini.

Jelasnya, inisiatif sama juga akan dilaksanakan di beberapa lokasi pelancongan lain yang menjadi perhatian antaranya Sky Mirror dan Bukit Malawati.

“Promosi kawasan pelancongan semula jadi ini berterusan melalui media sosial selain kita jalin kerjasama dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) serta pihak swasta.

“MPKS merancang guna individu berpengaruh bagi mempromosikan tempat-tempat ini pada masa akan datang,” katanya.

Pada 7 Ogos, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memperkenan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dimasyhur sebagai perbandaran.

Upacara pemasyhuran disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari secara maya.

Categories
PBT SELANGOR

MPKS sumbang tujuh kenderaan kepada STDC untuk kegunaan pembelajaran

SHAH ALAM, 23 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyumbang tujuh kenderaan kepada Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) untuk kegunaan pembelajaran.

Tujuh kenderaan itu termasuk lima motosikal, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah van diserahkan pada Khamis lalu.

“Kenderaan itu disumbangkan kepada STDC untuk digunakan oleh pensyarah dan pelajar dalam mempelajari bidang automotif khususnya teori dan praktikal secara langsung.

“Diharapkan pelajar dapat memperoleh pengalaman praktikal sama seperti keadaan sebenar dan dapat meningkatkan keyakinan dalam membaik pulih kenderaan,” maklum MPKS di Facebook.

Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh setiausaha MPKS, Mohamad Yusli Askandar dengan STDC diwakili pengurus pusat bertauliahnya, Norzilawati Md Said.