Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN pertimbang tawaran sertai MPN, jawatankuasa tangani Covid-19

SHAH ALAM, 25 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan mempertimbang tawaran Perdana Menteri baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Majlis Presiden berkata penyertaan itu bukan sekadar tangkap muat atau menjadi “rubber stamp” kepada pandangan kerajaan tetapi dibuat secara ikhlas dalam menangani pandemik dan kemelesetan ekonomi.

Katanya, perkara itu akan diputuskan dalam pertemuan pemimpin utama parti gabungan itu dengan ketua pembangkang dalam masa terdekat selain menjemput mereka menyertai atau bekerjasama dengan PAKATAN.

“Ini selaras dengan ketetapan Pemukiman Kepimpinan PAKATAN di Port Dickson pada April yang menyatakan keterbukaan PAKATAN berunding dan bekerjasama serta menggembleng seluruh tenaga di bawah konsep ‘khemah besar’ demi memantapkan blok pembangkang merangkumi 105 ahli parlimen,” katanya menerusi kenyataan bersama.

Kenyataan dibuat bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Tambahnya, pertemuan itu juga akan membincangkan isu politik semasa serta persiapan menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula 6 September ini.

“Kemungkinan satu sidang khas diadakan lebih awal dari itu untuk membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri serta mengisikan kekosongan timbalan speaker Dewan Rakyat ekoran peletakan jawatan Datuk Seri Azlina Othman Said.”

Ahad lalu, Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Menyeru semua pihak agar meleraikan perebutan kuasa dan menamatkan keresahan rakyat, beliau berkata kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan, termasuklah dengan mewujudkan kerjasama rentas parti.

Categories
SELANGOR

BN Kini Tidak Selamat Di Sabah, Sarawak Dan Johor

SHAH ALAM 29 SEPT : Negeri Sabah, Sarawak dan Johor kini tidak boleh dianggap kubu kuat dan deposit kepada BN lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke -13(PRU13).

Keyakinan itu dilontarkan oleh Pengerusi-pengerusi Majlis Pimpinan Negeri-Negeri (MPN) semasa Rapat Umum PKR dalam sesi Forum: ‘Memecah Ruyung Tradisi BN’ di sini hari ini.

Pengerusi MPN Sabah Ahmad Tamrin Jaini berkata perkembangan terkini beberapa pemimpin BN yang keluar parti itu mengubah landskap politik negeri dan melonjakkan keyakinan rakyat kepada Pakatan Rakyat (PR).

“Ini menunjukkan Umno-BN akan tumbang dalam Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.

Tamrin berkata Sabah akan dijadikan antara penyumbang paling banyak kerusi Parlimen dalam PRU-13 akan datang.

Beliau mengsasarkan sekurang-kurangnya 14 kerusi Parlimen untuk dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

“Kita di Sabah membuktikan orang-orang Sabah mempunyai keberanian untuk menukar kerajaan, ini kali lah,” ujarnya.

Pengerusi MPN PKR Sarawak, Baru Bian berkata pihaknya memulakan gerak kerja untuk PRU-13 selepas berakhirnya pilihan raya negeri April 2011 lepas.

“Kita berkeyakinan sekurang-kurangnya enam kerusi di kawasan bandar manakala sekurangnya tujuh kerusi di luar bandar,” katannya.

Ujar beliau, penerimaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat semakin baik ekoran beberapa perkembangan politik semasa di peringkat negeri dan nasional.

Pengerusi MPN PKR Johor, Datuk Seri Chua Jui Ming berkata mesej reformasi kini sudah mula menyerap ke peringkat akar umbi melalui pelbagai program yang dilaksanakan.

“Sekarang kita mahu kini Umno-BN takut kepada PKR. Kita mahu menang di kubu BN di Johor,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Tawan Selangor : MPN Beri Harapan Palsu kepada Umno-BN

SHAH ALAM 30 JULAI : Hasil kedua-dua kajian yang dibuat oleh Majlis Profesor Negara (MPN) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengatakan bahawa Selangor akan jatuh ke tangan Umno-BN dilihat hanya memberi harapan palsu kepada Umno-BN.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafei berkata setiap hasil kajian dan rumusan itu hanya sebagai ‘info’ umum kepada rakyat.

Katanya, Umno-BN boleh memberi saingan sengit kepada Pakatan Rakyat bagaimanapun mereka mungkin akan kehilangan kuasa untuk memerintah di Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan Perak.

Beliau berkata harapan palsu itu akan membuatkan Umno-BN mengambil serius sehingga lupa pepatah ‘yang dikejar tidak dapat dan yang dikendong berciciran’.

“Apa juga rumusan ia hanya sebagai info umum yang penting kita ada data berkenaan kelebihan dan kekurangan kedua-dua pihak.

“Hanya kami yang lebih mengetahui sama ada mereka (Umno-BN) mampu untuk merampas Selangor atau tidak. Ia satu perkara yang tidak berbaloi kepada MPN dan UKM yang memberikan harapan palsu kepada mereka,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Jelas Shuhaimi, terdapat beberapa perkara yang mungkin terlepas pandang dalam kajian itu antaranya orang yang terlibat dalam kajian itu dan ‘mood’ mengundi.

“Jika dilihat, masa kini Selangor diasak dan diputarbelitkan dalam beberapa isu oleh media arus perdana contohnya isu air dan sampah.

“Kajian itu dilakukan oleh pihak yang memihak kepada Umno-BN jadi ia tidak diiktiraf. Tetapi kalau kajian dibuat daripada badan bebas antaranya Merdeka Center atau badan-badan yang dikawal selia oleh agensi luar mungkin ia berbeza,” katanya.

Justeru, walau apa jua keputusan daripada kajian itu, Pakatan Rakyat sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum-13 akan datang.

“Kita sudah bersedia bukan sahaja dari segi fizikal, mental tetapi juga dari segi persediaan logistik bahan kempen bilik gerakan.

“Kita lakukan tanpa menunggu hasil kajian yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak tetapi berasaskan apa yang dibuat oleh Jawatankuasa Pilihanraya Pusat dan Negeri. Kita tidak perlu mengambil serius perkara itu kerana apa yang penting kita terus memantapkan gerak kerja,” katanya.

Categories
NASIONAL

Mahfuz : MPN Tidak Perlu Tentukan Siapa Jadi PM

 

KUALA LUMPUR 28 JULAI: Kaji selidik yang dijalankan oleh Majlis Profesor Negara (MPN) terhadap kedudukan pemimpin politik dan parti tertentu di negara ini dianggap sebagai tidak perlu.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut tengahari tadi, MPN sepatutnya menumpukan kajian yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat negara ini.

“Apa perlunya dan kenapa MPN perlu kaji siapa bakal Menteri Besar, siapa bakal Perdana Menteri?

“Sepatutnya MPN tumpukan kepada kajian yang lebih manfaat kepada masyarakat negara ini,” kata beliau.

Selain itu, Mahfuz turut memberitahu projek kaji selidik itu dijalankan dengan dibiayai oleh Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Saya juga hairan, kenapa NCER pula yang taja kaji selidik ini, apa agenda mereka sebab sepatutnya mereka tumpukan usaha pembangunan di wilayah utara.

“Adakah untuk membantu populariti ahli politik tertentu?” Kata Mahfuz lagi.

Mahfuz menolak tanggapan bahawa beliau menolak keputusan kaji selidik itu disebabkan ianya tidak menyebelahi Pakatan Rakyat.

“Keputusan kajian itu bercampur-campur sebenarnya, tak menyebelahi Pakatan Rakyat dan tidak juga BN.

“Saya hormati hasil kajian itu dan pada masa sama kita akan terus memperkukuhkan jentera parti,” ujarnya lagi.