KUALA LUMPUR, 28 NOV: Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) mengemukakan aduan rasmi dan menuntut agar Kraft Heinz berhenti menggunakan dakwaan ‘No Palm Oil’ yang bertentangan dengan semangat ikrar Tanggungjawab Bersama Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO).
“Kegagalan untuk menterbalikkan pelanggaran kod tingkah laku anggota RSPO ini akan mengakibatkan pemecatan Kraft dari RSPO,” kata Ketua Eksekutif MPOA, Datuk Mohamad Nageeb Wahab.
Beliau merujuk kepada iklan Kraft baru-baru ini iaitu ‘Kraft Hazelnut Spread: Can’t Handle’.
Dalam konteks ini, MPOA mendapati adalah tidak wajar dan beretika apabila anggota RSPO berulang kali secara sengaja atau tidak sengaja memilih untuk melanggar kod tingkah laku RSPO melalui iklannya baru-baru ini dengan pelabelan ‘tanpa minyak sawit’ tanpa menawarkan pilihan untuk menggunakan minyak sawit yang mampan atau lestari.
“Tindakan dan pendirian Kraft seolah-olah menyindir bahawa objektif bersama semua anggota RSPO, iaitu, untuk mempromosikan pengeluaran dan penggunaan/pengambilan minyak sawit mampan adalah perkara kedua dan mereka tidak berhasrat menyertai objektif bersama untuk mempromosikan minyak sawit yang dihasilkan secara mampan/lestari.
“Penanam (kelapa sawit) menganggap ini sebagai hipokrasi kelas pertama dan jika ini berterusan, kami tidak melihat alasan untuk menjadi anggota RSPO,” kata Mohamad Nageeb.
Beliau berkata RSPO membangunkan satu set kriteria persekitaran dan sosial yang mesti dipatuhi oleh syarikat untuk menghasilkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (CSPO).
“Apabila diguna pakai dengan baik, kriteria ini dapat membantu meminimumkan impak negatif penanaman kelapa sawit terhadap persekitaran dan masyarakat di rantau penghasilan minyak sawit,” katanya.
RSPO mempunyai lebih daripada 4,000 anggota seluruh dunia yang mewakili semua rangkaian di sepanjang rantaian bekalan minyak sawit. Mereka komited untuk menghasilkan, sumber dan/atau menggunakan minyak sawit mampan/lestari yang disahkan oleh RSPO.
-BERNAMA