Categories
AGENSI SELANGOR

SUK Selangor, MBPJ menerima pengiktirafan JPA

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 11 OKT: Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerima pengiktirafan Amalan Terbaik Pengurusan Nilai Perkhidmatan Awam pada Seminar Pengurusan Nilai anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 9 Oktober lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pengiktirafan diberikan kepada kedua-dua badan Kerajaan Negeri itu berdasarkan bukti dan kesungguhan para penjawat awam dalam menghayati budaya integriti dalam perkhidmatan mereka.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan ciri tadbir urus yang baik seiring dengan nilai lain hasil reformasi institusi seperti Akta Kebebasan Maklumat, Dasar Penilaian Perolehan Secara sistem Cut-Off serta Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan Selangor (SELCAT),” katanya.

Menurutnya, diharapkan pengiktirafan ini menjadi pendorong kepada agensi lain untuk turut sama menjunjung prinsip dan nilai kerja berintegriti dalam semua gerak kerja di Selangor.

“Ini bertujuan untuk merealisasikan agenda Selangor Maju Bersama demi maslahah rakyat Negeri Selangor secara keseluruhannya,” katanya.