Categories
AGENSI SELANGOR

Baharui lesen niaga risiko rendah dalam talian mulai hari ini – MPSJ

SUBANG JAYA, 1 OKT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melaksanakan proses pembaharuan lesen perniagaan berisiko rendah serta iklan untuk tahun hadapan secara dalam talian mulai hari ini hingga 31 Disember ini.

Yang dipertuanya berkata kaedah ‘zero kaunter’ itu sejajar amalan norma baharu susulan penularan Covid-19.

“Ini dapat mengurangkan risiko penularan wabak melalui kesesakan pelanggan selain mengelakkan berlaku kontak rapat semasa proses semakan dan pembaharuan.

“Lebih 80 peratus pemegang lesen terdiri daripada lesen berisiko rendah antaranya pengusaha kedai makan, premis perniagaan atau pejabat,” kata Noraini Roslan ketika Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Subang Jaya di sini semalam.

Pembaharuan boleh dilaksanakan melalui laman web http:/www.mpsj.gov.my selain pelanggan perlu mendaftar dengan My@MPSJ terlebih dahulu.

“Pemegang lesen berisiko seperti pengusaha kelab malam tetap perlu memperbaharui lesen di kaunter bersepadu mengikut tatacara operasi piawai (SOP) dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang setiap Isnin hingga Jumaat,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ tutup pasar malam, pagi jika kes Covid-19 meningkat

SUBANG JAYA, 30 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan mengikut langkah Majlis Perbandaran Klang (MPK) menutup bazar, pasar pagi dan malam sekiranya kes Covid-19 kawasan itu meningkat.

Yang Dipertua Noraini Roslan bagaimanapun berkata langkah itu hanya dilakukan selepas mendapat arahan atau nasihat pihak berkuasa.

“Setakat hari ini empat kes aktif dilaporkan. Kita akan terus memantau perkara ini dan mengambil tindakan sesuai bagi mengelakkan penularan wabak dalam masyarakat,” katanya selepas Mesyuarat Penuh MPSJ hari ini.

Semalam, Yang Dipertua MPK Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin memaklumkan beberapa lokasi tumpuan awam ditutup susulan perkembangan semasa kes wabak di daerah berkenaan.

Setakat semalam, tiga daripada 15 kes di negeri ini dicatatkan di Klang. Kluster baharu turut dikesan iaitu kluster Benteng PK membabitkan pendatang tanpa izin dan menjadikan keseluruhan kes meningkat kepada 2,261.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ catat sembilan kes digigit anjing liar tahun ini

SUBANG JAYA, 30 SEPT: Sebanyak sembilan kes gigitan anjing liar dilaporkan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sepanjang tahun ini.

Yang Dipertua Noraini Roslan berkata terbaharu kes berlaku pagi tadi di PSJ 7 dan pihaknya berusaha menangkap haiwan itu bagi memastikan keselamatan awam terjamin.

“Hujung tahun lalu kakitangan MPSJ diberi latihan mengendalikan cara menangkap anjing dari pakar luar negara yang dilantik Kerajaan Selangor.

“Sebanyak 75 peratus latihan itu dapat dikuasai namun cara memindahkan haiwan dari sangkar ke kenderaan agak sukar kerana kita perlu pastikan anjing tidak cedera. Teknik ini akan diperbaiki lagi,” katanya selepas Mesyuarat Penuh MPSJ Jaya hari ini.

Semalam, wanita warga emas berusia 65 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung selepas dikejar anjing liar di simpang empat jalan masuk Kampung Baru Dengkil dan Taman Baiduri Dengkil pada jam 6.30 pagi.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPSJ peruntuk RM1.2 juta naik taraf laluan pejalan kaki OKU, warga emas

SUBANG JAYA, 24 SEPT: Sebanyak RM1.2 juta diperuntuk Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi menaik taraf laluan pejalan kaki khusus untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas.

Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata kerja naik taraf di bawah Program Bandar Bebas Halangan melibatkan kawasan USJ10, SS15, SS16 dan Puchong Prima.

“Projek ini juga dibangunkan hasil dari maklum balas dan sesi pendengaran bersama komuniti supaya laluan bebas halangan memenuhi teras dalam kriteria Bandar Selamat di bawah Pelan Tindakan Khas MPSJ.

“Untuk itu, pusat perniagaan USJ10 dipilih sebagai projek perintis kerana mempunyai kepadatan tinggi selain akses pengangkutan awam yang sistematik serta menjadi tumpuan komuniti setempat,” katanya pada sidang media, hari ini.

Noraini menambah bagi memastikan projek dilaksanakan lebih baik, seramai 30 juruaudit dalam kalangan pegawai MPSJ dilantik.

“Kita mahu Program Bandar Bebas Halangan ini memenuhi spesifikasi ditetapkan berpandukan Malaysia Standart MS 1184: 2014,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ tawar kompaun kesalahan trafik serendah RM10

SHAH ALAM, 18 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menawarkan kompaun serendah RM10 kepada pesalah lalu lintas yang membuat pembayaran dalam tempoh 24 jam selepas dikenakan tindakan.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Azfarizal Abdul Rashid berkata kadar istimewa itu bermula 14 September lalu dan tiada tarikh tutup ditetapkan.

“Kempen ini memberi peluang kepada pesalah trafik menyelesaikan kompaun dikenakan dengan segera pada kadar minimum sekali gus mengelak tunggakan kompaun trafik di peringkat MPSJ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tawaran terpakai kepada semua kesalahan lalu lintas di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu kecuali kunci tayar, tunda, kesalahan di bawah Perintah 2, Perintah Pengangkutan Jalan (Larangan Pemanduan Kenderaan Berat) MPSJ 2012 melebihi 10 tan dan kenderaan buruk.

Pesalah trafik boleh membuat semakan dan bayaran secara dalam talian di laman sesawang rasmi www.mpsj.gov.my termasuk melalui:

1. Mesin pembayaran kiosk
– Ibu Pejabat MPSJ (USJ 5, Subang Jaya)
– Pejabat Cawangan Puchong (Pusat Bandar Puteri)

2. Kaunter pandu lalu
– Ibu Pejabat MPSJ (USJ 5, Subang Jaya)

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kos jimat urus sampah di Subang Jaya cecah RM2 juta

SUBANG JAYA, 23 OGOS: Kos penjimatan pengurusan sampah dan sisa pepejal di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mencecah RM2 juta sepanjang tahun lalu, kata ahli dewan negerinya.

Michelle Ng Mei Sze berkata prestasi itu didorong amalan pengasingan sisa buangan dan kitar semula yang diterapkan dalam kalangan masyarakat.

“MPSJ berjaya mengumpul lebih 55,000 tan sampah tahun lalu dengan setiap tan (sampah) bernilai RM36.

“Sekiranya ada penjimatan, maka (peruntukan) boleh digunakan untuk perkara lain misalnya menaik taraf infrastruktur dan menjalankan program pembangunan komuniti,” katanya pelancaran program At-Source Recycling fasa pertama di Padang USJ 5 semalam.

Beliau juga menggesa masyarakat supaya sentiasa memberi kerjasama dalam menjayakan setiap program membabitkan kebersihan alam sekitar khususnya kitar semula.

“Persatuan penduduk juga perlu berperanan menyalurkan maklumat kepada komuniti kawasan mereka berkaitan kepentingan memelihara alam sekitar melalui amalan kitar semula,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Kamera badan lindungi penguat kuasa, pastikan tadbir urus cekap

OLEH IDA NADIRAH IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 OGOS: Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) mula melengkapkan anggotanya dengan kamera badan bagi memastikan kecekapan dan ketelusan tadbir urus.

Timbalan pengarah Jabatan Pengurusan Korporat dan Strategik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berkata alat tersebut dipakai setiap hari atau ketika operasi khas, lapor Selangor Journal.

“Ini sebahagian tindakan proaktif kami memantau tingkah laku anggota ketika berada di lapangan, yang juga rujukan atau bukti jika berlaku kejadian tidak diingini,” kata Azfarizal Abdul Rashid, sambil menambah tiada kes dilapor setakat 23 Julai lalu.

Katanya, enam daripada 12 unit kamera tersebut kini digunakan Jabatan Penguatkuasaan.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Norhayati Ahmad berkata anggotanya menggunakan peranti berkenaan sejak Julai tahun lalu.

Jelasnya, kesemua 10 unit kamera yang memiliki daya tahan bateri lapan jam menggunakan sistem pengawasan mudah alih keselamatan IAC (integriti, ketersediaan dan kerahsiaan)

“Alatan ini memiliki kualiti video 32GB dalam definisi tinggi dan mampu menangkap visual malam serta suara untuk keselamatan anggota jika berlaku serangan fizikal atau perbalahan.

“Ini juga untuk meningkatkan integriti, kecekapan dan ketelusan ketika berurusan dengan rakyat,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memberi tempoh sehingga hujung tahun kepada semua PBT untuk melengkapkan anggota mereka dengan kamera badan.

Selain MPSJ dan MPAJ, Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga sudah menggunakan peranti tersebut.

Categories
PBT SELANGOR

Pusat aktiviti komuniti MPSJ bantu penduduk mahir menjahit, memasak

SUBANG JAYA, 11 OGOS: Pusat Aktiviti Komuniti Berdaya (PAKB) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang dilancar awal tahun lalu berjaya menghasilkan 2,600 set kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) sejak Mac.

Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MPSJ, Rubaizah Mohamed Noh berkata ia hasil kerja 14 sukarelawan terdiri dari kakitangan majlis dan peserta latihan jahitan.

“Ketika wabak Covid-19 melanda negara kita ambil inisiatif menyediakan keperluan petugas barisan hadapan memandangkan PKAB mempunyai kemahiran menjahit.

“Ini membuktikan usaha membangunkan PKAB berkesan,” katanya selepas majlis perasmian pusat komuniti itu yang disempurnakan EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, V Ganabatirau hari ini.

PAKB dijalankan di Kompleks 3C MPSJ bertujuan melatih golongan berpendapatan rendah (B40), orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal atau peniaga industri kecil sederhana dalam bidang masakan serta jahitan sebelum bergelar usahawan.

Rubaizah berkata melalui program itu individu sekitar Subang Jaya ditawarkan latihan kursus bagi membantu mereka mendapat kemahiran.

“Peserta akan menjalani beberapa fasa pembelajaran antaranya sesi taklimat serta amalan praktikal. Latihan setiap hujung minggu dengan had 20 individu. Kebanyakan penduduk sekitar kawasan ini,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

MPSJ: Kibar bendera di premis atau rumah, menang cabutan bertuah

SHAH ALAM, 8 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyediakan pelbagai hadiah menarik jika orang ramai memasang Jalur Gemilang di premis bangunan atau kediaman masing-masing.

Agensi itu melalui hebahan berkata antara hadiah ditawarkan ialah peti sejuk, basikal, mesin basuh, televisyen, telefon bimbit, jam tangan serta alat kelengkapan dapur.

“Untuk memenangi hadiah menarik ini, peserta hanya perlu mengibarkan Jalur Gemilang di premis atau kediaman masing-masing sehingga 16 September ini, kemudian ikuti laman rasmi MPSJ termasuk Facebook dan Twitter.

“Seterusnya, muat naik gambar anda di media sosial masing-masing dan ‘tag’ pada media sosial MPSJ dengan #jomkibarmpsj2020, #mpsjvibrantcity dan #malaysiaprihatin,” katanya.

Tambahnya, kempen “Jom Kibar, Terima Kasih Malaysia” bermula 1 Ogos lalu hingga 16 September sempena sambutan kemerdekaan kali ke-63.

Kriteria dan maklumat lanjut penyertaan boleh dilayari di laman web www.mpsj.gov.my atau hubungi talian 03-80264462 atau 03-80264462.

Categories
SELANGOR

MPSJ nafi anggotanya bertengkar dengan peniaga tepi jalan

SHAH ALAM, 17 JULAI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menafikan penglibatan anggotanya dalam video tular pertengkaran dengan seorang penjual jagung yang berniaga di tepi jalan.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya, Azfarizal Abdul Rashid berkata insiden itu tidak berlaku di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

“MPSJ ingin merujuk kepada video yang tular di medium media sosial Facebook bertajuk ‘gangster MPSJ kerajaan Selangor nak buat apa ni…’ yang memaparkan anggota PBT Selangor sedang melaksanakan tugas penguatkuasaan di lapangan.

“Insiden tersebut tidak berlaku di bawah kawasan pentadbiran MPSJ serta tidak melibatkan mana-mana kakitangan di organisasi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu tular rakaman menunjukkan seorang penguat kuasa majlis perbandaran itu bertengkar dengan seorang lelaki di tepi jalan sambil disaksikan beberapa anggota lain.

Azfarizal menyeru pemilik akaun media sosial dan orang ramai tidak menyebarkan berita tidak sahih dan berkata individu terbabit boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah.

“MPSJ turut mengingatkan kepada orang awam supaya menggunakan saluran yang betul untuk mengemukakan sebarang bantahan serta tidak menghalang tugasan dilaksanakan oleh penjawat awam di lapangan,” tegasnya.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Status Subang Jaya jadi bandar raya mulai 20 Oktober

SHAH ALAM, 25 JUN: Status Subang Jaya daripada perbandaran kepada bandar raya berkuatkuasa mulai 20 Oktober depan apabila mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkata pihak berkuasa tempatan itu menduduki taraf perbandaran selama 22 tahun sejak 1997.

“Syukur MPSJ mendapat perkenan Sultan Selangor dan tarikh pengisytiharan serta penguatkuasaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) adalah pada 20 Oktober 2020,” katanya ketika Mesyuarat Penuh MPSJ semalam.

Pada November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan MPSJ berjaya menukar status kepada MBSJ melalui surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 31 Oktober 2019.

Selain itu Kuala Langat turut dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Setakat ini Selangor mempunyai dua majlis bandar raya iaitu Shah Alam dan Petaling Jaya serta tujuh majlis perbandaran (Subang Jaya, Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang, Sepang dan Kuala Langat).

Majlis daerah pula Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Pasar MPSJ mula operasi, niaga ikut giliran

SHAH ALAM, 15 JUN: Pasar pagi dan malam di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) beroperasi hari ini secara berperingkat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata peniaga pasar pagi dipecahkan kepada dua kumpulan dengan giliran hari iaitu A pada Selasa, Khamis dan Sabtu manakala B pada Rabu, Jumaat dan Ahad.

“Bagi pasar malam, penggiliran dibuat secara mingguan iaitu kumpulan A pada minggu pertama, ketiga dan selang minggu seterusnya manakala kumpulan B pada minggu kedua, keempat dan selang minggu seterusnya sahaja.

“Waktu operasi bagi pasar malam ialah dari 4 petang hingga 10 malam manakala 6 hingga 11 pagi untuk pasar pagi dengan peniaga perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Noraini turut mengingatkan peniaga berhubung larangan mengupah warga asing sebagai pembantu kerana ia melanggar syarat lesen dan arahan Kerajaan Negeri.

Bagi pelanggan pula, beliau berkata mereka wajib membuat saringan suhu badan, memakai pelitup muka dan mendaftar aplikasi SELangkah atau menulis maklumat diri.

“Hanya dua orang bagi satu keluarga sahaja dibenarkan masuk ke kawasan perniagaan,” katanya.

Berikut jadual pembukaan pasar pagi MPSJ:
– Pasar Pagi Bandar Puchong Jaya (16 Jun)
– Pasar Pagi PJS7 (16 Jun)
– Pasar Pagi USJ 6 (16 Jun)
– Pasar Pagi Taman Damai Utama (17 Jun)
– Pasar Pagi USJ 10 (21 Jun)
– Pasar Pagi Taman Kinrara, Seksyen 3 (22 Jun)
– Pasar Pagi Taman Kinrara, Seksyen 1 (28 Jun)
– Pasar Pagi Muhibbah (21 Jun)
– Pasar Pagi Taman Wawasan (23 Jun)
– Pasar Pagi Batu 14 Puchong (25 Jun)
– Pasar Pagi Taman Puchong Indah (27 Jun)
– Pasar Pagi Taman Universiti Indah (17 Jun)
– Pasar Pagi Taman Sungai Besi Indah (19 Jun)
– Pasar Pagi Borneo (20 Jun)

Berikut jadual pembukaan pasar malam MPSJ:
– Pasar Malam Angsana USJ 1 (16 Jun)
– Pasar Malam Taman Batu 3 (17 Jun)
– Pasar Malam USJ 1, Regalia (18 Jun)
– Pasar Malam SS13 (23 Jun)
– Pasar Malam Taman Perindustrian Kinrara (28 Jun)
– Pasar Malam Taman Bukit Kuchai (3 Julai)
– Pasar Malam Taman Puchong Utama (16 Jun)
– Pasar Malam Putra Heights (19 Jun)
– Pasar Malam Taman Puchong Prima (20 Jun)
– Pasar Malam Taman Puchong Indah (22 Jun)
– Pasar Malam Taman Saujana Puchong (24 Jun)
– Pasar Malam Puchong Batu 14 (27 Jun)
– Pasar Malam Putra Heights (1 Julai)
– Pasar Malam Perindustrian Bukit Serdang (15 Jun)
– Pasar Malam Pusat Perdagangan Seri Kembangan (6 Julai)
– Pasar Malam Serdang Raya (4 Julai)
– Pasar Malam Taman Lestari Perdana (25 Jun)
– Pasar Malam Taman Puncak Jalil (19 Jun)
– Pasar Malam Taman Seri Serdang (26 Jun)
– Pasar Malam Taman Pinggiran Putra (17 Jun)
– Pasar Malam Taman Universiti Indah (23 Jun)