Categories
NASIONAL

Tangani segera isu pelajar hisap vape

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Isu penggunaan ‘vape’ dalam kalangan pelajar sekolah semakin membimbangkan apabila murid sekolah rendah juga kini dilapor mula berjinak-jinak menggunakan peranti rokok elektronik itu secara terbuka.

Foto seorang pelajar perempuan yang masih dalam pakaian sekolah sedang menghisap vape di sebuah perhentian bas yang tular di media sosial baru-baru ini, termasuk dakwaan vape diedar secara percuma kepada golongan pelajar oleh pihak tidak bertanggungjawab mencetus kegusaran masyarakat.

Mengulas isu itu, Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Datuk Sabuddin Sani mengakui walaupun gejala itu masih pada skala terkawal, namun tindakan proaktif perlu diambil segera oleh semua pihak terutama ibu bapa untuk menangani isu berkenaan.

“Anak-anak keliru dengan apa yang diajar dan apa yang mereka lihat kerana di sekolah cikgu mengajar bahawa rokok itu membahayakan kesihatan, tetapi di rumah, ayah sendiri yang menghisap rokok secara tidak langsung ibu bapa menunjukkan contoh yang tidak baik.

“Kelonggaran dari sistem keluarga itu antara puncanya, jadi ibu bapa haruslah menjadi suri teladan dan bukan hanya menyalahkan anak-anak apabila mereka mula terjebak dengan perkara negatif sebegini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Seorang bapa yang mahu dikenali sebagai Azman turut berkongsi kegusarannya apabila pernah ditanya oleh anaknya untuk memiliki peranti berkenaan.

“Budak-budak ingatkan vape itu ialah gajet permainan terbaharu, malah saya terkejut apabila baru-baru ini anak lelaki saya yang berusia 13 tahun turut meminta izin untuk memilikinya… menurut beliau, ada rakan-rakannya mula mengumpul duit selama tiga bulan untuk membeli vape yang berharga RM80.

“Jadi tugas ibu bapa adalah untuk sentiasa menegur perbuatan mereka dan pastikan anak-anak mereka tidak bergaul dengan orang yang salah,” kata Azman.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata pihak pengurusan sekolah perlu terus menjadikan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 17 Tahun 2015 sebagai garis panduan untuk menangani masalah-masalah disiplin berat seperti penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah.

“Mengikut surat siaran itu, menghisap vape dikategorikan sebagai salah satu kesalahan disiplin berat dan hukuman bagi kali pertama, pelajar yang terbabit akan diberi kaunseling dahulu, bagi kesalahan kali kedua, mereka boleh digantung sekolah tidak melebihi 14 hari.

“KPM sendiri mengambil langkah dari awal lagi dan saya percaya sekiranya semua pihak bekerjasama maka kita dapat mengatasi isu ini dari terus merebak dan menjadi wabak di masa akan datang,” katanya.

Selain KPM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diketuai Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye turut mengambil inisiatif menubuhkan satu Jawatankuasa Khas pada 27 Jun lalu bagi mengawal penggunaan rokok elektronik dan vape, yang juga memberi fokus kepada usaha menangani penjualan alat tersebut kepada pelajar sekolah.

Katanya, jawatankuasa itu akan menjalankan tugasnya secepat mungkin dan merangka rang undang-undang baharu bagi mengawal penggunaan rokok elektronik dan vape yang dijangka dibentangkan akhir tahun ini atau tahun hadapan.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Harga Makanan Mahal Tidak Berkualiti : Ibu Bapa Tuntut Penyelesaian Kementerian Pelajaran

Harga Makanan Mahal Tidak Berkualiti 01

PETALING JAYA, 15 JAN: Ibu bapa dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menuntut Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menyelesaikan isu harga jualan makanan dan minuman di kantin sekolah yang disifatkan mahal dakwa, Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Sahri.

Selain itu, mutu kualiti makanan yang rendah turut menjadi rungutan ibu bapa.

Yahya berkata, harga makanan dan minuman di semua kantin sekolah perlu diselaraskan dengan kualiti yang standard.

Keadaan ini sekaligus dapat memastikan keselesaan pelajar dan meredakan tekanan yang dihadapi ibu bapa.

“Sebagai contoh, beberapa sekolah menjual seketul nugget goreng dengan harga RM0.50 sedangkan di pasar malam boleh didapati pada harga RM1.00 untuk empat atau tiga ketul.

“Segelas air pelbagai perisa yang dibancuh pula dijual dengan harga RM1.00.

“Bila ibu bapa ajukan soalan kepada peniaga kantin mereka menyatakan apa nak buat semua harga barang dah naik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Tegas Yahya, perkara ini dapat diselesaikan sekiranya pihak kementerian yang terlibat serta pihak sekolah berbincang secara baik memandangkan perkara ini melibatkan perbelanjaan ibu bapa dalam menguruskan sesi persekolahan anak-anak.

“Bagi mengurangkan kos peniaga, kos sewa kantin boleh dibayar dengan harga cukup minima, kos bil elektrik dan air boleh ditanggung oleh Kemeterian Pelajaran,” ujarnya lagi.

Turut dibangkitkan bersama adalah isu pembelian buku latihan persekolahan bersaiz besar A4 yang wajib dibeli pelajar sedangkan buku tulis rampaian digunakan bagi menyalin nota dan latihan.

Beberapa wakil PIBG menyatakan bahawa pembelian wajib empat buah buku berkenaan dengan harga RM2.40 setiap satu semata-mata demi mencari keuntungan kerana pembekal, Edaran Pro Dinasti didakwa mempunyai hubungan baik kepada Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM).

Penjualan buku ini juga turut mendapat keizinan dan lampu hijau daripada JPN dan KPM.

“Mengikut maklumat yang kami terima, penjualan buku ini melibatkan semua sekolah menengah di seluruh Malaysia dan sebagaian sekolah rendah.

“Mereka memberi anggaran kiraan setiap tahun bilangan pelajar sekolah menengah lebih 2.3 juta, maka anggaran jualan buku yang diterima adalah berjumlah RM19.2 juta dengan anggaran kiraan 2 juta pelajar x RM9.60 (4xRM2.40),” katanya.