Categories
SELANGOR

Tiga stesen MRT laluan Kajang ditutup sementara

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Tiga stesen Transit Aliran Massa (MRT) akan ditutup sementara bermula Sabtu ini, bagi membolehkan stesen tersebut dimigrasi menjadi sebahagian daripada MRT Laluan Putrajaya.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana Malaysia Berhad Datin Norlia Noah berkata Stesen MRT Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sungai Buloh, akan ditutup sementara sehingga pelancaran MRT laluan Putrajaya Fasa Satu pada akhir bulan depan.

“Semua tren MRT dari Kajang akan berhenti di Stesen MRT Kwasa Sentral.

“Bagi penumpang yang ingin meneruskan perjalanan, bas pengantara (shuttle) percuma akan disediakan di antara Stesen MRT Kwasa Sentral dan Stesen MRT Sungai Buloh,” katanya pada sesi taklimat bersama media berhubung penutupan itu dekat sini hari ini.

Norlia berkata bas pengantara akan beroperasi waktu yang sama dengan perkhidmatan MRT dengan kekerapan 10 minit pada pukul 6 pagi hingga 8 malam dan 15 minit pada 8 malam hingga 12 tengah malam.

Bagaimanapun beliau berkata, Stesen KTM Sungai Buloh serta kemudahan ‘park and ride’ di sebelah Stesen MRT Sungai Buloh, akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh tersebut.

Sementara itu Pengarah Projek Laluan Putrajaya MRT Corp Datuk Amiruddin Ma’aris berkata penutupan sementara perlu dilaksanakan, untuk membolehkan migrasi terakhir sistem operasi penting seperti komunikasi dan semboyan, daripada laluan Kajang dan Putrajaya.

“Tempoh ini juga akan digunakan Rapid Rail sebagai pengendali MRT Laluan Putrajaya untuk membiasakan diri dengan laluan yang dimigrasi,” jelasnya.

MRT laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) bagi Fasa Satu melibatkan 12 stesen dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu dan dijangka dilancarkan pada hujung bulan depan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jawatankuasa siasatan nahas LRT tidak sorok maklumat, hasil siasatan

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jawatankuasa MOT yang menyiasat mengenai insiden perlanggaran Transit Aliran Ringan (LRT) pada 24 Mei lepas, tidak pernah menyatakan tiada pihak yang boleh dipersalahkan kerana menyebabkan kejadian itu berlaku.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tiada apa yang hendak disembunyikan berhubung siasatan insiden berkenaan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Jawatankuasa Siasatan ini adalah jawatankuasa yang ditugaskan untuk menjalankan siasatan, bukannya badan kehakiman. Oleh itu, jawatankuasa ini tiada kuasa untuk menentukan kesalahan ke atas mana-mana pihak.

“Sebarang tindakan dalaman/pentadbiran yang hendak diambil terhadap kakitangan yang terlibat dalam insiden ini, hendaklah berlandaskan kepada terma dan syarat yang telah diperuntukkan di dalam kontrak kerja yang ditandatangani oleh mereka dengan pihak Prasarana masing-masing,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya.

Beliau menjelaskan ungkapan “Tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti terhadap mana-mana pihak” yang menurutnya bukan bermaksud tiada yang bersalah.

Pada 10 Jun, Wee dilaporkan berkata masalah teknikal dan kegagalan komunikasi antara Pusat Kawalan Operasi (OCC) dengan pemandu (hostler), adalah antara punca berlakunya pelanggaran tren LRT laluan Kelana Jaya, 24 Mei lepas.

Dalam kejadian 24 Mei lepas, seramai 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan, apabila sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Wee berkata, dalam menentukan suatu dapatan salah dan tanggungan, proses perundangan sewajarnya perlu dilaksanakan, demi memastikan bahawa prinsip keadilan sejagat turut diberikan kepada mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian pelanggaran LRT terbabit.

Katanya, Jawatankuasa Siasatan bukannya ditubuhkan untuk menjatuhkan hukuman, dan MOT tiada kuasa untuk menghakimi apa jua kes.

“Ketika saya mengarahkan pembentukan Jawatankuasa Siasatan untuk memeriksa secara terperinci pelanggaran LRT ini, segala rujukan dapatan jawatankuasa itu juga haruslah dijelaskan dalam mencapai misinya. Kami ingin mengelakkan perkara seperti ini berulang pada masa akan datang,” katanya.

Wee berkata peranan jawatankuasa itu adalah untuk menentukan faktor dan sebab berlakunya kejadian berkenaan, yang merupakan fungsi utama penubuhan Jawatankuasa Siasatan untuk dilaksanakan dan menyelesaikannya dalam tempoh yang ditentukan.

Siasatan dilakukan berdasarkan fakta dan analisa data yang diperoleh dan, atau diberikan kepada jawatankuasa berkenaan secara profesional dengan keutamaannya adalah memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Saya juga secara peribadi telah mengunjungi dan menghubungi mangsa-mangsa yang cedera. Kami memandang serius terhadap apa yang menimpa mereka.

“Seperti yang telah saya maklumkan dalam sidang media pada 10 Jun, sebanyak 23 cadangan dibentang dan diterima oleh Kabinet adalah untuk membawa perubahan menyeluruh berhubung prosedur keselamatan dan operasi Rapid Rail Sdn Bhd serta Prasarana Malaysia Berhad, dan akan dilaksanakan dalam jangka masa yang dikemukakan,” katanya.

Pada 10 Jun, Wee dilaporkan berkata cadangan penambahbaikan disarankan oleh Jawatankuasa Siasatan itu melibatkan lima cadangan yang perlu dilakukan dalam masa tiga bulan, 11 cadangan dalam masa antara tiga dan enam bulan, dan tujuh penambahbaikan dalam masa lebih dari enam bulan.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penumpang MRT pada 27 Mei disaran buat saringan Covid-19

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Para penumpang yang menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang pada petang 27 Mei lepas, disaran untuk menjalani ujian saringan Covid-19 susulan seorang penumpang disahkan positif Covid-19.

Prasarana dalam satu kenyataan hari ini memberitahu saranan Rapid KL itu dikeluarkan susulan permohonan maaf dan pengakuan penumpang tren berkenaan bernama Hanim Azman menerusi akaun Twitternya bahawa beliau positif Covid-19 ketika menaiki tren MRT pada waktu itu.

“Sesiapa yang menaiki MRT dari stesen Bukit Bintang ke Kajang pada 27 Mei (6.40 petang) dan KTM (Komuter) dari Kajang ke Seremban (7.26 malam), jika anda mengalami gejala Covid-19, diminta membuat ujian saringan segera kerana ujian calitan saya adalah positif. Saya mohon maaf,” kata wanita itu dalam akaun Twitternya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua positif Covid-19, penumpang LRT dan MRT disaran buat saringan

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Penumpang yang menaiki tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang dari Wangsa Maju pada waktu puncak pagi semalam disaran membuat saringan kesihatan jika terdapat gejala berkaitan Covid-19.

Pengendali perkhidmatan LRT, MRT dan monorel Rapid KL iaitu Rapid Rail Sdn Bhd menerusi kenyataan hari ini turut menyarankan saringan kesihatan kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan LRT dari Taman Melati dan KLCC pada waktu puncak pagi, sehari sebelum itu.

“Saranan itu dikeluarkan berikutan mesej di media sosial oleh dua penumpang yang menggunakan laluan tersebut, menyatakan mereka didapati positif Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Menerusi hantaran di akaun Twitter @claudianuriman, beliau menaiki tren LRT Wangsa Maju ke Pasar Seni dan seterusnya menyambung perjalanan menggunakan perkhidmatan MRT ke Stesen Semantan antara 7.30 pagi dan 8.30 pagi semalam.

Pemilik akaun Twitter Nurul Aisyah @asyxxi pula memberitahu beliau diuji positif Covid-19 dan menasihati penumpang yang menaiki tren LRT dari Taman Melati ke KLCC antara 8 pagi dan 9 pagi dua hari lepas agar segera menjalani ujian saringan.

“Rapid KL mengalu-alukan sikap terbuka kedua-dua penumpang berkenaan dan menasihati penumpang untuk sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika menggunakan perkhidmatan tren khususnya pemakaian pelitup muka dengan betul.

“Jika boleh, gunakan pelitup muka berganda untuk menjaga kesihatan masing-masing, di samping sentiasa berhemah ketika menaiki tren bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 seperti kurangkan bercakap, elakkan bersentuhan walaupun sesama rakan dan anggota keluarga serta jaga penjarakan fizikal,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan semua tren Rapid KL disanitasi setiap malam untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang serta menasihati penumpang yang bergejala mengelakkan penggunaan perkhidmatan tren demi kepentingan penumpang lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Kekerapan tren, bas di Lembah Klang dikurangkan – Prasarana

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Kekerapan perkhidmatan tren LRT, MRT dan monorel akan dikurangkan mulai esok sehingga arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan ke atas Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berakhir.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Malaysia (Prasarana) Datin Norlia Noah berkata pihaknya mendapat kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan untuk mengimbangi kekerapan tren berdasarkan permintaan ekoran penurunan besar aliran penumpang akibat PKPB.

“Perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel ini bagaimanapun akan beroperasi mengikut masa yang sama daripada pukul 6 pagi hingga tengah malam. Hanya kekerapan berubah mengikut masa dan permintaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya kekerapan tren untuk perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, LRT Laluan Kelana Jaya, Laluan Monorel dan MRT Laluan Kajang kini adalah mengikut kekerapan masa antara 2.8 dan 9.9 minit, bergantung pada waktu puncaknya.

“Kekerapan yang ditetapkan ini bagaimanapun, adalah sekadar panduan. Operasi tren di semua laluan dipantau rapi Pusat Kawalan Operasi, yang diberi kuasa untuk menambah tren sekiranya diperlukan kerana peningkatan dalam permintaan pada masa-masa tertentu,” katanya.

Pada masa sama, Norlia memaklumkan kekerapan bagi perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara Jom Naik MRT turut dikurangkan mulai esok kerana permintaan yang menurun dengan banyak dalam tempoh PKPB ini, termasuk pada waktu puncak.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Jumlah penumpang pengangkutan awam menurun

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Perkhidmatan pengangkutan awam di ibu kota mencatatkan penurunan jumlah penumpang harian lebih 30 peratus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang bermula Selasa.

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata jumlah itu melibatkan perkhidmatan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan bas di bawah seliaanya.

Jumlah penumpang harian perkhidmatan rel sebelum PKPB yang dianggarkan mencecah 800,000 sehari kini menurun kepada lebih 500,000 penumpang manakala bas menurun kepada sekitar 200,000 penumpang sehari.

“Situasi ini dipengaruhi budaya bekerja dari rumah yang dilaksanakan ketika PKPB ini, dan kami percaya ia adalah untuk sementara waktu sahaja.

“Walaupun dalam situasi PKPB, Prasarana akan memastikan perkhidmatan pengangkutan awam ini akan beroperasi pada kekerapan normal terutama pada waktu puncak bagi kemudahan orang ramai,” katanya.

Tajuddin berkata demikian kepada pemberita hari ini selepas meluangkan masa lebih sejam meninjau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan penumpang dan pekerja ketika menaiki pengangkutan awam. Tinjauan itu bermula dari stesen MRT Pusat Bandar Damansara hingga stesen LRT Masjid Jamek.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memastikan kebersihan kenderaan dan stesen termasuk pemegang tangan, eskalator, lif dan mesin tiket bagi mencegah penularan Covid-19.

Antara SOP lain yang dipastikan ialah menyediakan cecair pembasmi kuman, membuat saringan suhu badan selain membuat pengumuman berterusan bagi mengingatkan pengguna menjaga jarak fizikal.

Tambahnya, pihaknya juga memastikan kakitangan di stesen sentiasa memakai pelitup muka, sarung tangan getah apabila perlu, serta mewajibkan pemeriksaan suhu badan sebelum memulakan tugas.

Beliau berkata perkhidmatan bas Rapid turut menggunakan aplikasi Google Map, Moovit, MyRapidBus Kiosk untuk membantu merancang perjalanan bagi mengelakkan pengguna menunggu terlampau lama di kawasan awam.

“Hanya kapten bas yang sihat dan lulus saringan dibenarkan memandu bas,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Tiga stesen MRT ditutup sementara untuk diselenggara

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh, Kampung Selamat dan Kwasa Damansara akan ditutup pada enam hujung minggu (Sabtu dan Ahad) mulai bulan ini, Ogos dan September bagi penyelenggaraan landasan.

MRT Corp dan Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan bersama hari ini memaklumkan penutupan itu bagi melakukan kerja migrasi berkaitan pemindahan sebahagian daripada MRT Laluan Kajang (sebelum ini dikenali sebagai MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang) menjadi sebahagian Laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya).

“Penutupan stesen tersebut akan dilaksanakan pada 11,12, 25 dan 26 Julai; 8, 9, 22 dan 23 Ogos serta 5, 6,19 dan 20 Sept ini,” menurut kenyataan itu.

Dengan penutupan sementara tiga stesen tersebut, tren MRT dari Kajang akan berakhir di Stesen Kwasa Sentral dan perkhidmatan gantian bas perantara percuma akan beroperasi di antara Stesen Kwasa Sentral, Stesen Sungai Buloh dan Stesen Kampung Selamat.

“Bas perantara ini tidak akan berhenti di Stesen Kwasa Damansara kerana tiada aktiviti komersial dan kawasan perumahan. Tempat letak kereta di stesen ini juga akan ditutup, justeru pengguna dinasihatkan supaya menggunakan kemudahan itu di Stesen Kwasa Sentral atau di Stesen Sungai Buloh,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, perkhidmatan bas perantara sedia ada dari Stesen Sungai Buloh dan Stesen Kampung Selamat akan beroperasi seperti biasa.

Pengguna tren yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai penutupan stesen tersebut boleh menghubungi Rapid KL di talian 03-78852585 atau talian Hotline Projek MRT di 1800-82-6868.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MRT: Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya capai kemajuan lebih 70 peratus

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) mencapai lebih 70 peratus penyelesaian projek berikutan kejayaan penembusan terowong di bawah Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran Sungai Besi.

Pengarah projek Datuk Amiruddin Ma’aris berkata penembusan yang dilakukan pada hari 7 Mac lalu menandakan kerja penggalian untuk terowong kedua, yang terletak antara 4.7 meter dan 5 meter di bawah lebuh raya sibuk, selesai.

Katanya, penembusan untuk terowong pertama berjaya dilakukan pada 25 Februari lalu dan penembusan ini merupakan pencapaian penting dalam pembinaan laluan kedua projek MRT Lembah Klang.

“Kejayaan pembinaan terowong V204 menunjukkan komitmen MRT Corp yang kuat sebagai pemilik projek dan pasukan pembinaan dari MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd sebagai kontraktor serah kunci dan WCT Berhad sebagai kontraktor Pakej Kerja untuk menyiapkan projek mengikut jadual,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua terowong itu mempunyai diameter 5.8 meter dan panjang 60 meter, terletak di antara Stesen Taman Naga Emas dan Sungai Besi.

Pembinaan terowong dijalankan menggunakan kombinasi beberapa kaedah, seperti penggalian terowong mikro menggunakan mesin pengorek terowong bersaiz kecil berdiameter 0.8 dan pembicuan paip untk membina gerbang supaya penggalian terowong dapat dijalankan.

Pembinaan terowong bermula pada Mac 2019 dan sepanjang tempoh pembinaan itu, lebuh raya yang berada di atas terowong itu yang merupakan jalan raya utama, masuk dan keluar Kuala Lumpur, kekal dibuka kepada lalu lintas.

Amiruddin berkata memandangkan pembinaan Laluan SSP berjalan lancar dan mengikut jadual, MRT Corp menjangkakan operasi Fasa Pertama Laluan SSP antara Stesen MRT Kwasa Damansara dan Kampung Batu boleh bermula pada pertengahan 2021 dan untuk keseluruhan laluan pada 2022.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

58 kes curi, samun dilaporkan di MRT

SUNGAI BULOH, 15 MEI: Sebanyak 58 kes curi dan samun direkodkan di 21 buah Stesen Transit Aliran Massa (MRT) dari 1 Januari hingga 30 April lalu, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin.

Beliau berkata, 19 kes direkodkan di stesen MRT Ampang Jaya, 15 di Petaling Jaya, 11 di Sungai Buloh, tujuh di Serdang, empat di Gombak dan dua kes di Subang Jaya.

“Bagi membendung kejadian jenayah dan memastikan keselamatan di kawasan stesen-stesen MRT, polis bersama Prasarana akan meningkatkan rondaan cegah jenayah di kawasan MRT menggunakan Unit Kereta Peronda, Unit Rondaan Bermotosikal dan tugas am di balai-balai berdekatan.

“Selain itu, polis Selangor juga mengedarkan 400 borang maklumat balas balik kampung di kawasan Stesen MRT Surian dan Sungai Buloh,” katanya pada sidang media pelancaran progam rondaan cegah jenayah bersama Prasarana Malaysia Berhad, di sini.

Noor Azam berkata inisiatif awal polis Selangor adalah bagi mengingatkan orang ramai yang balik kampung untuk menyambut Hari Raya supaya mengisi borang untuk membolehkan polis memantau rumah-rumah mereka agar jenayah pecah rumah dielakkan.

—BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Suspek pukul, samun wanita di MRT ditahan polis

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Suspek yang menyerang seorang wanita di Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras pada pagi 14 Februari lalu, diberkas polis hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tangkapan suspek berusia 26 tahun itu dibuat sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sebuah rumah di Taman Cheras, pada jam 8.10 malam tadi.

Katanya, suspek akan dibawa ke mahkamah esok pagi bagi mendapatkan perintah reman.

“Suspek berada di dalam rumah ketika tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, lapor BHOnline.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa seorang wanita berusia 48 tahun, diserang seorang lelaki ketika menaiki lif di Stesen MRT Taman Mutiara.

Kejadian dirakamkan Kamera Litar Tertutup (CCTV) dalam lif berkenaan dan menjadi viral di media sosial.

Berdasarkan rakaman selama 55 saat itu, mangsa yang menaiki lif seorang diri dipukul dan ditendang suspek sebelum melarikan kad pengenalan, kad bank dan wang tunai RM400.

Berikutan kejadian, wanita itu mengalami bengkak di dahi serta kesakitan pada bahagian badan dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Kerajaan jimat RM5.22 bilion daripada perundingan semula MRT2

KUALA LUMPUR 8 OKT: Kerajaan berjaya menjimatkan RM5.22 bilion atau 23 peratus daripada projek Transit Aliran Deras 2 (MRT2) melalui rundingan semula dengan rakan pelaksana projek (project delivery partner) (PDP), Syarikat Usaha Sama MMC-Gamuda.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini dapat dicapai selepas Kementerian Kewangan bersama Pejabat Peguam Negara, Kementerian Pengangkutan dan agensi seperti Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRTCo) dan sektor swasta, menjalankan kajian rasionalisasi MRT2 sejak Mei 2018.

“Susulan itu, Kabinet pada 3 Oktober lalu menerima tawaran dibuat MMC-Gamuda melalui dua surat bertarikh 15 Ogos dan 7 September lepas untuk melaksanakan kerja pembinaan atas tanah MRT2 sebagai kontraktor turnkey dengan kos RM17.42 bilion berbanding kos asal RM22.64 bilion.

“Penjimatan sebanyak RM5.22 bilion atau 23 peratus dicapai melalui pengurangan kos dan rasionalisasi skop kerja tanpa membatalkan sebarang stesen atas tanah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Bagaimanapun katanya, kerajaan dan MMC-Gamuda gagal mencapai persetujuan berkaitan bahagian bawah tanah yang menyebabkan Kabinet memutuskan untuk kontrak kerja bawah tanah ditamatkan dan kesemua kerja bawah tanah yang belum disiapkan akan ditender semula melalui kaedah tender terbuka antarabangsa.

“Keputusan ini diambil selepas mempertimbangkan penjimatan tambahan yang akan diperoleh melalui tender semula pakej kerja bawah tanah berbanding tawaran dibuat kontraktor,” katanya.

Guan Eng berkata, kerajaan mahu mendapatkan “nilai untuk wang” bagi semua perbelanjaan kerajaan terutama apabila sesuatu projek itu membabitkan pinjaman yang besar.

“Penjimatan berbilion ringgit akan mengurangkan hutang dan faedah yang perlu ditanggung kerajaan yang mana akan ditanggung rakyat melalui pengenaan cukai pada masa depan.

Katanya, lebih banyak penjimatan akan diperoleh apabila bahagian kerja bawah tanah ditender semula secara terbuka tidak lama lagi.

“Tambahan lagi, pengurangan kos yang dijangkakan untuk projek MRT2 akan mengurangkan kadar tambang yang perlu dibayar penumpang dan menggalakkan pengunaan pengangkutan awam di Lembah Klang,” katanya.

Projek MRT2 diluluskan oleh Kabinet pada 26 Februari 2014 dengan anggaran kos awal sebanyak RM28 bilion tidak termasuk fi perunding, fi PDP, faedah pinjaman dan kos operasi MRTCo.

Bagaimanapun, kos MRT2 melambung kepada RM56.93 bilion akibat faktor seperti kelulusan Skim Kereta Api (Railway Scheme) yang membabitkan jajaran baharu ke Bandar Malaysia, perubahan skop dan penurunan nilai ringgit.

Kos keseluruhan meliputi RM39.35 bilion kos pembinaan, RM6.18 bilion kos pengambilan tanah, RM0.36 bilion untuk bas perantara dan kos depot, RM1.2 bilion kos lain serta RM9.84 bilion kos faedah sewaktu pembinaan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kadar parkir stesen MRT turun mulai esok

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 MEI: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) yang mengendalikan kemudahan Park and Ride sepanjang Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) akan menurunkan kadar parkir, bermula esok.

Dalam kenyataan, MRT Corp memaklumkan, bayaran parkir di Kemudahan Park and Ride bagi pengguna MRT adalah RM4 bagi setiap kemasukan sehari berbanding RM4.30 sebelum ini.

Manakala, caj bagi motosikal ialah RM1.00 bagi kemasukan sehari berbanding RM1.10 sebelum ini.

Kadar baharu itu mencerminkan penurunan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada sifar peratus.

“Kemudahan Park and Ride yang dikendalikan MRT Corp adalah di Sungai Buloh, Phileo Damansara, Maluri, Taman Midah, Taman Suntex, Bandar Tun Hussein Onn, Bukit Dukung dan Sungai Jernih,” katanya.

“MRT Corp juga bertemu pihak luar yang mengendalikan kemudahan parkir lain sepanjang Laluan SBK seperti di Kwasa Damansara, Sentral, Bandar Utama, Pusat Bandar Damansara dan Kajang.

“Ia bagi menasihat mereka menyemak semula kadar parkir untuk mencerminkan kadar baharu GST,” katanya.