Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan bangga pejabat Baginda kekal pengiktirafan sistem pengurusan kualiti

SHAH ALAM, 15 FEB: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan sukacita dan bangga atas pencapaian dan kecemerlangan pejabat Baginda serta kakitangannya dalam mengekalkan pengiktirafan Pensijilan MS ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Berkualiti).

Menurut Selangor Royal Office di Facebook, pejabat Baginda diiktiraf sebagai pengurusan istana pertama yang memperoleh pensijilan tersebut daripada Malaysia Book of Records pada 27 Jun 2019.

Ia kemudian dikemas kini pada 30 Disember 2021 untuk tempoh sehingga 7 Januari 2025 bawah pentadbiran Dato’ Pengelola Bijaya Diraja baharu Dato’ Sawaluddin Md Nor.

“Sejak ditabalkan sebagai Sultan Selangor ke-9 pada 2001, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan agar aspek pengurusan dan pentadbiran Istana Selangor diberi keutamaan dan menetapkan penanda aras untuk mencapai satu tahap kecemerlangan dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Pejabat Baginda yang sebelum ini dikendalikan Dato’ Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Zakaria Abdul Rahman antara 2003 hingga 2019 turut cemelang dalam pengurusan lawatan ke istana, hal ehwal majlis dan istiadat diraja serta penyediaan santapan diraja.

Menurut kenyataan itu lagi, Baginda berharap agar semua kakitangan terus komited menjalankan tugas masing-masing dan amanah serta sentiasa berusaha mengekalkan kecemerlangan pentadbiran.

Pejabat Sultan Selangor sebelum ini turut menerima Pensijilan ISO 9001:2008 sebelum ia dinaik taraf kepada ISO 9001:2015 pada 10 November 2017.

Penganugerahan ISO itu menunjukkan pentadbiran dan pengurusan Istana Alam Shah setanding organisasi kerajaan ataupun swasta yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pengiktirafan Pensijilan MS ISO 9001:2015 yang diterima pejabat DYMM Sultan Selangor. Foto Facebook Selangor Royal Office