MESIR 20 MEI : Beberapa serpihan berkemungkinan milik pesawat EgyptAir MS804 yang hilang ditemui di perairan Pulau Crete di Greece ketika usaha mencari pesawat yang hilang di lautan Mediterranean diperhebatkan.
Menurut sumber tentera Greece yang memaklumkan kepada AFP, beberapa kapal dihantar ke lokasi terbabit.
“Terdapat beberapa penemuan di tenggara perairan Pulau Crete, di kawasan laluan pesawat yang diketahui,” kata jurucakap tentera, Vassilis Beletsiotis.
Beliau turut memaklumkan sebuah pesawat Mesir jenis C-130 telah mengesan beberapa objek terapung, dan kapal telah dikerahkan ke lokasi terbabit.
Pesawat EgyptAir dipercayai membawa 66 penumpang termasuk anak kapal dari Paris ke Kaherah hilang dari radar sejurus berlepas pada malam Rabu, waktu tempatan.
Berdasarkan maklumat dari flightradar24.com, pesawat dengan kod penerbangan MS804 itu adalah Airbus A320.
Menurut sumber, pesawat gagal dikesan ketika terbang pada ketinggian 11.300 meter di wilayah Mediteranian di bahagiann timur atau sekitar 16 kilometer dari wilayah udara Mesir.
Pesawat terbabit difahamkan putus hubungan dengan pihak berkuasa di Mesir pada kira-kira jam 2.45 pagi.
EZY