Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Latihan atlet terus ikut SOP, peka perkembangan Covid-19

SHAH ALAM, 1 SEPT: Semua persatuan sukan dan atlet perlu kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) latihan selaras lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hingga 31 Disember.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata semua acara dibenar bersambung tanpa kehadiran penonton manakala penganjuran peringkat antarabangsa masih dilarang.

“Bagi memastikan keselamatan semua, penggiat sukan diharap dapat mengikuti SOP ditetapkan dan peka dengan keadaan serta perkembangan semasa Covid-19,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Kementerian Belia dan Sukan menetapkan beberapa SOP antaranya mengimbas kod QR, memeriksa suhu badan sebelum masuk ke pusat latihan, memakai pelitup muka, mengamal penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik serta tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik.

Selain itu, pusat latihan juga perlu beroperasi secara berjadual, pembersihan dan proses nyah kuman mengikut kekerapan penggunaan serta melarang kemudahan tambahan seperti sauna dan jakuzi.

Pada 28 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan PKPP yang dilaksana sejak 10 Jun disambung hingga 31 Disember dengan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih boleh diambil.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mohamad Nizam Pengarah Eksekutif MSN yang baharu

SHAH ALAM, 17 OGOS: Mohamad Nizam Marjugi dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor yang baharu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau menggantikan Adi Faizal Ahmad Tarmizi yang bertukar ke Kementerian Kewangan pada 5 Jun lalu.

Mohamad Nizam, 44, ketika dihubungi mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas kepercayaan dan peluang yang diberikan untuk menerajui badan sukan negeri.

“Saya berharap dapat meningkatkan tahap prestasi atlet dan kualiti prasarana sukan demi kemajuan pembangunan sukan di Selangor.

“Tanggungjawab ini akan terlaksana dengan kerjasama dan jalinan dalam kalangan semua penggiat sukan termasuk persatuan dan Kerajaan,” katanya yang mahu memberi fokus kepada persiapan atlet menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun depan.

Mohamad Nizam memulakan tugas di MSN Selangor pada 1998 sebagai pegawai perhubungan atlet dan pernah menjawat pelbagai jawatan termasuk yang terakhir sebagai Timbalan Pengarah Pembangunan Sukan sejak 2012.

Sepanjang berkhidmat hampir 20 tahun beliau juga pernah dilantik sebagai pemangku pengarah eksekutif MSN Selangor sebanyak dua kali.

Sementara itu, MSN Selangor mengucapkan tahniah dan mengumumkan pelantikan Mohamad Nizam itu menerusi Facebook rasminya hari ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

MSN Selangor memohon kepada MITI buka pusat sukan

SHAH ALAM, 19 JUN: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan membuat permohonan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengenai kelulusan membuka pusat latihan.

Pemangku pengarah eksekutifnya berkata sekurang-kurangnya 30 pusat sukan diperlukan bagi membolehkan semua 830 atlet Sukan Malaysia (Sukma) negeri dapat memulakan latihan penuh.

“Setakat ini beberapa pusat latihan telah dibuka dan kita akan sentiasa berhubung dengan MITI. Kita berharap ia dapat dibuka secara berperingkat.

“Walaupun kerajaan memberikan kebenaran bagi kebanyakan aktiviti sukan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan tetapi kita kena patuh tatacara operasi piawai (SOP),” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini.

Mohamad Nizam berharap kerajaan segera memberi kebenaran kepada atlet semua jenis sukan berlatih bagi mengelak prestasi terjejas kerana tempoh tiga bulan tanpa latihan khusus menjejaskan mereka dalam semua aspek biarpun berlatih sendiri.

Pada 7 Jun lalu kerajaan memberi kebenaran untuk latihan persediaan pasukan, aktiviti sukan yang tidak membabitkan sentuhan badan dan berkumpulan sepanjang tempoh PKP Pemulihan.

Sebelum ini, hanya atlet di bawah program Road to Tokyo dibenarkan menjalani latihan bermula 1 Jun lalu.

Categories
AGENSI SELANGOR

MSN Selangor ucap terima kasih sumbangan Adi Faizal

SHAH ALAM, 17 JUN: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor merakamkan penghargaan atas sumbangan Adi Faizal Ahmad Tarmizi kepada pembangunan sukan di negeri itu selepas mengakhiri perkhidmatan sebagai Pengarah Eksekutif.

Selepas setahun berkhidmat, beliau kini memulakan tugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha Bahagian di Kementerian Kewangan sejak 1 Jun lalu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada semua,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pelantikan Adi Faizal sebagai Pengarah Eksekutif MSN Selangor berkuat kuasa 10 Mei 2019 selepas menerima surat lantikan yang diserahkan sendiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya Majlis Penyampaian Amanat dan Surat Pelantikan kepada pegawai-pegawai kanan di Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, 14 Mei tahun lalu.

Sebelum ini, beliau sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Perumahan) Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah Tanah Petaling.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Elak jangkitan virus, MSN Selangor larang atlet ke luar negara

SHAH ALAM, 13 MAC: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor melarang semua atletnya bertanding dan berlatih di luar negara susulan Covid-19, kata pengarah eksekutifnya.

Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata semua penyertaan kejohanan luar perlu dikaji semula bagi mengawal penularan wabak yang semakin membimbangkan.

“MSN mengambil perhatian perkara ini (penangguhan program) dan meminta persatuan negeri dan atlet mengambil langkah pencegahan dan berjaga-jaga supaya kesihatan mereka dalam keadaan optimum,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pesuruhjaya Sukan Malaysia hari ini menasihatkan semua penganjuran acara sukan tempatan dan antarabangsa ditangguhkan susulan penularan Covid-19.

Semalam, Kerajaan Negeri turut bersetuju menunda penganjuran program berskala besar yang tidak bersifat kritikal.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Sukma 2020: Atlet olahraga berlatih di Kenya

SHAH ALAM, 18 FEB: Atlet olahraga Selangor dihantar ke Kenya bagi menjalani latihan intensif sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor, Julai ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata dua atlet lelaki ke sana sejak Januari lalu bagi meningkatkan prestasi di bawah kendalian jurulatih Kenya.

“Kita hantar atlet ke Kenya bagi melihat sendiri pusat latihan olahraga dilaksanakan. Kita (MSN) bayar tiket sahaja selebihnya ditanggung jurulatih tersebut.

“Kita pilih jurulatih Kenya kerana mereka melahirkan pelari jarak jauh yang sangat bagus di samping olahraga,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama SelangorKini di Kompleks Belia Negeri Selangor, di sini 10 Februari lalu.

Antara atlet olahraga yang berlatih di Kenya adalah Berchmans Aruldass dan Jeff Lim Zhe Yu.

Sementara itu, Rhaasrikanesh Kanavathi, Muhammad Afif Mohd Fathi dan Liyana Azizan Durisic bagi sukan golf menjalani latihan di Amerika Syarikat.

Adi Faizal berkata beberapa program sukan disusun menjelang Sukma selain penyertaan atlet dalam kejohanan di luar negara seperti berbasikal, renang dan tenis.

 

Categories
SUKANKINI

Belia pelapis julang nama negara dalam sukan

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KLANG, 6 JUN: Pembabitan belia dalam sukan diharap dapat menyediakan barisan pelapis bagi memastikan kesinambungan untuk menjulang nama negara di persada antarabangsa.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Selangor, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, sukan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kehidupan khususnya belia serta membantu mereka mempelajari nilai positif kehidupan supaya terus maju dalam dunia yang berdaya saing.

“Menerusi pelbagai penganjuran program sukan, usaha itu diharapkan mampu memenangi hati golongan muda untuk sertai dan aktif supaya kita dapat mengenal pasti pemain yang berpotensi ke peringkat lebih tinggi.

“Kita sentiasa memberi galakan kepada para pemain khususnya pelapis muda supaya mengorak langkah dan sentiasa kekal cemerlang dalam bidang sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program ‘Streetball 3ON3 Challenge’ 2019, di Galeri Jualan Gravit8, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago merangkap Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN); Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin dan Timbalan Pengarah Eksekutif Mitraland Group, Chuah Theong Yee.

Terdahulu, seramai 600 peserta menyertai Gravit8 Streetball 3 On 3 Challenge anjuran Mitraland Group dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Program julung kali diadakan itu bermula 9.30 pagi sehingga 5.30 petang dan sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu B12, B14, B16, B18 dan Kategori Terbuka Lelaki; 200 slot pasukan dengan setiap pasukan terdiri daripada tiga pemain.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Selangor hantar kontinjen besar ke SUKMA 2020

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 JUN: Selangor dijangka menghantar lebih 800 anggota kontinjen membabitkan 30 acara dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020.

Pemangku Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata, negeri itu sudah melepasi fasa pertama persediaan pasukan, iaitu sesi pemilihan dan kini latihan awal sedang giat dijalankan.

“SUKMA tinggal lebih kurang 14 bulan sahaja lagi dan ada pasukan yang bersedia lebih awal mengikut program yang diatur terutama seperti renang, gimnastik, olahraga dan beberapa lagi yang tidak berhenti berlatih sepanjang masa sejak tahun lalu,” katanya kepada SelangorKini.

Mohamad Nizam berkata, acara disertai kontinjen Selangor terdiri daripada 16 sukan wajib dan 14 sukan pilihan yang dipertandingkan di Johor.

Antara sukan pilihan seperti muay thai, tenis, kenu, bola tampar dan golf.

Katanya, latihan bagi atlet terbabit acara sukan pilihan turut dimulakan sejak awal tahun ini sebaik menerima pengesahan tuan rumah.

“Pada bulan puasa, latihan semua atlet berjalan seperti biasa tetapi bagi yang beragama Islam, jadual diubah selepas solat terawih dan hujung minggu.

“Cuti raya juga tidak lama kerana ada yang perlu berlatih awal bagi mengekalkan prestasi,” katanya.

Categories
SUKANKINI

Sabah minat cungkil rahsia kecemerlangan sukan Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA KINABALU, 23 FEB: Kementerian Belia dan Sukan Sabah berminat untuk mencungkil rahsia sebenar, di sebalik kejayaan Selangor mengekalkan reputasinya sebagai gergasi sukan negara sepanjang zaman.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Poon Ming Fung @ Frankie berkata, hal itu ekoran pencapaian Selangor dalam sukan, khasnya di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA), disifat menakjubkan.

“Kami di Sabah ingin mengetahui dan mempelajari bagaimana Selangor boleh mengekalkan prestasinya terutama dalam SUKMA sehingga lima kali bergelar juara.

“Sedangkan kami di Sabah nak capai sasaran pingat pun susah,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Delegasi Lawatan kerja EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman, di bilik mesyuarat Kementerian Belia dan Sukan di sini, semalam.

Turut sama dalam lawatan itu, MSN Selangor dan Unit Perancang Ekonomi Negeri.

Sementara itu, dalam sesi soal jawab, pemangku Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata, selain menjuarai sembilan kali daripada 18 penganjuran SUKMA, Selangor turut konsisten berada dalam kelompok lima terbaik.

Katanya, antara strategi terpenting Selangor adalah sentiasa meneruskan program pembangunan sukan membabitkan atlet muda.

“Program ini mesti berterusan sampai bila-bila, jika tidak mahu lihat pengeluaran bakat terputus.

“Jika program pembangunan tidak konsisten, keputusan akhirnya juga tidak konsisten,” katanya.

Categories
SUKANKINI

MSN Selangor lawat Kompleks Sukan Ranau

OLEH NAZLI IBRAHIM

RANAU, 19 FEB: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor mengadakan lawatan ke Kompleks Sukan Ranau untuk melihat sendiri kemudahan yang ditawarkan di kompleks terbabit.

Pemangku Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata, kompleks sukan yang diuruskan Lembaga Sukan Negeri Sabah itu menawarkan pelbagai kemudahan sukan di satu kawasan.

“Seperti yang kita lihat Kompleks Sukan Ranau ini menempatkan pelbagai kemudahan sukan seperti padang bola sepak, enam gelanggang badminton, sepak takraw, memanah dan futsal.

“Kami juga dapat pelajari bagaimana cara mereka menguruskan kemudahan yang begitu banyak,” katanya sebaik selesai lawatan selama dua jam di kompleks terbabit.

Sementara itu, Pengurus Kompleks Sukan Ranau, Austin Orou berkata, kehadiran delegasi Selangor ke kompleks terbabit membawa makna besar kepada seluruh warga kerja, di situ.

“Kehadiran delegasi MSN Selangor akan mengeratkan hubungan kedua-dua pihak,” katanya.

Kompleks berkeluasan 100 ekar itu turut menempatkan sukan ekstrem seperti ‘paragliding’, ‘all terrrain vehicle’ (ATV) dan ‘motocross’.