Categories
AGENDA SUKANKINI

Kejohanan badminton Asia: Penonton boleh tempah tempat duduk, jumlah terhad

SHAH ALAM, 9 FEB: Penyokong dibenarkan menyaksikan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di sini, mulai 15 hingga 20 Februari depan.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi bagaimanapun berkata jumlah kehadiran adalah terhad susulan peningkatan kes Covid-19.

“Setakat ini penyokong masih dibenarkan hadir dengan membuat tempahan menerusi dalam talian yang akan diuruskan penganjur,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata semua lapan negara yang bertanding sudah berada di Shah Alam serta sedang menjalani tempoh kuarantin ditetapkan.

Selain Malaysia, negara lain yang turut bertanding ialah Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan.

Buat julung kalinya, Selangor menjadi tuan rumah BATC 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam mulai 15 hingga 20 Februari depan.

Kejohanan berprestij itu diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Nilai Rt naik mungkin tanda awal kes Covid-19 melonjak – Dr Noor Hisham

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Pemergian Zolkples Embong kehilangan besar buat industri sukan

SHAH ALAM, 3 OKT: Dato’ Menteri Besar menyifatkan pemergian Datuk Seri Zolkples Embong sebagai satu kehilangan besar buat industri sukan tanah air.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bekas ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu mempunyai semangat dan minat yang jitu dalam pembangunan belia dan sukan.

“Sewaktu memegang portfolio EXCO Sukan, saya telah banyak berurusan dengan Allahyarham yang sentiasa mengamalkan sikap kerjasama dan sifat profesionalisme tinggi,” tulisnya di Facebook.

Dalam hantaran sama, Amirudin turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan sahabat Allahyarham.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan beliau ditempatkan dalam kalangan yang beriman,” katanya.

Allahyarham Zolkples yang berusia 62 tahun dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah, Ampang Jaya pagi tadi, namun punca kematian belum diketahui.

Untuk rekod, Allahyarham pernah mengemudi MSN selama tujuh tahun sejak April 2007 hingga Disember 2014.

Allahyarham kemudian dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) pada 2017.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas atlet para kerja di stesen minyak tolak jawatan di MSN

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Majlis Sukan Negara (MSN) pernah menawarkan jawatan kepada bekas atlet olahraga para kebangsaan, Mohd Raduan Emeari yang tular dalam media sosial kerana bekerja di stesen minyak, namun ditolak bekas atlet itu.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata tawaran kerja di MSN untuk membantu skuad negara, ditolak oleh bekas atlet pecut yang pernah beraksi di Sukan Paralimpik Beijing 2008 itu atas alasan komitmen kepada keluarganya.

Menurut Ahmad Shapawi, setelah digugurkan daripada Program Podium pada penghujung 2017, Mohd Raduan juga tidak menyertai mana-mana kejohanan kerana ingin memberi fokus kepada keluarganya, memandangkan beliau mempunyai isteri dan seorang anak.

“Namun, beliau telah dilantik sebagai penggerak sukan olahraga para bermula pada 2020 hingga kini dengan bayaran sebanyak RM350 setiap bulan bagi membantu MSN mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan itu di Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Shapawi berkata Mohd Raduan mula terlibat dalam program MSN secara separuh masa pada 2007 dengan kadar elaun bulanan sebanyak RM500, sebelum diserap sebagai atlet sepenuh masa bermula 2009 dengan elaun antara RM1,500 hingga RM2,500 sebulan bergantung kepada pencapaian prestasi semasa di temasya sukan hingga 2015.

“Bermula 2016, Mohd Raduan telah ditawarkan kemasukan ke Program Podium di bawah seliaan Institut Sukan Negara (ISN) dengan elaun berjumlah RM4,500 sebulan sehingga beliau tidak lagi berada dalam program atas faktor prestasi pada hujung 2017,” katanya.

Terdahulu, tular menerusi media sosial mengenai Mohd Raduan yang bekerja di sebuah stesen minyak di Kuala Selangor, yang turut mempersoalkan ketiadaan insentif penghargaan atau kerja untuk meneruskan kehidupan atlet selepas bersara.

Bekas pelari pecut berusia 39 tahun itu pernah mewakili negara di temasya Sukan Para ASEAN (APG) Filipina 2005, Korat 2007, Solo 2011, Naypyitaw 2013, Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017 telah menyumbangkan lima pingat emas.

Beliau juga pernah beraksi di Sukan Para Asia Guangzhou 2010 dan Incheon 2014, selain Paralimpik Beijing 2008.

Menurut Ahmad Shapawi lagi, pihak MSN juga bekerjasama rapat dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) untuk berjumpa dengan bekas atlet bagi sebarang bantuan yang ingin dipohon dalam lingkungan kemampuan MSN.

“Pihak Yakeb juga telah berjumpa dengan beliau semalam bagi menawarkan kursus asas perniagaan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan pihak Yakeb akan membantu sekiranya Mohd Raduan berminat untuk memulakan perniagaan.

“Pihak KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN melalui pihak Yakeb akan terus bersikap positif membuka ruang dan peluang terbaik yang boleh kami ketengahkan bersama pihak berkepentingan yang lain bagi terus membantu bekas-bekas atlet negara untuk meneruskan kelangsungan hidup setelah bersara daripada menjadi atlet negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cegah risiko jangkitan virus, MSN arah 355 atlet balik rumah

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mengarahkan 355 daripada 695 atlet kebangsaan pulang ke kediaman masing-masing dalam usaha membendung risiko penularan Covid-19 dalam kalangan atlet, jurulatih dan pegawai.

Mereka yang terlibat adalah terdiri daripada atlet pelapis dan tidak menyertai sebarang kejohanan penting pada tahun ini, sudah meninggalkan asrama dan venue latihan secara berperingkat bermula 7 hingga 12 Mei lepas.

Pengarah Bahagian Atlet MSN Jefri Ngadirin berkata kesemua atlet akan kekal berada di kediaman masing-masing sehingga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat pada 7 Jun ini.

“Sekiranya PKP sambung, kita akan berbincang semula macam mana latihan mereka, buat masa sekarang mereka tetap berlatih di rumah secara dalam talian,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada masa sama, atlet di bawah Program Podium masih menjalani latihan secara kuarantin di MSN terutama mereka yang sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Julai depan

Jefri berkata bagi memantau perkembangan atlet berada di rumah, mereka kini perlu mengikuti sesi latihan secara dalam talian bagi mengekalkan kecergasan fizikal sepanjang tempoh PKP.

Sementara itu, beliau berkata Kompleks Sukan Paralimpik Kampung Pandan berada dalam perancangan untuk dijadikan pusat kuarantin bagi atlet kebangsaan yang dijangkiti Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Tiada halangan skuad boling kebangsaaan jalani latihan

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Kementerian Belia dan Sukan tiada halangan bagi atlet berprestasi tinggi dan elit di peringkat kebangsaan termasuk skuad tenpin boling negara menjalani latihan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada masa ini.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata skuad boling negara diberi pengecualian untuk menjalani latihan di bawah konsep gelembung sukan atau secara kuarantin walaupun pusat-pusat boling tidak dibenarkan beroperasi ketika ini.

“Bagi atlet elit di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN), tiada masalah untuk mereka meneruskan latihan. Untuk orang ramai, sudah tentu masih tidak dibenarkan kerana ia masih terkait dengan kecenderungan masyarakat bermain boling untuk hiburan atau riadah apatah lagi kebanyakan pusat boling berada dalam pusat beli-belah yang menjadi kunjungan orang ramai.

“Kita membuka sukan yang memberi impak kepada orang ramai serta kehidupan, dan memberi kesan langsung kepada kecergasan dan kesihatan. Sukan yang berkaitan dengan riadah boleh menyusul dalam fasa berikutnya,” katanya ketika di temui Bernama semalam.

Media sebelum ini melaporkan latihan skuad boling kebangsaan kembali terjejas berikutan pusat boling, termasuk venue latihan yang berada dalam pusat membeli belah ditutup susulan pelaksanaan PKP 2.0 bermula 13 Jan lepas.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan skuad boling negara membuat pilihan untuk keluar daripada kem latihan secara kuarantin ketika PKP 2.0 dilaksanakan bulan lepas.

“Pasukan boling minta keluar daripada kem dengan andaian bahawa PKP akan tamat dalam tempoh dua minggu, tetapi ia dilanjutkan. Kita akan tunggu sehingga 18 Februari untuk mengetahui sama ada PKP dilanjutkan atau tidak.

“Sekiranya PKP diteruskan, kita akan berbincang semula dengan MTBC (Kongres Tenpin Bowling Malaysia) dan akan memulakan latihan semula dalam gelembung sukan. Atlet wajib tinggal di penginapan MSN, dan kita akan sediakan kenderaan khas buat mereka untuk pergi dan balik ke pusat latihan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan PKP 2.0 di seluruh negara selama dua minggu bermula 5 hingga 18 Februari ini.

PKP 2.0 mula diwartakan pada 13 Januari lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Tutup MSN, Kompleks Sukan Negara bukan pilihan baik – KP MSN

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Penutupan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kompleks Sukan Negara sepenuhnya bukan pilihan yang baik selepas berlaku jangkitan Covid-19 dalam kalangan atlet dan pegawai sukan, kata Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Beliau berkata penutupan MSN juga bakal menjejaskan prestasi atlet.

Katanya, yang penting ketika ini adalah kawalan dan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) oleh semua pihak bagi mengekang penularan wabak itu.

“Kita kena terima hakikat kena hidup dalam keadaan jangkitan Covid-19 berada di mana-mana.

“Kita kena pastikan atlet kita bersedia dengan adanya kem latihan seperti ini yang boleh membantu mereka. Buat masa ini sehingga kita mendapat arahan ataupun panduan selanjutnya daripada pihak berwajib mengenai perkembangan luar, kita akan teruskan operasi di MSN,” katanya kepada pemberita susulan lima pegawai MSN disahkan positif Covid-19.

Kelmarin, MSN mengesahkan lima lagi kakitangan mereka positif ujian Covid-19 selepas sebelum ini dilaporkan tujuh atlet dan seorang pegawai sukan dijangkiti wabak itu sebelum memulakan kem latihan berpusat Isnin lepas.

Kes positif itu membabitkan dua atlet olahraga, tenis berkerusi roda (dua), sukan bola keranjang kerusi roda (dua) dan seorang atlet tenpin boling cacat pendengaran serta seorang pegawai pengiring sukan boccia.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh atlet, seorang pegawai sukan positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Tujuh atlet negara termasuk lima atlet para disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan sebelum memulakan latihan berpusat menggunakan pendekatan kuarantin hari ini.

Menurut Majlis Sukan Negara (MSN), kes positif itu membabitkan dua atlet olahraga, tenis berkerusi roda (dua), sukan bola keranjang kerusi roda (dua) dan seorang atlet tenpin boling cacat pendengaran serta seorang pegawai pengiring sukan boccia.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata kesemua individu yang disahkan positif Covid-19 telah diasingkan dan menunggu tindakan selanjutnya daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“MSN juga mengasingkan atlet (PUS) berkemungkinan mempunyai kontak rapat dengan atlet dan pegawai yang disahkan positif dan ujian calitan akan dilakukan pada hari keempat.

“Jika keputusan negatif tetapi mempunyai simptom, mereka perlu menjalani proses kuarantin hingga hari ke-10. Ujian akan diadakan pada hari kesembilan untuk pengesahan bebas daripada jangkitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seramai 466 daripada 735 atlet Program Podium dan pelapis kebangsaan serta jurulatih negara telah menjalani ujian calitan di pusat latihan masing-masing yang diselaraskan MSN dan Institut Sukan Negara (ISN).

Ujian calitan itu juga diadakan di Kompleks MSN Taman Keramat melibatkan 38 daripada 41 atlet dan jurulatih, selain di Kompleks Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan melibatkan 89 daripada 91 atlet para dan jurulatih.

Sebelum ini, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choon Hann didapati positif Covid-19 selepas ujian calitan dilakukan ke atas 39 pemain dan jurulatih badminton di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebagai persediaan ke Jelajah Asia BWF di Thailand.

Secara keseluruhan, hanya satu peratus iaitu lapan daripada 632 atlet dan pegawai yang telah menjalani ujian swab didapati positif Covid-19 dan dipercayai mendapat jangkitan semasa bercuti di kampung atau rumah masing-masing.

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata setelah berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, kem latihan berpusat MSN akan diteruskan menggunakan pendekatan secara kuarantin bagi tempoh dua minggu pertama dengan atlet dan jurulatih tidak dibenarkan keluar kecuali ke tempat latihan masing-masing secara terkawal.

“Arahan ini akan dikaji semula selepas dua minggu melihat kepada perkembangan penularan jangkitan Covid-19. Kemudahan pusat latihan hanya boleh digunakan oleh atlet dan jurulatih sahaja. Pengawalan keluar masuk ke premis penginapan dan latihan selain dari atlet dan jurulatih adalah tidak dibenarkan.

“Proses sanitasi akan dilaksana di setiap pusat latihan dan penginapan seminggu sekali. Perkara ini akan dilaksana secara serta merta. Langkah ini diambil bagi pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan dan komitmen MSN dalam memastikan atlet negara berada dalam kesihatan dan kondisi terbaik bagi menjalani latihan masing-masing,” kata Ahmad Shapawi.

Katanya, perkara itu dikuatkuasakan kepada semua pusat latihan iaitu di Kompleks MSN Bukit Jalil, Kompleks Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, Kompleks MSN Taman Keramat, Kompleks Pelayaran Langkawi, Akademi Badminton Malaysia, Velodrom Nasional Nilai dan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari.

Bagi atlet yang belum melaporkan diri hari ini, Ahmad Shapawi berkata mereka akan berbuat demikian esok di pusat latihan masing-masing.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet kebangsaan jalani latihan sepenuh masa mulai 4 Januari

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Atlet kebangsaan akhirnya dapat menarik nafas lega apabila boleh memulakan latihan harian seperti biasa secara sepenuh masa dan bukan lagi latihan secara kuarantin, bermula Isnin depan.

Bagaimanapun Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin menegaskan semua atlet membabitkan kira-kira 700 atlet Program Podium dan Pelapis, termasuk atlet para perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Atlet di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang yang menjalani latihan secara kuarantin sejak Oktober telah diberikan cuti bermula Khamis lepas hingga 3 Januari.

“Sejurus melapor diri ke pusat latihan pada 3 Januari, kita akan membuat ujian Covid-19 untuk melihat sama ada mereka mematuhi SOP atau tidak ketika bercuti. Mereka kemudiannya boleh berlatih seperti biasa bukan lagi kuarantin,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini mengumumkan pembukaan semula sektor sukan dan rekreasi bermula 1 Januari kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, Jefri berkata MSN akan mengadakan bengkel bersama para persatuan sukan kebangsaan (NSA) pada akhir Januari untuk membincangkan perancangan mengenai persiapan ke kejohanan utama seperti Sukan Olimpik, Paralimpik dan Sukan SEA pada 2021 diikuti Sukma, Sukan Komanwel dan Asia pada 2022.

Beliau berkata ketika ini pihaknya masih menunggu jadual kejohanan yang bakal ditentukan persatuan sukan antarabangsa, dengan kejohanan peringkat antarabangsa dijangka kembali rancak secara berperingkat pada 2021 dengan penemuan vaksin, selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Buat masa ini apa yang penting adalah bukan sahaja kejohanan yang bakal diserta tetapi perancangan mereka sehingga 2022, termasuk latihan, latihan pendedahan (di luar negara), pendedahan pertandingan, kelayakan ke Olimpik dan sasaran.

“Tahun ini kita sudah membuat perancangan sehingga 2022 tapi pada masa itu kabur dengan Covid-19. Sekarang hala tuju lebih jelas dengan penemuan vaksin,” tambahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

MSN: Program Podium, NFDP diterus guna bajet RMK-11

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Pelaksanaan program persediaan atlet, khususnya Program Podium dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), akan diteruskan bawah belanja pembangunan sedia ada, sambungan dari Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan bahawa program persediaan atlet senior, khususnya Program Podium dan NFDP di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang tidak terjejas.

“Kita juga telah kemukakan beberapa program pembangunan sukan pilihan yang lain seperti badminton, olahraga, golf, akuatik dan beberapa sukan teras yang lain, untuk menyediakan barisan atlet pembangunan dan pelapis yang lebih berdaya saing.

“Perbincangan lanjut akan kami bincangkan dengan Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) bagi memastikan keberkesanan perlaksanaan program-program pembangunan atlet tersebut,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2021, mengumumkan peruntukan RM55 juta untuk program pembangunan sukan hoki, ragbi, badminton, berbasikal, pembangunan atlet wanita, termasuk RM15 juta kepada pembangunan e-Sports.

Namun, timbul persoalan apabila pembangunan bola sepak atau NFDP tidak disebut bersama sukan-sukan berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

MSN: Atlet teruskan latihan, kecuali ragbi, boling padang, tenpin boling

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Kebanyakkan atlet kebangsaan meneruskan latihan mereka seperti biasa, dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat di pusat latihan masing-masing, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula hari ini hingga 27 Oktober.

Pengarah Bahagian Persediaan Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata, ia termasuk sukan akuatik iaitu renang dan terjun; serta sukan dalam dewan dan tempur seperti sepak takraw, karate, taekwondo, gimnastik dan wushu.

Namun, katanya beberapa sukan seperti ragbi dan boling padang membuat keputusan untuk menghentikan latihan, manakala tenpin boling masih tidak dapat berlatih, kerana venue latihan berada di pusat komersial.

“Skuad ragbi lelaki dan boling padang memilih untuk berlatih sendiri di rumah, kerana bimbang dengan penularan pandemik Covid-19 dan tidak dapat mematuhi SOP yang ditetapkan. Tenpin boling pula termasuk dalam senarai yang tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), kerana sukan indoor dan berlatih di Sunway Pyramid.

“Jadi pihak Sunway Pyramid sedang mendapatkan penjelasan daripada MKN sama ada skuad boling negara boleh berlatih atau tidak,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata program latihan berpusat bagi atlet yang sedang dilaksana oleh MSN dan Majlis Sukan Negeri, boleh diteruskan secara tertutup dan terkawal di Kompleks MSN Bukit Jalil dan Keramat; Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara dan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, sepanjang tempoh PKPB.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menegaskan bahawa semua penganjuran sukan atau kejohanan tidak dibenarkan semasa tempoh PKPB, bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Jefri berkata semua atlet yang terlibat, menjalani latihan dalam keadaan tertutup dan terkawal dan wajib menetap di asrama MSN bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19.

“Atlet meneruskan latihan seperti biasa dengan mengikuti SOP yang telah diperketatkan, seperti berlatih dalam kumpulan yang kecil, mengamalkan penjarakan fizikal, mengimbas aplikasi MySejahtera di setiap venue, memakai pelitup muka dan hand sanitizers serta tidak berkontak dengan pihak luar.

“Contohnya seperti hoki yang mempunyai bilangan pelatih yang besar, dipecahkan kepada kumpulan kecil. Perkhidmatan MSN dan Institut Sukan Negara seperti pemakanan serta rawatan kepada atlet juga diteruskan,” jelasnya.

Beliau berkata walaupun pihaknya menjangkakan kebanyakan kejohanan hanya bermula Januari 2021, tetapi adalah penting bagi atlet meneruskan momentum latihan, untuk kekal berada pada tahap kecergasan yang optimum.

Menurut Jefri lagi, sekiranya atlet menghentikan fasa latihan kesediaan fizikal khusus atau ‘special physical preparation’ (SPP) untuk beberapa minggu, mereka terpaksa bermula dari fasa kesediaan fizikal umum atau ‘general physical preparation’ (GPP) kerana sudah kehilangan tahap kecergasan.

GPP merujuk kepada latihan untuk membina kecergasan, stamina dan kekuatan otot, manakala SPP merujuk kepada latihan spesifik dalam sesuatu sukan yang melibatkan teknik, skil dan kemahiran yang diperlukan dalam acara itu.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

SUKMA 2021: Selangor kekal sasar 45 emas, yakin prestasi naik

SHAH ALAM, 31 OGOS: Selangor kekal dengan sasaran 45 pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan, kata pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri.

Mohamad Nizam Marjugi berkata pihak yakin prestasi atlet meningkat walaupun mengakui beberapa individu menurun prestasi susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang.

“Buat masa ini semua atlet menjalankan latihan seperti biasa dengan mengikut tatacara operasi piawai (SOP), tahap prestasi atlit memuaskan walaupun terdapat atlet prestasinya sedikit menurun akibat latihan terhenti sepanjang PKP.

“Namun begitu prestasi majoriti atlet meningkat sejak latihan dibenarkan pada Julai dan kita harap momentum ini dapat dikekalkan terutama melibatkan sukan penyumbang pingat,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sukma Johor 2020 yang ditangguh susulan penularan Covid-19 dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan manakala Para Sukma berlangsung bermula 5 hingga 10 April.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.