Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kesan banjir kilat Selangor parah, MB bawa isu ke MTES

DENGKIL, 20 JULAI: Kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di Selangor baru-baru ini hampir melumpuhkan pergerakan dan aktiviti harian penduduk, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya akan membawa isu berkenaan ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) kerana ia juga dilihat memberi kesan agak parah kepada mangsa.

“Setakat ini Kerajaan Negeri memberi bantuan kecemasan RM500 kepada mangsa, saya minta supaya penduduk buat laporan polis segera bagi mendapatkan bantuan.

“Namun kita lihat kesannya agak teruk termasuk rumah dan barang kelengkapan mangsa yang musnah, jadi kita akan bawa ke MTES pada Khamis ini atau minggu depan,” katanya kepada media selepas melawat pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Dengkil di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari melawat mangsa banjir di Dewan SJK(C) Dengkil pada 20 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sehingga kini seramai 274 mangsa ditempatkan di pusat berkenaan membabitkan 62 keluarga.

Selain SJKC Dengkil, enam lagi pusat pemindahan dibuka di Dengkil iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil, SRA Dato’ Ahmad Razali, Dewan Orang Ramai Kampung Jenderam Hilir dan Dewan Orang Ramai Taman Gemilang.

Turut dibuka ialah Dewan Orang Ramai Dengkil dan Dewan MPKK Timah Langat yang menempatkan warganegara Myanmar.

Kelmarin, 41 kawasan di Hulu Langat, Sepang, Hulu Selangor, Gombak dan Klang mengalami banjir kilat susulan hujan lebat.

Hulu Langat mencatatkan jumlah kawasan tertinggi iaitu 22, Sepang (12), Hulu Selangor (empat), Gombak (dua) dan satu di Klang.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MTES lulus pasukan khas kawal Covid-19

OLEH AMIN RIDZUAN ISHAK

SHAH ALAM, 12 MAC: Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) hari ini meluluskan penubuhan pasukan petugas Covid-19 yang dianggotai enam individu diketuai Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini berkata mantan menteri kesihatan itu akan dibantu EXCO negeri Dr Siti Mariah Mahmud sebagai Ahli Teras mewakili Selangor.

“Pentadbiran ini memantau dengan dekat sebarang perkembangan virus dari masa ke masa,” katanya.

Individu lain yang menganggotai pasukan petugas Covid-19 ialah:

-Datuk Dr Christopher Lee Kwok Choong
-Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman
-Datuk Dr Fadzilah Kamaludin
-Prof Dr Abdul Rashid Abdul Rahman
-Dr Yap Wei Aun

Pada 10 Mac lalu, Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor menubuhkan pasukan petugas berkuat kuasa serta-merta untuk memantau dan mencegah penularan wabak itu.

Pasukan itu akan bekerjasama dengan Pusat Arahan Smart Selangor untuk mendapatkan maklumat lokasi berisiko tinggi.

Categories
EXCO SELANGOR

MTES bakal putuskan pindah atau kekal kilang bateri di Jenjarom

KAPAR, 7 SEPT: Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) akan memutuskan sama ada kilang bateri yang didakwa membuat pencemaran plumbum di Jenjarom akan ditutup atau dipindahkan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, isu berkenaan akan dibawa ke MTES yang dijadual berlangsung sekurang-kurangnya seminggu dari sekarang.

“Buat masa ini, Kerajaan Negeri sedang mengumpulkan maklumat, namun kita sudah dapat keputusan hasil laporan daripada beberapa jabatan.

“Keputusan sama ada menutup atau memindahkan kilang bateri ini dibuat kerana penduduk mengatakan kewujudannya mencemarkan air bawah tanah serta udara.

“Bagaimanapun, dakwaan itu akan dikenal pasti melalui ujian darah yang dibuat ke atas pengadu,” katanya kepada media selepas merasmikan Karnival Jelajah 360 Smart Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu kilang bateri kontroversi yang didakwa melakukan pencemaran plumbum di Jenjarom, Kuala Langat pada April lalu.

Terdahulu, dilaporkan penduduk mengadakan demonstrasi aman dan mendesak Majlis Daerah Kuala Langat serta Jabatan Alam Sekitar supaya tidak menyambung lesen operasi sementara kilang itu yang tamat, pada 19 Ogos.

Penduduk mendakwa kilang bateri itu membuang sisa plumbum ke dalam saliran yang bersambung dengan sungai serta menyebabkan pencemaran udara di Jalan Sukepi, Kuala Langat.

Namun, pada April, Kerajaan Negeri mengumumkan kilang itu berdepan enam kompaun berjumlah RM12,000 ekoran kegagalannya mematuhi pengurusan peleburan plumbum mengikut jadual.

Kilang terbabit disyorkan untuk dipertuduhkan di bawah Seksyen 34A(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling kerana melakukan proses pemerolehan kembali plumbum tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling.

JURNAL BERITA – MB: Undi tidak percaya perlu diterjemah di sidang DUN

Sinopsis :

1. MB: Undi tidak percaya perlu diterjemah di sidang DUN

2. Pentadbiran Selangor diteruskan dengan kekuatan empat Exco PAS

3. Exco Selangor hadiri Mesyuarat MTES seperti biasa

4. PAS Selangor tetap bersama Pakatan Rakyat

5. MB: Exco dipecat diberi masa cukup kosongkan pejabat

6. MB: Belum ada cadangan lantik Exco baru, Sultan nasihat majukan negeri

7. MB dedah surat perkenan Sultan pemecatan 5 exco

8. Rakyat makin bijak, sokong berdasarkan prestasi & integriti

9. Pembenihan awan 2 kali sehari usaha tingkat paras empangan Selangor

10. MB benarkan PKR adakan Kongres Tahunan di Shah Alam

11. Rugi RM7 juta sehari, Kerajaan perlu tubuh Suruhanjaya Khas kaji penstrukturan MAS

12. FAS tidak pernah abaikan bekas pemain Red Giants

13. Piala Malaysia: Red Giants pamer aksi cemerlang menang 2-1 ke atas T-Team

14. Tabung RM5 juta selenggara lif pangsapuri kos rendah

15. Berita anggota JPJ dikepong & ditetak palsu

16. PKNS anjur Majlis Tahlil & Doa Selamat sempena ulang tahun ke-50

Categories
SELANGOR

MB: Mesyuarat MTES tak bincang kedudukan Penasihat Ekonomi Selangor

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 OGOS: Kedudukan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang berlangsung pagi tadi.

PC EXCO MB - 13.08.2014 (9)“Tidak dibincangkan dalam mesyuarat MTES,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat MTES di Bangunan SUK hari ini.

Ketika ditanya isu kedudukan Ahli Majlis daripada PKR dan DAP, Abdul Khalid memberitahu perkara itu akan dibincangkan kemudian.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu bilakah perkara itu akan dibincangkan.

Categories
SELANGOR

Exco Selangor hadiri Mesyuarat MTES seperti biasa

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 OGOS: Exco Kerajaan Negeri Selangor hari ini hadir ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) seperti mana yang dijadualkan sebelum ini.

Exco Belia, Sukan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Dr Ahmad Yunus Hairi tiba ke bilik gerakan MTES di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor pagi ini kira-kira jam 9.07 pagi tadi dan diikuti Exco Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali kira-kira jam 9.20.

sukBeberapa minit kemudian Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan ditemani Exco Agama Islam, Sallehen Mukhyi tiba dan diikuti Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad.

Para wakil media mula berkumpul di lobi Bangunan SUK sejak jam 8.30 pagi lagi.

EZY

Categories
SELANGOR

MB bincang 6 jam tanpa henti cari penyelesaian terbaik isu bekalan air

SHAH ALAM 21 FEB: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bermesyuarat hampir 6 jam membincangkan strategi menangani impak cuaca panas dan kering keatas keselamatan bekalan air negeri.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim mendedahkan perkara itu di laman sosialnya semalam.

.“Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dipengerusikan Menteri Besar bermesyuarat dari 2.30 petang hingga 8.10 malam tanpa henti untuk menyelesaikan 15 perkara termasuk usul pencatuan air,” kata Chang Khim.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hassan berkata kekurangan bekalan air di Negeri Sembilan menerusi beberapa langkah kontingensi.

Semalam media melaporkan Negeri Sembilan diisytiharkan krisis.

Sementara itu Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) meminta pengusaha air untuk mendapatkan kelulusan dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (SPAN) sebelum melaksanakan program pencatuan.

“Pengusaha air perlu menjustifikasikan tindakan itu,dengan pelan kontinjensi termasuk pengurusan strategik, jadual, pelan komunikasi serta mitigasi,” kata KeTTHA dalam satu kenyataan.

Setakat ini, hanya Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) diberi kelulusan untuk melaksanakan catuan air di Kluang, Johor.

Manakala dua loji rawatan di Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi terus ditutup ekoran paras pencemaran amonia yang tinggi.

Selangor Tawar RM 9.65 Bilion Ambil Alih Pengurusan Air – INFO 12


 

Sinopsis

Info 12 Untuk 21022013

Saksikan secara langsung “INFO 12” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 21 FEBRUARI 2013 :

1. Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion kepada empat syarikat yang mengurus industri air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi mengambilalih operasi mereka.

2. AMK Selangor akan sentiasa berdiri teguh di belakang Kerajaan Negeri Selangor atas apa juga dasar baik yang dirangka untuk rakyat.

3. DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tiada halangan dan bersetuju dengan keputusan Kerajaan Negeri bagi pembubaran DUN Selangor untuk diadakan pilihan raya apabila tiba masanya.

4. Kerajaan Negeri akan membuat keputusan bagi mengatasi masalah banjir kilat di Puchong selepas berakhir mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
SELANGOR

MTES Bincang Cara Atasi Banjir Di Puchong

MB Banjir di Puchong 01

SHAH ALAM 20 FEB : Kerajaan Negeri akan membuat keputusan bagi mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku di Puchong semalam selepas berakhir mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) petang ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata antara tindakan dijangka akan diambil adalah merangka dan membetulkan semula pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan.

Bagaimana, katanya keputusan akan dibuat berdasarkan penerangan yang akan diberikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya, Datuk Asmawi Kasbi dalam mesyuarat itu.

“Kita akan meminta Yang Dipertua MPSJ memberikan penerangan mengenai pembangunan di situ dan mengapa banjir berlaku.

“Dari situ keputusan akan dibuat secara profesional dan akan diumumkan sama ada merangka semula pembangunan infrastruktur di kawasan itu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat exco di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Jabatan Kejuruteraan MPSJ bagi menjalankan siasatan dan menyiapkan laporan mengenainya.

Semalam banjir kilat berlaku di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) yang menyebabkan laluan ke Bandar Puteri ditutup selama beberapa jam.

Kawasan di Bandar Puchong Jaya juga tenggelam akibat hujan lebat pada kira-kira jam 4.45 petang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Skandal Tanah Wanita Umno Selangor, Kerajaan Negeri Hanya Lulus Bina Kem Tentera

Meeting Exco September MB

SHAH ALAM 4 Jan : Kerajaan Selangor hanya akan meluluskan pembinaan kem tentera di atas sebidang tanah di Bukit Raja yang ada kaitan dengan syarikat pemimpin Umno Selangor.

Ini bermakna tanah tersebut, yang telah diserahkan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan pada 1980-an oleh Kerajaan Selangor Umno-BN dahulu, tidak boleh digunakan untuk pembangunan lain seperti bangunan komersial.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebarang bentuk pembangunan lain yang berlaku di atas tanah tersebut dilakukan tanpa pengetahun dan tidak diikhtiraf Kerajaan Negeri.

“Kita tidak akan membenarkan sebarang pembangunan di atas tanah itu kecuali bagi pembinaan kem latihan tentera seperti yang ditetapkan.

?Itu pun selepas mendapat kebenaran Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES),” menurut satu kenyataan dari Sekretariat Ahkbar Pejabat Menteri Besar hari ini.

Sebelum ini dilaporkan bahawa status dan kegunaan tanah seluas 200 ekar di kawasan Perindustrian Bukit Raja, Klang itu muncul di dalam skandal yang membabitkan syarikat Ketua Wanita Umno Selangor dan saudagar karpet Deepak Jaikishan.

Minggu lepas, akhbar Selangorkini melaporkan bahawa usaha sedang giat dilakukan untuk menjual tanah tersebut kepada Bakti Wira Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan hartanah yang dimiliki sepenuhnya oleh Boustead Holdings Berhad.

Boustead adalah unit pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang menyimpan caruman dari potongan gaji anggota tentera.

Syarikat yang berusaha untuk menjual tanah tersebut adalah Awan Megah Sdn Bhd yang mana pengarahnya adalah Ketua Wanita Umno Selangor, Senator Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah.

Akan tetapi, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mempertikaikan bagaimana tanah yang telah digazetkan untuk kem tentera boleh diurusniaga secara komersil melainkan dengan arahan dan campur tangan pihak yang benar-benar berkuasa.

Setiausaha politik Menteri Besar Faekah Husin dilaporkan berkata Pesuruhjaya Tanah Persekutuan pernah membuat permohonan pada tahun 2009 untuk pembangunan komersil dan bercampur di atas tanah itu.

Pembangunan tersebut melibatkan dua syarikat – Awan Megah dan Astacanggih Sdn Bhd, milik Deepak.

Keputusan hari ini oleh MTES bermakna sebarang projek pembangunan – kecuali kem tentera – di atas tanah tersebut tidak akan mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan atau agensi Selangor.

Abdul Khalid berkata tanah tersebut masih lagi di bawah nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan tidak dipindahmilik kepada mana-mana syarikat atau individu.

 

Categories
SELANGOR

Adun BN Perlu Desak Kerajaan Pusat Salur Peruntukan Kepada JPS

SHAH ALAM, 27 NOV : Kerajaan Negeri menggesa Adun Umno-BN Selangor mendesak Kerajaan Pusat supaya menyediakan peruntukan secukupnya kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah banjir di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, JPS kini beroperasi dalam keadaan kekurangan dana dengan hanya menerima peruntukan tidak melebihi RM1 juta setahun daripada Kerajaan Pusat.

Ekoran itu, JPS menghadapi kesukaran menjalankan tanggungjawab menyelenggara sistem saliran dan perparitan dengan baik di negeri ini.

“Difahamkan pada 2009, JPS hanya menerima sejumlah RM8 juta daripada Kerajaan Pusat untuk kerja-kerja penyelenggaraan, manakala tahun-tahun lain, JPS hanya menerima peruntukan tidak melebihi RM1 juta.

“Menyedari hakikat itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah dana bernilai antara RM5 juta hingga RM8 juta setahun kepada JPS. JPS juga meminta peruntukan RM1.2 bilion untuk mengatasi masalah banjir di Klang daripada Kerajaan Pusat, namun sehingga kini dananya masih tidak sampai,” katanya.

Ronnie berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Lee Kim Sin (PKR-Kajang) ketika sesi perbahasan Belanjawan 2013 Peringkat Jawatankuasa di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sementara itu, Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) menggesa pihak JPS untuk mengambil tindakan proaktif dengan mengemukakan senarai keutamaan kepada Kerajaan Negeri dalam Mesyuarat Tertinggi Exco (MTES) untuk melaksanakan program tebatan banjir.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan Kerajaan Negeri meneliti keperluan mendesak bagi pelaksanaan program tersebut.

“Sekiranya tindakan ini tidak diambil, ia akan membebankan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terpaksa berhadapan masalah banjir yang semakin kerap berlaku di negeri Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor Tidak Pernah Lulus Pembinaan Kabel Bervoltan Tinggi

KUALA LUMPUR, 23 OKT : Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak pernah memberi kelulusan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk meneruskan Projek Pembinaan Kabel berkuasa tinggi sehingga hari ini.

Sebaliknya tegas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim projek ini sebenarnya diluluskan oleh Kerajaan Selangor BN pada 2007.

“Kalau MCA kata dia protes, dia mesti protes pada 2007 dan dia tidak boleh protes sekarang,” katanya dalam majlis lawatan kerja dan bertemu rakyat di Taman Connaught di sini hari ini.

Justeru, tuduhan MCA Bandar Tun Razak pada 17 Oktober lalu bahawa beliau dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) memberi kelulusan kepada TNB untuk membina kabel itu merentasi beberapa kawasan di Cheras di Selangor dan Taman Connaught di sini adalah tidak benar.

“Sebaik sahaja menerima bantahan dan aduan daripada penduduk setempat tentang pembinaan ini pada 2010, saya mengarahkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) supaya tidak memberikan apa-apa kellulusan pembinaan kepada TNB di kawasannya sehingga TNB memberikan cadangan lain.

“Tetapi malangnya TNB bru-baru ini mula meneruskan kembali pembinaan itu bertumpu di kawasan Taman Connaught di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) manakala di Selangor pembinaan tidak diteruskan,” katanya.

Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak juga berkata, TNB seharusnya mempertimbangkan bantahan penduduk dan tidak meneruskan projek pembinaan kabel berkuasa berkenaan.

Bagi menyelesaikan masalah ini satu perbincangan dicadangkan diadakan dalam masa dua minggu ini melibatkan TNB dan DBKL bersama penduduk di situ serta Bandar Tun Razak bagi mencari jalan penyelesaian.

Beliau berkata, penduduk membantah projek tersebut kerana berasa bimbang akan tahap keselamatan dan kesihatan mereka bakal terjejas akibatnya.

Menurutnya, pihaknya menyokong penuh sebarang projek pembangunan untuk keselesaan rakyat tetapi ia perlu dilakukan secara berhemat dengan mengambil kira pandangan dan ketidakselesaan golongan itu.

Turut hadir, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan Ahlli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.