Categories
AGAMA SELANGOR

#Selangor18: RM3.25 juta imarah muassasah haji

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri akan menyemarakkan program Imarah Muassasah Haji menerusi peruntukan RM3.25 juta untuk 6,500 jemaah Selangor, pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, program itu kesinambungan terhadap insentif RM500 yang disalurkan kepada jemaah haji muassasah yang menunaikan rukun Islam kelima, tahun ini.

“Tatkala saya bersarapan pagi di Warong Pak Mat, Sungai Jelok, Kajang pada 27 Oktober lalu, saya didampingi pengusaha warung, Haji Mohamad Baba yang tersenyum riang dan melahirkan rasa syukur kerana beliau dan isteri, Hajjah Zaiton Ahad atau Mak Ton menerima hibah Kerajaan Negeri dalam bentuk pembiayaan Imarah Muassasah Haji tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) melancarkan insentif RM500 kepada jemaah haji muassasah Selangor yang menunaikan haji ke Makkah.

Insentif di bawah Program Jemaah Haji Muassasah Selangor itu dilaksanakan sebagai tanda kepedulian pentadbiran negeri dan MBI kepada bakal jemaah haji.

=EZY=