Categories
AGENDA NASIONAL

Letak calon kerusi KEADILAN, HARAPAN digesa henti kerjasama dengan Muda

SHAH ALAM, 25 FEB: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor menggesa kerjasama politik antara parti itu dan Pakatan Harapan (HARAPAN) bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dihentikan.

Ketua Penerangan KEADILAN negeri Halimey Abu Bakar turut meminta HARAPAN meletak calon di setiap kerusi ditandingi Muda dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

“Keputusan Muda meletakkan calon di DUN Larkin menunjukkan bahawa Muda tidak menghormati kerjasama politik yang dijalinkan bersama KEADILAN dan HARAPAN.

“Umum mengetahui KEADILAN meletakkan calon atas kesepakatan bersama HARAPAN di DUN Larkin dan tindakan Muda bakal memecahkan undi pembangkang dan memberi kelebihan kepada calon Barisan Nasional,” katanya menerusi kenyataan.

Halimey berkata seluruh jentera pilihan raya KEADILAN dan HARAPAN perlu meningkatkan usaha memberi pencerahan kepada rakyat Johor serta memastikan perompak, perasuah dan pengkhianat tidak kekal berkuasa dan mentadbir kerajaan negeri.

Semalam Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan ketua penerangan parti itu Rasid Abu Bakar bertanding kerusi DUN Larkin yang turut ditandingi calon KEADILAN Dr Zamil Najwah Arbain.

KEADILAN mencalonkan 20 individu termasuk bekas menteri pendidikan yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik mewakili parti itu dalam PRN bulan depan.