Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mufti: Tidak batal jika suntik vaksin ketika puasa

SHAH ALAM, 3 APRIL: Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor menetapkan puasa umat Islam tidak terbatal sekiranya mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Mufti Selangor berkata ketetapan dibuat berdasarkan hujah bahawa suntikan bukan di rongga terbuka dan diambil bagi memelihara nyawa serta mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan.

“Jika suntikan melalui saluran tidak terbuka seperti otot badan, peha atau lengan, dengan syarat ia tidak mengenyangkan maka puasa tidak batal. Dari aspek maqasid syariah, umat Islam disyariat menjaga nyawa jadi perlu mengambil suntikan ini.

“Langkah kerajaan mendapatkan vaksin ini merupakan usaha murni mengekang penularan pandemik. Justeru sebarang usaha kerajaan yang membawa kebaikan kepada rakyat perlu disokongan. Mentaati pemerintah merupakan perkara dituntut syarak,” kata Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid menerusi kenyataan.

Beliau menasihati umat Islam yang mengambil suntikan supaya patuh tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan.

Pada 26 Mac lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru rakyat agar tidak ragu mengambil suntikan terbabit.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menyokong gesaan dan nasihat supaya rakyat tidak gusar menerima suntikan tersebut ketika berpuasa di bulan Ramadan.

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Mufti WP setuju hukum ambil vaksin Covid-19 harus

PUTRAJAYA, 14 FEB: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) bersetuju mengguna pakai resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) pada 3 Disember lepas yang mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan yang ditetapkan kerajaan.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata PMWP menyokong sepenuhnya pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijangka bermula penghujung Februari ini.

“Dari aspek kepenggunaan pula, katanya hukum harus itu turut diputuskan selepas mengambil kira pendirian tegas kerajaan bahawa hanya vaksin yang telah dikenal pasti statusnya sebagai halal dan tayyiban sahaja yang akan digunakan sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini,” katanya.

Luqman berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada Khamis lepas yang diadakan renteran timbulnya pelbagai kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung pengambilan vaksin itu.

Sehubungan itu, katanya PMWP menyeru seluruh umat Islam di negara ini khususnya di Wilayah Persekutuan agar menghormati fatwa yang telah diputuskan berhubung pengambilan vaksin Covid-19 di Malaysia.

Luqman berkata fatwa itu diputuskan setelah melalui pelbagai proses perbincangan bersama pihak-pihak yang berautoriti dalam bidang masing-masing.

“Tambahan pula, ia juga satu daripada usaha kerajaan dalam memastikan Malaysia berjaya mengharungi krisis Covid-19 ini dengan lebih berkesan,” katanya.

Justeru, beliau mengajak umat Islam agar menjadikan fatwa itu sebagai rujukan utama khususnya bagi mendukung usaha pemimpin negara untuk memerangi pandemik ini dengan lebih berkesan.

– BERNAMA

Categories
AGAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Mufti: Boleh solat Zuhur di surau, rumah jika tiada jemputan solat Jumaat

SHAH ALAM, 4 JULAI: Jemaah yang tidak mendapat jemputan solat Jumaat boleh mendirikan solat Zuhur secara bersendirian atau berjemaah di rumah dan surau yang tiada kebenaran ibadah itu, kata mufti Selangor.

Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata jemaah dinasihatkan menunaikan solat Zuhur selepas 30 minit masuk waktu supaya tidak mendahului solat Jumaat di masjid atau Surau Kebenaran Jumaat berhampiran.

“Dalam tempoh sebelum menunaikan solat bolehlah diisi dengan bacaan al-Quran atau zikir,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Bermula semalam, semua masjid dan surau di negeri ini dibuka untuk menunaikan solat Jumaat selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda juga berkenan semua masjid dan surau di Selangor dibuka semula untuk mendirikan solat fardu lima waktu secara berjemaah dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Categories
AGAMA AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Mufti: Tidak sah solat Jumaat di tempat tanpa kebenaran kerajaan

SHAH ALAM, 1 JUN: Mendirikan solat Jumaat di tempat tidak dibenarkan oleh Kerajaan Negeri tidak sah dan bertentangan dengan enakmen pentadbiran yang sedang berkuat kuasa, kata mufti Selangor.

Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata mereka yang menunaikan solat Jumaat selain tempat ditentukan pemerintah perlu menggantikan (qada) semula dengan solat Zuhur.

Katanya, larangan itu bertepatan dengan Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 (EPAINS 2003) berhubung sekatan penubuhan masjid dan penalti.

“Tiada seorang pun boleh, tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis mendirikan apa-apa bangunan untuk digunakan atau menggunakan atau menyebabkan supaya digunakan mana-mana bangunan bagi perkara yang hanya boleh dilakukan di atau oleh masjid.

“Mana-mana orang melanggar peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Mohd Tamyes berkata terdapat sebilangan kecil umat Islam di negeri ini mendirikan solat Jumaat di premis yang tidak mendapat kebenaran pemerintah (pihak berkuasa) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Mazhab Imam Shafie dalam qaul qadimnya berpandangan bahawa tidak sah menunaikan solat Jumaat tanpa izin ulil amri (pemerintah),” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Mufti: Kematian enam anggota bomba dianggap syahid

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 OKT: Kematian enam anggota Bomba dan Penyelamat ketika menjalankan operasi menyelamat (SAR) seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong dianggap syahid.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hal itu kerana keenam-enam Allahyarham merupakan insan terpilih dan mempunyai hati yang suci serta memahami tugas atau amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Berita kematian enam anggota Bomba kerana ingin menyelamatkan mangsa berakhir dengan terkorban mati lemas menginsafkan kami, serta memberi makna yang mendalam pada maksud pengorbanan dalam tugas.

“Kami iktibarkan mereka sebagai syahid berasaskan kepada nas hadis. Tetapi, kepada rakan kita ini, mereka jauh lebih mulia kerana bukan sahaja mereka mati lemas, tetapi menolong dan membantu mangsa sehingga terkorban.

“Mereka adalah insan-insan terpilih dan mempunyai hati yang suci serta amat memahami tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan, terutamanya dalam kecemasan hingga kepada nafas yang terakhir dan denyut nadi yang terakhir. Inilah syuhada’ kita. Semoga Allah menempatkan mereka bersama para nabi, al-siddiqin dan syuhada’. Amin,” tulisnya menerusi laman Facebooknya.

Dr Zulkifli berkata, atas asas berkenaan, perasaan dukacita di atas perkara dan tragedi yang berlaku dan gembira atas semangat yang ditunjukkan, disifatkan luar biasa.

“Syabas Bomba Malaysia dan juga kepada mereka yang bertindak seperti syuhada’ kami ini.

“Kepada ahli keluarga, bertabahlah. Setiap apa yang telah berlaku pasti ada hikmah yang kadang-kadang amat sukar ditafsirkannya.

“Kepada rakyat Malaysia, saya syorkan agar dihulurkan bantuan kepada kaum keluarga untuk meringankan beban mereka dan terus dapat meneruskan kehidupan sekalipun diuji dengan perpisahan orang tercinta,” katanya.

Pada masa sama, beliau mahu Kerajaan Persekutuan memberikan anugerah kecemerlangan dan menaikkan pangkat mereka.

“Sesungguhnya, inilah staf kerajaan dan pekerja di era Malaysia baru yang sanggup berkorban apa sahaja,” katanya.

Keenam-enam yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Categories
NASIONAL

KEADILAN: Pertemuan Mufti dan Ketua Paderi patut dicontohi

SHAH ALAM 11 JAN : KEADILAN menyambut baik pertemuan di antara Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ketua Paderi Kuala Lumpur, Julian Leow Beng Kim pada 7 Januari lalu tatkala pelbagai isu melibatkan umat Islam-Kristian di Malaysia mutakhir ini.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata pertemuan bersejarah itu adalah isyarat jelas daripada pemimpin agama yang menzahirkan penolakan terhadap pendekatan Umno BN menggunakan sentimen dan provokasi agama bertujuan memecah belahkan masyarakat.

Pertemuan Mufti Paderi“Usaha murni kedua-dua pemimpin agama ini seharusnya dicontohi pemimpin agama di setiap lapisan masyarakat baik di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.

“Ini selaras dengan mesej Islam sebagai “rahmatan lil ‘alamin” (rahmat untuk seluruh alam,” kata Shamsul yang juga Naib Presiden KEADILAN dalam kenyataan medianya.

Sebelum Dr. Zulkifli di laman facebooknya menyatakan pertemuan bersama Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Global Unity Network dan Archbishop Kuala Lumpur ke arah persefahaman dan keharmonian antara agama khususnya Islam dan Kristian.

Dr Zulkifli berkata pelbagai isu dibincangkan bersama khususnya perihal konsep kepelbagaian masyarakat, toleransi, dan sikap hormat-menghormati antara agama.

EZY

Categories
SELANGOR

Pertemuan Mufti & SIS sudah dilakukan 2 tahun lepas sebelum keluar fatwa

SHAH ALAM 8 NOV: Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) menyatakan pertemuan sudah diadakan dengan NGO Sister in Islam (SIS) sebelum fatwa pemikiran liberalisme dan pluralisme agama diwartakan pada 17 Julai 2014.

Dalam satu kenyataan media, Jabatan Mufti Selangor berkata pertemuan dengan SIS bersama ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor diadakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 12 Januari 2012 bertempat di Bilik Mesyuarat JMNS.

10644954_10203666675371061_4292705463987471241_nKatanya, pertemuan itu dipengerusikan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan dihadiri oleh seramai lapan orang wakil SIS.

“Antara (wakil SIS yang hadir) ialah Zainah Mahfoozah Anwar (bekas pengarah eksekutif SIS), Datin Marina Mahathir (pengasas SIS) dan Puan Ratna Osman (pengarah eksekutif SIS),” kata kenyataan itu.

Fatwa yang diwartakan di Selangor pada 17 Julai itu menyatakan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam dan memetik NGO itu sebagai contoh.

SIS telah memfailkan semakan kehakiman terhadap jawatankuasa fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan negeri Selangor berhubung fatwa yang melabel NGO itu sebagai “sesat dan menyeleweng” dari ajaran Islam.

EZY