Categories
AGENDA NASIONAL RENCANA

Penceritaan hidup, riwayat Rasulullah sentuh emosi

Oleh Faridzwan Abdul Ghafar dan Nazli Ibrahim

 

Buku Muhammad: His Life Based on the Earliest Sources masyhur sejak pertama kali diterbitkan pada 1983.

Dianggap biografi terbaik Rasulullah SAW, buku yang banyak diterjemah ke pelbagai bahasa antaranya Perancis, Itali, Sepanyol, Turki dan Belanda menampilkan gaya penulisan mudah tetapi disulami bahasa indah.

Karya Martin Lings atau nama Islamnya Abu Bakar Sirajuddin itu turut meraih pengiktirafan peringkat antarabangsa antaranya anugerah Persidangan Sirah Kebangsaan Pakistan dan anugerah daripada Presiden Mesir Hosni Mubarak.

Martin Lings menulis berdasarkan sumber tulisan awal daripada empat ilmuan Islam iaitu Ibnu Ishaq, Ibnu Hisham, Ibnu Sa’ad dan Al Waqiqi. Sumber itu, sebahagiannya berusia sehingga 1,200 tahun, dikutip hasil catatan empat ilmuan tersebut sama ada sumber lisan dan catatan kecil sahabat Nabi Muhammad SAW.

Martin Lings juga menulis 18 buku sepanjang hayat beliau antaranya The Book of Certainty: The Sufi Doctrine of Faith, Wisdom and Gnosis, The Quranic Art of Calligraphy and Illumination dan What is Sufism? Namun, beliau sendiri menyifatkan penulisan biografi Rasullulah SAW sebagai kemuncak kariernya selaku penulis.

Sekalipun segelintir ulama berfahaman Salafi cuba mempertikai tulisan itu, buku berkenaan terus menerima sambutan umat Islam. Bahkan, buku itu mendapat perhatian ulama dari Universiti al-Azhar.

Terjemahan buku dengan judul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal dijayakan Ketua Pengarang Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Al-Mustaqeem Mahmod Radhi dan Pengarah Eksekutif IBDE Farhan Affandi. Mereka mula menterjemah pada 2018 sebelum siap dua tahun kemudian.

Buku asal mengandungi 362 muka surat manakala terjemahan bahasa Melayu setebal 496 halaman meliputi 85 bab. Dicetak kulit keras, rekaannya berkonsep minimalis, sesuai cita rasa peminat buku masa kini.

Lebih 9,000 naskhah terjual setakat ini melalui dua cetakan sejak berada dalam pasaran pada tahun lepas. IBDE kini dalam perancangan untuk menghasil-kan cetakan ketiga berikutan permintaan berterusan pelbagai lapisan umat Islam di negara ini.

IBDE menerusi projek Siri Pencerahan Selangor sejak empat tahun lalu giat menterjemah pelbagai buku antaranya tulisan Imam al-Ghazali berjudul Perihal Kesederhanaan Dalam Beriktikad, Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik dan Penyelamat Daripada Kesesatan. Buku berkaitan tokoh tersohor dunia juga diterjemah.

Pemerhatian mendapati rata-rata pembaca berminat dengan biografi baginda itu yang ditulis bersahaja, romantis hingga membuaikan emosi pembaca dalam menghayati perjuangan Rasulullah SAW dalam mentauhidkan Allah SWT.

Buku tersebut turut menggamit perhatian penyanyi hip hop Altimet yang menyifatkannya pengisahan riwayat baginda membawa pembaca seolah-olah berada pada zaman tersebut.

“Belajar di sekolah mungkin agak kering tetapi cara penceritaan melalui terjemahan seolah-olah kita nampak individu atau watak seseorang serta keadaan persekitaran termasuk cara berinteraksi,” katanya.

Bahagian awal buku itu menelusuri zaman pra-Islam. Kisah jerit perih membina Kaabah oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS turut diungkap diikuti kronologi penguasa Makkah sehingga kelahiran Rasulullah SAW.

Kejahilan penguasa Makkah dan masyarakat Arab pada zaman pra-Islam yang mencemarkan Kaabah dengan membawa berhala dari segenap pelusuk Arab turut dipapar.

Seterusnya, pembaca dibawa mendalami detik-detik awal keluarga Nabi Muhammad SAW iaitu Bani Hashim seterusnya kelahiran dan perjalanan kehidupan awal baginda.

Ini termasuk zaman kanak-kanak, remaja hingga dewasa dan berkahwin dengan Khadijah binti Khuwailid. Setiap fasa hidup Rasulullah SAW disampaikan dengan begitu teliti bersama rencah emosi.

Setiap bait yang memperihal baginda Rasulullah SAW membawa penghayatan pembaca terhadap susur perjuangan baginda termasuk kepentingan seruan menyembah Yang Esa sama seperti nabi dan rasul terdahulu.

Selain kelebihan gaya penyampaiannya yang hidup, buku ini disertakan pelbagai nota kaki, salasilah marga (bani) secara terperinci selain beberapa fakta baharu.

Selain sisi peribadi baginda seperti hubungannya dengan isteri-isteri, anak-anak dan sahabat, biografi ini turut menyentuh aspek sosial, ekonomi, dan politik pada zaman awal Islam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Guna karya seni untuk sampai mesej, beri impak kepada masyarakat

SHAH ALAM, 11 OGOS: Semua cabang seni mampu memberi impak dalam kehidupan seseorang sekiranya mesej disampaikan dengan betul, kata penyanyi hip hop Altimet.

Beliau berkata karya yang ingin diketengahkan pula perlu mengikut saluran bersesuaian dan seiring keadaan semasa bagi menarik perhatian ramai.

“Dalam konteks nusantara, kita memiliki banyak cabang seni seperti gurindam, syair dan pantun. Jika disamakan zaman moden, pantun boleh (disampaikan) dengan Twitter manakala syair serta gurindam melalui siaran blog.

“Jadi, cabang seni memang memainkan peranan untuk menyampaikan sesuatu dan patut digunakan sebaiknya. Insya-Allah akan sampai (kepada masyarakat) jika mesej disampaikan itu baik,” katanya.

Pemenang trofi kategori persembahan terbaik menerusi lagu Amboi pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32 berkata demikian pada program bedah buku melalui siaran langsung di Facebook Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) malam tadi.

Program itu turut menampilkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai panel selain penterjemah buku berjudul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal, Al-Mustaqeem M Radhi dan Farhan Affandi.

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

PGA Briged Tengah tahan 291 individu pelbagai kesalahan

SEMENYIH, 26 OGOS: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah menahan 291 individu dan merampas pelbagai jenis barang bernilai RM18.9 juta dalam Op Nyah 1 dan Op Benteng COVID dari awal Januari hingga 24 Ogos tahun ini.

Komander PGA Briged Tengah, SAC Muhammad Abdul Halim berkata pihaknya melaksanakan 107 serbuan, di sekitar pantai barat Johor dan pantai Selangor.

Beliau berkata pecahan yang ditahan terdiri daripada 100 lelaki dan tiga wanita warga tempatan manakala 177 lelaki dan 37 wanita warga asing yang kesemuanya berumur lingkungan antara 20 hingga 60 tahun.

“Penahanan warga asing melibatkan warga dari Indonesia, Pakistan, Vietnam, Myanmar, Bangladesh, Sri Lanka, India dan Nepal.

“Selain itu, barang dirampas ialah beberapa jenis kenderaan bernilai RM7.5 juta, rokok seludup bernilai RM6.4 juta, arak seludup bernilai RM2.3 juta, dadah bernilai RM1.4 juta, hidupan dan tumbuhan dilindungi bernilai RM83,560 serta wang tunai sebanyak RM1.1 juta,” katanya dalam sidang media khas di Kem Batalion Empat PGA Semenyih di sini hari ini.

Muhammad berkata kesemua serbuan disiasat di bawah Akta Imigresen 1963, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010, Akta Perhutanan 1984/89, Akta Bahan-Bahan Kakisan Dan Letupan 1958 dan Akta Perikanan 1985.

Dalam perkembangan sama, seramai 17 anggota dari PGA Briged Tengah menjalani ujian saringan Covid-19 dan dikuarantin di kem berkenaan berikutan mereka terlibat operasi itu.

Beliau bekata semasa melakukan Op Benteng COVID pihaknya menahan seramai 18 pendatang tanpa izin yang cuba menyeludup masuk ke negara ini di Jeti Perikanan Sekinchan, Selangor.

Muhammad berkata seorang daripada warga asing yang ditahan telah melalui ujian saringan Covid-19 dan didapati positif wabak itu.

“Polis kemudiannya mengikut tatacara operasi piawai yang kesemua anggota terlibat dalam operasi membuat saringan dan dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.

“Alhamdulillah, kesemua anggota yang terlibat dalam operasi itu didapati negatif Covid-19 setelah melalui saringan begitu juga bagi warga asing lain yang ditahan,” katanya.

-BERNAMA