Categories
AGENDA NASIONAL

Majlis Konsultatif Keselamatan dan Ketenteraman Awam bakal ditubuhkan

PUTRAJAYA, 16 JAN: Majlis Konsultatif Keselamatan dan Ketenteraman Awam (MKKKA) kini dalam proses ditubuhkan bagi menambah baik pengurusan isu semasa berkaitan ancaman keselamatan, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bercakap dalam sidang media selepas menyampaikan majlis amanat tahun baharu Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini, Muhyiddin berkata MKKKA akan dianggotai oleh wakil komuniti, pertubuhan bukan kerajaan dan pegawai tertinggi KDN.

Beliau berkata MKKKA antaranya menjadi platform perkongsian idea dan perbincangan isu semasa berhubung keselamatan dan ketenteraman awam, serta mendapatkan maklum balas dan pandangan berkaitan keberkesanan dasar dan program KDN dalam menangani perkara berkenaan.

“Ia bertujuan mendapatkan maklum balas, cadangan dan pandangan secara terus daripada pemimpin masyarakat tentang apa yang sedang KDN laksana. Penambahbaikan, pindaan undang-undang yang sesuai boleh dicadangkan dalam majlis ini,” katanya.

Menurutnya, keanggotaan MKKKA dalam kalangan tokoh-tokoh serta mereka yang pakar dan mahir dalam isu berkaitan ketenteraman awam sudah dikenal pasti dan majlis berkenaan dijangka mula bermesyuarat pada tahun ini.

“Siapa saja yang duduk di situ (MKKKA) boleh bantu kerajaan untuk sampaikan rasa tidak puas hati dari sudut tindakan SOP (prosedur operasi standard) yang kami (agensi di bawah KDN) guna,” katanya.

Mengakui keselamatan dan ketenteraman awam kini lebih mencabar terutama dari aspek keselamatan siber dan jenayah rentas sempadan, Muhyiddin berkata KDN perlu memastikan negara selamat daripada ancaman seumpama itu.

Muhyiddin berkata KDN juga memberi tumpuan kepada usaha mengekang dan membanteras aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan melalui inisiatif The New Non Profit Organization Financial Environment Management di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Menurutnya, inisiatif itu berupaya mengenal pasti pertubuhan berdaftar yang disalahgunakan untuk tujuan pengubahan wang haram dan membiayai aktiviti keganasan.

“Jangan ada pertubuhan yang digunakan bagi tujuan itu (membiayai keganasan) atas tiket kebajikan, pendidikan atau sebagainya,” katanya, sambil menambah pembiayaan keganasan merupakan satu isu yang dihadapi bukan sahaja oleh Malaysia tetapi seluruh dunia.

Menurut Muhyiddin, JPPM kini sedang meneliti laporan kewangan tahunan yang dihantar oleh pelbagai pertubuhan mengikut Akta Pertubuhan, serta menegaskan langkah itu bukan bertujuan untuk mengganggu mana-mana pertubuhan.

“Bukan (kerajaan) nak harass atau nak kawal pertubuhan. Tetapi jika ada bukti, KDN akan beri perhatian serius,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Segera lakukan perubahan jika mahu kekal berkuasa – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Satu perubahan drastik dalam kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) perlu dilakukan dengan mengambil kira kekalahan majoriti yang besar pada Pilihan Raya kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini, kata Timbalan Presiden PAKATAN Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata ini perlu dilaksanakan dalam kadar segera jika PAKATAN ingin terus berkuasa melebihi tempoh satu penggal dan tidak boleh ditangguhkan lagi dengan mengambil kira manifestasi rakyat yang diterjemahkan melalui keputusan pilihan raya kecil tersebut.

“Perubahan drastik yang besar perlu berlaku dalam banyak bidang termasuk dasar, pelaksanaan, dasar belanjawan, dasar fiskal, kepimpinan di mana kita percaya ini adalah penting dan kita perlu melihat,” kata Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sabtu lepas, Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi Parlimen Tanjung Piai selepas calonnya Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi persaingan enam penjuru pada PRK kawasan itu dengan majoriti 15,086 undi.

Mengulas tentang kemungkinan terdapat unsur sabotaj ketika PRK itu berlangsung, beliau berkata perkara itu tidak dapat dipastikan kerana majoriti kekalahan adalah besar, berbanding yang dijangkakan sebelum ini dengan hanya tewas pada majoriti sedikit sahaja.

Bagaimanapun, beliau berkata ia merupakan satu isyarat demokrasi di negara ini telah berlaku dan semua pihak harus menghormati keputusan tersebut.

“Jadi itu satu isyarat, ini proses demokrasi di mana kita kena hormati pendapat pengundi, dan kita tahu mereka membuat keputusan sendiri dan tentu ada sebab kenapa mereka berbuat demikian,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SOSMA akan jadi lebih baik lepas kajian semula – Muhyiddin

PONTIAN, 8 NOV: Kajian semula dan pindaan yang akan dilakukan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), bakal menjadikan pelaksanaannya lebih baik dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kajian itu melibatkan pelbagai perkara dan banyak pihak berkepentingan tinggi, dalam meningkatkan lagi tahap keselamatan dan keamanan negara.

“Dari pandangan saya dan setakat hari ini, saya dapati keputusan yang telah dibuat Pakatan Harapan (PAKATAN) termasuk apa yang termaktub dalam manifesto kekal. Kita tidak akan mansuhkan SOSMA. Kita akan pinda.

“Ini memang dah disetujui, dan maklum di Parlimen berapa kali. Langkah dimulakan, kabinet ada pandangan lain, untuk kita perhalusi lagi. Libat urus, engagement, termasuk ahli parlimen, majlis peguam, ahli akademik. Lepas tu bawa balik ke kabinet, supaya dapat keputusan muktamad. Jadi ada beberapa perkara yang mungkin minta kita berikan tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Balai Polis Pekan Nanas, kira-kira 30 minit dari Pontian hari ini.

Muhyiddin sebelum ini dilapor berkata kerajaan dijangka meminda undang-undang ‘drakonian’, termasuk SOSMA pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Mac tahun depan.

Katanya kertas pindaan masih belum selesai dan beberapa proses perlu dilakukan termasuk membawanya kepada perbincangan Kabinet, sebelum dibawa ke Parlimen pada Mac depan.

Dalam sidang media itu juga, Muhyiddin menegaskan antara perkara yang diambil kira adalah soal tempoh tahanan reman SOSMA yang disifatkan terlalu panjang.

“Semalam pun saya dimaklumkan seperti ada kata tempoh reman SOSMA itu agak terlalu panjang, 28 hari. Agak menyeksakan. Pandangan itu kita ambil kira tapi kita juga ambil pandangan pihak polis yang kuatkuasakan undang-undang keganasan.

“Cukup tak tempoh. Ada yang kata tak memadai, ada yang akta cukup. Kita ada beberapa cadangan sebagai contoh ini pandangan, kita mulakan dengan 14 hari siasat, tapi nak sambung 14 hari sambung ke mahkamah minta bersetuju, baru lanjut. Jadi ada proses semak dan imbang,” jelasnya.

Muhyiddin berkata apa yang dilakukan kerajaan ketika ini bukan berkaitan ancaman pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sahaja, tetapi jenayah dan keganasan merentasi sempadan yang perlu ditangani secara bersama.

“Jadi kita perlukan kerjasama di peringkat antarabangsa. Kita perlu pertingkatkan lagi penguatkuasaan kita. Teknologi baru, kita kongsi maklumat dengan negara yang sependapat dengan kita, jadi banyak langkah. Kita tidak boleh main-main dengan soal ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1.4 juta tiada MyKad walaupun usia lebih 12 tahun

PUTRAJAYA, 16 OKT: Kira-kira 1.4 juta rakyat Malaysia yang berusia lebih 12 tahun dan memiliki sijil kelahiran didapati masih tidak memiliki kad pengenalan, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mereka tidak memiliki MyKad walaupun sepatutnya memilikinya kerana sudah berusia lebih 12 tahun. Saya menyeru sesiapa (warganegara Malaysia) yang tidak ada kad pengenalan untuk memilikinya secepat mungkin kerana ia merupakan satu dokumen yang penting,” katanya.

Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), daripada jumlah 1.4 juta itu, 45,588 orang adalah mereka yang berusia 13-17 tahun, 970,377 (18-80 tahun), 110 537 (81-90 tahun) dan 302,694 (91 tahun ke atas).

“Mereka yang tidak mempunyai kad pengenalan kerana pelbagai faktor antaranya tinggal di kawasan pedalaman, lupa dan ibu bapa tidak arif,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Pendaftaran Negara di JPN di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, terdapat 22 juta pemegang MyKad pada masa ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Ruslin Jusoh dalam ucapannya pada majlis itu berkata beberapa proses permohonan secara dalam talian bagi urusan-urusan utama akan bermula tahun depan.

Ia seperti permohonan pendaftaran kelahiran, cabutan sijil kelahiran, permohonan MyKad kali pertama 12 tahun, cabutan rekod kad pengenalan oleh individu dan agensi luar, dan permohonan perkahwinan bagi pemohon bukan Islam, katanya.

“Bagi urusan ini, pemohon hanya perlu hadir untuk mengemukakan bukti dokumen-dokumen asal sebelum membuat kutipan,” katanya.

Bermula tahun ini, katanya JPN telah melaksanakan pendaftaran kematian secara dalam talian melalui integrasi dengan sistem Polis Diraja Malaysia di mana setiap kematian yang dilaporkan di balai polis Semenanjung Malaysia secara automatik akan direkodkan dalam sistem kematian JPN.

“Permohonan gantian MyKad juga kini boleh dibuat secara dalam talian tanpa perlu hadir di pejabat JPN. Pemohon hanya perlu hadir di pejabat JPN untuk membuat kutipan MyKad,” katanya.

Muhyiddin dalam ucapannya sebelum itu berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan JPN telah membentuk Jawatankuasa Petugas Khas bagi memastikan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Julai 2021 berjalan lancar.

Beliau menyarankan SPR dan JPN mengadakan kempen besar-besaran terutama berkaitan pengemaskinian atau pindaan alamat kepada warganegara yang telah bertukar tempat bermastautin.

“Ini akan membolehkan mereka yang mencapai umur 18 tahun dan layak mengundi didaftarkan dalam daerah mengundi secara automatik berdasarkan alamat terakhir dalam pangkalan data JPN,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PAS tidak tedesak tapi Muhyiddin

SHAH ALAM, 28 MEI: Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan parti itu tidak terdesak seperti yang diperkatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, Muhyiddin yang berada dalam keadaan terdesak untuk mencari sokongan pengundi Melayu apabila melihat PAS memberi sokongan penuh kepada calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat (PR), Dyana Sofya Mohd Daud pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.

Mahfuz-1“PAS nak terdesak buat apa, bukan parti ini yang bertanding. Kalau kita bertanding baru boleh anggap terdesak,” katanya yang dipetik daripada Harakah Daily.

Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata, PAS menyokong kempen calon DAP adalah disebabkan desakan politik walaupun ternyata calon itu menolak hudud.

“Kita sokong DAP atas prinsip tertentu seperti menentang rasuah, membela hak rakyat serta melawan penyelewengan.

“Seperti pesanan Presiden PAS, kita sokong atas dasar perjuangan PR, kita bekerjasama kerana banyak persamaan antara pendirian PAS dan DAP,” jelas beliau.

MuhyidinAhli Parlimen Pokok Sena itu turut berpendapat bahawa Muhyiddin sendiri keliru dengan beranggapan PAS yang bertanding di Teluk Intan.

“Sebab yang bertanding itu calon Melayu, mungkin Muhyiddin kabur ingatan bahawa PAS yang bertanding,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Tetap Akan Guna Teknologi Membran

 

KUALA LUMPUR, 30 OKT : Kerajaan Selangor tetap akan membangunkan teknologi membran bagi meningkatkan penghasilan air terawat meskipun kerajaan pusat mahu meneruskan projek mega Loji Rawatan Air Langat 2.

Perkara ini ditegaskan sekali lagi oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tegasnya, Selangor sebenarnya tidak berhadapan dengan krisis air dan pembinaan loji Langat 2 bukanlah satu keperluan yang perlu disegerakan.

Apa yang penting katanya, proses penstrukturan semula industri air perlu dilakukan segera bagi memastikan penduduk di Lembah Klang mendapat bekalan air terawat pada harga yang berpatutan.

“Kita tidak ada masalah kekurangan air mentah. Logiknya adalah air mentah cukup.

“Dari keluaran 4.8 juta liter sehari, kita dapati 33 peratus atau lebih 1.5 juta sehari air terawat tidak digunakan.

“Kalau kita selesaikan masalah air terawat, kita tidak memerlukan Loji Langat 2.

“Kerajaan persekutuan masih tidak menerima hakikat penyelesaian semula industri air adalah penstrukturan semula industri air di Selangor.

“Antara faktor adalah peratus air tidak berhasil (NRW) mesti dikurangkan sehingga 10-15 peratus kerana ianya termaktub dalam perjanjian dgn konsesi air pada tahun 2008,” katanya lagi.

Sebelum itu, pada sesi sidang Dewan Rakyat Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon, berkata kerajaan pusat berharap kerajaan Selangor akan memberikan peluang untuk Langat 2 dilaksanakan.

Kenyataan Noriah adalah jawapan kepada MP Rembau, Khairy Jamaluddin yang mengemukana soalan mengenai kuasa kerakaan pusat bagi membolehkan Langat 2 dilaksanakan di Selangor.

Selain itu, Abdul Khalid menyatakan, kos pembinaan Langat 2 lebih tinggi berbanding teknologi membran yang hanya memerlukan kos sebanyak RM 800 juta.

Ujarnya lagi, beliau akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin bagi membincangkan perkara ini sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung pada 19 November ini.

“Oleh kerana jawapan Timbalan Menteri macam tidak percaya, saya bercadang untuk bertemu dengan TPM dan seluruh jawatankuasa untuk menerangkan teknologi dan cadangan kami.

“Kalau cadangan saya diterima pakar, saya akan buat penyusunan semula industri air.

“Saya boleh cuba masukkan program Langat 2 sebagai langkah jangka panjang dan bukannya jangka pendek,” jelasnya lagi.

Categories
NASIONAL

Setiap Kali Ada Pelan Baru, Pendidikan Merudum

PETALING JAYA, 12 SEPT : Pakatan Rakyat (PR) menggesa Kerajaan Pusat menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) berhubung pendidikan bagi membincangkan keberkesanan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang diumumkan semalam.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, walaupun Malaysia memiliki pelbagai pelan pembangunan, namun mutu pendidikan di negara ini semakin merosot.

“Setiap kali ada orang baru jadi Menteri Pendidikan, ada satu blueprint baru.

Tetapi kualiti pendidikan di Malaysia masih berada di takuk lama. Perkara ini juga diakui sendiri oleh Perdana Menteri,” katanya di dalam satu sidang media di Pejabat PKR di sini.

Kit Siang juga mencabar Kerajaan Umno-BN dan Kementerian Pendidikan untuk membentangkan laporan Trends In International Mathematics and Sciences Study (TIMSS) yang masih dirahsiakan daripada pengetahuan umum sehingga kini.

Menurut Lim, TIMSS merupakan kajian yang dijalankan The International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA) setiap tahun iaitu pada 1995, 1999, 2003, 2007 dan 2009.

“Pada tahun 1996, saya ada bertemu Najib yang pada ketika itu merupakan Menteri Pendidikan meminta beliau untuk menyertai TIMSS dan mereka setuju.

?Pada tahun 2003, Malaysia mendapat keputusan yang lebih baik berbanding pada 1996. Tetapi kemudiannya merudum pada 2007.?

Dalam pelan yang dilancarkan semalam, Malaysia mensasarkan untuk berada di tempat ketiga dalam ujian Program Pencapaian Pelajar Antarabangsa dalam masa 13 tahun. Negara kini berada di tempat ketiga terbawah.

Pelan pendidikan tersebut terdiri dari 11 bahagian antaranya pembangunan kanak-kanak, pengetahuan, kemahiran berfikir, kepimpinan, kemahiran berbahasa, moral dan identiti kebangsaan.

Categories
NASIONAL

Tiada Catuan Air, Bukti Usaha Burukkan Imej Kerajaan Selangor

SHAH ALAM 24 JULAI : Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yasin bahawa tiada keperluan untuk mencatu air di Selangor ketika ini adalah bukti isu air sengaja dijadikan gimik politik dalam usaha memburukkan imej Kerajaan Negeri.

Exco Selangor, Elizabeth Wong dalam satu kenyataan berkata, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pula menjadi alat Umno-BN untuk terus menekan Kerajaan Negeri meluluskan projek Langat 2.

“Kerajaan Pusat tiada perancangan bagaimana Langat 2 akan menyelesaikan kekurangan air sedangkan Kerajaan Negeri telah menyediakan pelan menerusi projek mitigasi air bernilai RM 225 juta.

“Sudahlah tiada pun penyelesaian kukuh dalam menambahbaik bekalan dan pengurusan air terawat, mereka cuba pula mensabotaj usaha Kerajaan Negeri melakukan perkara betul demi melindungi kepentingan rakyat,” jelas Elizabeth yang juga Adun Bukit Lanjan.

Menurut beliau lagi, tindakan Kerajaan Pusat menghalang usaha Kerajaan Negeri jelas menunjukkan Kerajaan Umno-BN mementingkan keuntungan syarikat kroni mereka berbanding keperluan rakyat.

Beliau turut mempersoalkan kredibiliti Timbalan Perdana Menteri dalam mempengerusikan Jawatankuasa Khas menangani isu air.

“Sedangkan sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Besar Johor, beliau telah menjadikan tarif air di negeri itu antara tertinggi di negara ini sehingga memaksa rakyat Johor berdepan dengan tarif air pada kadar tidak munasabah.

“Kerajaan Umno-BN mungkin mahu menggadaikan hak rakyat Johor, tetapi kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak akan berdiam jika ada pihak yang mengambil untung atas kesusahan rakyat,” tegasnya.

Sehubungan itu, Elizabeth menyeru rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bangkit mempertahankan hak mereka dan mengelak daripada terus dimanipulasikan pihak berkepentingan.

Categories
NASIONAL

Anggota PSC PR Tiada Suara Majoriti

SHAH ALAM 6 APR : Dengan hanya tiga wakil dari pihak Pakatan Rakyat (PR) dalam Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) berhubung Penambahbaikan Proses Pilihanraya, amatlah sukar bagi memastikan tuntutan lapan perkara BERSIH 2.0 di laksanakan.

Menurut salah seorang wakil PR dalam PSC, Dr Hatta Ramli, PR memainkan peranan sepenuhnya untuk menyampaikan hasrat rakyat mengenai Pilihanraya dalam perbincangan jawatankuasa tersebut.

“Dalam 22 perkara dibentangkan, ada beberapa perkara yang kita tidak setuju sepertimana yang dilaporkan sebelum ini.

“Sebagai pihak minoriti, kita kalah undi. Kita juga sebenarnya banyak toleransi dan bertolak ansur untuk nampak tidak terlalu keras.

“Namun, mereka tetap berkeras menolak cadangan kita,” ujar Dr Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Sehubungan itu, beliau berkata Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH ) yang diwakili Badan Bukan Kerajaan (NGO) berhak untuk tidak berpuas hati dengan laporan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang diluluskan oleh Dewan Rakyat.

“BERSIH tiada wakil dalam PSC dan terang-terangan lapan tuntutan Bersih tidak diambil peduli dalam PSC.

“Mereka berhak untuk menilai laporan tersebut dan suarakan bantahan. Namun begitu, keputusan untuk mengadakan BERSIH 3.0 bukan kuasa Pakatan (Rakyat) kerana BERSIH adalah NGO,” jelas Dr. Hatta yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Walaubagaimanapun, menurut Dr. Hatta, beliau tidak positif bahawa tuntutan lapan perkata BERSIH 2.0 akan dipertimbang pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

“Dengan jelas, mereka tidak pernah setuju dengan BERSIH, apalagi untuk penuhi tuntutan.

“Sedangkan Laporan PSC sendiri belum tentu dipersetujui SPR sepertimana yang diulas Perdana Menteri Najib (Tun Razak),” akhiri Dr. Hatta.

Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri berhubung keputusan PSC yang juga diwakili pihak pembangkang beliau berkata sebagai orang politik Muhyiddin tidak perlu menipu rakyat.

“Cukuplah lebih 54 tahun pemimpin Umno-BN menipu rakyat, tak mungkin Muhyiddin tak faham bila hanya tiga wakil pembangkang dalam anggota yang lain majoriti anggota penyokong BN,” ujar Dr Hatta lagi

Categories
NASIONAL

Rafizi: SPRM Perlu Segera Siasat Muhyiddin

SHAH ALAM 12 FEB: Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyoal siasat Timbalan Perdana Menteri, Tan Muhyiddin Yasin berhubung skandal lembu Fidlot (NFC).

Menurut beliau, Muhyiddin seharusnya menjadi orang pertama dipanggil memandangkan beliau merupakan orang yang meluluskan dana RM250 juta kepada keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

“Isu pokok NFC adalah salahguna kuasa dan pemberian dana sebegitu besar pada keluarga menteri. Ini membenarkan lagi bagaimana amalan rasuah yang begitu menyerlah berlaku dalam kerajaan.

“Keduanya adalah wang negara dan wang rakyat berjumlah RM250 juta diserahkan kepada kroni yang tidak ada pengalaman langsung dalam bidang ternakan lembu.

“Saya rasa orang-orang Umno lebih faham tindakan Muhyiddin tersebut menyerahkan projek mega yang begitu besar kepada keluarga Shahrizat.” kata beliau.

Sehubungan itu beliau menyelar tindakan SPRM yang masih tidak memanggil Muhyiddin untuk di soal siasat sedangkan hal tersebut adalah perkara asas siasatan.

“Saya kira sekiranya SPRM mengambil tindakan terhadap Muhyiddin sekarang akan diberi persepsi oleh rakyat sebagai sudah terlambat.

“Saya tidak mahu memperkatakan sesuatu perkara yang tidak berfakta tetapi SPRM perlu bersikap profesional dan tidak memilih bulu.

“Janji BN dan tranformasi Najib akan dianggap sebagai hipokrasi sekiranya masih agensi-agensi kerajaan masih bersikap menjaga kepentingan pemimpin tertenyu.” kata beliau ketika di hubungi.

Pada 8 Februari lalu, Rafizi turut mendedahkan maklumat terbaru kepada pihak media berhubung dakwaan pembelian dua kondo mewah di Singapura oleh NFC bernilai RM34.6 juta.

Sehubungan itu pada sebelah petangnya pula Shahrizat dipanggil oleh SPRM untuk di soal siasat. Shahrizat sebelum itu telah mengambil cuti selama tiga minggu namun SPRM tidak mengambil sebarang tindakan menyiasat terhadap beliau.

Ketika ditanya kepada Rafizi kenyataan Muhyiddin bahawa BN tidak tergugat dengan serangan pembangkang kerana isu yang dibangkitkan membabitkan serangan individu beliau berkata kenyataan tersebut disebabkan Muhyiddin merasakan diri beliau tidak lagi selamat.

“Muhyiddin telah merasakan diri beliau tidak lagi selamat kerana orang Umno sendiri telah tahu agenda disebalik pemberian projek tersebut kepada keluarga Shahrizat.

“Lagi pun ini bukan isu individu, isu ini libatkan dana rakyat bernilai RM250 juta. Rakyat nak tahu kemana wang tersebut telah disalurkan dan apakah faedah yang dapat dinikmati oleh rakyat hasil dari sumbangan wang mereka keluarga menteri tersebut.” kata beliau.

Menurut beliau, gesaan Pakatan Rakyat supaya ditubuhkan suruhanjaya di raja untuk menyiasat isu NFC dianggap jalan terbaik.

“Inilah yang Muhyiddin takutkan kerana beliau bimbang dengan trand sokongan rakyat yang semakin menolak BN disebabkan pelbagai amalan rasuah dan salah guna kuasa amat berleluasa berlaku ketika BN memerintah negara.” kata Rafizi lagi.