Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 500,000 dos sehari, Malaysia antara negara terpantas beri vaksin

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan memastikan proses vaksinasi Covid-19 dijalankan dengan teratur, cepat dan meliputi seluruh pelusuk negara melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana menteri berkata satu-satunya kaedah yang paling berkesan untuk negara segera keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 adalah dengan mempertingkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada rakyat.

Muhyiddin berkata Malaysia merupakan antara negara yang terpantas menvaksinasi penduduknya dengan kapasiti kadar suntikan mencapai lebih 500,000 dos sehari ketika ini.

“Kerajaan faham bahawa rakyat berada dalam keadaan resah dan bimbang apabila angka kes harian Covid-19 menunjukkan peningkatan.

“Kerajaan sedang berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi kemelut yang kita hadapi ini dengan mempercepatkan program vaksinasi,” katanya pada sidang khas Parlimen hari ini.

Perdana menteri berkata Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan terus diperhebat supaya sasaran 100 peratus penduduk dewasa menerima dos lengkap vaksin dicapai lebih awal pada Oktober ini, berbanding perancangan asal iaitu 80 peratus penduduk dewasa menerima dos lengkap vaksin menjelang suku pertama 2022.

Beliau berkata setakat ini, kerajaan telah menempah 79.9 juta dos vaksin dan daripada jumlah itu, 25.2 juta dos telah diterima.

Petugas kesihatan melakukan simulasi semula pengambilan suntikan dos vaksin Sinovac yang telah digunakan bagi rakaman ilustrasi di Seremban pada 14 Julai 2021. Foto BERNAMA

Muhyiddin berkata Malaysia dijangka menerima jumlah keseluruhan 37.3 juta dos pada Ogos, manakala 21.9 juta dos lagi akan diterima pada suku keempat 2021 dan baki selebihnya diterima pada suku pertama 2022.

“Alhamdulillah, setakat ini melalui pelaksanaan PICK, lebih 16 juta dos telah berjaya dibekalkan kepada rakyat Malaysia iaitu merangkumi 11 juta orang telah menerima dos pertama dan lima juta orang menerima dua dos lengkap suntikan vaksin,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerjasama seluruh anggota masyarakat dan kerajaan perlu digembleng bagi mengawal wabak ini dengan berpandukan tiga paksi utama termasuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 melalui pemerkasaan ujian saringan, pengesanan kontak dan langkah pengasingan.

Kedua, mengurangkan kadar morbiditi dan kematian melalui peningkatan kapasiti sistem penjagaan kesihatan termasuk mengoptimumkan kapasiti hospital pengajar universiti, kapasiti di bawah Kementerian Pertahanan dan juga melalui penyumberan luar ke hospital swasta.

“Ketiga, melindungi kesihatan rakyat secara keseluruhan dengan menyediakan sokongan yang mencukupi bagi keperluan selain Covid-19,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan juga menyedari impak pandemik kepada aspek kesihatan mental rakyat Malaysia dengan langkah-langkah khusus telah diambil bagi menyelesaikan cabaran yang dialami rakyat seperti mewujudkan talian sokongan psikososial di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan penyaluran dana kepada badan bukan kerajaan berkaitan kesihatan mental.

“Benar, kerajaan ini tidak sempurna. Tetapi apa yang benar juga ialah kerajaan hari ini tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita, malah sentiasa bergerak dan bertindak untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata semua pihak mestilah bersolidariti dalam menghadapi zaman sukar ini dan tidak berbalah dan menuding jari.

“Kerana di sana ada rakyat yang jiwanya sengsara, ada bapa yang tenggelam punca, ada anak yang menderita, manakala frontliners kita terus terbeban dan hospital semakin tertekan.

“Marilah kita berganding bahu, mencari berkat dan meraih jaya pada setiap usaha sama. Bulat air kerana pembetung, bulat kita kerana muafakat. Bersatu kita pasti teguh, bercerai kita roboh,” katanya.

Muhyiddin juga menyeru seluruh rakyat supaya mendapatkan vaksin dengan segera tanpa mengira jenamanya kerana vaksin tersebut berkesan untuk mencegah wabak berbahaya berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banyak negeri dijangka beralih ke fasa empat PPN seawal Oktober

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan menjangkakan kebanyakan negeri akan dapat beralih ke Fasa Empat, iaitu fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara (PPN) seawal Oktober ini.

Dalam sidang khas Parlimen hari ini, perdana menteri berkata ini berdasarkan usaha berterusan kerajaan untuk menggerakkan proses pemulihan dan program imunisasi yang kini sedang berjalan lancar.

Untuk itu, perdana menteri berkata selain memantau secara rapi keadaan di setiap negeri dari semasa ke semasa dan mengambil langkah intervensi mengikut keperluan, kerajaan juga akan tetap melaksanakan penilaian risiko dari segi kesediaan negeri-negeri untuk beralih ke fasa seterusnya.

“Saya juga ingin jelaskan, kerajaan sudah memutuskan pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara, bagi negeri yang sudah berada di fasa kedua, ia tidak akan kembali ke fasa pertama. Begitu juga dengan negeri yang beralih ke fasa ketiga, tidak akan patah balik ke fasa kedua.

“Ini kerana, pendekatan PPN menekankan dengan izin, exit strategy and no turning back (strategi keluar dan tidak berpatah balik),” katanya.

PPN yang diumum 15 Jun lepas menggariskan empat fasa peralihan merangkumi perincian SOP untuk setiap fasa dengan peralihan fasa bagi sesebuah negeri akan dinilai dan dipertimbangkan berdasarkan tiga indikator nilai ambang iaitu purata bilangan kes harian, kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan peratusan rakyat dewasa yang lengkap divaksinasi.

Sejak dilancarkan, lapan negeri telah beralih ke Fasa Dua iaitu Perlis, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata sekiranya berlaku semula peningkatan kes di negeri-negeri ini, kerajaan akan mengetatkan kawalan pergerakan berdasarkan lokaliti tanpa perlu membuat perintah kawalan menyeluruh ke atas negeri atau wilayah sepertimana yang dilaksanakan kini.

“Walau bagaimanapun, manusia merancang, tetapi perancangan Allah jualah sebaik-baiknya,” katanya.

Menjelas lanjut, perdana menteri berkata peralihan fasa ke fasa ini melibatkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial secara beransur dan ia tidak mengikut jadual masa, sebaliknya berlandaskan pencapaian dalam mengurangkan tekanan kapasiti sistem kesihatan serta meningkatkan tahap perlindungan rakyat menerusi suntikan vaksin.

Menurutnya, pelan pemulihan seperti ini turut dilaksanakan oleh banyak negara antaranya United Kingdom, Australia dan Singapura.

“Kita belajar, meneliti dan mengambil amalan terbaik dari negara-negara tersebut supaya acuan PPN ini dapat dijadikan panduan penting dan sebagai asas kepada proses pemulihan negara,” katanya.

Perdana menteri berkata PPN dirangka berdasarkan lima ciri utama iaitu mengimbangi keperluan melindungi nyawa dan kehidupan; bersifat dinamik dan berlandaskan sains dan data; dan memberi penjelasan sebagai panduan bagi memperincikan perancangan serta menekankan aspek ketelusan.

Selain itu, PPN mengguna pakai pendekatan whole of nation melibatkan peranan segenap lapisan masyarakat dan sentiasa dipantau bagi menilai keberkesanan pelaksanaan melalui pelaporan dan strategi komunikasi yang berkesan.

“Ringkasnya, PPN adalah sebuah pelan pemulihan yang menumpukan kepada strategi untuk keluar dari ancaman Covid-19 secara selamat dan sistematik. Fasa-fasa yang digariskan adalah tertumpu kepada usaha meringankan beban ke atas kapasiti sistem kesihatan awam, membuka semula sektor ekonomi, dan membenarkan aktiviti sosial dalam tempoh masa enam bulan sehingga akhir tahun ini.

“PPN tidaklah statik tetapi dinamik, komprehensif dan boleh ditambah baik mengikut keperluan dan situasi semasa,” kata perdana menteri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kelonggaran individu lengkap dua dos diumum beberapa hari lagi

PUTRAJAYA, 24 JULAI: Mereka yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 dijangka menerima berita baik tidak lama lagi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan mengumumkan kelonggaran tatacara operasi standard (SOP) khusus bagi mereka dalam beberapa hari lagi.

“Kita akan muktamadkan perkara ini dan saya akan umumkannya sebagai satu pakej penuh, termasuk dalam aspek sosial, sukan dan aktiviti makan di restoran. Perincian ini akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya dalam temu ramah khas dengan media di sini hari ini.

Beliau berkata antara kelonggaran yang diberikan termasuk SOP bagi pergerakan dalam negara, termasuk perjalanan rentas sempadan terutama melibatkan suami atau isteri yang tinggal berjauhan.

“Saya benar-benar berharap langkah ini akan memberikan sedikit ruang, keselesaan bagi orang ramai untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

Pada 17 Julai lepas perdana menteri mengumumkan bahawa kelonggaran bagi individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan diputuskan di mesyuarat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam minggu ini.

Beliau dilaporkan berkata ini selaras dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi apabila negeri beralih ke Fasa Dua PPN, terutama melibatkan kawasan Lembah Klang.

PPN dijadualkan untuk dibentangkan oleh perdana menteri dalam Sidang Khas Parlimen yang bermula Isnin ini.

Merujuk kepada persidangan parlimen, Muhyiddin berkata walaupun sesi itu akan dibuka untuk perbahasan, kerajaan tegas dengan keputusan untuk meneruskan PPN sehingga keadaan negara pulih.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Selepas Umno tolak, peguam negara dakwa ‘tiada fakta jelas’ PM hilang sokongan

SHAH ALAM, 8 JULAI: Setelah Umno menarik sokongan daripada kerajaan, peguam negara menyatakan “tiada fakta jelas” Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah hilang kepercayaan ahli parlimen.

“Buat masa ini kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan bahawa perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” kata Tan Sri Idrus Harun.

Beliau mengulas pengumuman Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi malam tadi yang menyebut parti itu “menarik balik dan menamatkan serta-merta” sokongan terhadap Muhyiddin.

“Justeru Umno mendesak agar Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad,” kata Zahid.

Dalam kenyataannya, Idrus juga berkata sokongan majoriti ditentukan oleh ahli-ahli parlimen sendiri seperti Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, bukannya kenyataan parti politik.

“Oleh itu, dari segi undang-undang, perdana menteri dan jemaah menteri sedia ada ternyata masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif persekutuan,” kata peguam negara lagi.

Umno sentiasa menyatakan ingin menarik sokongan terhadap Muhyiddin tetapi menteri-menteri parti tersebut tidak pernah meletakkan jawatan atau menunjukkan sikap selari dengan Zahid.

Categories
AGENDA NASIONAL

Muhyiddin dimasukkan ke hospital selepas alami diarea

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dimasukkan ke sebuah hospital di ibu negara pagi ini untuk menerima rawatan dan pemantauan kerana mengalami diarea.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Muhyiddin telah mengalami diarea sejak semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Fasa kedua PKP jika 10 peratus terima dua dos vaksin, kes purata bawah 4,000

SHAH ALAM, 15 JUN: Fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh akan bermula apabila 10 peratus penduduk mendapat dua dos vaksin dan purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000.

Kerajaan juga akan menimbang peralihan daripada fasa pertama setelah sistem kesihatan tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di pusat rawatan rapi (ICU) pulih ke paras sederhana.

Perdana menteri menjelaskan demikian dalam pengumuman khas Pelan Pemulihan Negara hari ini yang meliputi empat fasa untuk membuka sektor ekonomi dan sosial hingga akhir tahun ini.

“Setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama  untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Indikator tersebut seperti berikut:

– keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian;

– keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad ICU; dan

– tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Dalam fasa kedua, tambahnya, rentas negeri dan kegiatan sosial masih dilarang tetapi sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi sehingga 80 peratus tenaga kerja.

Dalam fasa ini, hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi, manakala yang tidak tersenarai masih terus ditutup.

Muhyiddin berkata peralihan ke fasa ketiga PKP bersandarkan tiga indikator ambang utama berikut:

– purata kes harian Covid-19 menurun ke paras bawah dua ribu kes;

– sistem kesihatan awam berada tahap selesa dengan kadar penggunaan katil ICU paras mencukupi; dan

– 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Ketika fasa ini aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat.

Katanya, semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi pada fasa ketiga kecuali aktiviti berisiko tinggi menyebabkan jangkitan atau melibatkan keramaian.

Perdana menteri berkata fasa keempat yang juga fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara tertakluk tiga indikator ambang utama berikut:

– purata kes harian menurun bawah 500;

– sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil ICU; dan

– 60 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Pada fasa ini rakyat dibenarkan merentas negeri, aktiviti pelancongan domestik dan sosial serta pembukaan semua sektor ekonomi.

Fasa terakhir dijangka dapat dilaksanakan apabila negara mencapai tahap imuniti kelompok pada akhir tahun.

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Sidang Parlimen dijangka September atau Oktober

SHAH ALAM, 15 JUN: Sidang Parlimen dijangka boleh diadakan sekitar September atau Oktober, iaitu dalam fasa ketiga Strategi Pelan Pemulihan Negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun sidang berkenaan perlu dijalankan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

“Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes Covid-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok.

“Saya akan terus mendokong prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Jangan ada pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Muhyiddin berkata fasa ketiga melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada negatif iaitu semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali berisiko tinggi untuk jangkitan Covid-19 yang masih ditutup.

Katanya, proses peralihan kepada fasa tersebut boleh dilakukan sekiranya berjaya mencapai nilai ambang berikut, iaitu:

– Purata kes harian Covid-19 menurun ke paras bawah 2,000
– Sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) ke paras mencukupi dan
– 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin

“Nilai ambang itu dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM arah siasat kes tren LRT bertembung, kenal pasti punca nahas

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu rawatan penuh kesemua mangsa yang terlibat dalam insiden pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya malam ini diberi keutamaan.

Katanya, beliau telah beri arahan kepada semua pihak supaya memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan mangsa mendapat rawatan menyeluruh memandangkan: “kita juga berada dalam gelombang pandemik Covid-19 yang sedang meningkat naik”.

“Saya memandang serius kemalangan ini dan telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Berhad untuk melakukan siasatan penuh untuk mengenal pasti punca kemalangan ini, dan tindakan yang tegas harus diambil dengan segera,” katanya dalam catatan di Facebooknya.

Terdahulu, menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah.

Kejadian berkenaan yang berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru melibatkan satu tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

Menurut Mohamad Zainal, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

Sementara itu, Muhyiddin turut mendoakan agar semua kerja-kerja penyelamatan dipermudah dan penumpang terlibat selamat manakala mereka yang cedera diberikan rawatan segera.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM terima suntikan, program vaksin kebangsaan bermula

PUTRAJAYA, 24 FEB: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima suntikan vaksin Covid-19, menandakan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang menyasar untuk memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Perdana menteri menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11 di sini, yang merupakan antara Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikenal pasti bagi program imunisasi terbesar negara itu.

Muhyiddin tiba di pusat kesihatan itu pada kira-kira 2.25 petang dan melalui lima stesen di PPV untuk menjalani proses vaksinasi tersebut.

Stesen pertama untuk saringan gejala dan suhu, diikuti stesen kedua untuk pendaftaran bagi mengesahkan kehadiran untuk suntikan vaksin Covid-19, stesen ketiga bagi proses konsultasi dan persetujuan imunisasi, stesen keempat bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 dan stesen kelima ialah stesen pemerhatian.

Turut menerima suntikan pertama dan merupakan antara yang terawal menerima vaksinasi dalam program imunisasi itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Empat petugas KKM itu ialah Dr Tan Yee Ling, Sheilla Mellissa Sikin, Khairul Asraf Mohd Yasin dan Clement a/l Marai Francis.

Dr Tan, 30, merupakan Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya manakala Sheilla Mellissa, 31, jururawat di klinik kesihatan tersebut.

Pesawat MH604 dengan hiasan Jalur Gemilang membawa 312,390 dos vaksin Covid-19 mendarat di KLIA pada 21 Februari 2021. Foto BERNAMA

Khairul Asraf, 44, adalah Penolong Pegawai Perubatan di Pejabat Kesihatan Putrajaya dan Clement, 36, pemandu di Pejabat Kesihatan Putrajaya.

Selepas dipantau sekiranya terdapat kesan sampingan suntikan yang diterimanya daripada Ketua Jururawat Kesihatan, Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya Presint 11, Lina Ibrahim, di stesen pemerhatian, Muhyiddin kemudian mengambil janji temu bagi pengambilan dos kedua.

Vaksin Pfizer-BioNTech perlu disuntik dua kali, dengan suntikan kedua pada hari ke-21 selepas suntikan pertama.

Turut berada di PPV itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Perdana menteri kemudiannya melancarkan pendaftaran program vaksinasi menerusi MySejahtera yang akan memudah cara proses pendaftaran bagi menerima vaksin.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, bertemakan “Lindung Diri, Lindung Semua” itu dilaksanakan dalam tiga fasa bermula hari ini dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara – dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Pendekatan kerajaan melalui program imunisasi itu adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022.

Sejak kes pertama Covid-19 dilaporkan di negara ini pada 25 Januari 2020, pandemik yang melanda telah menjangkiti seramai 288,229 orang sehingga 23 Februari, selain lebih 1,076 kematian dilaporkan.

Malaysia menerima kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech melibatkan 312,390 dos pada Ahad melalui pintu masuk utama negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Johor dan Pulau Pinang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya tubuh jawatankuasa teknikal pastikan pengurusan darurat lancar

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Kerajaan hari ini bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat, bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara berjalan lancar, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Muhyiddin berkata penubuhan jawatankuasa berkenaan diputuskan pada Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikannya hari ini, secara sidang video bersama menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.

“Jawatankuasa teknikal ini antara lain akan bertanggungjawab untuk memantau isu-isu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan darurat.

“Ia juga berfungsi untuk meneliti dan mengkaji isu-isu berbangkit berkaitan darurat dan mengesyorkan cadangan penyelesaian,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Muhyiddin menegaskan jawatankuasa itu juga berperanan menyelaras pengurusan darurat bersama pihak yang berkaitan di peringkat persekutuan dan negeri, selain mengetuai pemantauan dan naziran penguatkuasaan undang-undang berkaitan darurat di semua peringkat.

Perdana menteri berkata jawatankuasa itu juga akan dianggotai lapan ahli tetap terdiri daripada ketua pengarah Perkhidmatan Awam, ketua setiausaha Perbendaharaan, peguam negara, panglima angkatan tentera, ketua polis negara, ketua pengarah kesihatan, ketua pengarah keselamatan negara dan ketua kluster.

“Insya-Allah, saya berharap agar jawatankuasa yang ditubuhkan ini akan mendapat kerjasama dan sokongan di semua peringkat, bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara dapat dilakukan dengan berkesan,” katanya.

Sidang video tersebut berlangsung di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya dengan setiap ahli mesyuarat diasingkan di beberapa bilik di tingkat berlainan di bangunan berkenaan.

Sidang Darurat bersama menteri besar dan ketua menteri itu adalah yang pertama diadakan, selepas Pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi membincangkan hala tuju pengurusan darurat di peringkat persekutuan dan negeri.

Pada 12 Jan, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan, sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Darurat: Tiada sidang Parlimen, DUN dan pilihan raya – PM

SHAH ALAM, 12 JAN: Perdana Menteri mengumumkan tiada sidang Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pilihan raya sepanjang tempoh darurat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berkata pelaksanaan darurat bukan perintah berkurung atau rampasan kuasa tentera, sebaliknya kerajaan awam terus berfungsi mengikut perlembagaan.

Beliau berkata, satu jawatankuasa bebas bakal ditubuhkan menerusi kuasa Ordinan yang akan dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi meneliti keperluan dan masa sesuai untuk diadakan PRU.

“PRU diadakan sebaik saja jawatankuasa bebas ini memperakui wabak sudah reda dan PRU selamat untuk diadakan.

“Masa itu terpulang kepada rakyat, pilihlah kerajaan yang layak dan boleh menjaga rakyat sekalian. Ini aku janji yang akan saya tunaikan,” katanya dalam pengumuman khas darurat Perdana Menteri hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat untuk membendung pandemik Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda memberi perkenan pelaksanaan sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal dengan mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PM jangka 3,000 sukarelawan terlibat kajian klinikal vaksin fasa tiga

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin Covid-19 akan bermula pada 21 Januari ini di sembilan hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah kelolaan Pusat Kajian Klinikal (CRC) masing-masing, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika mengumumkan perkara itu, beliau berkata kajian klinikal yang pertama dilakukan di Malaysia itu dijangka melibatkan seramai 3,000 sukarelawan.

“Malaysia bakal menjadi negara pertama di luar negara China untuk kajian calon ‘inactivated Covid-19 vaccine’ buatan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences, China (IMBCAMS) ini.

Kesemua keperluan regulatori termasuk kelulusan etika daripada Jawatankuasa Penyelidikan dan Etika Perubatan (MREC) dan akhir sekali, Lesen Import Kajian Klinikal (CTIL) dari NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) telah diperolehi pada 8 Januari 2021,” kata Muhyiddin dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen tempatan hari ini.

Muhyiddin berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM juga telah meluluskan pendaftaran vaksin Covid-19 yang dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer dengan Malaysia dijangka akan menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini.

Katanya sebagai persediaan awal bagi memastikan pengagihan vaksin Covid-19 kepada rakyat negara ini berjalan lancar apabila bekalan diperolehi, KKM telah membangunkan Pelan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan pada 11 Januari 2021. Foto BERNAMA

“Bagi mencapai imuniti kelompok, sebanyak 60 hingga 70 peratus atau 20 hingga 23 juta populasi Malaysia perlu diberikan vaksin Covid-19.

Buat masa ini, kerajaan telah pun menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi perolehan vaksin Covid-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus liputan populasi,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta.

Katanya, kerajaan akan pastikan hanya vaksin yang memenuhi ciri-ciri keselamatan, berkualiti dan berkesan akan didaftarkan dan digunakan di Malaysia.

Katanya, proses penilaian dibuat Jawatankuasa NPRA untuk kelulusan dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bagi tujuan pendaftaran sebelum vaksin Covid-19 berkenaan boleh digunakan.

Muhyiddin pada akhir perutusannya turut mengingatkan seluruh rakyat untuk terus mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan walaupun bekalan vaksin akan diterima tidak lama lagi.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk memberi perlindungan kepada seluruh rakyat.

“Saya juga memohon kepada anda semua untuk lakukan yang terbaik untuk melindungi diri masing-masing, komuniti dan masyarakat. Hanya dengan bersatu melawan virus ini, kita boleh menang. Insya-Allah,” katanya.

-BERNAMA