Categories
AGENDA NASIONAL

MB ucap takziah keluarga murid tahun satu maut dilanggar van

SHAH ALAM, 13 NOV: Dato’ Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga murid perempuan tahun satu yang maut dilanggar van sekolah dinaikinya di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang semalam.

“Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarhamah. Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at dilaporkan berkata dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari itu, mangsa baru sahaja diturunkan di sebuah pusat transit selepas diambil dari sekolah berhampiran.

Siasatan awal mendapati pemandu van iaitu perempuan berusia 31 tahun memandu ke hadapan tanpa menyedari telah melanggar mangsa yang ketika itu sedang melintas di hadapan van berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.