Categories
NASIONAL

Tiga empangan hidroelektrik sedia tampung kapasiti air musim tengkujuh

SHAH ALAM, 11 NOV: Ketiga-tiga empangan hidroelektrik milik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Tasik Kenyir Terengganu, Cameron Highlands Pahang dan Sungai Perak, Perak bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat naik sepanjang musim tengkujuh tahun ini.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) Datuk Nor Azman Mufti berkata kapasiti empangan menakung air di huluan dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir sungai setiap kali musim tengkujuh.

“Seperti lazimnya, kami membuat persiapan awal dengan mengurangkan paras empangan sebagai persediaan menghadapi hujan lebat pada hujung tahun.

“Air yang ditakung akan dilepaskan semula secara terkawal ke dalam sungai seterusnya membantu mengawal banjir di hilir empangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd Datuk Nor Azman Mufti
Foto TNB

Nor Azman berkata empangan hidroelektrik TNB bukan sahaja untuk menjana elektrik malah berfungsi sebagai tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah air hujan yang besar semasa musim tengkujuh.

Jelas beliau proses pelepasan air secara terkawal di empangan hidroelektrik dilaksanakan mengikut tatacara pengendalian piawai (SOP) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan.

“TNB juga telah mengadakan beberapa siri taklimat persediaan dan koordinasi kecemasan di stesen-stesen hidroelektrik bagi meningkatkan kecekapan semua pihak berkenaan bertindak pada musim banjir,” katanya.

Tambah Nor Azman orang ramai dinasihatkan agar mengutamakan aspek keselamatan, berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya premis mereka dinaiki air.

“Jika ada pencawang elektrik yang ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat TNB selepas keadaan selamat,” ujar beliau.

Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB Careline.

 

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Siap sedia hadapi musim tengkujuh mulai esok

SHAH ALAM, 2 NOV: Orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan amaran hujan lebat, angin kencang serta laut bergelora antara 3 November hingga Mac 2022.

Menteri alam sekitar dan air berkata tiupan angin Timur Laut berterusan dan kencang menyebabkan laut bergelora selain ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan kawasan pantai yang mengadap laut tersebut pula dijangka berisiko mengalami kenaikan paras air laut.

“Hujan lebat berterusan boleh mengakibatkan banjir. Risiko banjir akan jadi lebih buruk jika berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut,” tulisnya di Twitter hari ini.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi myCuaca, layari laman web dan media sosial Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) atau hubungi talian 1-300-322-1638 untuk informasi lanjut.

Sebelum ini, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan sehingga 3 November di beberapa negeri antaranya Kelantan dan Terengganu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Musim tengkujuh tidak jejas usaha beri dos penggalak

BERA, 28 OKT: Musim tengkujuh yang dijangka melanda beberapa negeri bermula pertengahan November ini, tidak akan menjejaskan operasi pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 yang sedang berjalan kepada petugas barisan hadapan dan mereka yang layak.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata ini kerana pemberian dos itu dilakukan di fasiliti kesihatan swasta dengan pihaknya dimaklumkan jumlah pengamal perubatan am swasta (GP) yang mendaftar untuk mengambil bahagian juga semakin bertambah.

“ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (syarikat di bawah KKM yang ditugaskan menyelaraskan penglibatan GP di bawah Program Imunisasi COVID-19) juga akan melaksanakan kursus kepada GP terlibat berikutan pertambahan pendaftaran tersebut,” katanya pada sidang media selepas meninjau pemberian vaksin kepada pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Triang 2, di sini hari ini.

Beliau turut mengambil kesempatan memberikan suntikan vaksin jenis Pfizer kepada dua pelajar yang menerima dos kedua mereka.

Menurutnya sebagai contoh di Pahang, terdapat 85 klinik memohon sebagai GP dengan 63 daripadanya sudah mula beroperasi, selain turut mendapat bantuan klinik kesihatan bagi mempercepatkan proses tersebut.

Berhubung pemberian dos penggalak kepada kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) Pahang, Dr Noor Azmi berkata 8,323 petugas telah menerima dos tersebut setakat ini, sejak ia dimulakan pada 15 Okt lepas.

Sementara itu, menjelaskan kekeliruan pada data perkembangan program imunisasi di laman web COVIDNOW yang menunjukkan tiga negeri telah melebihi 100 peratus, Dr Noor Azmi berkata ia disebabkan ada yang ‘memilih’ mendapatkan vaksin di negeri tersebut berbanding di fasiliti kesihatan tempat tinggal mereka.

Peratusan yang melebihi had itu direkodkan di Lembah Klang dengan 115 peratus, Labuan (101.4 peratus) dan Negeri Sembilan (101 peratus) menyebabkan berlaku kekeliruan kerana had maksimum sepatutnya hanya 100 peratus.

“Trend mengambil vaksin di negeri itu juga menyebabkan peratusan di beberapa negeri lain masih rendah, sedangkan apabila dilihat kehadiran di PPV (di negeri peratusan rendah) untuk menerima vaksin sudah berkurangan sehingga ada PPV ditamatkan operasi.

“Walaupun jumlah peratusan penerimaan vaksin tidak tinggi, kes baharu dan peratusan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat COVID-19 semakin menurun. Ini trend baik, menunjukkan jumlah mereka yang telah menerima vaksin adalah lebih tinggi daripada data penduduk yang ada pada kita,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata peratusan itu juga tidak menjejaskan data KKM termasuk data untuk Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana matlamat kerajaan adalah memastikan seramai mungkin penduduk menerima vaksin.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tengkujuh: KPDNHEP jamin bekalan makanan, keperluan asas cukup

KUALA NERUS, 16 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi bagi menghadapi musim tengkujuh sehingga hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Datuk Rosol Wahid berkata bagi negeri-negeri yang sering dilanda banjir, pihak Kementerian telah melantik peruncit dan pemborong terpilih untuk menyediakan bekalan makanan dan keperluan asas melebihi 30 peratus daripada stok bekalan biasa.

“Seperti di Terengganu kita ada 160 peruncit dan 74 pemborong terpilih yang akan menyediakan bekalan 30 peratus daripada stok biasa. Kita juga telah bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi.

“Jadi rakyat terutama di Pantai Timur tidak perlu bimbang semasa musim tengkujuh ini dan kita akan memastikan stok bekalan makanan dan keperluan asas sentiasa ada,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Tinjauan Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2020, di sini semalam.

Sementara itu, Rosol berkata setakat lima hari pelaksanaan SHMMP Deepavali 2020 bermula 9 November lepas, sebanyak 26 kes peniaga tidak mematuhi peraturan telah direkodkan dan daripada jumlah itu, 24 kes berkaitan kesalahan tidak memaparkan tanda harga manakala dua kes menjual barangan melebihi harga kawalan yang ditetapkan, semuanya melibatkan jumlah rampasan dan kompaun keseluruhan bernilai RM5,847.

Sehingga kini katanya, sejumlah 8,305 premis telah diperiksa pasukan penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara membabitkan 276 premis borong dan 8,029 premis peruncit.

Beliau menambah KPDNHEP telah menetapkan harga maksimum untuk 20 jenis barang keperluan sepanjang perayaan Deepavali ini termasuk kacang dal, ubi kentang import dan cili kering.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Musim tengkujuh bermula esok hingga Mac 2021

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dijangka berlaku dalam tempoh Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Malaysia, yang akan bermula Rabu ini dan berakhir pada Mac 2021.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan semasa fasa awal Monsun Timur Laut iaitu dari November sehingga Disember 2020, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Manakala mulai Januari 2021, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Fasa kedua Monsun Timur Laut iaitu mulai hujung Januari 2021 seperti biasa dijangka cuaca agak kering di negeri-negeri di utara Semenanjung (Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) dan Kelantan,” menurut kenyataan itu.

Menurut MetMalaysia hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kerap banjir.

Malah sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk.

Selain itu, tiupan angin Timur Laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Justeru orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat serta angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan melalui laman web, aplikasi ‘myCuaca’ dan laman media sosial atau menghubungi talian hotline 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Eksport ikan selar, kembung dihad ketika tengkujuh

JOHOR BAHRU, 27 NOV: Eksport ikan tertentu termasuk ikan selar dan kembung ke luar negara akan dihadkan dalam usaha untuk memastikan bekalan keperluan asas dalam negara mencukupi menjelang musim tengkujuh.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata ia salah satu daripada beberapa langkah yang diambil kementeriannya bagi memastikan bekalan makanan, yang merupakan keperluan asas rakyat, mencukupi.

“Dalam hadapi musim tengkujuh ini, kita telah membuat beberapa persiapan termasuklah difahamkan jabatan kita, menghalang beberapa jenis ikan dieksport.

“(Dan) kalau tidak cukup, kita kena import bekalan. Yang penting, kita pastikan bekalan (makanan) seperti sayur dan ikan cukup,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat persiapan terakhir tapak karnival Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Angsana Mall, dekat sini, hari ini.

Salahuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan kementeriannya ke atas bekalan makanan terutama ketika musim tengkujuh, yang selalunya berlaku antara bulan November sehingga Januari.

Menyentuh HPPNK tahun ini, beliau berkata pihaknya menyasarkan 500,000 orang berkunjung sepanjang empat hari acara itu berlangsung dengan sasaran jualan bernilai RM30 juta.

“HPPNK 2019 bakal menampilkan enam kluster aktiviti yang akan dijalankan sepanjang ekspo iaitu makanan dan minuman, gaya hidup, kesejahteraan, hasil pertanian, agro teknologi dan pembangunan modal insan,” katanya.

Sebanyak 350 usahawan dan usahanita terlibat dalam ekspo itu, yang akan turut mempamerkan pelbagai jenis produk seperti produk industri asas tani, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Menurut Salahuddin, golongan muda turut sama menunjukkan minat terhadap bidang pertanian yang mana penglibatan mereka dalam HPPNK dilihat meningkat saban tahun.

HPPNK merupakan sebuah platform kepada peladang, penternak dan nelayan untuk mengetengahkan hasil-hasil pertanian dan teknologi terkini selain membuka peluang bagi mereka yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang berkenaan.

-BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Musim tengkujuh bermula 13 Nov hingga Mac 2018

KUALA LUMPUR 11 NOV: Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula 13 November ini hingga Mac 2018 dengan hujan lebat diramalkan berlaku di Pantai Timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Menurut Jabatan Meteorologi (METMalaysia), empat hingga lima episod hujan lebat dijangka berlaku pada musim tengkujuh kali ini.

“Episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor pada November dan Disember 2017.

“Pada Disember 2017 dan Januari 2018, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di barat Sarawak serta utara dan timur Sabah,” menurut METMalaysia dalam kenyataan.

Ia berkata, semasa Monsun Timur Laut, hujan berterusan untuk tempoh sehingga tiga hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan rendah dan cenderung banjir.

“Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang, risiko kejadian banjir akan menjadi lebih buruk,” kata jabatan itu.

Ia menasihatkan orang ramai lebih berwaspada dan bersiap siaga dalam menghadapi musim tengkujuh ini serta sentiasa peka dengan amaran hujan lebat yang dikeluarkan METMalaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, Facebook: malaysiamet, Twitter: @malaysianmet, perkhidmatan SMS 15888 dan MMD Hotline di talian 1 300 22 1MET (1638).

SUMBER: BERNAMA