Categories
AGENDA NASIONAL

Dakwa diragut antara laporan palsu individu hilang MyKad

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Mendakwa menjadi mangsa samun dan ragut, itu antara alasan digunakan 68 individu yang membuat laporan palsu berhubung kehilangan kad pengenalan diri (MyKad) sejak Januari hingga 21 November lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kesemua individu berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun itu sebenarnya menggunakan alasan itu bagi mengelakkan didenda oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan MyKad disebabkan kecuaian sendiri.

“Kesahihan setiap laporan polis yang dibuat itu diketahui selepas pegawai penyiasat menyiasat lanjut berkaitan dengan apa yang dilaporkan oleh pengadu.

“Kejadian yang dilaporkan hanyalah rekaan semata-mata dan kehilangan MyKad berlaku adalah atas kecuaian sendiri,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini semalam.

Beh berkata daripada 68 kertas siasatan yang dibuka, sebanyak 59 telah dituduh di mahkamah manakala sembilan lagi sedang disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

“Pihak polis memandang serius perkara ini kerana individu tidak bertanggungjawab membuat laporan palsu akan membazirkan masa, tenaga pegawai penyiasat dan wang kerajaan untuk menyiasat kes tidak wujud,” katanya.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang awam supaya mematuhi undang-undang dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi bilik gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPN kemas kini alamat pemilih SPR pada MyKad

PUTRAJAYA, 8 OKT: Proses pengemaskinian alamat pemilih susulan pelaksanaan Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang dilakukan, menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

JPN dalam kenyataan memaklumkan proses itu adalah lanjutan daripada pengumuman SPR yang meminta pemilih supaya mengemas kini alamat pada kad pengenalan (MyKad) sekiranya mereka tidak tinggal di alamat yang dipaparkan.

“Bagi proses pengemaskinian alamat, pemohon boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN berhampiran untuk memohon pertukaran alamat pada MyKad tanpa perlu membuat janji temu,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut JPN pemohon perlu membawa salah satu dokumen sokongan sebagai bukti alamat baharu seperti bil utiliti, cukai pintu, cukai taksiran atau borang taksiran cukai pendapatan atau menggunakan perjanjian jual beli rumah, perjanjian atau resit sewa rumah sekiranya bil utiliti tidak didaftarkan atas nama pemohon.

JPN menjelaskan pemohon yang tidak mempunyai dokumen sokongan seperti bil utiliti atau perjanjian jual beli rumah perlu mendapatkan dokumen sokongan daripada ketua kampung, tuai rumah, penghulu, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, majikan atau dokumen lain yang boleh membuktikan alamat terkini mereka.

“Pemohon diingatkan untuk membawa dokumen sokongan berkaitan dalam bentuk asal atau salinan yang diakui sah,” menurut JPN.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN di talian 03-88807077 atau e-mel ke [email protected]

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Guna Mykad orang lain dapatkan vaksin, wanita Indonesia dipenjara 12 bulan

JELI, 18 JULAI: Padah menggunakan kad pengenalan (IC) milik wanita warga tempatan untuk mendapatkan dua suntikan vaksin Covid-19, seorang wanita warga Indonesia dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas Yanik Setia Pratiwi, 36, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) pada 13 Jun dan 4 Julai lepas.

Mengikut pertuduhan, Yanik didakwa atas dua pertuduhan menggunakan kad pengenalan milik Nor Athirah Zaiki, 26, untuk mendapatkan dua suntikan vaksin mengikut Peraturan-peraturan 25(1)(c) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Bagi setiap kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan. Yanik gagal membayar denda tersebut.

Di mahkamah sama suami Yanik, Amiruzaman Ab Rahmad, 59, yang merupakan warga tempatan, juga didenda RM2,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dengan isterinya melakukan perbuatan itu di tempat dan masa sama.

Pertuduhan mengikut Peraturan-peraturan 25(1)(m) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Lelaki itu membayar denda.

Mengikut fakta kes, kegiatan pasangan suami isteri itu terbongkar selepas Nor Athirah yang berasal dari Perak, membuat laporan polis pada 7 Julai, selepas dimaklumkan sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Sinovac melalui aplikasi MySejahtera, sedangkan dia masih belum divaksinasi.

Ketika rayuan, mereka yang diwakili peguam Asmadi Abu Bakar memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman denda paling minimum tanpa pemenjaraan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ho Zee Xing memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada mereka dan orang awam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ramai buat laporan palsu elak didenda MyKad hilang

SHAH ALAM, 17 MAC: Sebanyak 18 laporan palsu mendakwa disamun kerana enggan membayar denda kehilangan kad pengenalan (MyKad) direkodkan di Kajang pada tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang berkata 13 kes sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, manakala bakinya dalam siasatan, lapor Harian Metro.

“Bagi tahun ini, sehingga Februari lalu, sebanyak tujuh laporan palsu berkaitan direkodkan dan daripada jumlah itu, dua kes sudah dituduh di mahkamah mengikut seksyen sama, manakala selebihnya masih disiasat,” kata Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

Jelasnya, terdapat peningkatan taktik sedemikian dan siasatan mendapati kebanyakan mereka enggan didenda ketika memohon semula MyKad yang hilang akibat kecuaian sendiri.

Mohd Zaidi berkata orang ramai diberi amaran tidak membuat laporan palsu bagi mengelak berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Boleh ganti MyKad jika keperluan mendesak

SHAH ALAM, 19 APRIL: Individu yang kehilangan kad pengenalan (MyKad) dan perlu segera menggantikannya atas tujuan mendesak seperti memohon Bantuan Prihatin Nasional (BPN), boleh membuat temujanji dengan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka boleh menghubungi pejabat pendaftaran di daerah masing-masing untuk berjumpa pegawai berkenaan bagi tujuan tersebut.

“Bagi mereka yang hilang MyKad tetapi tiada keperluan segera menggantikannya, tak perlu bimbang kerana boleh tunggu 90 hari selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga melanjutkan tempoh pendaftaran kelahiran dan kematian selama 90 hari selepas berakhir PKP tanpa dikenakan penalti.

“Bagi rakyat di luar negara, kita juga beri tempoh sama, kalau di negara tersebut ada darurat, apabila tamat kita beri 90 hari untuk daftar melalui pejabat kedutaan,” katanya.

Categories
AGENDA JENAYAH

Keputusan notis usul enam tertuduh jual MyKad 20 November

GEORGE TOWN, 17 OKT: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 20 November ini untuk keputusan permohonan notis usul yang difailkan enam individu, termasuk seorang penolong pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), berhubung persoalan undang-undang berkaitan pertuduhan terhadap mereka.

Mereka berdepan 13 pertuduhan mengeluar dan menjual sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Hakim Datuk Akhtar Tahir menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes itu hari ini yang membabitkan Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, 34; Mohd Faizal Tan Abdullah, 66; Yap Cheng Wah, 43; Loh Chan Cheong, 34; Chien Guan Chai, 36, dan ahli perniagaan Datuk Lai Chin Wah, 56.

Mohd Faizul, Mohd Faizal Tan, Yap, Loh dan Chien masing-masing mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 manakala Lai turut mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengikut seksyen yang sama.

Notis usul berkenaan memohon Mahkamah Tinggi menentukan persoalan undang-undang sama ada pertuduhan di bawah seksyen berkenaan ke atas mereka adalah kesalahan sekuriti di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mereka juga memohon supaya dibebaskan dengan jaminan mahkamah. Buat masa ini keenam-enam tertuduh masih lagi ditahan kerana mereka didakwa di atas kesalahan di bawah SOSMA yang tidak boleh dijamin.

Mahkamah itu turut menetapkan 29 Oktober ini bagi pihak pendakwaan membalas afidavit pihak pembelaan, manakala 5 November untuk pihak pembelaan mengemukakan afidavit balas kepada pihak pendakwaan. Akhtar turut menetapkan 12 November ini untuk hujahan bertulis notis usul tersebut bagi kedua-dua pihak.

Mohd Faizul menghadapi dua pertuduhan membuat dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara Januari hingga Februari 2019.

Mohd Faizal Tan, Yap, Loh dan Chien masing-masing didakwa atas dua pertuduhan menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town pada tempoh yang sama.

Lai pula didakwa atas tiga pertuduhan menjual sijil kelahiran, kad pengenalan dan pasport atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town antara Januari hingga Mac 2019.

Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 15 tahun serta boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Perbicaraan kes jual MyKad bermula 6 april tahun depan

GEORGE TOWN, 3 OKT: Mahkamah Tinggi, di sini hari ini menetapkan lima hari bermula 6 April 2020 sebagai tarikh perbicaraan kes seorang penolong pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang dan lima lagi individu yang berdepan 13 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.

Mahkamah menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang memohon kesemua tertuduh dibicarakan bersama atas alasan kesemua pertuduhan melmbabitkan transaksi dan subjek yang sama.

Mahkamah turut menetapkan 29 hingga 31 Oktober ini untuk deposisi bagi saksi utama pendakwaan merupakan seorang warga China memberi keterangan.

Terdahulu, Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, 34; Mohd Faizal Tan Abdullah, 66, Yap Cheng Wah, 43; Loh Chan Cheong, 34, dan Chien Guan Chai, 36, masing-masing mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 manakala ahli perniagaan Datuk Lai Chin Wah, 56, turut mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengikut seksyen yang sama.

Bagi dua pertuduhan itu, Mohd Faizul didakwa membuat dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara bulan Januari hingga Februari 2019.

Mohd Faizal Tan, Yap, Loh dan Chien masing-masing didakwa atas dua pertuduhan menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town pada tempoh yang sama.

Lai pula didakwa atas tiga pertuduhan menjual sijil kelahiran, kad pengenalan dan pasport atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town antara Januari hingga Mac 2019.

Untuk kesemua pertuduhan itu, mereka masing-masingnya didakwa mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di dua mahkamah di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir dan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Radzi Abdul Hamid.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Norsalha Datuk Hamzah dan Hakim Mazdi Abdul Hamid menetapkan 14 Okt ini untuk pengurusan kes lima daripada tertuduh itu yang didakwa atas pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes Mohd Faizul yang berdepan lima pertuduhan di bawah Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Pada 12 September lalu, lima daripada mereka kecuali Mohd Faizal Tan masing-masingnya mengaku tidak bersalah terhadap 14 pertuduhan di bawah Seksyen 466 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama beberapa individu antara Januari dan Mei 2019.

Untuk kesemua pertuduhan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Mohd Faizul turut mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan di bawah Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana mengeluarkan kad pengenalan atas nama Tan Xiu Xiu, Lim Hock Eng, Ewe Chor Beng, Yang Xiaohong dan Pheh Jin Leong di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara 20 September 2018 hingga 3 Mei lalu.

Bagi kesemua pertuduhan itu, jika disabitkan kesalahan kesemua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang Yusaini Amer Abdul Karim dan dibantu Mohd Amril Johari, Noor Azura Zulkiflee, Farah Aimy Zainul Anwar, Yazid Mustaqim Roslan dan Shafiq Sazali.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KPN: Jual MyKad boleh dikenakan SOSMA

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) boleh dikenakan terhadap mereka yang terlibat dengan sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, tindakan sekeras-kerasnya boleh diambil terhadap pegawai kerajaan, rakyat Malaysia atau warga asing yang terlibat dalam sindiket yang memberi kesan serius kepada keselamatan negara itu.

“Sindiket ini memberi kesan kepada keselamatan negara yang amat serius. Oleh itu, SOSMA boleh digunakan sekiranya mereka terlibat.

“Pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen membantu serta memberi kerjasama sepenuhnya untuk mengesan kes-kes lama,” katanya.

Abdul Hamid berkata, setakat ini siasatan mendapati motif sindiket dan individu yang terlibat hanyalah untuk mencari keuntungan kewangan haram.

Ditanya mengenai penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat kes itu, beliau berkata pasukan petugas berkenaan telah ditubuhkan pada Ogos dan diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

“Dalam pasukan petugas khas ini, kami ada Tim khas JSJ, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Cawangan Khas Bukit Aman yang melapor terus kepada saya.

“Tim ini dibantu oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Imigresen dan JPN sendiri bagi menghalusi dan mengesan semua pengeluaran laporan polis, sijil lahir, kad pengenalan dan pasport yang dibuat secara penipuan,” katanya.

Abdul Hamid berkata, siasatan sindiket kes berkenaan ini dijalankan di Pulau Pinang pada Julai lepas oleh Ketua Polis Negeri.

“Tetapi apabila dinilai tahap keseriusan kes ini maka tim siasatan Bukit Aman ditubuhkan dan mengambil alih siasatan kes terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pelbagai bahagian daripada jabatan itu akan terlibat dalam pasukan petugas khas itu, bergantung kepada keperluan siasatan.

“Pegawai Imigresen akan sertai pasukan petugas khas ini sebagai anggota dan kami akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam pasukan petugas ini,” katanya.

Hari ini, Huzir berkata pasukan petugas berkenaan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), JPN dan Jabatan Imigresen dan pembentukan pasukan itu telah mendapat persetujuan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Alwi Ibrahim.

Pada 19 September lalu, polis menahan 20 individu termasuk seorang pegawai JPN yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Mereka yang ditahan di Pulau Pinang itu terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga India.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Tubuh pasukan petugas siasat sindiket jual MyKad

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Satu pasukan petugas ditubuhkan bagi menyiasat sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata, pasukan petugas berkenaan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen.

“Pembentukan pasukan petugas ini telah mendapat persetujuan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Alwi Ibrahim.

“PDRM, JPN dan Imigresen akan bekerjasama dalam pasukan petugas ini bagi membanteras sindiket sedemikian,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beberapa lagi kakitangan JPN Pulau Pinang akan ditahan bagi membantu siasatan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing.

Selain itu, beberapa pegawai dipercayai terbabit dalam sindiket itu telah dikenal pasti dan mereka akan ditahan dalam tangkapan fasa kedua.

Pada 11 September lalu, polis menahan 20 individu termasuk seorang pegawai JPN yang disyaki terlibat dengan kegiatan pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Pada hari berikutnya enam lelaki termasuk seorang Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang berumur antara 34 dan 66 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mulai Mei, tukar alamat mykad perlu dokumen sokongan

PUTRAJAYA, 22 MAC: Bermula 2 Mei ini, permohonan pertukaran butiran alamat pada kad pengenalan perlu disertakan dokumen sokongan seperti bil utiliti dan cukai pintu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan masalah maklumat tidak sahih pada kad pengenalan selepas ada kes ’50 hingga 100 orang’ menggunakan alamat sama untuk mendapatkan kad pengenalan.

“Ada permohonan alamat tetapi kawasan itu adalah tanah kosong tanpa rumah. Kita tidak mahu perkara itu berulang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 2018, di sini hari ini.

Mohd Azis berkata, penggunaan alamat yang tidak sahih menyukarkan urusan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam urusan daftar mengundi dan juga pengesanan individu dalam siasatan polis.

Mohd Azis berkata bagi yang menyewa, mereka perlu menyertakan dokumen perjanjian jual beli rumah, perjanjian atau resit sewa rumah serta dokumen lain bagi membuktikan pemohon telah menetap di alamat baharu tersebut.

“Sekiranya pemohon tidak dapat mengemukakan dokumen sokongan, mereka hendaklah mengemukakan surat pengesahan daripada penghulu, ketua kampung, tuan rumah, anggota Parlimen dan majikan untuk menyokong permohonan penukaran alamat pemohon,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azis berkata sebanyak 10,828 individu dilucutkan status kewarganegaraan sejak 1960 hingga sekarang atas pelbagai kesalahan menurut Perkara 24, 25, 26 Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan mengambil tindakan pelucutan kewarganegaraan selepas mendapat bukti yang kukuh terhadap individu-individu tersebut,” katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

JPN gesa lebih 3 juta individu tukar MyKad baharu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 OKT: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggesa 3,247,589 pemegang MyKad supaya menukar kad baharu, menerusi kempen Tukar Mykad Struktur Baharu yang dijalankan, bermula hari ini.

Ketua Pengarahnya, Dato’ Mohamad Razin Abdullah berkata, seramai 81,250 individu memegang kad Pengenalan Bermutu Tinggi, manakala 13,525 masih memegang Kad Pengenalan Pertama.

“Jumlah pemegang MyKad setakat 30 Jun lalu adalah 22,664,773 tetapi terdapat 19,322,409 masih belum menukar kepada kad pengenalan versi baharu.

“Oleh itu, saya menyeru supaya mana-mana individu yang belum menukar MyKad dapat menukarnya segera,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai perlu menukar kepada MyKad Struktur Baharu kerana ia memiliki banyak kelebihan berasaskan ciri keselamatan yang ditambah baik dengan teknologi terkini.

“Malah ia diperkukuhkan daya lekatan dan kualiti kad antara lapisan asas cetakan dengan reka bentuk ditambah baik,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung kempen Tukar Mykad Struktur Baharu, boleh berbuat demikian dengan mengunjungi JPN berdekatan atau melayari laman sosial JPN, Jabatan Pendaftaran Negara (Facebook), @jpn_official (Instagram), @jpnm_official (Twitter) dan Jpnofficial (YouTube).

Mereka juga boleh menghubungi di talian 03-88807077 untuk maklumat lanjut.

Categories
NASIONAL

Guna MyKad beli minyak, Kerajaan gagal selesai kurangkan hutang negara

SHAH ALAM 22 OKT: Cadangan penggunaan MyKad bagi tujuan untuk mengisi minyak tahun hadapan dilihat tidak menyelesaikan masalah terutamanya kumpulan sasar.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, walaupun kerajaan cuba mengawal pembelian minyak melalui penggunaan MyKad, namun ia tetap boleh disalahgunakan.

mykad barang runcit“Kerajaan kata nak kawal subsidi dengan penggunaan MyKad kumpulan sasar berpendapatan bawah RM4,000 akan dapat menikmati subsidi.

“Adakah kerajaan boleh beri jaminan boleh kawal jika mereka yang berpendapatan tinggi yang bawa rakan mereka yang layak menerima subsidi membeli minyak?

“Sudah tentu sukar kerana pekerja stesen minyak bukannya hanya boleh mengawal seorang pelanggan tetapi mereka perlu berdepan lebih ramai pelanggan dalam satu masa,” katanya dipetik Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, cadangan itu membuktikan kerajaan mempunyai fikiran celaru dalam mencari pendapatan negara untuk menyelesaikan hutang.

“Kerajaan hanya berfikir dengan penarikan subsidi akan mengurangkan perbelanjaan negara termasuk untuk membayar hutang.

“Kerajaan sekarang benar-benar bercelaru dalam menyelesaikan hutang-hutang yang semakin bertimbun, bila ini berlaku pelbagai cadangan yang timbul walaupun pelaksanaannya tetap gagal seperti penggunaan Mykad,” sambung beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena berkata subsidi merupakan hak yang harus dinikmati seluruh rakyat negara ini, selain mengawal kenaikan harga barangan keperluan dan pengangkutan awam.

“Sepatutnya yang perlu dilakukan kerajaan adalah dengan mengurangkan perbelanjaan mereka yang merugikan seperti acara pelancaran sesuatu projek, program yang tidak mendatangkan faedah.

“Kita sedia maklum sebelum ini kerajaan telah berbelanja besar dengan pelbagai program, ini sepatutnya kerajaan elak sekarang bukan ambil dari rakyat,” katanya lagi.

EZY