Categories
AGENDA NASIONAL

Sistem tempahan janji temu vaksin kanak-kanak dibuka di seluruh negara 7 Mac

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Sistem tempahan janji temu untuk menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) menerusi aplikasi MySejahtera dibuka di seluruh negara pada 7 Mac ini, bagi membolehkan ibu bapa atau penjaga mendaftar janji temu vaksinasi anak-anak mereka.

ProtectHealth, dalam kenyataan hari ini memaklumkan sistem yang sebelum ini dilaksanakan di Lembah Klang sejak PICKids dilancarkan pada 3 Februari lepas, diperluas ke seluruh negara sebagai usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan, kesihatan dan perlindungan kanak-kanak terhadap varian Omicron.

“Selepas mendaftarkan anak sebagai tanggungan, ibu bapa atau penjaga boleh memilih pusat pemberian vaksin (PPV) untuk menempah janji temu vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera dan memilih tarikh dan masa dikehendaki.

“Adalah disyorkan untuk mengemas kini aplikasi kepada versi terkini sebelum menempah janji temu melalui Sistem Pengurusan Tempahan…Bagi kanak-kanak lima hingga 11 tahun, anda (ibu bapa atau penjaga) harus memilih Pfizer (kanak-kanak) sebagai jenis vaksin,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Datuk Dr Anas Alam Faizli menasihati ibu bapa agar mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak bagi melindungi anak-anak mereka daripada komplikasi serius, terutamanya Sindrom Keradangan Pelbagai Sistem dalam Kanak-Kanak (MIS-C).

Menurut beliau, dilaporkan pada Februari, tujuh kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah meninggal dunia akibat MIS-C disebabkan jangkitan Covid-19 di Malaysia, dan kes berkenaan dilihat semakin meningkat.

“Kajian menunjukkan bahawa vaksin Pfizer kanak-kanak berkesan dan mampu meningkatkan imuniti terhadap Covid-19, serta mengurangkan risiko penyakit serius daripada virus itu,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dr Anas Alam, sebanyak 821 PPV fasiliti kesihatan swasta (klinik swasta, hospital pakar swasta, hospital swasta dan pusat jagaan ambulatori) dan 91 PPV Offsite di bawah ProtectHealth menyediakan vaksinasi di bawah program PICKids.

Beliau berkata ibu bapa atau penjaga boleh mencari PPV pilihan mereka untuk PICKids di bawah ProtectHealth sebagai senarai rujukan menerusi laman web www.protecthealth.com.my .

Berdasarkan data dikongsikan ProtectHealth, sehingga 28 Februari, sejumlah 879,264 dos vaksin di bawah PICKids telah diberikan sejak dilancarkan 3 Februari lepas, dan 568,731 atau 64.6 peratus menerusi Pengamal Perubatan Swasta (PMP) dan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah ProtectHealth.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada lagi perubahan status sebagai kontak kasual di MySejahtera

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Tiada lagi perubahan status di aplikasi MySejahtera sekiranya orang ramai dikesan sebagai kontak kasual (kuning) kepada kes positif Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy menerusi ciapan di laman Twitter beliau berkata sebaliknya individu berkenaan hanya akan menerima notifikasi memaklumkan mereka adalah kontak kasual.

“Sebelum ini apabila MySJ trace/check-in mengesan anda sebagai kontak kasual kes positif, status di MySJ akan bertukar kepada kontak kasual (kuning).

“Kini tiada lagi perubahan status. Tetapi anda akan menerima notifikasi. Jika bergejala, asingkan diri dan lakukan ujian kendiri,” katanya.

Khairy turut memuat naik poster mengenai langkah meningkatkan penilaian kendiri Covid-19 Kementerian Kesihatan: Tingkatkan Penilaian Kendiri Covid-19 merangkumi lima peringkat iaitu 1: Test (Uji), 2: Report (Lapor), 3: Isolate (Asing), 4: Inform (Maklum) dan 5: Seek (Dapatkan rawatan).

Poster berkenaan antaranya menggesa orang ramai mendapatkan rawatan segera di pusat perubatan atau Pusat Penilaian Covid-19 sekiranya alami gejala berat seperti kesukaran bernafas dan suhu badan terlalu tinggi.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Khairy: Majikan perlu terima salinan sijil digital MySejahtera

KLUANG, 27 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) meminta semua majikan di negara ini supaya menerima pakai salinan sijil digital perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO), atau surat pelepasan kuarantin (RO) bagi mengelakkan kesesakan di pusat penilaian Covid-19 (CAC).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia susulan ramai pesakit datang ke CAC akibat majikan mereka tidak menerima sijil digital, sebaliknya meminta notis secara bertulis.

Beliau berkata pelaporan kepada pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) kebangsaan mendapati 30 hingga 50 peratus kes yang hadir ke CAC, bukan untuk penilaian bagi kes kesihatan merosot semasa menjalani pemantauan di rumah.

“Sebanyak 90 peratus daripadanya adalah untuk discaj bagi dapatkan notis bertulis (HSO). Ini menyebabkan penambahan beban tugas kepada staf KKM. Mereka sepatutnya membuat penilaian untuk pesakit bukan tulis notis HSO.

“Selepas tempoh isolasi berakhir, pesakit perlu melakukan salinan paparan skrin sijil digital HSO untuk makluman lanjut pihak majikan dan pihak berkaitaan,” katanya pada sidang media di CAC Klinik Kesihatan Simpang Renggam di sini, hari ini.

Khairy berkata orang ramai boleh membuat aduan kepada KKM jika majikan mereka tidak menerima sijil digital HSO atau RO.

Bercakap mengenai CAC secara maya, Khairy berkata sehingga 23 Februari, ia telah memantau 361,283 kes aktif di rumah, dengan mengesan kemerosotan keadaan pesakit Covid-19 yang menjalani pemantauan rumah di seluruh negara melalui saringan kesihatan.

“Bukan suka-suka kita minta untuk menjawab soalan. Bila mereka jawab soalan itu, kita mempunyai sistem untuk melihat kepada gejala bertanda amaran. Kalau tanda amaran merisaukan, kita akan minta mereka hadir secara fizikal ke CAC,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta individu yang menjalani isolasi di rumah supaya menjawab soalan pada aplikasi MySejahtera setiap dua kali sehari, berikutan purata kes aktif yang menjawab soalan adalah hanya 55 peratus meskipun KKM membuat sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus.

Katanya ia penting agar KKM dapat mengesan kes berisiko tinggi yang memerlukan rawatan segera sekali gus mengurangkan kes kematian di luar hospital (BID).

Sementara itu, Khairy memaklumkan sejak 13 hingga 19 Februari, kes menjalani isolasi di rumah yang dirujuk kepada PKRC adalah 0.4 peratus manakala dirujuk ke hospital pula adalah 0.2 peratus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin Covid-19: Segera rawat jika alami kesan sampingan berpanjangan

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Penerima vaksin COVID-19 yang mengalami kesan sampingan serius atau berpanjangan dinasihat merujuk kepada fasiliti kesihatan berhampiran dan mendapatkan rawatan segera.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Twitter beliau hari ini memaklumkan rawatan segera terhadap kesan sampingan serius vaksin adalah penting agar kesan mudarat dapat dikurangkan dan laporan yang lengkap dapat diperoleh untuk siasatan.

Beliau berkata terdapat empat cara melaporkan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) vaksin COVID-19 iaitu membuat laporan melalui aplikasi MySejahtera bagi mereka yang menghadapi kesan tidak serius.

Selain itu, laporan boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) atau mengisi secara manual borang yang dicetak daripada laman sesawang NPRA dan dihantar melalui e-mel atau pos ke NPRA.

Katanya bagi AEFI serius, laporan hendaklah dibuat melalui anggota kesihatan yang merawat kes itu melalui laman sesawang NPRA atau Pharmacy Information System (PhIS) bagi fasiliti Kementerian Kesihatan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pantau, kemas kini gejala di MySejahtera sepanjang kuarantin

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Individu yang positif Covid-19 perlu memantau dan mengemas kini gejala yang dialami di aplikasi MySejahtera setiap hari supaya tahap kesihatan mereka dapat dipantau sepanjang tempoh kuarantin.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin melalui video TikTok yang dikongsi di akaun Twitter beliau hari ini menasihati individu yang positif Covid-19 supaya menghubungi atau terus ke fasiliti kesihatan terdekat jika mendapati gejala yang dialami semakin serius.

“Pantau gejala dan tahap kesihatan anda seperti sukar bernafas, demam berpanjangan, sakit dada dan hilang selera makan,” katanya.

Beliau berkata individu yang mendapati diri mereka bergejala perlu segera mengasingkan diri dan melakukan ujian kendiri.

“Jika positif, laporkan keputusan ujian Covid-19 di MySejahtera. Semasa dalam tempoh kuarantin, anda akan menerima notifikasi pada (ruangan) Things To Do. Ini adalah alat penilaian kesihatan dan anda boleh mengemas kini gejala yang anda alami sentiasa,” katanya.

Khairy turut menasihati orang ramai supaya sentiasa mengamalkan TRIIS iaitu uji, lapor, asing, maklum dan dapatkan rawatan serta memakai pelitup muka.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Aduan teknikal MySejahtera secara fizikal di lokasi terpilih dibuka esok

PUTRAJAYA, 18 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka helpdesk MySejahtera secara fizikal di beberapa lokasi terpilih bagi membantu menyelesaikan isu berbangkit berhubung aplikasi tersebut.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata helpdesk MySejahtera fizikal yang pertama akan dibuka di pusat pemberian vaksin (PPV) World Trade Centre, Kuala Lumpur Sabtu ini dan diikuti dengan pembukaan helpdesk fizikal di PPV Ideal Convention Centre, Shah Alam pada 26 Feb depan.

“Jadi orang ramai yang ada masalah dengan sijil vaksin dan sebagainya boleh pergi ke helpdesk fizikal ini untuk selesaikan masalah mereka.

“Helpdesk maya kita teruskan tetapi saya dapat aduan ada yang tunggu lama untuk sijil vaksin dan sebagainya (tapi) masih belum diselesaikan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di sini semalam.

Beliau berkata KKM akan memperluas kemudahan helpdesk fizikal itu ke negeri-negeri lain dalam masa terdekat dan akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Khairy berkata satu pengumuman mengenai protokol isolasi kontak rapat akan dibuat pada minggu hadapan.

Beliau berkata ini selari dengan protokol diamalkan pekerja kesihatan di bawah KKM yang mana mereka menjadi kontak rapat dan tidak bergejala, tidak perlu menjalani kuarantin sebaliknya hanya perlu buat ujian kendiri Covid-19 pada hari-hari tertentu.

Khairy berkata satu pekeliling sudah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa lepas (15 Feb) untuk pekerja-pekerja kesihatan KKM.

“Kita mungkin akan guna pakai protokol sama apabila kita rasa sudah boleh melaksana protokol baharu ini untuk orang ramai.

“Kontak rapat sekarang sangat kerap berlaku sebab kes meningkat dan apabila ini berlaku, gangguan kepada ekonomi, pengurusan pekerjaan dan sebagainya sangat ketara,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata bermula esok bilangan kes harian Covid-19 tidak akan diumumkan pada petang hari tersebut sebaliknya akan diumumkan pada 10 pagi keesokan harinya bersama data-data lain seperti jumlah kemasukan ke hospital, bilangan kematian dan sebagainya.

“Ini bermakna bermula esok petang, tiada laporan bilangan kes harian Covid-19 sebaliknya data pada Jumaat akan diumumkan pada Sabtu pagi.

“Ini supaya kita dapat baca data kes harian bersama data-data lain seperti kemasukan ke hospital dan sebagainya untuk mengurangkan fear factor kes harian setiap hari, dan supaya kita secara perlahan-lahan mendidik masyarakat daripada hanya melihat kes harian kepada angka-angka lain yang memberi gambaran lebih jelas dan teliti tentang keadaan sebenar,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aduan masalah teknikal dos penggalak boleh dibuat di MySejahtera atau rujuk PPV

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Individu yang mempunyai masalah teknikal berkaitan rekod vaksinasi dos penggalak Covid-19 di aplikasi MySejahtera perlu membuat aduan melalui aplikasi itu atau mengunjungi semula lokasi mereka menerima vaksin bagi mendapatkan bantuan lanjut.

Ketua data di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Dr Mahesh Appannan berkata individu yang sudah menerima dos penggalak tetapi paparan MySejahteranya menunjukkan sebaliknya boleh diselesaikan.

“Sebenarnya kalau kita sudah dapat data tersebut, kita akan uruskan secepat mungkin. Itu yang saya sarankan kalau boleh semua yang tiada maklumat booster (penggalak) dalam telefon mereka, mereka boleh pergi ke bahagian Helpdesk (MySejahtera) dan isi ‘option M’.

“Dalam masa lima hari, akan ada (bantuan Helpdesk) tetapi ini tertakluk kepada maklumat yang mereka isi kerana ini adalah sistem blockchain, kalau maklumat disalurkan tidak tepat memang tidak akan diproses,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata maklumat vaksinasi individu di aplikasi MySejahtera akan dikemas kini secara automatik setelah maklumat individu itu dimuat naik secara lengkap oleh pekerja di klinik atau pusat pemberian vaksin (PPV).

Menurutnya, perkhidmatan vaksinasi secara jumpa terus dan janji temu dos penggalak Covid-19 juga masih mengikut konsep yang sama iaitu individu perlu mengimbas maklumat di kaunter sebelum proses vaksinasi berlaku bagi mendapatkan sijil vaksinasi digital lengkap dalam aplikasi MySejahtera.

Dr Mahesh berkata dos penggalak diperoleh secara berbayar di klinik tertentu tidak termasuk di bawah pengawasan MySejehtera.

Beliau berkata maklumat akan dikemas kini lewat sedikit dalam MySejahtera setelah mendapat maklumat daripada pihak tersebut.

“Sekarang ramai yang dapat booster secara berbayar jadi mereka menggunakan sistem lain, tidak terus masuk dalam MySejahtera. Buat masa sekarang, klinik-klinik berkenaan haruslah menggunakan program sistem vaksin kebangsaan C0vid-19 iaitu Malaysian Vaccine Administration System (MyVAS).

“Pengurusan (klinik) akan kumpul dahulu data baru akan beri kepada pihak MySejahtera untuk kita memuat naik dalam sistem (MySejahtera). Kalau mereka tidak menggunakan sistem itu memang tidak keluar sijil mereka di MySejahtera,” katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan mengenai pengguna yang terkejut apabila butiran dos penggalak mereka hilang daripada sijil vaksinasi digital MySejahtera. Ada juga yang menerima janji temu suntikan penggalak sekali lagi walaupun telah menerima suntikan itu.

Seorang pengguna akaun Twitter ‘Armzaniza’ dalam ciapannya memaklumkan bahawa beliau telah mendapat dos penggalak sebulan lepas namun masih belum menerima sijil dos itu walaupun pelbagai usaha bagi menyelesaikan isu berkenaan telah dilakukan.

“Sudah sebulan tidak menerima sijil dos penggalak. Sudah e-mel, sudah pelbagai cara tapi no respond,” katanya.

Sementara itu, Tracy Abdul Gapar, 40, berkata dia mendapat janji temu dos pengalak Covid-19 dan telah mendapatkan suntikan dos itu pada 21 Jan lepas.

Bagaimanapun, katanya, maklumat mengenai suntikan dos itu belum dikemas kini dalam MySejahtera sehingga ke hari ini sebaliknya yang berlaku dia diberi janji temu kedua dalam aplikasi itu semalam.

“Saya sudah buat aduan di Helpdesk namun sehingga kini masih belum ada respons daripada pihak MySejahtera. Saya belum menolak untuk temu janji kali kedua untuk dijadikan bukti yang saya ada menerima (janji temu kedua),” katanya.

Beliau juga risau pergerakannya akan terhad kerana ketiadaan sijil digital dos penggalak berkenaan meskipun dia sudah mengambil dos itu namun maklumat itu belum dikemas kini di aplikasi MySejahtera.

Sebelum ini dilaporkan, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi peringatan agar semua penduduk berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac depan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pilih Pfizer (kanak-kanak) ketika daftar janji temu MySejahtera

SHAH ALAM, 5 FEB: Ibu bapa yang mahu mendaftar anak berusia antara lima hingga 11 tahun sebagai penerima vaksin perlu memilih Pfizer (kanak-kanak) semasa menempah janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut menasihatkan ibu bapa supaya membawa dokumen pengenalan diri anak mereka semasa ke pusat pemberian vaksin (PPV).

“Kepada ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak anda bagi vaksinasi di bawah PICKids (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak), sila pastikan anda hanya memilih Pfizer (kanak-kanak) semasa membuat tempahan janji temu vaksinasi.

“Sila pastikan juga membawa dokumen pengenalan diri anak anda seperti Mykid atau pasport semasa ke PPV bagi memastikan vaksinasi hanya diberikan kepada kanak-kanak yang genap lima tahun pada tarikh vaksinasi sehingga bawah 12 tahun,” katanya di Facebook.

PICKids dilancarkan di Lembah Klang sejak 3 Februari lalu, iaitu melalui hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perubatan, manakala yang tiada masalah perubatan akan diberikan di pusat pemberian vaksin (PPV) integrasi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan suami isteri guna sijil vaksin palsu, orang tengah urus penjualan

ALOR GAJAH, 13 JAN: Polis menahan sepasang suami isteri yang juga penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan di negeri ini kerana menggunakan sijil vaksinasi digital COVID-19 disyaki palsu menerusi aplikasi MySejahtera, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata selain pasangan berusia 38 dan 33 tahun itu, pihaknya turut menahan rakan sekerja lelaki mereka berusia 58 tahun yang disyaki orang tengah bagi menguruskan penjualan dan proses muat turun sijil tersebut.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah pada kira-kira 4 petang.

“Pada 30 Dis lepas, status vaksinasi lengkap dua dos pasangan suami isteri berkenaan diragui palsu oleh pengarah jabatan terlibat sebelum mengarahkan seorang pegawai tadbirnya di pejabat khidmat pengurusan menyemak ketulenan sijil tersebut.

“Pada keesokan hari, pegawai tadbir itu telah menghantar surat kepada Klinik Kesihatan (KK) Rembia untuk membuat semakan dan pengesahan status berkenaan sebelum menerima maklum balas daripada KK Rembia pada 5 Jan lepas mengatakan pasangan berkenaan tidak menerima vaksin daripada klinik itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pasangan tersebut mendapatkan sijil vaksinasi digital berstatus dua dos lengkap berkenaan daripada rakan sekerjanya itu pada harga RM500 seorang.

Katanya sijil berkenaan dibeli mereka kerana ia merupakan prasyarat untuk mendapatkan bantuan khas kewangan atau bonus penjawat awam selain mengelak dikenakan tindakan oleh jabatan kerana enggan divaksin serta memudahkan mereka memasuki premis perniagaan.

Arshad berkata semakan mendapati suami isteri itu pernah membuat laporan polis pada pertengahan tahun lepas kerana enggan menerima suntikan vaksin COVID-19.

Beliau berkata siasatan ke atas lelaki yang merupakan orang tengah itu mendapati suspek memuat turun sijil vaksinasi dua dos lengkap itu daripada seorang lagi suspek digelar sebagai ‘VNilai’ dan masih bebas.

“Polis turut merampas telefon bimbit milik ketiga-tiga mereka dan kesemuanya direman hingga hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MySejahtera perkenal ciri baharu kesan kontak rapat

KUALA LUMPUR, 26 DIS: MySejahtera kini dilengkapi dengan ciri baharu iaitu ‘MySJ Trace’ untuk membolehkan pengesanan kontak rapat yang turut menggunakan ciri baharu yang sama.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di Twitter hari ini berkata ‘MySJ Trace’ yang menggunakan sistem Bluetooth akan memberi maklumat secara langsung bilangan interaksi dengan pengguna lain yang turut mengaktifkan ciri baharu berkenaan.

“Jika anda disahkan positif, anda boleh hantar data interaksi kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk proses pengesanan kontak dibuat. Semua data interaksi adalah tidak didedahkan,” katanya.

Beliau berkata menerusi ciri baharu itu, masyarakat digalakkan menggunakannya apabila ke tempat awam yang tertutup selain memaklumkan bahawa ciri mendaftar keluar yang terdapat dalam MySejahtera tidak lagi digunakan.

Khairy berkata ciri baharu berkenaaan juga telah dihantar serentak kepada Google, Apple dan Huawei untuk dikemas kini.

“Sudah boleh dikemas kini di Huawei. Untuk Google dan Apple masih menunggu mereka untuk menyenaraikan update (kemas kini) baharu ini,” katanya.

MySejahtera ialah aplikasi yang dibangunkan kerajaan bagi membantu menguruskan kawalan wabak Covid-19 di negara ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai digalak lapor keputusan ujian kendiri walaupun negatif

SHAH ALAM, 13 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta orang ramai melaporkan keputusan ujian Covid-19 secara kendiri dalam aplikasi MySejahtera walaupun hasil saringan negatif.

Ketua pengarah kesihatan berkata hampir lima juta kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) yang dijual tetapi yang didaftarkan dalam MySejahtera masih rendah.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya percaya kes negatif adalah lebih tinggi daripada kes positif yang tidak dilaporkan di negara ini.

“Kita sedang mencuba melihat kaedah terbaik untuk meningkatkan kesedaran untuk memasukkan data ujian. Kita percaya kes negatif lagi banyak berbanding positif tidak dilaporkan.

“Mudah saja untuk melaporkan. Saya sendiri sudah laporkan dan mengambil hanya dua tiga langkah untuk menjawab soalan dan kita boleh dapatkan data-data tersebut,” katanya pada sidang media semalam.

Dr Noor Hisham berkata tujuan beliau mengesyorkan langkah itu bagi mengumpul data untuk mengetahui tanda aras yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kalau kita lihat kadar positif satu masa dulu tanda aras adalah lima peratus yang dicatatkan WHO. Kita hampir mencecah tiga peratus sekarang.

“Kes yang positif sekarang ini adalah tiga hingga empat peratus. Ini menunjukkan tanda aras kita sudah berjaya untuk mengesan kes yang positif,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada aduan penumpang terlepas penerbangan berikutan masalah teknikal MySejahtera

SHAH ALAM, 8 NOV: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak menerima sebarang aduan mengenai penumpang terlepas penerbangan atau penjadualan semula penerbangan berikutan masalah teknikal MySejahtera.

MAHB menjelaskan, pihaknya akan terus meneliti perkembangan masalah perisian berkenaan dengan semua syarikat penerbangan yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kami tidak menerima sebarang laporan atau aduan mengenai mana-mana penumpang terlepas penerbangan atau penjadualan semula penerbangan di KLIA berikutan masalah teknikal MySejahtera.

“MAHB akan terus menjalankan pemeriksaan dengan syarikat penerbangan dan memantau situasi ini dari semasa ke semasa. Penumpang yang memerlukan apa-apa bantuan berhubung masalah ini boleh menghubungi KLIA di talian 03-8777 8888,” lapor Berita Harian.

Semalam, orang ramai mengadu mereka tiba-tiba dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), manakala status bertukar menjadi individu dalam pemantauan (PUS).

MySejahtera menerusi Twitter meminta maaf berikutan kesulitan sedemikian dan menjelaskan pihaknya sudah menyelesaikan masalah yang menjadi punca perkara terbabit.