Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MySejahtera mohon maaf, salah beri status perintah pengawasan, pemerhatian

SHAH ALAM, 7 NOV: Aplikasi MySejahtera memohon maaf atas kesilapan teknikal membabitkan pemberian status perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) dan individu dalam pemantauan (PUS) kepada beberapa individu.

Aplikasi itu menerusi Twitternya @my_sejahtera hari ini berkata pihak sudah mengenal pasti punca perkara itu berlaku dan status HSO dipadamkan manakala status PUS yang salahh dibetulkan.

“Selamat pagi semua, kami memohon maaf atas kesilapan kami yang membenarkan pengguna rawak diberikan status HSO/PUS.

“Kami telah kenal pasti punca yang membuatkan perkara ini berlaku. Semua HSO yang salah dipadamkan dan status PUS yang salah dibetulkan semula,” katanya.

Ia selepas beberapa individu mendakwa status mereka di MySejahtera bertukar kepada HSO dan PUS sejak awal pagi ini.

Ada juga dalam kalangan mereka mendakwa status MySejahtera mereka kembali kepada asal selepas mendapatkan bantuan di ruangan ‘helpdesk’ dalam aplikasi itu.

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Boleh cetak sijil vaksin guna PDF menerusi MySejahtera

SHAH ALAM, 9 OKT: Aplikasi MySejahtera menawarkan fungsi baharu apabila orang ramai boleh mencetak sijil digital vaksinasi menggunakan Format Dokumen Mudah Alih (PDF).

Selain membolehkan sijil digital vaksinasi dicetak, fungsi aplikasi itu turut ditambah baik dengan menawarkan tarikh lahir individu, lapor Kosmo!.

“Kemaskini terbaru di MySejahtera menunjukkan tarikh lahir dan membolehkan rakyat dan pelancong antarabangsa mencetak sijil menerusi format PDF,” kata menteri kesihatan.

Kenyataan itu dibuat Khairy Jamaluddin mengenai pengalaman seorang pengguna Twitter @khairycordoba berhubung kemudahan berkenaan.

“AKhirnya MySejahtera boleh ‘export’ sijil digital dalam PDF, senang sikit urusan rentas negeri dan negara nanti,” katanya.

Bagaimanapun, ciri terkini itu belum dapat diakses oleh segelintir rakyat khususnya pengguna telefon bimbit jenis android.

Categories
AGENDA NASIONAL

MySejahtera dilengkapi butang aduan, lapor pelanggaran SOP

SHAH ALAM, 3 OKT: Aplikasi MySejahtera bakal dilengkapi dengan butang ‘aduan’ bagi membolehkan orang ramai melaporkan pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata menerusi kaedah terbaharu itu, pengguna boleh membuat aduan pelanggaran SOP oleh mana-mana individu atau premis kepada pihak berkuasa.

“Butang ‘aduan’ akan diaktifkan membolehkan orang ramai menggunakan kemudahan itu.

“Menerusi kemudahan baharu yang akan dilancarkan dalam waktu terdekat ini, pengadu juga boleh memuat naik gambar sebagai bukti aduan pelanggaran SOP,” menurut KKM melalui Facebook.

Antara fungsi butang ‘aduan’:

  • Pelanggaran SOP untuk individu (tidak memakai topeng muka atau mematuhi jarak fizikal)
  • Pelanggaran oleh pengendali premis (kegagalan merekod pelawat atau memeriksa suhu badan)
  • Pelanggaran perintah kuarantin
  • Isu-isu lain
Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 500,000 masalah sijil vaksin MySejahtera selesai dalam seminggu

ALOR SETAR, 19 SEPT: Lebih 500,000 masalah ketiadaan paparan sijil vaksin digital di dalam aplikasi MySejahtera berjaya diselesaikan dalam tempoh seminggu ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti beberapa punca kepada masalah tersebut dan akan terus memastikan aplikasi itu mengemas kini maklumat penerima vaksin dos pertama atau dos kedua sebelum ini.

“Sebanyak 95,347 aduan tersebut berpunca daripada status penerima vaksin sebagai tanggungan, menyebabkan sijil vaksin digital individu tersebut terikat dengan pemilik akaun MySejahtera,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja beliau ke Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.

Beliau berkata untuk masalah tersebut, pemilik akaun perlu mengeluarkan akaun tanggungan bagi membolehkan tanggungan mendaftar akaun MySejahtera miliknya sendiri.

Khairy berkata punca lain yang dikenal pasti ialah pemilik akaun MySejahtera tidak mengesahkan nombor kad pengenalan di dalam aplikasi tersebut.

Beliau berkata untuk menyelesaikan masalah itu pengguna perlu mengesahkan nama dan nombor kad pengenalan mereka di bahagian Vaksin Covid-19 dan lengkapkan soalan-soalan berkaitan maklumat sendiri.

“(Masalah lain) ialah pengguna mempunyai lebih daripada satu akaun MySejahtera dan sijil digital vaksin hanya akan dipaparkan dalam akaun MySejahtera yang digunakan ketika menerima vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV),” katanya.

Selain itu, katanya, sebanyak 71,408 aduan mengenai ketiadaan paparan sijil digital vaksin didapati berpunca daripada PPV yang tidak melengkapkan proses dokumentasi setelah individu selesai menerima suntikan vaksin.

Katanya bagi isu tersebut, MySejahtera sedang membuat penyelarasan dengan PPV yang terlibat untuk memastikan pengguna akan menerima paparan sijil digital vaksin di dalam MySejahtera.

“Saya juga ingin mengingatkan para petugas PPV supaya semak dan pastikan setiap penerima vaksin telah menerima sijil vaksin digital di dalam aplikasi MySejahtera sebelum mereka meninggalkan PPV.

“Selain itu, terdapat juga aduan daripada individu yang menerima vaksin di PPV yang bukan dikendalikan oleh KKM dan ProtectHealth Corporation (Protect Health). Masalah ini berlaku kerana PPV berkenaan tidak menggunakan sistem MySejahtera,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata bagi mengatasi sebarang kesulitan disebabkan ketiadaan paparan sijil digital, individu yang telah menerima vaksinasi lengkap boleh menggunakan kad vaksinasi fizikal untuk memanfaatkan kemudahan yang diberikan kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Katanya kad vaksinasi fizikal itu merupakan kad bercetak yang ditulis oleh petugas kesihatan semasa individu mendapatkan suntikan di PPV.

“Jadi saya meminta agar semua premis menerima kad fizikal ini jika individu yang sudah lengkap divaksin tiada paparan sijil vaksin digital,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lama tunggu janji temu MySejahtera, bapa bawa anak OKU terima Selvax

PETALING JAYA, 18 SEPT: Seorang bapa datang seawal jam 8 pagi hari ini membawa anaknya yang juga orang kelainan upaya (OKU) ke program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku.

Taufiq Abu Talib, 45, berkata anaknya Akmal Haziq, 18, teruja menerima vaksin selepas sekian lama menunggu tarikh janji temu menerusi MySejahtera yang tidak kunjung tiba.

“Saya dan isteri lengkap divaksinasi tetapi sampai hari ini anak masih belum dapat tarikh dari MySejahtera. Program hari ini pun kumpulan WhatsApp jiran tetangga maklumkan dan tanpa fikir panjang saya bawa anak ke sini.

“Bimbang juga jika menunggu terlalu lama memandangkan anak saya golongan berisiko,” katanya yang memuji proses vaksinasi disifatkan mudah dan pantas.

Sivaganti Batumale

Sementara itu, Sivaganti Batumale, 35, berkata janji temu yang diterimanya menerusi MySejahtera sebelum ini terpaksa dibatal kerana beliau demam.

“Saya tahu mengenai program ini melalui Facebook dan terus daftar di aplikasi SELangkah. Saya harap Kerajaan Selangor meneruskan program seumpama ini pada masa akan datang,” katanya.

Mosharaf

Manakala, warga asing Mosharaf, 29, berkata beliau dibawa majikannya untuk divaksinasi supaya boleh mula bekerja seperti biasa selepas ini.

“Sebelum ini saya tidak boleh kerja kerana belum disuntik. Harap selepas divaksin terdapat beberapa kelonggaran termasuk membenarkan kami warga asing pulang ke kampung halaman,” katanya yang telah sembilan tahun menetap di Malaysia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tempoh seminggu selesai isu individu lengkap vaksin tiada sijil digital Mysejahtera

PUTRAJAYA, 9 SEPT: Pasukan MySejahtera telah diarah menyelesaikan isu sijil digital di aplikasi MySejahtera bagi individu yang lengkap menerima vaksin dalam tempoh seminggu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya arahan itu dikeluarkan susulan kebimbangan orang ramai yang masih belum mendapat sijil digital vaksinasi mereka meskipun sudah melengkapkan dos vaksin Covid-19.

Menurut Khairy bagi individu yang mendapati sijil digital aplikasi MySejahtera belum dikemas kini, mereka boleh menggunakan kad fizikal vaksin untuk sementara waktu.

“Semua masalah berkaitan MySejahtera saya telah mengarahkan pasukan MySejahtera untuk selesaikan dengan segera termasuk masalah tidak ada sijil digital….saya beri mereka tempoh seminggu untuk selesaikan,” katanya di sini hari ini.

Khairy berkata demikian dalam sidang media perkembangan Covid-19 yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut Khairy individu yang menerima vaksinasi menerusi program Vaksin Selangor (SelVAX) boleh menggunakan sijil digital dalam SELangkah sehingga mendapat sijil digital di aplikasi MySejahtera.

Mengenai permintaan yang semakin meningkat untuk membolehkan individu bujang berkunjung ke luar negara bagi melawat ibu bapa mereka, Khairy berkata perkara itu sedang dibincangkan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa melihat kepada data dan penilaian risiko. Saya sentiasa membincangkan perkara ini dengan Ketua Pengarah dan kami berpendapat bahawa telah tiba masanya untuk kita membuat syor kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Justeru, Khairy meminta orang ramai supaya bersabar bagi membolehkan KKM melihat indikator penting seperti soal kapasiti kesihatan di tahap yang baik untuk membuat syor kepada MKN supaya aktiviti rentas negeri dibenarkan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Mohon CITF benarkan sijil digital SELangkah jadi dokumen pengesahan sementara

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kerajaan Selangor memohon Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) membenarkan sijil digital Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) digunakan sebagai dokumen pengesahan buat sementara waktu.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia susulan aduan peserta program Vaksin Selangor (Selvax) yang belum memperoleh sijil pengesahan di aplikasi MySejahtera walaupun sudah mendapat dos lengkap vaksin Covid-19.

Menurutnya setakat semalam, SELangkah menghantar 159,919 rekod peserta Selvax kepada MySejahtera namun 3,632 individu masih belum menerima sijil digital.

Dr Siti Mariah Mahmud. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Dikhuatiri angka sebenar lebih ramai. CITF menjelaskan MIMOS Berhad (MIMOS) menghadapi masalah teknikal untuk mengintegrasi data peserta Selvax ke sistem MySejahtera.

“MIMOS juga perlukan masa mengatasi masalah itu namun tidak dapat memberi kepastian bila isu ini dapat diselesaikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Siti Mariah berkata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin akan membawa saranan itu ke Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

“Kita masih menunggu maklum balas dan berharap cadangan diluluskan segera demi kepentingan rakyat Selangor,” katanya.

Pada Mac kerajaan memaklumkan individu lengkap vaksinasi diberikan sijil digital di MySejahtera sebagai bukti pengambilan vaksin dan ia menjadi keperluan pada masa depan.

Ketika ini kerajaan memberi kelonggaran kepada individu lengkap pelalian antaranya boleh berjemaah di masjid serta makan di kedai.

Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat gesa kerajaan segera kemas kini maklumat penerima vaksin di MySejahtera

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kerajaan digesa mengemas kini maklumat penerima lengkap dos pelalian bawah program Vaksin Selangor (Selvax) di aplikasi MySejahtera bagi memudahkan urusan harian.

Wakil rakyat Balakong Wong Siew Ki berkata banyak aduan dihantar orang ramai melalui sistem meja bantuan (Helpdesk) berhubung isu terbabit, namun tiada maklum balas untuk kemas kini berkenaan sehingga kini.

Katanya isu berkenaan tidak seharusnya timbul berikutan Selgate Healthcare, pihak yang mengendalikan program Selvax sudah menghantar semua maklumat peserta kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong Wong Siew Ki

“Bermula sekitar Ogos sehingga sekarang, saya menerima panggilan dan pertanyaan daripada peserta Selvax bahawa maklumat mereka tidak dikemas kini dalam aplikasi MySejahtera walaupun telah 14 hari menerima vaksin dos kedua.

“Hal ini memberi kesan kepada kehidupan seharian orang ramai kerana tidak dibenarkan memasuki premis perniagaan dan tempat awam disebabkan kegagalan menunjukkan status vaksin melalui e-sijil MySejahtera,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata usaha melawan pandemik tidak akan berjaya sekiranya kerajaan gagal menangani isu terbabit.

“Situasi ini amat mengecewakan apabila aplikasi yang menjadi kebergantungan utama kerajaan mengambil masa lama untuk mengemas kini maklumat penerima vaksin,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

MySejahtera kini ada fungsi daftar keluar – Khairy

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Aplikasi MySejahtera akan ditambah baik dengan pengenalan ciri-ciri baharu bagi memudahkan penggunanya memaparkan status kesihatan mereka.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu hantaran Twitternya malam ini berkata pasukan yang dipertanggungjawabkan akan memulakan proses penambahbaikan malam tadi bagi memudahkan orang ramai memaparkan tahap risiko dan status vaksinasi masing-masing.

“Ini akan memudahkan dengan Covid yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan. Kami akan terus mengemas kini dan menambah baik aplikasi itu dalam minggu-minggu berikutnya.

Khairy berkata satu ciri terbaharu dalam aplikasi MySejahtera ialah butang daftar keluar yang ditambah bagi menambah baik proses pengesanan kontak.

“Sebaik sahaja meninggalkan satu tempat, perlu sentiasa ingat untuk daftar keluar. Anda hanya perlu menekan satu butang – tiada imbasan diperlukan,” katanya.

MySejahtera ialah aplikasi yang dibangunkan kerajaan bagi membantu menguruskan kawalan wabak Covid-19 di negara ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 120,000 dos Selvax diberi kepada warga asing

SHAH ALAM, 27 OGOS: Sebanyak 120,030 dos Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti dan Selvax Industri diberikan kepada warga asing setakat hari ini, kata EXCO Kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata selain Selvax, seramai 333,847 warga asing yang berdaftar dengan MySejahtera telah lengkap dua dos dan 597,724 lagi menerima dos pertama.

“Kerajaan Negeri tetap mengambil berat kesejahteraan warga asing kerana golongan ini juga sebahagian daripada komuniti selain turut menyumbang kepada ekonomi Selangor.

“Selvax Industri merupakan inisiatif Selangor bagi melengkapi usaha kerajaan persekutuan untuk mempercepat suntikan dalam kalangan warga asing,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat berhubung program vaksinasi warga asing pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Siti Mariah memaklumkan antara cabaran yang dihadapi dalam pemberian suntikan kepada warga asing adalah ketiadaan dokumen sah menyebabkan golongan itu tidak mahu mengambil vaksin.

“Malah terdapat warga asing yang mempunyai dokumen dengan nombor pasport yang sama tetapi negara berlainan.

“Masalah lain adalah janji temu suntikan warga asing diberikan secara berkumpulan besar menyebabkan kesesakan pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk warga yang sedang dalam kuarantin tetapi hadir ke PPV,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat individu ditahan guna identiti orang lain daftar vaksin

MELAKA, 23 OGOS: Empat individu melibatkan seorang lelaki warga tempatan dan tiga wanita warga asing ditahan kerana dipercayai menggunakan identiti orang lain bagi pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka Supt E Sundra Rajan berkata kesemua suspek berusia 35 hingga 40 tahun itu, ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Bandar Hilir antara jam 2.30 petang hingga 7.30 malam pada Rabu lepas.

Beliau berkata tangkapan pertama melibatkan seorang wanita warga asing berusia 30 tahun yang ditahan ketika hadir mendapatkan dos kedua vaksin Covid-19 di sebuah klinik di Bandar Hilir kira-kira 2.30 petang.

“Semakan yang dilakukan ke atas aplikasi MySejahtera yang digunakan suspek mendapati maklumat identiti yang didaftarkan di aplikasi itu adalah milik individu lain.

“Polis turut merampas kad vaksin atas nama suspek, i-kad warga asing yang dipercayai palsu, salinan pasport yang telah tamat tempoh dan telefon bimbit yang digunakan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata susulan tangkapan berkenaan, dua lagi wanita warga asing dan seorang lelaki tempatan berusia 35 hingga 40 tahun ditahan di sebuah rumah di Bandar Hilir kira-kira 7 malam, hari sama.

Katanya, semua suspek berkenaan direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kemungkinan terlibat dalam sindiket penipuan menggunakan identiti individu lain bagi pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Sundra berkata tiga wanita warga asing itu turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga kini pihaknya menerima dua laporan polis berkaitan maklumat pengenalan diri warga tempatan digunakan individu warga asing bagi tujuan pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

“Pihak polis memandang serius segala aktiviti penyalahgunaan identiti individu lain dalam MySejahtera bagi tujuan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA

Panduan kuarantin di rumah guna MySejahtera, SELangkah