Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Terima semula data, mudahkan Selangor cegah Covid-19

SHAH ALAM, 7 FEB: Kerajaan Selangor akan menerima kembali perkongsian data semasa keseluruhan wabak Covid-19 seperti sebelum ini.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara itu dipersetujui Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan berharap ia berjalan lancar sekali gus memudahkan tindakan mengekang penularan pandemik.

“Perkongsian data bukan hanya dari aplikasi MySejahtera kepada SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) sebaliknya untuk dua-dua hala.

“Jadi perkara ini tengah dibuat dan harap benar-benar berlaku. Ia sangat penting kerana tindakan seterusnya boleh dirancang, walaupun tidak sepenuhnya tepat namun berkesan seperti ketika Selangor berdepan gelombang kedua,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian dalam program bertajuk Covid-19 Fight: Red Zone Selangor disiarkan secara langsung di Facebook Wong Chun Wai malam ini.

Februari lalu, EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud ketika sidang Dewan Undangan Negeri memaklumkan Kerajaan Negeri sukar mencegah penularan wabak susulan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia yang enggan berkongsi data.

Sebelum itu, pada November tahun lalu, Adham memberi alasan tidak dapat memenuhi permintaan segelintir pihak bagi mendapatkan akses kepada data mentah Covid-19 kerana mengelak risiko tafsiran data yang bertentangan atau tidak seragam hingga menyebabkan masyarakat panik serta bercelaru.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

KKM setuju kongsi data MySejahtera- SELangkah – MB

SHAH ALAM, 2 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju menggabungkan data MySejahtera dan aplikasi dibangunkan Kerajaan Negeri, Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Dato’ Menteri Besar berkata sehubungan itu beberapa langkah akan dibuat termasuk menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) supaya dapat dikemas kini segera bagi mengesan penularan Covid-19 dengan pantas.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Adham Baba) dan beliau bersetuju mengenai gabungan data kedua-dua aplikasi ini.

“Malah, hasil maklumat diperoleh dari CPRC juga mampu dijadikan analisa kepada kementerian untuk mengenal pasti kawasan penyebaran wabak Covid-19 sedia ada,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas lawatan ke taska sementara anak-anak petugas barisan hadapan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini hari ini.

Pada 20 Januari, Amirudin berkata fungsi aplikasi SELangkah ditambah baik bagi membantu pengawasan kendiri pesakit Covid-19.

Pembaharuan dengan kerjasama Selgate Healthcare melibatkan talian khas dan pusat panggilan yang beroperasi 24 jam bagi membimbing penggunaan kit kendiri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit Covid-19 boleh lapor kendiri guna MySejahtera

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Pesakit Covid-19 yang sedang menunggu panggilan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) kini boleh membuat pelaporan kendiri menerusi aplikasi MySejahtera.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemerkasaan aplikasi itu bertujuan melancarkan pengurusan kes positif wabak tersebut selain memenuhi keperluan pengguna dalam memutuskan rantaian jangkitan dalam kalangan komuniti dengan lebih berkesan.

“Mereka (pengguna) boleh ke MySejahtera HelpDesk di halaman utama aplikasi MySejahtera dan ikuti arahan di ruang G,” katanya dalam kenyataan perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pengguna yang didaftarkan sebagai kes positif di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) KKM juga akan diberi notifikasi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan Push Notification melalui MySejahtera mulai hari ini.

Katanya pengguna juga akan mendapat nasihat dan pelan susulan penilaian kendiri serta peringatan untuk melakukan penilaian pemantauan gejala pandemik itu di bahagian ‘Perlu dilakukan’ bagi tempoh 10 hari berturut-turut.

“Sekiranya pengguna bergejala, maklumat tersebut akan terus disalurkan ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan pengguna akan dihubungi oleh petugas kesihatan untuk penilaian lanjut,” katanya.

Justeru katanya, orang ramai dinasihati untuk mengemas kini aplikasi MySejahtera dan menggunakan sepenuhnya semua fungsi dalam aplikasi tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Data peribadi aplikasi MySejahtera selamat, usah bimbang – menteri

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan memberi jaminan data peribadi orang ramai menerusi aplikasi MySejahtera selamat kerana dikawal selia sepenuhnya Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aplikasi dimiliki sepenuhnya Kementerian Kesihatan (KKM) itu turut dikawal di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

Katanya, ciri keselamatannya mematuhi piawaian antarabangsa dalam melindungi kerahsiaan dan keselamatan data.

“Rakyat tidak perlu bimbang kerana ia di bawah kawalan kerajaan dan kita mengawalnya serta memastikan data peribadi itu dilindungi daripada sebarang isu kononnya data itu dikongsi sesiapa.

“Adalah menjadi kesalahan jika data peribadi itu dikongsi mana-mana pihak tidak bertanggungjawab dan boleh didakwa di bawah Akta Perlindungan Peribadi,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video mendakwa data peribadi orang ramai pada aplikasi MySejahtera mudah diakses dan dibocori.

Categories
AGENDA NASIONAL

Masuk surau, tandas di stesen minyak perlu daftar MySejahtera

SHAH ALAM, 10 NOV: Individu memasuki kedai di stesen minyak termasuk tandas dan surau kawasan berkenaan perlu mendaftar di aplikasi MySejahtera atau secara manual.

Menteri kanan (keselamatan) berkata langkah sama perlu dilakukan individu yang menghantar kenderaan ke bengkel di stesen berkenaan.

“Perintah sama juga ditetapkan kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan cuci kereta secara manual,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub pada sidang media hari ini.

Menurutnya, individu yang membayar melalui lubang tingkap atau menggunakan transaksi kad debit, kad kredit dan secara dalam talian bagi membeli petrol tidak perlu berbuat demikian.

“Mereka yang mengisi angin tayar juga tidak perlu mendaftar melalui aplikasi My Sejahtera atau manual,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM, MySejahtera hanya hubungi individu kontak rapat Covid-19

SHAH ALAM, 6 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau aplikasi MySejahtera di telefon pintar akan menghubungi individu yang disyaki mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

“Sekiranya tidak dihubungi, anda bukanlah kontak rapat kepada pesakit Covid-19. Kekal tenang dan terus amalkan tatacara operasi piawai (SOP) serta sentiasa gunakan MySejahtera,” kata kementerian itu menerusi Twitter hari ini.

Pada 3 Ogos lalu, KKM menggesa semua majikan, peniaga, syarikat atau pemilik premis mendaftar aplikasi tersebut melalui laman sesawangnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia bagi memudahkan proses pengesanan kontak rapat kes positif Covid-19.

Penggunaan aplikasi itu juga akan dimasukkan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KKM perjelas alamat tidak tepat kes positif di Subang Jaya

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan kes positif yang dilaporkan di Subang Jaya pada 10 Ogos lepas melibatkan seorang warga asing yang menjalani saringan di tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata warga asing tersebut tidak bermastautin di situ, tetapi menetap di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, iaitu lokasi kes.

“Sementara menunggu keputusan ujian, majikan kes telah mengambil inisiatif dengan meletakkan kes di bawah kuarantin di sebuah hotel di Subang Jaya, yang merupakan lokasi yang didaftar dalam aplikasi MySejahtera.

“Namun demikian, setelah mendapat keputusan saringan Covid-19, alamat pendaftaran kes itu dipindahkan semula ke alamat tempat tinggalnya iaitu di Bandar Tun Hussein Onn sebelum dia dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Noor Hisham berkata segala tindakan pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dijalankan di lokasi tempat kediaman kes, iaitu di Bandar Tun Hussein Onn yang turut dikemas kini menerusi aplikasi MySejahtera sebagai alamat kes.

Terdahulu, tular di media sosial yang mendakwa penularan kes Covid-19 di Subang Jaya susulan pemberitahuan menerusi MySejahtera terdapat kes di kawasan itu.

KKM menasihati orang ramai agar hanya berkongsi maklumat yang terbukti kesahihannya agar tidak menimbulkan panik dalam masyarakat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aplikasi MySejahtera mungkin wajib guna, kawal penularan Covid-19

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Premis tertentu mungkin diwajibkan mengguna aplikasi MySejahtera pada masa hadapan sebagai kaedah membantu kerajaan membendung penularan Covid-19, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata perkara itu sedang dibincangkan dengan Majlis Keselamatan Negara dan Pejabat Peguam Negara, antara lain mengenai sama ada ia boleh dikuat kuasa sebagai satu undang-undang.

“Kita mahu menggalakkan supaya premis ini menggunakan kaedah MySejahtera untuk membenarkan sesiapa sahaja masuk ke premis mereka, tidak perlu lagi mengisi borang tetapi menggunakan aplikasi ini.

“Tetapi, kita tidak menidakkan penggunaan borang, ini adalah proses membangunkan budaya baharu yang sepertimana kita tahu, kita sedang membawa perlbagai kaedah untuk memastikan apa sahaja bentuk pemudah cara yang kita boleh bawa kepada komuniti untuk membantu kerajaan membendung penularan Covid-19,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Lee Boon Chye (KEADILAN-Gopeng) yang mahu tahu kekangan dalam penggunaan aplikasi berkenaan kerana masih banyak premis menyediakan kaedah manual kepada pelanggan untuk mengisi maklumat peribadi yang diragui kesahihannya.

Aplikasi berkenaan yang antara lain mampu membantu kerajaan mengesan pesakit Covid-19 dan kontak rapat mereka dibangunkan melalui kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan; Majlis Keselamatan Negara; Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia; Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia; dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Menurut Mohd Redzuan setakat Ahad lepas, jumlah pengguna berdaftar aplikasi MySejahtera adalah seramai 15.1 juta orang dan seramai 322 pesakit Covid-19 iaitu 3.4 peratus daripada jumlah 9,200 kes Covid-19 berjaya dikesan melalui aplikasi itu.

“Ini membuktikan bahawa aplikasi ini dapat membantu kerajaan dalam mengawal penularan wabak Covid-19 melalui peranan yang sama-sama dimainkan kita semua,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Boost tambah ganjaran ePenjana kempen #KasiTambah

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: E-dompet tempatan, Boost, melancarkan kempen #KasiTambah bersempena dengan inisiatif ePENJANA, yang mempunyai manfaat dan ganjaran khas menarik serta meluas yang melengkapkan kredit RM50 ePENJANA yang diberikan kerajaan.

Menurut syarikat itu, bagi menuntut kredit RM50 ePENJANA dengan Boost, pengguna perlu melakukan proses pengesahan akaun eKYC (Know Your Customer) serta memuat turun dan menjadi pengguna berdaftar di MySejahteraApp.

“Sepanjang empat bulan lepas, rakyat Malaysia telah menjalani gaya hidup digital yang mana penggunaan e-dompet telah menjadi tabiat pembayaran mereka setiap hari. Kami percaya insentif RM50 ePENJANA akan menggalakkan lagi penggunaan meluas e-dompet dalam kalangan rakyat Malaysia” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khairil Abdullah.

E-dompet tempatan itu juga berharap apat memainkan peranan dalam usaha padu untuk membina semula ekonomi Malaysia dan perniagaan tempatan serta merancakkan semula mata pencarian rakyat Malaysia agar lebih kukuh dalam situasi normal baharu ini, katanya.

Insentif RM50 e-PENJANA bermula secara rasmi semalam dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dengan pendapatan tahunan di bawah RM100,000 berdasarkan kepada rekod terkini Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan menjadi pengguna berdaftar MySejahtera App.

Kempen Boost’s #KasiTambah menawarkan faedah dan ganjaran menarik termasuk peluang membawa pulang kereta Perodua Myvi atau motosikal Yamaha bagi melengkapkan kredit RM50 ePENJANA yang diberikan kerajaan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SELangkah dibangun bakat tempatan, terbukti penuhi kehendak pasaran

SHAH ALAM, 16 JULAI: Peluang menbangunkan aplikasi digital seharusnya diberikan kepada bakat tempatan yang berjaya di peringkat antarabangsa untuk manfaat masyarakat sesuai dengan kehendak semasa.

Dato’ Menteri Besar berkata kepercayaan diberikan Kerajaan Negeri terhadap Dr Helmi Zakariah dan pasukannya untuk mewujudkan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) terbukti apabila ia diimbas lebih 41 juta kali oleh 6.1 pengimbas sejak mula diperkenalkan.

“Kita rasa sangat bangga kerana beberapa insiatif dan usaha bagi menangani Covid-19 serta kesan sampingannya mengggunakan pendekatan digitalisasi mendapat sambutan baik.

“Bakat tempatan merupakan satu nilai yang sebenarnya sangat berkualiti dan baik cuma bagaimana arah serta iltizam politik juga sangat penting,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika diwawancara dalam program Agenda Awani malam tadi.

Berbanding aplikasi MySejahtera yang didakwa dibangunkan dengan usaha sama syarikat luar negara, SELangkah dilancarkan pada 4 Mei lalu bertujuan mengesan kontak jika terdapat kes Covid-19 di sesebuah premis turut digunakan di negeri lain.

Dengan hanya mengimbas kod QR menggunakan telefon bimbit dan mendaftar maklumat, akses sistem tersebut turut dikongsi bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Aplikasi MySejahtera bantu pengguna pantau tahap kesihatan

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Orang awam kini boleh memantau tahap kesihatan mereka khususnya sepanjang penularan wabak Covid-19 menerusi aplikasi kesihatan MySejahtera.

MySejahtera membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri dan dalam masa sama membantu Kementerian Kesihatan (KKM) mendapat maklumat awal bagi tindakan lanjut, cepat dan berkesan.

Berdasarkan senarai soalan lazim (FAQ) aplikasi itu, pengguna boleh mengetahui klasifikasi kesihatan mereka dengan menjawab beberapa soalan seperti simptom yang dihadapi dan sejarah perjalanan ke luar negara.

Menerusi soal jawab penilaian kendiri itu, pengguna akan dimaklumkan status atau klasifikasi kesihatan mereka serta panduan untuk tindakan selanjutnya jika didapati mengalami gejala Covid-19.

Selain itu, aplikasi itu turut membantu pengguna menilai tahap kesihatan ahli keluarga atau individu lain yang tinggal bersama.

MySejahtera yang dilancarkan semalam, dibangunkan melalui kerjasama strategik KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Setakat ini, lebih 90,000 pengguna sudah berdaftar dengan MySejahtera.

Aplikasi itu turut menyediakan maklumat dan perkembangan terkini Covid-19, maklumat fasiliti kesihatan terdekat, panduan kesihatan dan pelbagai informasi berkaitan kesihatan.

Menurut senarai FAQ itu, kerajaan memberi jaminan maklumat peribadi pengguna digunakan bagi tujuan pemantauan dan pencegahan wabak Covid-19 dan tidak akan dikongsi atau diberikan kepada mana-mana pihak lain.

Pendaftaran boleh dibuat dengan mengimbas kod QR atau di pautan https://mysejahtera.malaysia.gov.my seterusnya memuat turun aplikasi itu daripada Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA), Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.

Aplikasi itu disokong oleh kesemua peranti telefon pintar yang menggunakan perisian sistem Android versi 4.4 dan iOS 11 ke atas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Aplikasi MySejahtera bantu pengguna nilai kesihatan sendiri

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kerajaan membangunkan aplikasi MySejahtera bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan sendiri.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan aplikasi berkenaan membantu pengguna mendapatkan maklumat lokasi fasiliti kesihatan berdekatan untuk menjalani pemeriksaan serta rawatan Covid-19.

“Aplikasi ini boleh menilai tahap kesihatan terhadap risiko Covid-19 untuk anda dan keluarga malah pengguna akan menerima maklumat terkini serta panduan daripada sumber sahih.

“Pengguna juga boleh mendapatkan panduan tindakan yang perlu diambil berdasarkan kategori risiko Covid-19,” menurut perkongsian SKMM di Twitter hari ini.

Aplikasi ini dibangunkan melalui kerjasama strategik Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta SKMM.

Peranti yang menyokong aplikasi MySejahtera adalah peranti menggunakan sistem operasi Android versi 4.4 dan iOS 11 ke atas.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi ini secara percuma di Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA), App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.