Categories
AGENDA NASIONAL

Cuaca berjerebu tebal sehingga esok – NADMA

PUTRAJAYA, 18 SEPT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan pergerakan asap jerebu merentasi sempadan dan tempatan berkemungkinan menyebabkan keadaan cuaca jerebu sederhana sehingga tebal di beberapa kawasan di Malaysia antara 17 September sehingga 19 September.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hari ini, berdasarkan Laporan Pergerakan Asap Jerebu oleh MetMalaysia pada jam 3 petang semalam, situasi itu akan mempengaruhi jarak ketampakan di kawasan seperti seluruh Sarawak, pantai barat Semenanjung dan timur Sabah iaitu Tawau dan Sandakan.

Menurut Laporan Jabatan Alam Sekitar pada 8 pagi tadi, terdapat 34 kawasan menunjukkan kualiti udara tidak sihat dan lapan kawasan menunjukkan bacaan sangat tidak sihat.

Sehingga 8 pagi hari ini, sejumlah 553 sekolah ditutup melibatkan 312,337 pelajar, kata NADMA.

NADMA berkata, Kabinet akan membincangkan dan membuat keputusan mengenai langkah seterusnya yang boleh diambil berkaitan masalah jerebu yang melanda seluruh negara pada mesyuarat Kabinet hari ini.

Kerajaan juga, menurut NADMA sudah menghubungi Indonesia secara rasmi melalui Kementerian Luar berhubung isu jerebu.

Berdasarkan maklumat daripada Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia, sehingga 14 September, kawasan seluas 328,724 hektar telah terjejas dengan kebakaran hutan di Indonesia.

Menurut NADMA, antara tindakan yang telah diambil Indonesia ialah meningkatkan pemantauan terhadap titik panas, jarak ketampakan, kualiti udara dan kewujudan asap.

Indonesia juga telah melakukan operasi pembenihan awan (OPA) atau Operasi Teknologi Modifikasi Cuaca (TMC) di enam wilayah iaitu Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

NADMA berkata, Darurat Bencana Jerebu hanya dibuat apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500.

– BERNAMA