Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mula dapat permohonan sekat akaun bank suami gagal bayar nafkah

SHAH ALAM, 15 DIS: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) mula menerima permohonan bagi menyekat akaun bank suami dan bekas suami yang culas memberi nafkah.

Ketua Hakim Syarie Dato’ Mohammad Adib Husain berkata kurang daripada 10 permohonan diterima sejak arahan itu dikuat kuasa Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bulan lalu.

Beliau berkata golongan isteri yang menghadapi masalah hadir ke mahkamah dan merujuk kepada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) untuk urusan dokumen termasuk akaun bank suami.

“Kita berharap ini menyedarkan bapa atau waris supaya bertanggungjawab memberi nafkah walaupun selepas penceraian,” katanya pada Majlis Pelancaran Komuniti Sulh dan BSK di sini semalam.

Sementara itu, Mohammad Adib berkata lebih 2,000 permohonan bantuan diterima pihaknya berikutan kegagalan suami membayar nafkah, namun sekitar 300 sahaja diluluskan.

Sebelum ini, JKSM menegaskan suami atau bekas suami yang culas membayar nafkah bakal berdepan tindakan sekatan akaun bank.

Tindakan itu selaras pindaan Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan dan diwartakan pada 10 Februari.

Pindaan pada perenggan lima jadual itu memasukkan pematuhan dan penzahiran maklumat bawah hiwalah, iaitu pemindahan hutang daripada penghakiman kepada institusi kewangan kepada pemiutang.

Selain itu, perenggan enam jadual sama berhubung penzahiran maklumat pemilik akaun di institusi kewangan melalui perintah mahkamah, tidak kurang daripada Mahkamah Sesyen turut diperluaskan kepada perintah dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Berikutan pindaan itu, perintah hiwalah dikeluarkan mana-mana peringkat Mahkamah Syariah boleh dilaksanakan institusi kewangan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang berkuat kuasa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Aduan culas bayar nafkah naik semasa perintah kawalan

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Aduan berhubung suami atau bekas suami tidak memberi nafkah kepada isteri atau bekas isteri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), meningkat berbanding sebelumnya.

Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata sebelum ini, hanya lima aduan sebulan diterima oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah melalui laman sosial Facebook rasmi BSK atau e-mel BSK negeri.

“Kali ini kita menerima lima aduan dalam masa lima hari,” katanya ketika ditanya Bernama mengenai jumlah bilangan aduan yang dikemukakan isteri atau bekas isteri, terhadap keengganan suami atau bekas suami memberi nafkah kepada isteri atau bekas isteri dan anak.

Katanya, aduan itu juga meningkat, selepas jabatan itu membuat iklan mengenai aduan boleh dibuat di Facebook rasmi BSK.

Mohd Na’im berkata setiap aduan yang dibuat seharusnya lengkap dengan nombor telefon atau e-mel yang dapat dihubungi, bagi tindakan lanjut pihak BSK.

Katanya, sekiranya suami atau bekas suami enggan membayar nafkah seperti mana yang telah diperintahkan, aduan pelanggaran perintah boleh dikemukakan kepada BSK, melalui laman sosial Facebook rasminya ‘Bahagian Sokongan Keluarga-BSK’ atau e-mel BSK Seksyen Negeri-negeri.

“Setiap aduan yang masuk akan disemak dan diproses oleh BSK.

“Suatu notis peringatan akan dikeluarkan kepada suami atau bekas suami, sebelum tindakan selanjutnya seperti runding cara, pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah diambil oleh BSK, yang akan dilaksanakan selepas tempoh PKP tamat,” katanya.

Mohd Na’im berkata selain menerima aduan menerusi Facebook dan e-mel, pegawai dari BSK seluruh negara turut mengambil langkah proaktif dengan menyantuni klien mereka bagi mengetahui masalah masing-masing dan berjaya menyantuni 437 klien dalam tempoh empat hari sejak Isnin lalu.

Katanya, berdasarkan peruntukan Mahkamah Syariah sedia ada, sekiranya suami atau bekas suami tetap ingkar memberi nafkah walaupun perintah telah dikeluarkan, mereka boleh dikenakan hukuman pemenjaraan, kerana dengan sengaja tidak mematuhi perintah nafkah tersebut.

“Mengikut prosedur untuk penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah mahkamah di Mahkamah Syariah, adalah seperti yang dinyatakan dalam Akta / Enakmen / Ordinan prosedur/ Tatacara Mal Mahkamah Syariah negeri-negeri.

“Berdasarkan peruntukan tersebut, mahkamah boleh mengarahkan pihak penghutang membayar keseluruhan jumlah nafkah semasa, dan atau membayar jumlah tunggakan nafkah mengikut perintah dan cara yang ditentukan oleh mahkamah, sama ada membayar secara sekali gus atau ansuran bulanan,” katanya.

Mohd Na’im berkata Mahkamah Syariah juga boleh mengeluarkan perintah penahanan pendapatan atau potongan gaji bagi yang berpendapatan tetap dengan mengarahkan bayaran terus ke dalam akaun bank anak-anak dan isteri.

“…atau mengenakan hukuman pemenjaraan ke atas suami yang sengaja tidak mematuhi perintah nafkah tersebut, atau perintah penyitaan dan penjualan atau laksanakan prosiding hiwalah,” katanya.

Hiwalah adalah memindahkan tuntutan daripada tanggungan si berhutang kepada tanggungan orang yang sedia mengambil tanggungan.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKP atau sepanjang tahun ini, isteri atau bekas isteri yang gagal mendapatkan nafkah daripada suami atau bekas suami, boleh memohon dana pendahuluan atau bantuan nafkah dari BSK JKSM atau BSK JKSN.

“Medium e-mel bagi tujuan penghantaran borang boleh digunakan oleh pelanggan. Permohonan akan diproses oleh BSK dalam tempoh yang munasabah dengan mengambil kira tempoh kelulusan oleh jawatankuasa dan pemprosesan bayaran.

“Bentuk bantuan adalah pendahuluan nafkah dari BSK JKSM atau JKSN. Kemudiannya pegawai BSK akan mengutip semula dari suami atau bapa, dengan cara penguatkuasaan perintah nafkah terhadap mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mekanisme tuntut nafkah dibawa ke Kabinet bulan depan

TELUK INTAN, 26 JAN: Mekanisme untuk mengenakan sekatan bank terhadap bekas suami yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak selepas perceraian akan dibawa ke Kabinet, bulan hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, perkara itu kini berada pada peringkat akhir setelah pihaknya mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kewangan, Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum dijangka dilaksanakan, pada tahun ini.

“Ini kerana mahkamah yang menumpukan soal tuntutan nafkah (isteri) dan anak juga ada kuasa ‘bail live’, bermakna kuasa penguat kuasaan kepada keputusan mahkamah yang dibuat tetapi tidak dilaksanakan.

“(Sebagai contoh), (suami) boleh pergi ke bank beri surat tunjuk sebab atau boleh teliti harta yang dia ada supaya bekas suami dapat membayar tuntutan nafkah kepada bekas isteri dan anak seperti diperintahkan mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Islam Rahmatan Lil Alamin di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Katanya, mekanisme itu bagi membolehkan Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah menggunakan kaedah seperti menuntut nafkah daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan akaun bank suami untuk membayar nafkah kepada isteri yang diceraikan setelah diputuskan Mahkamah Syariah.

“Kebanyakan wanita tiada tempat mengadu dari segi penguat kuasaan, jadi kita melihat keperluan penguat kuasaan kepada wanita yang tidak diberikan keadilan dari sudut nafkah yang sudah diputuskan Mahkamah Syariah,” katanya.

Sebelum ini, Mujahid berkata, tindakan lebih tegas sedang dipertimbang kerajaan termasuk cadangan mengenakan sekatan bank terhadap bekas suami yang culas memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak selepas perceraian.

Katanya, langkah itu bertujuan membela kaum wanita yang selama ini ditindas sesetengah suami yang tidak melaksanakan tangggungjawab membayar nafkah kepada isteri yang diceraikan.

*Sumber: BERNAMA