Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Unisel anjur konvokesyen secara fizikal Februari, babit 2,838 graduan

BESTARI JAYA, 13 JAN: Universiti Selangor (Unisel) mengadakan istiadat konvokesyen secara fizikal selepas dua tahun ditangguhkan akibat Covid-19, kata presiden dan naib canselornya.

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata istiadat kali ke-15 itu berlangsung pada 5 hingga 10 Februari melibatkan 2,838 graduan.

“Istiadat melalui lima sidang yang dijalankan waktu pagi. Unisel akan memastikan majlis berjalan mengikut SOP (tatacara operasi piawaian) ditetapkan kerajaan,” katanya berucap di majlis penyerahan watikah pelantikan canselor dan pro Canselor Unisel hari ini.

Majlis berlangsung di Kampus Bestari Jaya itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sementara itu beliau berkata pihaknya menyasarkan kedudukan 100 universiti terbaik dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pada 2020 Unisel sertai Ranking Universiti Dunia UI-Greenmetric dan menduduki tempat ke-486 daripada 912 institusi manakala tahun lalu di kedudukan 424 daripada 956,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

UiTM arah individu kontak rapat menteri agama jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 6 OKT: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengarahkan semua individu yang merupakan kontak rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam majlis di institusi itu kelmarin segera menjalani ujian saringan Covid-19.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata langkah segera dan berjaga-jaga itu bertujuan bagi mengelak sebarang kemungkinan tidak diingini dan memastikan semua individu terlibat terpelihara daripada jangkitan Covid-19.

“Saya peka dan ambil maklum kebimbangan warga universiti. Namun, saya memberi jaminan kepada setiap warga dan pihak berkaitan bahawa kita juga sudah mengambil semua langkah perlu untuk memastikan keadaan adalah terkawal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Azraai berkata beliau dan semua staf yang terlibat dalam majlis itu juga menjalani ujian saringan dan melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari bermula semalam.

Menurutnya, setiap warga universiti perlu kekal tenang dan tabah dengan keadaan mencabar itu dan berdoa semoga semua pihak terlibat terus terpelihara daripada penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata UiTM juga menguruskan pelaksanaan sanitasi di premis dan kawasan berlangsungnya majlis bersama menteri itu dan meminta semua individu terlibat supaya berhubung dengan bilik gerakan Covid-19 universiti bagi menjalani saringan.

Kelmarin, Zulkifli menghadiri majlis bersama pelajar UiTM di Kampus Shah Alam bagi menyampaikan bantuan misi Musa’adah Khas Siswa.

Zulkifli menerusi hantaran di akaun Twitternya semalam mengesahkan beliau positif Covid-19 dan sedang menjalani rawatan di hospital.

Beliau turut menyeru orang ramai yang pada hadir majlis dihadirinya dari 24 September hingga 4 Oktober supaya menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di klinik kesihatan segera.

Kontak rapat bermaksud mereka yang berhubung rapat dalam lingkungan satu meter dengan kes disahkan positif Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Covid-19: UPSI bangun pedagogi relevan dunia pendidikan

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Akibat penularan Covid-19 di seluruh negara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mahu membangunkan pedagogi yang dihormati dan relevan tanpa mengira waktu serta suasana yang menjadi rujukan pelbagai pihak dalam dunia pendidikan.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata ia selari dengan sasaran UPSI menjadi “Universiti Nombor Satu Pendidikan“ menjelang 2022 berteraskan amalan strategi 3R iaitu ‘Refered’ (Dirujuk), ‘Relevant’ ( Relevan) dan ‘Respected’ (Dihormati).

“Apabila Covid-19 berlaku, sistem pembelajaran secara konvensional seperti bersemuka terpaksa dihentikan. Maka, pensyarah perlu berani, kreatif dan proaktif menampilkan teknik pembelajaran yang menjadi rujukan sekolah rendah, menengah serta institusi pengajian tinggi sekali gus menjadi pencetus pedagogi di negara ini.

Kita juga mahu pedagogi dirujuk dan pendidikan awal kanak-kanak menjadi sumber inspirasi dalam membangunkan keusahawan dalam pendidikan awal kanak-kanak,” katanya semasa Program “3R@UPSI: Pasca Covid-19 ” yang disiarkan secara dalam talian semalam.

Kata Dr Mohammad Shatar, perkara itu akan berjaya direalisasikan jika warga UPSI mengadaptasi dan mengaplikasikan amalan 3R itu secara holistik.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan staf dan mahasiswa UPSI untuk tidak mengamalkan elemen negatif seperti fitnah, dan tohmahan dalam media sosial.

Katanya, warga UPSI perlu bersatu dan komited bertindak mulai sekarang untuk kelangsungan masa depan dan kerelevanan UPSI dalam dunia pendidikan di Malaysia.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

UNISEL komited terajui tranformasi pendidikan negara

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 9 JAN: Universiti Selangor (UNISEL) terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usahanya menerajui transformasi pendidikan negara.

Presiden dan Naib Canselor, Prof Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, UNISEL antara lain mengambil langkah mengoptimumkan sumber tenaga serta baik pulih infrastruktur di kedua-dua kampus.

Katanya, keutamaan dari segi hubungan di antara pihak luar juga turut dititik-beratkan.

unisel-prof-redzuan“Pelbagai program kemasyarakatan dilakukan menerusi program cakna bagi memastikan UNISEL menjadi pusat pendidikan yang mampu memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Program ke Jepun, Korea, Indonesia dan Kazakhstan merupakan pendekatan diambil bagi mengimarahkan Program Pengantarabangsaan dalam kalangan pelajar.

“Kunjungan hormat kepada Dato’ Menteri Besar, Exco-Exco Kerajaan Negeri, Canselor serta Pro Canselor merupakan pendekatan awal diambil bagi meningkatkan imej UNISEL,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat Presiden dan Naib Canselor UNISEL 2017 di Dewan Canselor, Kampus Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Redzuan berkata, UNISEL juga bakal meneruskan kebitaraan pendidikan dengan penubuhan Selangor Business School yang akan beroperasi di Menara PKNS, Petaling Jaya.

“Ia bakal menghasilkan graduan yang memenuhi keperluan tuntutan korporat, perniagaan, industri dan sektor awam,” katanya.

Majlis sama turut menyaksikan pengumuman kenaikan gaji kaki tangan UNISEL berkuatkuasa Januari 2017, selepas lima tahun tiada kenaikan.

-nR-