Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan kejar jawatan demi kepentingan peribadi-Zuraida

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin menggesa mana-mana pemimpin parti supaya tidak mengejar jawatan demi kepentingan peribadi, sebaliknya fokus melaksanakan tugas masing-masing dalam tempoh ditetapkan.

“Saya percaya anggota Pakatan Harapan (PAKATAN) matang dan boleh fikir sama ada mahu utamakan kemajuan negara, individu atau parti.

“Sebolehnya jangan fikir kepentingan individu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Little River Festival 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan beberapa pemimpin parti berhubung peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya.

Zuraida, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diberi tempoh secukupnya untuk memulihkan ekonomi negara terlebih dahulu sebelum menyerahkan jawatannya.

Katanya, hal itu kerana kerana sebarang peralihan kuasa tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

“Saya berpendapat untuk kepentingan negara dan bangsa, biarlah beliau (Dr Mahathir) di sana sehingga habis penggal, dan saya menyambut baik serta berdoa Tun Mahathir dipanjangkan umur.

“Perkara itu boleh dibincangkan secara rasmi dalam mesyuarat PAKATAN akan datang, namun ia memerlukan kematangan semua anggota,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sistem Perwakilan Berkadar, capai 30% wanita dalam politik

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 13 JAN: Kaedah Sistem Perwakilan Berkadar dalam pilihan raya perlu dilaksanakan bagi mencapai sasaran 30 peratus pembabitan wanita dalam politik.

Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, ia antara ‘electoral reform’ diperjuangkan parti itu supaya Suruhanjaya Pilihan Raya boleh meminda sistem pilihan raya sedia ada.

“Kita mahu mengusulkan “Propotional Representative System” (Sistem Perwakilan Berkadar), iaitu 30 peratus pembabitan wanita dalam pilihan raya.

“Dengan cara ini, kita boleh memastikan 30 peratus pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan, namun ia hanya sekadar jumlah minimum, jika lebih lagi baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Wanita KEADILAN 2019 Selangor dan Wilayah Persekutuan serta Pelancaran Kempen Membanteras Keganasan Terhadap Wanita, di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, pembabitan wanita dalam kerajaan kini sudah 13 peratus, berbanding kerajaan terdahulu kurang 10 peratus.

“Namun, 13 peratus itu hanya kebetulan, justeru perlu untuk kita laksanakan ia secara lebih bersistem.

“Saya optimis wanita KEADILAN terus berjuang menjayakan hasrat pembabitan 30 peratus wanita dalam politik supaya tercapai,” katanya

Terdahulu, Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha turut mencadangkan mahu mekanisme pelantikan wanita sebagai anggota Parlimen tanpa perlu melalui proses pilihan raya.

Katanya, pihaknya sedang merangka satu pertemuan perbincangan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkenaan cadangan itu.

Categories
SELANGOR

Logo Pakatan Harapan mula digunakan pada PRK Balakong dan Seri Setia

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 4 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) secara rasminya akan menggunakan logo Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia.

Naib Presiden KEADILAN, Xavier Jeyakumar berkata, perkara ini juga sudah dipersetuju Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“PRK Sungai Kandis menyaksikan kali terakhir logo mata KEADILAN digunakan dalam pilihan raya.

“Selepas ini pimpinan PAKATAN bersetuju menggunakan logo PAKATAN dalam PRK Balakong dan Seri Setia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah ‘Grand Finale’ PRK DUN Sungai Kandis di Padang Rakan Muda Andalas di sini, hari ini.

Xavier berkata, pengundi Sungai Kandis harus memberi kemenangan besar kepada KEADILAN.

Katanya, ini kerana kemenangan KEADILAN mencatat sejarah bermakna kepada logo parti itu sendiri.

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah kongsi foto sayu bersama Anwar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 MEI: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar sempat berkongsi foto lama bersama bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di akaun instagram peribadi miliknya, semalam.

Nurul Izzah melalui instagramnya berkata, sudah sekian lama dia tidak merasai ciuman seorang ayah namun ALLAH SWT membuktikan segalanya berubah pada bulan Ramadan yang mulia.

“Satu perpisahan yang ditemukan dengan pelukan akhirnya, kami telah menjalani kehidupan berdasarkan keyakinan terhadap prinsip yang satu.

“Tetapi masih banyak perkara yang perlu kita lakukan, masih banyak keadilan yang perlu ditegakkan,” tulisnya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga berkata, beliau gembira apabila bapanya yang juga Ketua Umum KEADILAN kembali kepada pangkuan rakyat.

“Ini membuktikan kesabaran itu indah dan keajaiban boleh berlaku, sesungguhnya saya bersyukur dengan rahmat Ramadan kali ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Bajet Najib ‘Gendang Perang PRU14’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2018 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak petang tadi jelas bertujuan menarik undi rakyat semata-mata, kata Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin.

Katanya, pengumuman bajet berkenaan sebagai pentanda awal bahawa Pilihan Raya Umum (PRU14) akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Kita tidak lihat suatu usaha bersungguh-sungguh daripada Kerajaan Persekutuan untuk mengangkat ekonomi masyarakat khususnya golongan muda.

“Perdana Menteri mendakwa bajet ini bersifat realistik, namun pada saya ini adalah belanjawan untuk menarik sokongan yang semakin kritikal kepada kerajaan kini.

“Kita sudah nampak berlakunya trend itu, dan ramai yang beranggapan ini sebagai bajet pilihanraya, namun tidak lupa ini sebenarnya bajet gendang perang pilihanraya oleh Perdana Menteri,” katanya.

Ahli Parlimen Bukit Katil itu bercakap kepada pemberita di Lobi Parlimen, selepas pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, di Dewan Rakyat.

Pada masa sama kata Shamsul, dasar Transformasi 2050 (TN50) Perdana Menteri yang turut dinyatakan dalam Bajet 2018 dilihat gagal memacu kepada pertumbuhan ekonomi pada landasan terbaik.

Katanya, pelaksanaan dasar itu masih memerlukan tumpuan secara menyeluruh dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi rakyat.

“Saya teliti soal TN50 yang dihurai Perdana Menteri secara panjang lebar. Kebimbangan saya seperti yang dinyakatan mengikut pakar ekonomi, Dr Mohammad Khalid.

“Beliau menjangkakan 2050 negara akan berhadapan dengan rakyat yang miskin, justeru inilah kelemahan utama yang menyaksikan kegagalan bajet kali ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Bekas model pulang barangan kemas USD8.1 juta babit 1MDB

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 JUN: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah memuji bekas model Victoria Secret, Miranda Kerr yang memulangkan barangan kemas bernilai USD8.1 juta kepada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) selepas barangan tersebut didedahkan dibeli menggunakan wang yang diseleweng daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Izzah berkata, barangan kemas itu sebelum ini dilapokan dihadiahkan kepada Kerr oleh watak utama di sebalik skandal 1MDB, Jho Low sewaktu beliau cuba memikat model kelahiran Australia itu.

Nurul Izzah“Model ini lebih bermaruah berbanding pemerintah negara yang terlibat skandal merosakkan imej negara.

“Kita harap perompak dalam negara sendiri juga diberi kesedaran untuk memulangkan ‘permata’ yang dirampas hasil kepunyaan rakyat Malaysia,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dalam satu kenyataan.

Menurut akhbar The Wall Street Journal memetik jurucakap Kerr yang memaklumkan bahawa model tersebut memulangkan hadiah itu Jumaat lalu kepada ejen kerajaan dari peti deposit keselamatannya di Los Angeles.

“Sejak permulaan siasatan, Miranda Kerr bekerjasama sepenuhnya dan berjanji akan menyerahkan hadiah barangan kemas itu kepada kerajaan.

“Kerr akan terus membantu siasatan dengan semampunya,” katanya.

DoJTambah Nurul Izzah lagi, DOJ dalam saman terbarunya, pada 16 Jun lalu mendakwa Low dan rakannya Eric Tan membelanjakan USD200 juta untuk membeli kemas.

“Low dilapor membelanjakan sekurang-kurangnya USD9.9 juta untuk barang kemas buat Miranda Kerr serta untuk ibunya sendiri.

“Menurut DOJ, pembelian pertama direkodkan ahli perniagaan itu menggunakan wang penyelewengan 1MDB bermula sejak 2012 apabila beliau membeli cincin dan anting-anting berlian untuk ibunya,” katanya.

Categories
NASIONAL

Izzah: Analisis pembangkang tak mampu tawan Putrajaya dangkal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JAN : Dakwaan kononnya komponen Pembangkang tidak berupaya menawan Putrajaya disifatkan dangkal tanpa merujuk situasi politik dan sokongan rakyat terhadap pentadbir Kerajaan kini.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, kejayaan besar sokongan rakyat pada pilihan raya lalu menjadi manifestasi sebenar ke arah kejayaan komponen pembangkang.

Beliau percaya, keadaan sama dibuktikan menerusi tuntutan rakyat kini secara jelas mahukan pimpinan adil dan tampil dengan pelaksanaan dasar berkebajikan.

izzah“Saya terpanggil memberi respon terhadap tulisan salah satu penganalisis politik yang menjangkakan ajaiblah jika pembangkang boleh memenangi pilihan raya umum akan datang.

“Pasca PRU13 menyaksikan bahawa pimpinan negara kini adalah mereka yang mempunyai peratusan sokongan paling tipis.

“Bahkan kemenangan 47 peratus menjadi manifestasi dan unjuran kepada penyalahgunaan segala ruang yang sedia ada untuk memenangi pilihan raya akan datang.

“Arakian, menyorot kembali setiap desakan berkali-kali diangkat rakyat jelas mahukan pemimpin wibawa dan tampil dengan dasar-dasar sempurna dengan keperluan rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dalam kenyataannya berkata, pembinaan dasar lebih berkebajikan juga mampu menjana kepada pembinaan negara yang lebih holisitik.

“Dasar negara mampu berubah. Sekiranya mandat dipegang oleh kerajaan prihatin, maka keutamaannya mengurangkan jurang miskin kaya dan mengawal inflasi yang menekan ekonomi rakyat.

“Bahkan, tuntutannya untukmelawan gejala rasuah dan salah guna kuasa dan menjaga kebajikan rakyat menerusi pentadbiran yang anti ketirisan, pro kesihatan dan pendidikan.

“Namun, sekiranya negara dipegang perompak, makanya dasar tentu akan pro-inflasi, rasuah berleluasa,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Universiti perlu bebas cengkaman kleptokrat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 DIS : Halangan dan hukumun dikenakan terhadap mahasiswa, aktivis politik, kartunis dan Ahli Parlimen Pembangkang untuk mengkritik pentadbiran Kerajaan memperlihatkan demokrasi di Malaysia semakin terhakis.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata demikian merujuk kepada tindakan dikenakan ke atas mahasiswa Universiti Malaya (UM) susulan penganjuran demostrasi himpunan tangkap ‘Malaysian Official 1’.

“Universiti Malaya (perlu) serta merta menarik balik tindakan yang dikenakan terhadap mahasiswa #Malaya4.

“Jelas tiadanya panel bebas dalam prosiding melibatkan mahasiswa yang kesemuanya dilihat menjadi pak turut UMNO-BN.

izzah“Di dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini jelas kelihatan mahasiswa daripada pelbagai kampus secara jelas berpartisipasi dalam parti politik.

“Adakah mereka tidak dikenakan tindakan kerana menghadiahkan puji-pujian kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?” soalnya dalam kenyataan.

Lembaga Disiplin UM memutuskan Anis Syafiqah dan tiga lagi aktivis mahasiswa bersalah susulan penglibatan mereka dalam perhimpunan “Tangkap MO1” di Kuala Lumpur, pada Ogos.

Nurul Izzah berkata, tindakan tersebut jelas membuktikan wujudnya pendakwaan terpilih dalam kalangan inidividu yang lantang mengkritik kerajaan.

“Tuntas, kelaziman pihak pentadbiran universiti berterusan menghakis kebebasan akademik harus dihentikan serta merta.

“Utamakan urus tadbir mengangkat nilai aktivisme dan intelektual murni seperti motto KPT #SoaringUpwards, dan bukannya bertindak cetek rasional dengan mengambil tindakan terhadap mahasiswa,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Halang Azmin, ‘drama besar’ Adenan selindung kegusaran – Xavier

OLEH NAEEM RAFFI

KUCHING, 6 MEI : Naib Presiden KEADILAN, Dr Xavier Jayakumar menyifatkan tindakan menghalang pemimpin Pakatan memasuki Sarawak sebagai ‘drama besar’ Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem yang menyalahguna kuasa dengan menjadikan autonomi sebagai alasan.

Katanya, penahanan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali daripada memasuki Sarawak pagi tadi jelas mencerminkan kegusaran pemerintah terhadap kemaraan KEADILAN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

xavier-jayakumar“Di penghujung waktu berkempen, Mohamed Azmin dihalang masuk atas alasan apa?

“Kalau autonomi menjadi alasan pemerintah, ini adalah sebuah ‘drama besar’ kerana mereka melaungkan demokrasi, beri masa berkempen tetapi sekat pemimpin politik untuk masuk Sarawak,” katanya ketika ditemui SelangorKini di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, pagi tadi.

Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden KEADILAN dihalang memasuki Sarawak sehingga tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.

Beliau yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, jam 10.10 pagi tadi ditahan di kaunter pemeriksaan imigresen dan diarahkan pulang serta merta dengan penerbangan ke KLIA, jam 10.50 pagi.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Zakaria Abdul Hamid yang tiba bersamanya dibenarkan masuk.

Dalam satu kenyataan, Mohamed Azmin menggesa Adenan bertanggungjawab terhadap situasi itu.

“Seperti saya sebut seminggu lalu, pendirian angkuh Adenan terhadap rakan senegaranya ini adalah tindakan melampaui batas dan ia mempamerkan wajah sebenar beliau yang menggunakan kuasa eksekutif secara sesuka hati.

“Adenan perlu bertanggungjawab terhadap situasi yang amat dikesali ini. Pada masa sama, saya bersimpati dengan beliau kerana terpaksa menggunakan taktik sebegini dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak,” katanya.

Mohamed Azmin sebelumnya dijadualkan menghadiri beberapa sesi Walkabout bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang, Voon Shiak Ni sebelum menghadiri ceramah Grand Finale di Dun Serembu, kira-kira jam 7.30 malam ini.

-nR-

Categories
NASIONAL

Dato’ Mansor pemimpin Pakatan terbaru dihalang masuk Sarawak

OLEH : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 21 APR: Naib Presiden KEADILAN, Dato’ Mansor Othman dihalang memasuki Sarawak apabila ditahan di Pejabat Imigresen sebaik tiba di Lapangan Terbang Kuching, pada jam 9.10 pagi tadi.

Menerusi aplikasi WhatApp, beliau memaklumkan dirinya dihalang masuk atas arahan atasan dan kini sedang menanti penerbangan untuk dihantar pulang.

mansor othman“Mereka sedang cari penerbangan untuk hantar saya pulang,” katanya ringkas.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu menjadi pemimpin Pakatan terbaru dihalang memasuki bumi kenyalang selepas beberapa pemimpin Pakatan lain sebelum ini.

Antara pemimpin Pakatan itu adalah Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Exco Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim; Ahli Parlimen Bayan Baru yang juga Pengarah Strategi KEADILAN ,Sim Tze Tzin dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Terdahulu, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan larangan terhadap pemimpin Pakatan memasuki Sarawak sebagai amat mendukacitakan.

Katanya, demokrasi sihat menuntut pertandingan politik adil dan sama rata dengan mewajibkan parti politik pihak pemerintah juga pembangkang diberi peluang sama bertemu pengundi serta menjalankan aktiviti politik sah mengikut undang-undang.

PILIHANRAYA SARAWAKJusteru, Azizah menggesa pentadbiran Sarawak di bawah Tan Sri Adenan Satim menghentikan amalan menghalang ahli politik khususnya Pakatan melakukan kerja politik.

“Saya berharap Adenan bersikap adil dan terbuka serta membenarkan kami masuk untuk melakukan kerja politik yang dibenarkan undang-undang dan Perlembagaan. Marilah kita sama-sama melakukan yang terbaik buat masa depan rakyat Sarawak,” katanya.

Demo #MansuhGST :’Kembalikan 744 biasiswa JPA ke luar negarai’- Nurul Izzah

Ucapan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar pada Himpunan #MansuhGST #UndurNajib – 2 April 2016

Categories
NASIONAL

Wujudkan mekanisma bayaran tetap RM1,200 kepada penoreh getah

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 MAC : Pembayaran tetap pada kadar minima RM1,200 sebulan kepada penoreh getah perlu dilaksanakan bagi menjamin pendapatan penggiat sektor itu, kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata, ketidaktentuan harga pasaran getah ketika ini menyebabkan jaminan pendapatan penoreh getah tidak konsisten di bawah paras gaji minima di Malaysia.

Nurul-Izzah“Mekanisma ini akan membantu penoreh getah dengan jaminan pendapatan minimum walaupun dalam keadaan pengeluaran getah yang merudum sebagai sumber pendapatan.

“Mengambil kira setiap faktor mempengaruhi jumlah pengeluaran getah seperti iklim dan cuaca, penoreh mempunyai minimum pendapatan sebagai jaminan,” tulisnya dalam laman blog nurulizzah.com.

Beliau mengulas keputusan kerajaan mengumumkan skim Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kononnya bagi memastikan penoreh getah kecil-kecilan mampu hidup di atas paras kemiskinan.

Bagaimanapun kata Nurul Izzah, skim berkenaan hanya diberikan apabila harga getah asli secawan jatuh kurang daripada RM2.20 secawan.

Daripada jumlah itu, penoreh menerima pendapatan di bawah kadar gaji minima yang akhirnya meningkatkan lagi paras kemiskinan negara.

Lebih mengecewakan katanya, penoreh juga lewat menerima pembayaran sebelum hasil pendapatan dikreditkan.

“Jelas permasalahan utama skim ini adalah apabila skim ini hanya memastikan bahawa pendapatan penoreh getah ini akan berada di atas paras kemiskinan iaitu pada RM763 yang boleh dikatakan sangat rendah di Semenanjung,” katanya.

-nR-