Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Naik taraf jalan sedia ada beri manfaat kepada rakyat

SHAH ALAM, 27 NOV: Wakil rakyat Meru menghargai usaha Kerajaan Negeri memberi peruntukan untuk menaik taraf jalan sedia ada.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata peruntukan baik pulih jalan raya agak besar dan pastinya memberi manfaat kepada rakyat terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru.

“Naik taraf jalan raya bukan sahaja di Meru tetapi sehingga ke Sabak Bernam yang dilihat agak kritikal dan perlu pembaikan semula.

“Pembaikan infrastruktur ini perlu dilakukan dan mampu merancakkan ekonomi Kerajaan Negeri sekali gus kepada warga tempatan,” katanya.

Beliau ditemui selepas pembentangan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini semalam.

Tambah Mohd Fakhrulrazi, belanjawan kali ini membantu rakyat selepas berhadapan dengan Covid-19 dengan memfokuskan pada pengurusan dan pembangunan.

“Saya yakin dengan beberapa perancangan akan memberi kesan dan membantu dalam proses pemulihan dalam meningkatkan kembali ekonomi dan taraf hidup rakyat,” katanya.

Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan belanjawan memaklumkan memperuntukan RM65.4 juta untuk menaik taraf jalan sedia ada.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi memastikan jalan sedia ada dapat menampung peningkatan aliran trafik semasa dan mengatasi masalah kesesakan di jalan negeri termasuk cadangan projek naik taraf.