SHAH ALAM, 9 FEB: Masalah banjir kilat yang berlaku hampir 20 tahun di Taman Kencana, Pandan Indah dapat diatasi selepas longkang sepanjang satu kilometer berjaya dinaik taraf.
EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim berkata projek pembesaran longkang bernilai RM1.2 juta yang bermula sejak tahun lalu siap sepenuhnya pada Januari.
“Semoga dengan siapnya longkang ini akan dapat selesaikan masalah banjir seterusnya memberi kelegaan kepada penduduk Pandan Indah khususnya sekitar Taman Kencana.
“Terima kasih kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) yang memberi kerjasama yang baik bermula dari awal perbincangan sehinggalah projek ini siap sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau menambah projek naik taraf itu bermula dari Kampung Cheras Baru sehingga ke Jalan Bunga Raya, Taman Kencana, Pandan Indah.
Pada 22 November lalu, Izham mengarah JKR dan MPAJ mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir kilat di Kampung Pandan.
Ia susulan hasil tinjauan mendapati longkang dan parit di kawasan kejadian banjir tidak dapat menampung jumlan air hujan yang terlalu banyak.