Categories
AGENDA NASIONAL

KUPTM diiktiraf universiti penuh, kini dikenali UPTM

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Kolej Universiti Poly-Tech Mara Kuala Lumpur (KUPTM) yang ditubuhkan pada 1987 sebelum dinaik taraf sebagai kolej universiti pada 2015 diiktiraf sebagai universiti penuh dengan kini dikenali sebagai Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata KUPTM membuat pembentangan permohonan naik taraf universiti penuh kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 1 Dis 2020 dan kelulusan penubuhan universiti diterima daripada KPT pada 31 Mac 2021 dengan beberapa syarat sebelum pendaftaran taraf universiti penuh.

Mahdzir dalam kenyataannya semalam, memaklumkan KUPTM layak memohon kenaikan taraf kepada universiti penuh itu selepas lima tahun dinaik taraf kepada kolej universiti pada Oktober 2015 dan seterusnya mendapat kelulusan KPT.

“Dengan penubuhan UPTM, sektor pendidikan tinggi negara diperlihatkan pada landasan betul dan dapat merealisasikan serta mendokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia bagi Pendidikan Tinggi 2015-2025, seterusnya dapat membangunkan modal insan dan melahirkan graduan bertaraf global.

“Tujuan penubuhan satu lagi universiti di bawah Mara adalah sebagai pelengkap ekosistem pendidikan tinggi Mara yang memfokuskan kepada kebitaraan perniagaan dan perakaunan. KUPTM juga aktif dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan inovasi di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Menurut Mahdzir, Isnin lepas, KPT bersetuju memberi kelonggaran syarat pendaftaran pertama UPTM sebagai Institusi Pendidikan Tinggi Swasta bertaraf universiti, seterusnya membolehkan nama UPTM digunakan secara rasmi dengan mematuhi syarat utama dalam tempoh lima tahun beroperasi sebagai universiti.

Sepanjang penubuhan sebagai kolej universiti, KUPTM menawarkan 14 program ijazah sarjana muda, empat program sarjana dan dua program ijazah doktor falsafah.

KUPTM mempunyai 155 ketua penyelidik yang sudah menghasilkan 111 projek penyelidikan dan menerbitkan 198 artikel ilmiah dalam pelbagai jurnal.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Sekolah Kafa Integrasi Imam Al-Ghazali bakal dinaik taraf

KLANG, 12 DIS: Warga Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Imam Al-Ghazali, Meru di sini mampu menarik nafas lega apabila bangunan reput dimamah anai-anai sejak hampir 13 tahun lalu bakal dibaik pulih tidak lama lagi.

Wakil guru Safudin Otot@Jumri, 48, berkata kerja naik taraf struktur dinding dan bumbung bilik darjah, bilik guru serta pejabat yang uzur akan dilaksanakan melalui dana Kerajaan Selangor berjumlah RM47,000.

“Ketika saya mula mengajar di sekolah ini kesan reput pada bahagian bumbung dan dinding tidak jelas kelihatan, namun lama-kelamaan ia semakin merebak sehingga menjejaskan sesi pembelajaran murid dalam kelas.

Wakil guru Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Imam Al-Ghazali, Safudin Otot@Jumri

“Alhamdulillah, bantuan daripada Kerajaan Negeri sekurang-kurangnya dapat membantu pihak sekolah untuk baik pulih kerosakan tersebut. Insya-Allah, pembinaan akan dibuat secepat mungkin selepas perbincangan diadakan bersama pihak pengurusan,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Safudin turut memaklumkan sebelum ini sekolah terbabit menerima dua kali bantuan daripada Kerajaan Negeri untuk membaik pulih kantin, surau dan tandas yang rosak akibat dilanda banjir.

“Jadi, hari ini merupakan bantuan ketiga yang diperoleh dan berharap dapat menjamin keselesaan kepada kira-kira 800 pelajar termasuk guru,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Kwang Hua Datuk Loo Chee Wee berkata bantuan diperoleh akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan sukan sekolah terbabit.

Menurutnya, sekolah berusia kira-kira 50 tahun memerlukan penambah baikan tersebut untuk kegunaan seramai 3,200 pelajar.

“Kami juga sedang membina gelanggang bola keranjang baharu termasuk dua gelanggang serbaguna,” katanya.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Kwang Hua, Datuk Loo Chee Wee

Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) Kwang Hua Chia Seong Pow pula berkata dana diterima akan digunakan untuk membina dewan baharu berikutan dewan sedia ada yang dibina 25 tahun lalu tidak mampu menampung pertambahan pelajar.

“Pembinaan dijangka bermula pada separuh kedua tahun depan selepas mendapat kelulusan berkaitan daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Selangor membelanjakan sejumlah RM23.2 juta untuk bantuan infrastruktur kepada 637 sekolah seluruh negeri tahun ini.

Dana tersebut memanfaatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, SMJKC, SMPC, sekolah mubaligh, Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Naik taraf Sungai Langat dijangka siap pertengahan November

KAJANG, 27 OKT: Projek menaik taraf Sungai Langat bagi mengatasi isu banjir dijangka selesai sepenuhnya pertengahan November ini sejak dimulakan tiga bulan lalu.

Ahli Dewan Negeri Balakong Wong Siew Ki memaklumkan projek bernilai RM1.18 juta itu berjalan mengikut jadual hasil kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hulu Langat.

“Kita percaya kerja penstabilan tebing dan pendalaman sungai ini bakal melegakan lebih 50,000 penduduk sekitar Bandar Kajang dan Sungai Chua apabila siap nanti.

“Malah, kita nampak projek ini telah menunjukkan perkembangan yang agak baik kerana kawasan terbabit tidak dilanda banjir meskipun taburan hujan mencapai 116 milimeter minggu lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program penyerahan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di pejabat pusat khidmatnya di sini semalam.

Siew Ki turut berterima kasih kepada jabatan berkaitan kerana bekerja keras bagi menyempurnakan projek terbabit.

“Saya menghargai usaha mereka yang turut membantu memohon peruntukan untuk menjalankan projek berkenaan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Naik taraf Santuari Kelip-kelip, agenda MPKS tarik pengunjung

SHAH ALAM, 29 OGOS: Menaik taraf kemudahan di Santuari Kelip-kelip, Kuala Selangor antara agenda pertama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MDKS) selepas bertukar status.

Yang Dipertua Rahilah Rahmat berkata penambahbaikan melibatkan pembinaan dewan baharu serta pontun di jeti bagi menarik kehadiran orang awam.

“Dalam masa sama, tandas dan jeti juga akan dibaik pulih bagi keselesaan pengunjung. Kita juga akan melihat keperluan lain dari semasa ke semasa.

“Ini sebagai persediaan menerima lebih ramai pengunjung susulan penukaran status daerah ini kepada perbandaran,” katanya kepada SelangorKini.

Jelasnya, inisiatif sama juga akan dilaksanakan di beberapa lokasi pelancongan lain yang menjadi perhatian antaranya Sky Mirror dan Bukit Malawati.

“Promosi kawasan pelancongan semula jadi ini berterusan melalui media sosial selain kita jalin kerjasama dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) serta pihak swasta.

“MPKS merancang guna individu berpengaruh bagi mempromosikan tempat-tempat ini pada masa akan datang,” katanya.

Pada 7 Ogos, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memperkenan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dimasyhur sebagai perbandaran.

Upacara pemasyhuran disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari secara maya.