Categories
AGENDA NASIONAL

SRC: Mahkamah arah Najib mohon lantikan peguam diraja sebelum 20 Mei

PUTRAJAYA, 28 JAN: Mahkamah Persekutuan mengarahkan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memfailkan permohonannya melantik Peguam Diraja (QC) dari United Kingdom untuk rayuannya bagi membatalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta bagi kes melibatkan dana SRC International Sdn Bhd, sebelum 20 Mei.
Categories
AGENDA NASIONAL

Kes SRC: Kisah derma Arab Najib ibarat hikayat dongeng

PUTRAJAYA, 9 DIS: Pembelaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai RM42 juta dalam akaun peribadinya yang didakwa sebagai wang derma Arab adalah dongengan seumpama Hikayat Seribu Satu Malam, menurut Mahkamah Rayuan.

Dalam penghakiman bertulis setebal 308 muka surat, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata kisah derma Arab itu tidak lain hanyalah rekaan yang langsung tidak mempunyai kredibiliti.

“Kisah ini malah lebih dongeng daripada kisah Hikayat Seribu Satu Malam, bukan hanya tidak ada kredibiliti, malah dongeng ini bercanggah, dan ditolak oleh keterangan berdokumen,” katanya.

Abdul Karim yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan bahawa tidak ada bukti langsung yang menunjukkan RM42 juta itu datangnya daripada, atau mungkin datang daripada keluarga Diraja Arab Saudi, malah tidak ada asas yang munasabah bagi perayu untuk mempercayainya.

“Dana ini datang daripada SRC International Sdn Bhd, dan ia telah dibuktikan. Perayu (Najib) mendakwa bahawa beliau mengandaikan dana yang masuk ke dalam akaunnya itu adalah derma daripada keluarga Diraja Arab.

“Bagi menyokongnya, rujukan dibuat kepada beberapa surat bertulisan Arab yang dikatakan ditulis oleh Putera Arab Saudi Abdulaziz Al-Saud bagi pihak Raja Arab Saudi.

“Bagaimanapun penulisnya tidak dipanggil, dan ketulenan surat-surat ini tidak dibuktikan dalam perbicaraan ini. Kandungan surat-surat ini adalah keterangan dengar cakap yang tidak diterima masuk,” kata hakim itu.

Berhubung dua siaran akhbar oleh Peguam Negara pada 2016 Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang memutuskan bahawa Najib tidak terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah berkaitan SRC International, serta dananya, di samping kes derma RM2.6 billion; hakim itu berkata ia tidak bernilai, sehinggakan walaupun selepas dua siaran akhbar berkenaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih terus menyiasat sumber dana yang dikatakan dari Arab Saudi itu bagi memastikan sekiranya RM2.6 bilion yang masuk ke akaun perayu adalah derma.

“Pegawai SPRM pergi ke Arab Saudi untuk menyiasat perkara itu, namun gagal mendapatkan sebarang pengesahan daripada pihak yang dikatakan penderma Arab, dalam bentuk bukti yang boleh diterima.

“Oleh itu siaran akhbar Mohamed Apandi itu tidak boleh diterima untuk membebaskan Najib daripada kesalahan, dan ia juga tidak boleh membuktikan pendakwaan salah. Pandangan Mohamed Apandi yang dibuat pada persidangan media itu, adalah mengenai hal ehwal negara sehingga 26 Januari 2016, semasa siasatan sedang berjalan.

“Sudah tentu kenyataan pramatang itu tidak boleh mengikat Peguam Negara selepasnya daripada menggunakan kuasa-kuasa pendakwaannya apabila bukti-bukti tambahan telah dikumpul,” katanya.

Hakim itu berkata Najib tidak mengambil sebarang langkah untuk menyiasat aliran dana yang masuk ke dalam akaunnya, sebaliknya telah dilihat seolah-olah bergantung kepada apa yang ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Lo katakan kepada beliau, mengenai sumber dana, itu saja.

“Pada masa itu beliau adalah Perdana Menteri dan mempunyai setiap peluang termasuk saluran rasmi kerajaan untuk membuat pertanyaan dan mengesahkan sekiranya dana itu sememangnya benar-benar datang daripada keluarga Diraja Arab Saudi. Perayu tidak mengambil sebarang langkah sekalipun bagi mengesahkan kebenaran sumber seperi yang dimaklumkan kepadanya oleh Jho Low,” katanya.

Semalam panel itu sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International

Mereka membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib langgar amanah, khianati rakyat isu SRC, kata hakim

PUTRAJAYA, 9 DIS: Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukan hanya melanggar amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada beliau malah bertindak mengkhianatinya.

Justeru, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali ke atas Najib iaitu penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd adalah wajar.

“Kami mendapati Hakim Mohd Nazlan dalam menjatuhkan hukuman bagi setiap daripada tujuh pertuduhan yang dihadapi telah menseimbangkannya dengan kepentingan perayu (Najib) serta kesakitan dan penderitaan yang dihadiahkan beliau kepada negara. Najib bukan sekadar melanggar amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada beliau malah bertindak mengkhianatinya.

“Dalam keadaan seperti ini, apabila seorang pemimpin politik penting telah diheret ke mahkamah, disabitkan serta dihukum, kami mendapati ini adalah waktu paling sesuai untuk memetik kata-kata bekas Ketua Hakim Negara Raja Azlan Shah semasa baginda menjadi hakim perbicaraan dalam kes Pendakwa Raya lawan Datuk Harun Idris (bekas Menteri Besar Selangor),” katanya dalam penghakiman bertulis setebal 308 muka surat.

Sebelum menjatuhkan hukuman ke atas Harun, Raja Azlan Shah kata “Saya ulangi apa yang saya katakan sebelum ini iaitu undang-undang tidak pilih kasih. Justeru, adalah mustahil untuk mengabaikan hakikat bahawa anda berada dalam kategori berbeza berbanding mana-mana individu yang pernah saya bicarakan. Adalah mustahil untuk mengabaikan hakikat bahawa di mata berjuta-juta rakyat negara ini, anda adalah seorang patriot dan pemimpin.

“Malah mereka yang berbeza pandangan politik dengan anda memandang anda sebagai seorang yang bercita-cita tinggi. Anda mempunyai setiap peluang untuk menggapai tahap pencapaian tertinggi namun anda membiarkan ketamakan merosakkan diri.

“Agak sukar difahami bagaimana seseorang yang berada dalam kedudukan anda tidak dapat mengenal pasti apa itu rasuah. Dengan berbuat demikian, anda bukan sahaja mengkhianati perjuangan parti anda yang selama ini anda pertahankan, tetapi juga sumpah jawatan anda di hadapan Raja Berdaulat, dan paling utama ialah dari segi undang-undang kerana anda adalah tertakluk di bawahnya,” kata Raja Azlan dalam penghakiman itu.

Semalam, Abdul Karim yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengekalkan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas Najib pada 28 Julai 2020.

Panel itu membuat keputusan tersebut selepas menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terbabit.

Najib, 68, masih mempunyai peluang terakhir untuk merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan pasukan pembelaan telah memfailkan petisyen rayuan semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: Penganjur program dihadiri Muhyiddin, Najib dikompaun

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Tiada aktiviti berbentuk perhimpunan berkaitan pilihan raya negeri (PRN) Melaka melibatkan dua bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib Tun Razak, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Menurut KKM dalam kenyataan, hasil siasatan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mendapati lawatan Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Najib selaku pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) ke negeri itu baru-baru ini lebih berbentuk “walkabout” atau jelajah mesra.

Bagaimanapun, menurut KKM berdasarkan pemantauan dan siasatan yang dijalankan oleh pegawai diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], kompaun dikeluarkan kepada penganjur program yang melibatkan kehadiran kedua-dua pemimpin itu berikutan kegagalan pihak penganjur memastikan pematuhan penjarakan fizikal oleh orang ramai yang hadir ke program tersebut.

“Satu kompaun RM20,000 telah ditawarkan kepada Perikatan Nasional (PN) Melaka sebagai penganjur perhimpunan yang melibatkan kehadiran Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala kompaun RM4,000 telah dikeluarkan kepada individu yang bertindak sebagai penganjur program yang dihadiri oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tawaran kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” menurut kenyataan itu.

Mengikut Akta 342 kegagalan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan menyediakan pendaftaran MySejahtera boleh dikenakan kompaun.

Kenyataan itu sebagai respons kepada isu tular di media sosial berkenaan kesalahan pelanggaran SOP berkaitan aktiviti PRN Melaka melibatkan Muhyiddin dan Najib.

Menurut KKM, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang melanggar mana-mana SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pelan Pemulihan Negara.

“Pihak KKM dan JKN Melaka dengan kerjasama PDRM akan terus memantau pematuhan SOP khususnya menjelang PRN Melaka sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

“KKM menasihati agar semua lapisan masyarakat terus patuh kepada SOP dan menjalankan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dalam memerangi pandemik Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Pada 24 Okt lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan berkata sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa 25 Okt hingga 27 Nov ini bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP di restoran, Najib dikompaun RM3,000

SHAH ALAM, 7 MEI: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dikompaun RM3,000 atas dua kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang pada Mac.

Ketua polis Dang Wangi berkata Najib dikompaun RM1,500 bagi setiap kesalahan di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Penyakit Berjangkit) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021, lapor Berita Harian.

“Kesalahan pertama adalah gagal mengimbas suhu badan ketika memasuki premis Nasi Ayam Hainan Chee Meng dan kesalahan kedua, gagal mendaftar kehadiran di premis itu melalui aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual.

“Pengurus restoran, Yeok Wei Hao dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal mengarahkan Datuk Seri Najib membuat imbasan MySejahtera atau menulis nama di dalam buku daftar sebagaimana disyaratkan dalam SOP,” kata Asisten Komisioner Mohamad Zainal.

Tambah beliau, semua yang terbabit akan dikenakan kompaun dalam masa terdekat dengan nilai kompaun keseluruhan RM13,000.

Pada 19 Mac, polis mengambil keterangan Najib susulan tular video yang memaparkan beliau tidak mematuhi SOP ketika berada di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang.

Video tular selama satu minit 39 saat memaparkan ahli parlimen Pekan bersama beberapa individu hadir di sebuah restoran untuk makan tanpa membuat imbasan suhu dan mendaftar MySejahtera yang diperlukan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelan niaga RM4 bilion SRC hanya helah, kata pendakwa raya

PUTRAJAYA, 15 APRIL: Mahkamah Rayuan di sini hari ini diberitahu bahawa pelan perniagaan SRC International Sdn Bhd hanyalah satu helah walaupun wang berjumlah RM4 bilion telah diberikan oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada syarikat tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V. Sithambaram berkata SRC hanya memulakan perniagaan dengan memindahkan wang tersebut dalam bentuk simpanan tetap ke Switzerland selepas KWAP mengeluarkan pinjaman tersebut pada 2011 dan 2012.

Beliau berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam pendengaran rayuan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

“Malah perayu (Najib) mengakui semasa pemeriksaan balas dalam perbicaraan bahawa penubuhan SRC bukan satu helah,” kata Sithambaram.

Abdul Karim: Tetapi terdapat banyak perkara tentang aktiviti perniagaan mereka. Daripada apa yang saya faham, mereka mempunyai rancangan perniagaan. Tetapi anda mengatakan tiada apa-apa yang dilakukan.

Sithambaram: Ya, mereka mempunyai rancangan untuk melakukan pelbagai aktiviti di merata tempat dari Indonesia ke Mongolia. Tetapi tidak ada apa-apa untuk menunjukkannya. Semua diwar-warkan mengenai rancangan pelaburan adalah pembelaan helah.

“Anda memperoleh pinjaman untuk projek tenaga diperbaharui tetapi wang itu kemudian dibawa ke Switzerland. Pihak pembelaan tidak boleh terima penelitian ini,” katanya.

Ketika ini, salah seorang peguam Najib, Harvinderjit Singh bangun untuk membantah tetapi Sithambaram menegur dan meminta supaya peguam itu duduk.

“Kamu duduk,,,anda selalu cakap yang karut. Yang Arif, mereka berhujah seperti ini sejak di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Sithambaram menyatakan tiada sebarang bukti atau dokumen dikemukakan untuk menunjukkan jenis pelaburan yang dibuat selepas menerima pinjaman RM4 bilion.

Sithambaram: Najib tahu….semua ini adalah helah.

Abdul Karim: Untuk berselindung di sebalik niat sebenar ?

Sithambaram: Ya. Semua bukti sudah ada. Jika mereka melakukan apa yang dikatakan untuk Malaysia, saya akan merasa bangga. Sekurang-kurangnya tiada lagi masalah gangguan bekalan elektrik di negara ini, Tetapi dari 2014 hingga 2018 tiada apa-apa berlaku.

Pendengaran rayuan masih diteruskan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah tolak permohonan Najib tangguh dengar rayuan SRC

PUTRAJAYA, 5 APRIL: Rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd diteruskan hari ini selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk menangguhkan pendengarannya.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan itu selepas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bahawa mereka mempunyai bukti tambahan untuk dimasukkan dalam rayuan mereka termasuk keterangan berkaitan keluarga bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

“Kami sebulat suara dalam hal ini. Tiada alasan yang munasabah untuk menangguhkan pendengaran. Kami tidak membenarkan permohonan untuk penangguhan,” kata Hakim Abdul Karim, yang mengetuai pendengaran rayuan itu bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Terdahulu, Muhammad Shafee berkata mereka memerlukan sekurang-kurangnya penangguhan selama sebulan untuk mendapatkan dokumen berkaitan dari New York dan Singapura.

“Dokumen itu dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan turut melibatkan dakwaan terhadap keluarga Zeti. Kami perlukan sekurang-kurangnya satu bulan untuk memasukkan bukti tambahan dalam penghujahan. Kami memohon untuk penangguhan pendengaran ini,” kata Muhammad Shafee.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram membantah permohonan itu dengan berkata mereka (pemohon) seharusnya mengemukakan permohonan lebih awal sebelum pendengaran rayuan itu bermula.

“Tiada alasan yang sah untuk mereka meminta penangguhan. Kami berharap tiada lagi penangguhan dan memohon mahkamah untuk meneruskan kes,” katanya.

Najib telah mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuannya tentang mengapa beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan terbabit.

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhi Najib hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, pecah amanah dan pengubahan wang haram, serta 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atau lima tahun penjara bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun berikutan hakim memerintahkan kesemua hukuman tersebut berjalan serentak.

Najib, 67, pada masa ini bebas dengan ikat jamin RM2 juta berserta dua penjamin sementara menunggu kes rayuan ini selesai.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Siasatan aliran wang Najib buktikan Umno terima duit haram

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Umno dan ahli politik Umno menerima wang perolehan haram daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah dibuktikan berdasarkan jejak kewangan akaun bank Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya Liew Horng Bin berkata ini berdasarkan akaun Ambank Najib bernombor 9694 dan 1880, serta akaun AmIslamic bernombor 1906 dan 1898.

“UMNO dan ahli politik Umno menerima wang perolehan haram yang boleh dikesan berasal daripada 1MDB dan mereka merupakan penerima utama daripada penyelewengan ke atas 1MDB. Namun, apabila puluhan juta ringgit dibayar, sama ada menerusi cek atau secara debit, daripada akaun peribadi Najib kepada UMNO dan sekutunya, pastinya ada yang tidak kena.

“Tidak mungkin Datuk Seri Najib mempunyai sumber yang tidak kehabisan untuk menampung pembiayaan ‘lohong hitam’. Pasti ada yang bertanya ‘dari mana Najib peroleh wang beliau?’,” katanya, menambah Najib memegang beberapa jawatan – iaitu sebagai perdana menteri, menteri kewangan, presiden Umno dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang mempunyai kuasa mutlak ke atas sebarang keputusan perniagaan 1MDB.

Liew berkata demikian pada pendengaran permohonan pendakwaan untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 yang disita dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, di hadapan hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucut hak barangan merangkumi 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata serta 306 beg tangan dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44.

Umno dan Najib merupakan pihak ketiga dalam permohonan itu. Mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barangan yang dirampas boleh hadir di mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa barangan itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

Liew juga berhujah memandangkan telah ditunjukkan bahawa Umno dan sekutunya adalah penerima wang yang diselewengkan daripada 1MDB, berdasarkan rekod perbankan yang tidak boleh dipertikaikan, adalah tidak munasabah untuk mencadangkan bahawa Umno tidak mengetahui sumber haram wang yang diterima.

“Kelakuan Umno dan sekutunya menganjurkan kes tipikal sengaja membutakan mata. Memang jelas Umno tidak berbuat apa-apa untuk menghalang penggunaan wang yang diperoleh daripada 1MDB itu. Sebaliknya, Umno dengan bebas dan secara diam-diam menyetujui perbelanjaan wang yang diterima daripada 1MDB menerusi akaun Ambank Najib bernombor 9694 dan 1880, serta akaun AmIslamic 1906 dan 1898.

“Walau macam mana kita tengok sekalipun, tidak boleh dinafikan bahawa Umno terlibat sama dalam perkara ini. Penglibatan mereka bersekongkol dalam pengubahan wang haram yang boleh dikesan berasal daripada 1MDB melangkaui keraguan,” katanya.

“Atas sebab itu, mahkamah tidak harus bersetuju dengan hujah Umno bahawa ia tidak peduli jika wang yang dirampas itu boleh dijejaki berasal daripada dana yang diselewengkan daripada 1MDB, atau, mana-mana salah laku, sedangkan banyak bukti yang jelas menunjukkannya,” kata Liew, menambah dakwaan Najib bahawa wang tunai yang disita merupakan sumbangan politik kepunyaan Umno bercanggah dengan bukti daripada Umno.

Liew berkata bekas perdana menteri itu juga gagal mendedahkan identiti penyumbang derma tersebut bagi menyokong dakwaannya.

“Jawapan dolak-dalik yang diberikan oleh Najib dalam pernyataan saksinya, laporan polis beliau serta afidavit yang difailkan bagi prosiding ini berkaitan wang tunai yang dirampas, hanya menyimpulkan bahawa wang tersebut adalah hasil daripada kegiatan haram,” katanya.

Sementara itu, Liew berkata ketika serbuan dijalankan, writ penyitaan tidak hanya diserahkan kepada Najib tetapi juga kepada Obyu selaku pemilik hartanah di mana barangan itu dirampas, iaitu di Pavilion Residences.

“Ketika peringkat siasatan, Najib mengatakan bahawa wang yang disita merupakan sumbangan politik yang beliau pegang atas amanah sebagai presiden Umno ketika itu. Namun dakwaan beliau bercanggah dengan kenyataan pucuk pimpinan tertinggi Umno. Semua pemegang jawatan pimpinan tertinggi Umno yang ditemu bual semasa siasatan menafikan wang tunai itu milik Umno.

“Sebaliknya, pemilik Pavilion Residences, Obyu Holdings mendedahkan barangan yang dirampas tersebut kepunyaan Datuk Seri Najib dan keluarganya. Dalam keadaan sebegitu, tidak ada cara untuk mengetahui siapa pemilik wang tunai yang dirampas itu,” katanya.

Hakim menetapkan 20 Mei ini untuk menyampaikan keputusannya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pendakwaan fail rayuan tambah hukuman penjara, denda terhadap Najib

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Pihak pendakwaan memfailkan rayuan untuk menambah tempoh hukuman penjara 12 tahun dan jumlah denda RM210 juta dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC Sdn Bhd.

Ketua Unit Rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) Datuk Mohd Dusuki Mokhtar semasa dihubungi mengesahkan notis rayuan difailkan Jumaat lepas menerusi e-filing.

“Kami (pihak pendakwaan) memfailkan notis rayuan terhadap semua hukuman dan denda yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi,” katanya.

Mohd Dusuki juga berkata hari ini adalah hari terakhir bagi pihak pendakwaan dan pembelaan untuk memfailkan rayuan mereka, berikutan kedua-dua pihak mempunyai tempoh 14 hari untuk memfailkan rayuan masing-masing selepas keputusan pada 28 Julai.

Pada 30 Julai, Najib memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati beliau bersalah terhadap tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Ahli parlimen Pekan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, masing-masing bagi tiga kes CBT dan masing-masing bagi tiga kes pengubahan wang haram dan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau lima tahun penjara jika gagal membayar denda itu bagi kes salah guna kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Najib kini bebas atas ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuannya selesai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Jangan samakan kes Guan Eng dengan Najib

SHAH ALAM, 9 OGOS: Kes membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak boleh disamakan dengan kesalahan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kedua-dua kes berkenaan perlu diteliti berdasarkan fakta dan undang-undang, bukan aspek politik.

“Ada orang samakan kes Guan Eng dengan Najib yang dah jatuh hukum. Guan Eng tidak boleh dianggap bersalah selagi mahkamah tidak memutuskannya.

“Saya bercakap bukan sebab dia sahabat saya. Saya tidak pertikaikan siasatan berhubung rumah mahupun terowong tetapi ini babitkan pendakwaan,” katanya ketika Majlis Jelajah Presiden ke Selangor di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini malam tadi.

Menegaskan KEADILAN menolak sekeras-kerasnya amalan pendakwaan terpilih, ketua pembangkang juga bimbang kes melibatkan Lim tidak telus dan berunsur politik.

“Kita harap siasatan Guan Eng dibuat tanpa sebarang motif politik atau penganiayaan. KEADILAN akan teliti kes ini lebih dekat,” kata beliau lagi.

Semalam, setiausaha agung DAP didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang didakwa meminta suapan 10 peratus keuntungan yang akan diperoleh daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Pada 28 Julai lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 72 tahun bagi tujuh pertuduhan jenayah dalam kes membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian menetapkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setiap satu kes salah guna kuasa itu.

Bagi tiga kes pecah amanah, ahli parlimen Pekan dihukum 10 tahun penjara bagi setiap kesalahan manakala 10 tahun lagi untuk setiap kesalahan pengubahan wang haram.

Semua hukuman dijalankan serentak, menjadikan tempoh sebenar hanya 12 tahun.

Categories
AGENDA GLOBAL

Sembilan individu dikait himpunan penyokong Najib diambil keterangan

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai merakam keterangan sembilan individu berhubung kes perhimpunan penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada 28 Julai lepas.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut mereka yang selesai beri keterangan, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata siasatan kes itu telah lengkap dan kertas siasatan dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Beliau berkata kertas siasatan berkenaan dihantar bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut mengenainya.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai perhimpunan haram dan Peraturan-peraturan 3 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.7) 2020,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, hari ini.

Pada 28 Julai lepas, ramai penyokong Najib yang berhimpun di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mengikuti perkembangan keputusan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang melibatkan Najib, dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan tidak mematuhi amalan penjarakan fizikal.

Tindakan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap risiko penularan Covid-19.

Sementara itu menjawab soalan mengenai perkembangan siasatan kes kematian Teoh Beng Hock, Abdul Hamid berkata pihaknya mengambil beberapa tindakan bagi melengkapkan siasatan, termasuk mendapatkan dokumen penting daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pihak saya telah menerima dokumen berkenaan pada Isnin lepas, pegawai penyiasat saya menerima lapan daripada 17 dokumen yang dimohon bagi melengkapkan siasatan kes ini,” katanya.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009, selepas ditahan SPRM, dan mayatnya ditemui di tingkat 5, Plaza Masalam, Shah Alam.

Mendiang adalah setiausaha politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib kembali ke mahkamah untuk kes 1MDB

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Selepas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd minggu lepas, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan kes 1MDB membabitkan RM2.3 bilion.

Bekas perdana menteri ketujuh yang dibebaskan dengan jaminan RM2 juta, dan para penyokongnya dilihat memakai pelitup muka sepanjang perbicaraan.

Prosiding hari ini bermula dengan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed meneruskan soal balas terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 50, yang memberikan keterangan sejak 23 Sept tahun lepas.

Selepas diajukan beberapa soalan berkaitan pengambilalihan sebuah syarikat tenaga iaitu Mastika Lagenda Sdn Bhd oleh 1MDB, Shahrol Azral bersetuju dengan cadangan Wan Aizuddin bahawa urus niaga itu hanyalah satu wayang bagi menipu lembaga pengarah.

“Pada masa itu (2012), saya tidak tahu tetapi kini berdasarkan pengalaman, ya,” kata saksi itu.

Mastika Lagenda memiliki 75 peratus saham dalam syarikat Genting Sanyen Power Sdn Bhd (GSP), yang sebelum ini dilaporkan diambil alih oleh 1MDB selepas mendapat persetujuan menyeluruh daripada Najib.

Wan Aizuddin berkata berdasarkan fakta, tidak ada persetujuan bertulis daripada lembaga pengarah dan Najib, yang ketika itu mewakili Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) untuk meneruskan pengambilalihan Mastika Lagenda.

Beliau berkata perkara yang sama berlaku bagi tawaran opsyen untuk pengambilan 49 peratus saham ekuiti dalam 1MDB Energy Holdings Ltd, anak syarikat 1MDB.

Shahrol Azral bagaimanapun tetap mengatakan bahawa beliau mendapat persetujuan menyeluruh untuk meneruskannya.

Meskipun beliau diasak berkali-kali mengenai dakwaan bersubahat dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan tokoh lain yang terlibat dalam skandal 1MDB untuk menggelapkan berjuta-juta ringgit daripada syarikat itu, Shahrol Azral tetap mengatakan bahawa beliau tidak terlibat langsung dengan mereka.

Terdahulu, Hakim Collin Lawrence Sequerah bertanya berapa lama lagi pembelaan akan menyoal balas saksi itu dan Wan Aizuddin menjawab dua minggu.

Wan Aizuddin memaklumkan mahkamah peguam utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan meneruskan soalan balas terhadap saksi itu esok.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan bersambung esok.

-BERNAMA