Categories
AGENDA NASIONAL

Polis akan panggil penganjur himpunan mahkamah

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil penganjur penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berhimpun di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam, susulan ingkar arahan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata penganjur akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Sebelum ini, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul mengadakan pertemuan dengan pihak penganjur perhimpunan untuk membawa rombongan pada minggu lepas.

“Ya, kami memang membenarkan pihak penganjur membawa rombongan tetapi bersyarat iaitu dengan mematuhi SOP penjarakan sosial. Apabila kami teliti kejadian semalam, ia bercanggah dan terang-terang melanggar SOP (rombongan tidak patuh SOP penjarakan sosial di mahkamah),” katanya pada sidang media selepas merasmikan IPD Sentul yang baharu, hari ini.

Mazlan berkata pihaknya mengeluarkan arahan dan nasihat kepada orang ramai supaya mematuhi dan menjaga penjarakan sosial sewaktu berada di kompleks mahkamah berkenaan.

Beliau berkata individu yang melanggar SOP ketika hadir menyokong Najib akan dikenal pasti menerusi bantuan rakaman kamera litar tertutup di kompleks mahkamah.

Mazlan berkata masyarakat seharusnya lebih peka tentang perkembangan terkini penularan wabak Covid-19 yang belum ada penghujungnya dengan kes baharu jangkitan yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

“Apabila perkara seperti ini (tidak patuh SOP) berlaku, PDRM dan pihak Kementerian Kesihatan akan dipersalahkan, sedangkan Perdana Menteri kita (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah memberitahu supaya menjaga diri sendiri namun mereka tidak mempedulikannya.

Dalam situasi ini, kami tidak mahu mengeruhkan keadaan dan tindakan kompaun akan dikenakan terhadap mereka yang didapati tidak patuh SOP di kompleks mahkamah itu,” katanya lagi ketika mengulas pandangan orang ramai mengapa polis tidak mengambil tindakan segera untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP.

Beliau berkata siasatan akan diteruskan dan akan dilengkapkan sebelum ia diserah kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selajutnya,” katanya.

Orang ramai semalam melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan penularan Covid-19 dan kewujudan kluster baharu berikutan himpunan orang ramai yang tidak mematuhi penjarakan sosial dan pematuhan SOP di Kompleks Mahkmah Kuala Lumpur semasa mengikuti keputusan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd melibatkan Najib.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham sedih penyokong Najib langgar SOP

SHAH ALAM, 28 JULAI: Ketua pengarah kesihatan sedih susulan masih ada rakyat melanggar tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Membalas hantaran Bernama di Twitter mengenai gelagat penyokong Datuk Seri Najib Razak di mahkamah, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan sering mengingatkan rakyat agar mematuhi SOP khususnya penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan.

“Sudah terang lagi bersuluh, setiap hari KKM mengingatkan rakyat Malaysia untuk patuh kepada SOP.

“Sedih bila melihat keadaan begini tiada kawalan kendiri,” tulisnya hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh bimbang wujud penularan Covid-19 ekoran kehadiran penyokong bekas perdana menteri di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang tidak menghiraukan pematuhan SOP.

Gambar yang memaparkan orang ramai berhimpun tanpa mematuhi penjarakan sosial turut tersebar di media sosial dan media arus perdana.

Categories
AGENDA NASIONAL

Majlis Presiden PAKATAN: Keputusan mahkamah kemenangan rakyat

SHAH ALAM, 28 JULAI: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) menyifatkan keputusan mensabit salah terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai kemenangan besar buat rakyat.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu (Amanah) dan Lim Guan Eng (DAP) merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam proses ini termasuk mantan Peguam Negara.

“Proses pengadilan ini pasti tidak akan bermula sekiranya rakyat tidak bangkit untuk memberikan kemenangan kepada PAKATAN dan mengalahkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Malah bila disoroti sejarah isu ini masalah urus tadbir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibangkitkan kali pertama di Parlimen oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan bersama.

Bekas perdana menteri itu didapati bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan melibatkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Majlis Presiden turut mengajak seluruh rakyat meneliti dan menelusuri penghakiman yang dibuat hari ini.

Dalam kenyataan sama ketiga-tiga pemimpin berpendirian reformasi institusi menyeluruh perlu dilaksana untuk memastikan iklim politik yang memungkinkan kerosakan besar pada zaman pemerintahan Barisan Nasional tidak berulang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Najib bersalah semua tujuh tuduhan kes RM42 juta SRC

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan terhadap Najib, 67.

“Oleh itu saya mendapati tertuduh bersalah dan mensabitkan tertuduh terhadap kesemua tujuh pertuduhan,” kata hakim itu.

Bagi dua pertuduhan CBT, Najib sebagai seorang ejen dan penjawat awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia serta Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC), didakwa menyeleweng RM27 juta dan RM5 juta daripada dana sebanyak RM4 bilion milik SRC.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 bagi tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. Foto: BERNAMA

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini antara 24 Dis 2014 dan 29 Dis 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa menyeleweng RM10 juta daripada RM4 bilion milik SRC di tempat sama antara 10 Feb 2015 dan 2 Mac 2015.

Ketiga-tiga pertuduhan adalah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman maksimum penjara 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya, Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, didakwa menggunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan RM42 juta menerusi penglibatan atau penyertaannya dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman yang dipohon daripada KWAP oleh SRC yang berjumlah RM4 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta hasil aktiviti haram menerusi Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Tepat Masa (Rentas) ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020. Foto: BERNAMA

Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, AmBank Group Building, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 26 Dis, 2014, dan 10 Feb, 2015.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan jika sabit kesalahan, bekas perdana menteri itu berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Selepas hakim selesai menyampaikan keputusannya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam utama Najib, memohon supaya rayuan sebelum dijatuhkan hukuman didengar pada Isnin, namun Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk V. Sithambaram membantah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Inti pati laporan audit 1MDB Najib minggu ini

KUALA LUMPUR, 30 NOV: “Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta saya agar tidak memasukkan dua versi kenyataan kewangan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam Laporan Akhir Pengauditan,” kata bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Ini antara inti pati perbicaraan bekas Perdana Menteri yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB bersama-sama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy di Mahkamah Tinggi minggu ini.

Ambrin, 70, yang juga satu-satunya saksi pendakwaan yang disoal minggu ini memberitahu mahkamah bahawa Najib membuat permintaan itu selepas dia (Ambrin) membangkitkan isu dua versi berbeza dokumen bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac, 2014 pada satu mesyuarat di pejabat Najib pada Februari, 2016.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata, beliau melihat permintaan Najib sebagai Perdana Menteri itu sesuatu yang hendaklah dilaksanakan tanpa sebarang prajudis.

Ambrin selanjutnya berkata, meskipun implikasi daripada menggugurkan fakta daripada laporan pengauditan 1MDB itu amat serius tetapi beliau bersetuju untuk melakukan pindaan itu selepas ahli Parlimen Pekan itu berjanji beliau akan menyiasat ‘hingga ke akar umbi’ perkara ini dengan secepat mungkin.

Bagaimanapun, saksi berkenaan berkata beliau rasa tertipu apabila mengetahui bahawa tidak ada satu pun laporan polis dibuat meskipun diberi jaminan oleh Najib berhubung dua laporan kewangan yang berbeza itu.

Najib, 66, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Audit 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam melakukan kesalahan itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb, 2016 dan 26 Feb, 2016.

Kedua-duanya didakwa di bawah Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah gratifikasi atau denda RM10,000, yang mana satu lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Berikut ialah ringkasan keterangan saksi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

HARI 5 (27 Nov)

  • Ambrin memberitahu mahkamah bahawa semasa mesyuarat penyelarasan Laporan Audit 1MDB di pejabat bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa pada 24 Feb, 2016, Arul Kanda juga telah menggesa agar digugurkan dua versi kenyataan kewangan 1MDB itu selepas bersetuju bahawa isu itu akan dilaporkan kepada pihak berkuasa.
  • Menurut saksi berkenaan, Jabatan Audit Negara (JAN) berpandangan bahawa isu itu perlu dimasukkan dalam laporan audit syarikat berkenaan agar ia membolehkan perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengendalikan siasatan lanjut.
  • Ambrin berkata, beliau mengarahkan  semua laporan asal audit 1MDB itu dimusnahkan melainkan satu disimpan oleh Pengarah Audit LAN (Sektor Kerajaan) Nor Salwani Muhammad (saksi kelima pendakwaan).
  • Katanya, laporan asal itu yang dicetak dalam 60 salinan tidak digunakan kerana Arul Kanda mahu perubahan dibuat.
  • Ambrin memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau kecewa kerana terpaksa melayani cadangan pindaan itu pada saat-saat akhir sedangkan Laporan Audit 1MDB telah siap untuk dibentangkan kepada PAC pada 24 Feb, 2016 dan laporan itu hanya dapat dibentangkan pada Mac 2016.
  • Saksi berkenaan menjelaskan bahawa selain dua versi kenyataan kewangan yang berbeza itu, pindaan yang dibuat bagi laporan pengauditan 1MDB itu ialah isu penangguhan penerbitan Islamic Medium Term Notes (1MTN), ACME, dan isu keberadaan Low Taek Jhow atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
  • Menjelas lebih lanjut mengenai isu dua versi kenyataan kewangan 1MDB, Ambrin berkata satu versi dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyatakan bahawa 1MDB telah menggunakan RM4.03 bilion dana yang dikumpulkan dari pelaburan Seggregated Portfolio Company (SPC) untuk membayar hutang syarikat.
  • Satu lagi versi kenyataan kewangan itu dihantar ke Kementerian Kewangan, Deutsche Bank dan AmBank yang menyebut bahawa RM4.03 bilion dana dikumpulkan daripada pelaburan SPC masih ada dalam simpanan 1MDB, tambah beliau.
  • Mengenai isu kelewatan dalam isu IMTN, Ambrin berkata pasukan audit khas 1MDB mendapati bahawa pada 27 Mei, 2009, Najib, yang ketika itu ialah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah diminta mengadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
  • “Sultan Mizan sebagai penaung Terengganu Investment Authority (TIA) telah mengarahkan pengeluaran pelaburan IMTN ditundakan. Penangguhan itu bagi membolehkan Jawatankuasa Penyeliaan Khas mengkajinya.
  • “Bagaimanapun, pada tengah hari yang sama (27 Mei, 2009) satu mesyuarat Kabinet diadakan tetapi Najib tidak menyatakan atau membincangkan arahan Sultan Mizan berhubung kelewatan pengeluaran pelaburan IMTN untuk kegunaan projek usaha sama PetroSaudi Ltd (PSI) dan 1MDB.
  • Ambrin seterusnya menyatakan, isu lain ialah perjanjian Country Groups Securities (CGS) Thailand dengan ACME Time Limited, milik Jho Low, di mana Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati penglibatan dan pelaburan Jho Low dalam pengeluaran IMTN bagi projek usaha sama PSI dengan 1MDB, dan tiada siasatan dijalankan berhubung perkara itu oleh BNM.
  • “Menurut maklumat BNM, AmBank menandatangani satu perjanjian langganan menengah dengan CGS pada 18 Mei, 2008 yang bermaksud AmBank adalah pembeli utama satu perjanjian dengan CGS yang bermakna AmBank memperdagang kepentingannya dalam IMTN kepada CGS di mana CGS adalah pembeli subsale.
  • “Ia kemudian mendedahkan bahawa CGS telah menandatangani satu Perjanjian Pilihan dengan ACME sebagai rakan transaksi bersama. BNM mendakwa bahawa AmBank meletakkan keluar keuntungan US$127.27 juta di mana bayaran dibuat kepada CGS ialah US$1.30 juta dan ACME US$113.42 juta dan US$12.55 juta. NAD melaporkan perkara itu dalam draf laporan pengauditan akhir 1MDB,” katanya.
  • Bagaimanapun, Ambrin berkata Arul Kanda telah meminta isu itu dikeluarkan daripada laporan pengauditan akhir 1MDB kerana beliau berpandangan bahawa ia di luar skop isu audit 1MDB memandangkan urusan itu membabitkan pasaran pertengahan.
  • Mengenai pengguguran kehadiran Jho Low dalam laporan itu, saksi itu berkata bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh telah meminta agar digugurkan perenggan mengenai kehadiran Jho Low pada mesyuarat lembaga itu susulan sensitivitinya dan bagi mengelakkan daripada diputarbelitkan oleh pihak pembangkang.

– BERNAMA

Berita menyusul…

Categories
AGENDA NASIONAL

Saksi: Jho Low lindungi “Bos” mahu e-mel, perbualan BBM dipadam

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini beliau menerima arahan daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low untuk memadamkan perbualan antara mereka untuk melindungi “Bos”.

Ketika memberi keterangan pada perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi pertuduhan berhubung dana 1MDB, Shahrol Azral, 49, berkata Jho Low meminta beliau memadamkan semua perbualan secara elektronik dan fizikal akibat serangan politik untuk melindungi “Bos” yang dirujuknya sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Apabila ditanya oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selaku peguam utama Najib, saksi kesembilan pendakwaan itu bersetuju bahawa Blackberry Messenger (BBM) adalah bentuk komunikasi teks yang paling selamat pada masa itu.

“Jho Low sebelum ini memberi saya dua peranti BlackBerry, kerana dia tahu saya suka teknologi. Juga keperluan untuk komunikasi antara kami semakin meningkat pada selepas 2014 apabila dia hanya menggunakan BBM untuk mesej teks dan Skype untuk voice calls.

“Jho Low terus mengingatkan saya” kita tidak tahu siapa yang boleh kita percayai, kita perlu memastikan ia selamat untuk melindungi bos iaitu Perdana Menteri, ” kata Shahrol Azral sambil menambah Jho Low berhasrat untuk menggunakan hanya BBM kerana ia tidak boleh diintip.

Bagaimanapun, saksi itu berkata dia tidak berasa curiga terhadap keperluan Jho Low untuk memusnahkan semua bukti kerana Jho Low asyik bercakap mengenai “melindungi bos”

Terdahulu, ketika ditanya oleh Muhammad Shafee, Shahrol Azral berkata tiada satupun telefon bimbitnya diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis apabila dia dipanggil untuk disoal siasat.

Ditanya lagi sama ada dia diancam dengan tindakan sivil kerana tindakannya mengabaikan pengurusan 1MDB, Shahrol Azral menjawab “Tidak”

Bagaimanapun, pada akhir 2018, Ashwin J. Valiram, yang juga Ahli Lembaga 1MDB, menghubungi saya dan memberitahu saya bahawa dia mendapat tahu Kementerian Kewangan sedang merancang untuk mengambil tindakan terhadap pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB .. Tetapi saya tidak semak dengan kementerian, ” katanya.

Muhammad Shafee: Adakah tindakan diambil terhadap 1MDB?
Shahrol Azral: Belum lagi.
Muhammad Shafee: Mengapa belum?
Shahrol Azral: Kami tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.
Muhammad Shafee: Adakah anda bimbang tentang cara anda menjawab soalan di mahkamah, bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap anda?
Shahrol Azral: Saya tidak bimbang kerana saya tahu saya bercakap benar.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib sakit mata, perbicaraan 1MDB ditangguh

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menangguhkan perbicaraan Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi pertuduhan berkaitan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguh kerana bekas perdana menteri itu mendapat jangkitan konjunktivitis pada matanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan perbicaraan atas alasan perubatan dan juga kerana ia tidak dibantah oleh pasukan pendakwaan.

“Yang Arif sekitar pukul 7.15 pagi ini , saya menerima panggilan daripada pelanggan saya dan juga daripada isterinya, memaklumkan saya bahawa beliau disyaki mempunyai konjunktivitis di matanya akibat jerebu …beliau keluar malam semalam.

“Pada masa ini, beliau masih berada di rumah. Pelanggan saya telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau hanya dapat berjumpa pakar di Garden Mall pada jam 10.30 pagi. Jadi, kemudian saya akan menyerahkan salinan chit perubatan, saya menjangka sekurang-kurangnya hari ini atau esok beliau akan bercuti sakit, “katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak membantah permohonan itu dan berkata mereka akan menunggu laporan perubatan tersebut.

Hakim Sequerah menetapkan jika tertuduh mendapatkan cuti sakit hanya satu hari, prosiding itu akan disambung semula esok.

“Jika cuti sakit diberikan selama dua hari, pendengaran kes akan disambung semula Selasa depan,” katanya.

Ini adalah kali kedua perbicaraan Najib ditangguhkan kerana bekas perdana menteri mendapat jangkitan konjunktivitis pada matanya.

Kali pertama pada 14 Ogos lalu sewaktu pendengaran kes SRC International yang ditangguhkan selepas Najib diberi cuti sakit selama tiga hari kerana jangkitan virus itu.

Hari ini pasukan pembelaan dijangka meneruskan pemeriksaan balas bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, yang merupakan saksi pendakwaan kelapan.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014, dan untuk 21 lagi pertuduhan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mahkamah benar Najib hadir sidang Dewan Rakyat esok

KUALA LUMPUR, 15 JUL: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat esok bagi menyertai perbahasan dan mengundi dalam pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan untuk menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Esok dijadualkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga bagi RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkenaan dan pindaan itu memerlukan sokongan dua pertiga atau sekurang-kurangnya 148 daripada 222 Ahli Parlimen untuk diluluskan.

Sekiranya RUU itu diluluskan, had usia mengundi 18 tahun akan dapat dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memberi pelepasan tersebut setelah mendengar hujahan daripada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, selain mengambil kira permohonan daripada pihak pembelaan sejak minggu lalu.

“Mengambil kira faktor pihak pembelaan telah membuat permohonan minggu lalu, mahkamah bersetuju bahawa prosiding perbicaraan esok akan ditamatkan pada 11 pagi bagi membolehkan tertuduh menghadiri sidang Parlimen,” kata Hakim Mohd Nazlan.

Terdahulu, Muhammad Shafee dalam hujahnya berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dalam surat masing-masing turut menggesa semua Ahli Parlimen untuk hadir ke sidang Dewan Rakyat bagi pembentangan RUU ini.

“RUU ini bukan sahaja serius, malah amat bersejarah dalam Perlembagaan negara, saya mohon mahkamah memberikan peluang untuk anak guam saya menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Pada 1 Julai lalu, mahkamah menolak permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan bagi menghadiri persidangan Parlimen atas alasan tiada kepastian yang jelas bila sebenarnya Ahli Parlimen perlu mengundi untuk meluluskan rang undang-undang tertentu.

Sementara itu, mahkamah menetapkan Khamis ini bagi mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung permohonan Najib untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai akaun Ambank miliknya.

Muhammad Shafee dalam hujahnya sekali lagi menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengarahkan pihak bank menghalang anak guamnya mendapatkan dokumen diperlukan.

“Mengikut peruntukan, bank tidak boleh berbuat demikian. Anak guam saya adalah pemilik akaun tersebut dan kami perlukannya bagi mempersiapkan pembelaan kami dalam kes ini dan juga kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) . Data-data dalam akaun itu pun bukan boleh dipinda kerana ia adalah dokumen bank,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram memohon supaya pihak pembelaan mengemukakan permohonan secara formal kerana ia perkara serius dan melibatkan polisi awam.

Hakim Mohd Nazlan menetapkan Khamis ini untuk mendengar hujahan kedua-dua pihak itu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pinjaman SRC RM3.95 bilion tidak ikut dasar KWAP – Bekas CEO

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Surat permohonan oleh SRC International Sdn Bhd untuk pinjaman RM3.95 bilion tidak memenuhi dasar keperluan prosedur oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), demikian Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Bekas CEO KWAP, Datuk Azian Mohd Noh berkata, ini kerana sebarang permohonan pinjaman perlu dialamatkan kepada KWAP sedangkan permohonan pinjaman oleh SRC dalam sepucuk surat bertarikh 3 Jun 2011, ditandatangani oleh pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dialamatkan kepada perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pegawai wanita itu menyatakan demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada perbicaraan hari ke-19 Najib yang menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Ishak : Permohonan ini tidak ikut polisi pinjaman KWAP seperti yang Datuk nyatakan di perenggan 10, dalam pernyataan saksi, sebab datuk kata tadı kena kemukakan kepada KWAP?

Azian : Ya, surat berkenaan (permohonan pinjaman) tidak memenuhi syarat KWAP bagi prosedur ini.

Membacakan pernyataan saksinya, Azian berkata beliau menerima surat asal permohonan SRC itu daripada pegawai Khas Najib, Datuk Azlin Alias (Arwah) dalam bulan Jun 2011.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh Arwah Azlin bahawa Perdana Menteri pada masa itu Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju dengan cadangan permohonan dari SRC dan beliau telah dirujuk kepada catitan atas surat itu yang Arwah Azlin memberitahu ianya dibuat oleh Najib sendiri.

“Surat yang saya terima itu merupakan surat permohonan pinjaman yang disediakan oleh SRC dan dialamatkan kepada Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia untuk mendapatkan pinjaman KWAP sebanyak RM3.95 bilion bagi tujuan modal pusingan dan pelaburan am tanpa had.

“Surat berkenaan ditandatangani oleh Pengarah SRC bernama Nik Faisal Ariff Kamil. SRC pada ketika itu adalah syarikat milik penuh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mana 1MDB merupakan syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD),” katanya.

Azian, 66, yang kini telah bersara berkata (pada) surat bertarikh 3 Jun 2011 terdapat catatan tulisan tangan serta tandatangan Najib yang ditujukan kepadanya selaku CEO KWAP dan menyatakan “bersetuju dengan cadangan ini” yang bertarikh 5 Jun 2011.

“Mengikut pemahaman saya, catatan “bersetuju dengan cadangan ini” bermaksud Perdana Menteri bersetuju untuk KWAP memberikan pinjaman kepada SRC. Saya menerima surat permohonan itu dan keesokan hari pada waktu pagi saya berjumpa dengan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah iaitu Pengerusi KWAP dan memaklumkan beliau berkenaan surat itu.

“Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz turut menyatakan bahawa beliau sedia maklum perkara tersebut kerana diberitahu sendiri oleh Datuk Seri Najib sebelum ini. Saya kemudian diarahkan oleh Tan Sri Dr Wan agar KWAP dapat mengkaji permohonan tersebut dan dikemukakan untuk pertimbangan dan keputusan Panel Pelaburan KWAP,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-38 itu juga berkata penilaian oleh Jabatan Pendapatan Tetap KWAP telah menentukan bahawa KWAP hanya dapat menyediakan pinjaman berjumlah RM1 bilion sahaja setelah mengambil risiko pembayaran, risiko negara, risiko industri dan risiko “over concentration” yang tinggi berkaitan jumlah pinjaman yang dimohon oleh SRC berjumlah RM3.95 bilion.

Pegawai wanita itu berkata salah seorang ahli panel pelaburan telah memberikan pendapat supaya Najib dimaklumkan yang KWAP mencadangkan pinjaman pembiayaan RM1 bilion sahaja kepada SRC.

“Oleh itu, Tan Sri Dr Wan telah memaklumkan saya untuk mengikut beliau sekali untuk berjumpa Datuk Seri Najib.

“Tidak lama selepas itu, saya dan Tan Sri Dr Wan telah pergi berjumpa dengan Datuk Seri Najib di Pejabat Perdana Menteri. Kami telah memaklumkan tentang hasil keputusan Panel Pelaburan KWAP yang hanya meluluskan pinjaman pembiayaan sejumlah RM1 bilion. Namun, saya tidak ingat tarikh sebenar perjumpaan kami,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun Kertas Panel Pelaburan Khas KWAP disediakan untuk pertimbangan bagi kelulusan pinjaman RM2 bilion kepada SRC untuk tujuan ‘working capital’ dan ‘general investments’.

Kepada satu soalan oleh Ishak, saksi itu berkata adalah mustahil baginya ‘merungkai’ (decipher) kandungan surat itu secara terperinci oleh kerana beliau berjumpa Arwah Azlin waktu malam dan pertemuan berlaku selama 45 minit.

Ishak : Datuk tak dapat ‘decipher’ surat itu walau berjumpa 45 minit?

Azian : Saya baca tapi tidak secara detail mengenai KWAP policy or anything

Ishak : Lepas balik ofis ada Datuk maklumkan Azlin bahawa surat itu tidak ikut prosedur, tidak ikut kriteria polisi KWAP dan tidak dapat dipertimbangkan oleh KWAP?

Azian : Saya tidak maklumkan.

Ishak : Walaupun Datuk sedar, surat tidak ikut prosedur kenapa tak maklumkan?

Azian : I cannot recall why (saya tidak ingat mengapa).

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

RM42 juta dari Ihsan Perdana masuk akaun Najib

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa wang berjumlah RM42 juta dari akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd dipindahkan ke dalam dua akaun peribadi milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengurus Affin Bank cawangan The Curve, Noorhayati Mohd Yunus, 44, mengesahkan pemindahan wang itu berdasarkan penyata akaun Affin Bank atas nama Ihsan Perdana Sdn Bhd bagi tempoh 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2015.

“Tiga pemindahan wang dari akaun Affin milik Ihsan Perdana bernombor 106180001108 itu sebanyak RM27 juta dan RM5 juta pada 26 Disember 2014, serta RM10 juta pada 10 Februari 2015.

“Saya merujuk kepada borang Permohonan Kiriman Wang dan mengesahkan bahawa semua wang itu dimasukkan ke dalam dua akaun AmPrivate Banking 1MY dan MY yang bernombor 2112022011880 dan 2112022011906 (milik Najib),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Sulaiman Kho Kheng Fuei pada hari ke-13 perbicaraan kes Najib yang menghadapi tujuh pertuduhan berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Terdahulu, ketika dirujuk kepada Borang Pembukaan Akaun Perniagaan milik Ihsan Perdana, saksi pendakwaan ke-30 itu mengesahkan penandatangan yang diberi kuasa bagi akaun itu adalah Datuk Abdul Aziz Ismail, 67, dan Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman, 58.

Dalam prosiding itu, Shamsul turut hadir ke mahkamah untuk proses pengecaman oleh Noorhayati.

Terdahulu, Noorhayati mengesahkan bahawa syarikat Ihsan Perdana atau nama asalnya Gem Horizon Sdn Bhd mempunyai tiga akaun di Affin Bank dan dua daripadanya masih aktif sehingga kini.

“Akaun Gem Horizon Sdn Bhd dibuka pada 5 Ogos 2011, manakala dua akaun lagi atas nama Ihsan Perdana pada 5 Januari 2012 dan 1 Jun 2012.

“Pada 24 Oktober 2011, Gem Horizon ditukar kepada nama Ihsan Perdana. Saya mengesahkan Borang 13 Akta Syarikat 1965 (borang penukaran nama syarikat) ini diterima daripada Ihsan Perdana Sdn Bhd bersama-sama permohonan syarikat untuk membuka akaun di Affin Bank pada 5 Januari 2015,” katanya.

Ihsan Perdana adalah anak syarikat yang mengendalikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk SRC International Berhad.

Sementara itu, Noorhayati memberitahu mahkamah bahawa wang berjumlah RM50 juta dimasukkan ke dalam akaun Gandingan Mentari Sdn Bhd secara berperingkat antara 2014 dan 2015.

“Saya merujuk kepada penyata akaun atas nama Ihsan Perdana Sdn Bhd bagi tempoh 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2015.

“Saya mengesahkan kemasukan wang berjumlah RM40 juta pada 24 Disember 2014, RM5 juta pada 5 Februari 2015 dan RM5 juta pada 6 Februari 2015,” katanya.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Farhan Read yang mewakili Najib, saksi itu berkata beliau tidak tahu sama ada wang yang terlibat dalam pemindahan dari Gandingan Mentari ke akaun Ihsan Perdana adalah dari SRC International atau tidak.

Farhan Read: Adakah kamu tahu sama ada sumber wang itu berasal dari SRC International?

Noorhayati: Saya tidak tahu.

Sementara itu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permintaan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memulakan perbicaraan sedikit lewat esok oleh kerana beliau perlu hadir di Mahkamah Rayuan esok yang ditetapkan untuk keputusan rayuan Najib berhubung penolakan kelayakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pasukan pendakwaan tidak membantah permintaan Muhammad Shafee.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan bersambung esok.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Najib tandatangan surat pinjaman RM2 bilion KWAP

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah menandatangani surat jaminan Kerajaan Malaysia ke atas pembiayaan pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International Sdn Bhd berjumlah RM2 bilion bagi tempoh 10 tahun.

Bekas Penolong Naib Presiden di Jabatan Pendapatan Tetap (KWAP), Amirul Imran Ahmat, 39, ketika membacakan penyataan saksinya berkata surat berkenaan telah ditandatangani Najib, selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, pada 27 Mac 2012.

Amirul Imran, yang menyambung keterangannya hari ini berkata KWAP ada menerima surat daripada Kementerian Kewangan bertarikh 28 Mac 2012 yang merupakan persetujuan Kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kepada SRC selaras dengan kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Februari 2012.

“Surat ini turut memohon KWAP untuk mempertimbangkan agar pengeluaran wang pinjaman dapat dilakukan terlebih dahulu dan kementerian Kewangan memberikan akujanji untuk menyerahkan jaminan Kerajaan selewat-lewatnya 10 hari,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada perbicaraan hari ke-13 kes Najib yang didakwa atas tujuh pertuduhan berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

Ishak: Surat jaminan itu untuk apa?

Amirul Imran: Surat dari Kementerian Kewangan bertujuan untuk menyatakan persetujuan Kerajaan memberikan jaminan kepada SRC berhubung pinjaman RM2 bilion.

Ishak: Ada atau tidak kebiasaannya orang pinjam duit dan duit keluar dulu tetapi surat jaminan dikeluarkan kemudian?

Amirul Imran: Tidak pernah berlaku.

Ishak: Adakah ini kali pertama (kejadian ini) berlaku?

Amirul Imran: Ya.

Amirul Imran, yang kini Naib Presiden Pinjaman Tetap SME Bank berkata KWAP kemudian telah menerima “Form of Utilization Notice” iaitu surat permohonan pengeluaran wang pinjaman oleh SRC kepada KWAP yang menyatakan butiran akaun bank SRC di AmIslamic Bank Berhad dengan nombor akaun 211-202-201065-0.

“Pada 28 Mac 2012, saya dimaklumkan oleh Amirah Muhamad Nor daripada Investment Support Services Department KWAP bahawa wang pinjaman tambahan berjumlah RM2 bilion telah dikeluarkan oleh KWAP dan telah dimasukkan ke dalam akaun SRC,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata KWAP meluluskan pinjaman itu melalui keputusan Mesyuarat Panel Pelaburan selepas Kertas Panel Pelaburan dibentangkan ketuanya, Ahmad Norhisham Hassan pada Mac 2012.

Amirul Imran turut menjelaskan bahawa pinjaman tambahan RM2 bilion itu adalah untuk membiayai aktiviti pelaburan dalam sumber asli dan modal pusingan sahaja dan bukan aktiviti pelaburan am.

“Wang pinjaman daripada KWAP tidak boleh digunakan untuk tujuan ‘corporate social responsibility’ (tanggungjawab sosial korporat) kerana kerja-kerja sosial, amal dan politik tidak dinyatakan dalam perjanjian pinjaman.

“Wang pinjaman RM2 bilion itu juga tidak boleh digunakan untuk tujuan pelaburan dalam ‘fund management’ atau di ‘asset management company’ (syarikat pengurusan dana dan pengurusan aset) dalam atau luar negara dengan bertujuan untuk mengambil keuntungan,” katanya.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung pukul 1.50 petang.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes 1MDB Najib mula bicara 19 Ogos

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berdepan 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion, akan bermula pada 19 Ogos.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menetapkan 19 hingga 29 Ogos; sepanjang bulan September dan Oktober kecuali Jumaat, di samping dua minggu pertama November, untuk perbicaraan kes itu.

Tarikh baharu itu ditetapkan selepas Peguam Negara Tommy Thomas, yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes Najib membabitkan SRC International Sdn Bhd, memohon supaya mahkamah menangguhkan perbicaraan kes 1MDB najib sehingga kes SRC International diselesaikan terlebih dahulu, dan tiada bantahan daripada pasukan pembelaan.

“Kami tidak mahu kes SRC International didengar sebahagian dan kemudian dibiarkan tergantung. Jika segala-galanya berjalan lancar, pendakwaan boleh menutup kes pada 21 Jun, yang juga tarikh akhir ditetapkan bagi kes 1MDB,” katanya, dan menambah, kes SRC International adalah satu daripada kes berkepentingan awam.

Hakim Sequerah berkata 1MDB juga merupakan kes berkepentingan awam, dan mahkamah telah melapangkan kes yang memperuntukkan hukuman mati bagi mendengar perbicaraan kes 1MDB.

“Saya memerlukan komitmen daripada pendakwaan dan pembelaan berhubung tarikh perbicaraan ini,” kata Hakim Sequerah.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, berkata pasukan pendakwaan tiada bantahan berhubung tarikh baharu perbicaraan itu.

Bagaimanapun, beliau memohon agar mahkamah tidak menetapkan perbicaraan pada hari Jumaat supaya peguam dapat menguruskan perkara lain.

Sebelum menetapkan tarikh baharu itu, Hakim Sequerah mengingatkan pendakwaan dan pembelaan supaya tidak lagi menangguhkan kes itu kerana ini merupakan kali kedua kes 1MDB ditangguhkan.

“Ini kali kedua anda memohon kepada saya tarikh baharu. Anda perlu ingat, 1MDB juga adalah kes berkepentingan awam. Saya juga ada kes lain seperti bunuh dan dadah. Sekarang anda pohon bagi kali kedua untuk penangguhan kes 1MDB.

“Jadi, saya tetapkan keseluruhan bulan September dan Oktober selain dua minggu pertama November. Saya tidak mahu ada lagi permohonan selepas ini bagi penangguhan perbicaraan kes 1MDB,” kata Hakim Sequerah.

Mahkamah turut menetapkan 21 Jun bagi pengurusan kes.

Terdahulu, Hakim Sequerah menolak permohonan Muhammad Shafee supaya perbicaraan kes itu dimulakan pada pertengahan September kerana beliau perlu mengendalikan kes bunuh membabitkan Samirah Muzaffar, yang didakwa membunuh suaminya, Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan.

Bagaimanapun, Thomas berkata mahkamah perlu memberi keutamaan kepada kes yang lebih berkepentingan awam.

Thomas: Samirah adalah kes bunuh, maafkan saya, saya bantah. Kes ini (1MDB) adalah keutamaan.

Muhammad Shafee: kes Samirah juga adalah kes berkepentingan awam.

Selasa lepas, pihak pendakwaan dalam kes SRC International yang dihadapi Najib, memfailkan usul untuk melapangkan tarikh perbicaraan kes 1MDB Najib mulai 14 Mei bagi membolehkan pendakwaan menyelesaikan kes itu terlebih dahulu sebelum perbicaraan kes 1MDB bermula.

– BERNAMA