Categories
NASIONAL

Tee Keat, Perkasa Sokong Debat Anwar-Najib

SHAH ALAM, 29 FEB: Cadangan debat antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disokong sebulat suara oleh para panelis Wacana Sinar termasuk Ketua Penerangan Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA), Ruslan Kassim ketika diajukan pertanyaan dalam isu terbabit.

Isu debat antara dua pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (Pakatan) dan Umno-BN itu timbul apabila ianya dicadangkan moderator wacana yang bertajuk ?Mengapa Undi Melayu Pecah?? Dr Maszlee Malik di sini.

“Saya rasa ianya dipersetujui oleh semua panelis bahawa menjelang pilihan raya tak kira Melayu, Tionghua, India dan lain-lain mahu buat keputusan yang baik.

“Kita perlu calon PM dari BN dan Pakatan untuk berdebat membincangkan hala tuju negara ke mana hendak dibawa negara ini, adakah panel kita setuju?,” soal Maszlee yang disambut dengan persetujuan para panelis.

Ruslan, tanpa mengulas panjang dalam isu debat Anwar-Najib, sekali lagi memberikan persetujuan menyokong debat itu diadakan apabila sekali lagi wartawan bertanyakan soalan sama kepada beliau.

Persetujuan para panelis wacana bagi memberikan sokongan terhadap cadangan debat Anwar-Najib itu diadakan juga mendapat tepukan gemuruh oleh wartawan dan orang ramai dalam sidang media itu.

Selain Ruslan, Wacana Sinar Siri ke-11 itu turut menampilkan MP Pandan dari Umno-BN, Datuk Seri Ong Tee Keat, MP Kuala Selangor dari Pas, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, Datuk Chua Jui Meng sebagai ahli panel.

Mengulas isu sama, Tee Keat menganggap ianya satu cadangan yang relevan untuk membantu pengundi membuat pilihan yang tepat dalam pilihan raya yang akan datang.

“Ia memang satu cadangan yang tepat dan memang relevan. Memang kita harap-harapkan majlis sedemikian rupa dianjurkan, tetapi pada masa yang sama janganlah kita jadikan satu wadah berceramah,” kata beliau.

Sebelum ini, cabaran debat yang diajukan oleh Anwar kepada Najib tidak mendapat reaksi positif dari Najib.

Categories
NASIONAL

Penyangak, Penyamun, Perompak Sedang Agih RM2.71B

KOMENTAR: Pada 19 Disember tahun lalu, Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan RM2.71 bilion diperuntukkan untuk Selangor.

Sehari selepas itu Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor pula, Datuk Seri Noh Omar mengeluarkan kenyataan bahawa peruntukan kerajaan pusat untuk membangunkan Selangor lebih besar dari kerajaan negeri yang hanya berjumlah RM1.9 bilion.

Sehubungan itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengecam tindakan Najib kerana menyalurkan peruntukan yang sebegitu besar wang dari titik peluh rakyat kepada Umno Selangor dan tidak kepada kerajaan Negeri.

Menurut Khalid, wang tersebut seharusnya diserahkan kepada kerajaan negeri supaya semua perbelanjaan dapat dipantau dan di audit serta menepati usaha membantu pembangunan negeri tersebut secara berhemah.

Kini, kesemua RM2,710,000,000 wang rakyat tersebut tidak dapat dipastikan kemana ia dibelanjakan. Tidak ada pihak yang mengaudit atau memantaunya.

Apakah perancangan yang dilakukan untuk pembangunan rakyat selangor dari wang rakyat tersebut juga tidak ada siapa yang tahu. Yang tahu hanya pemimpin-pemimpin Umno Selangor.

Sebagai Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar adalah antara pemimpin Umno yang tahu kemana wang rakyat itu berlegar.

Noh juga mungkin tahu kantung siapakah yang paling banyak di isi dengan dana dari titik peluh rakyat itu.

Noh pun tidak dapat memberikan jawapan berhubung penyelewengan RM110 juta yang di peruntukan kepada Kementerian di bawah jagaannya. Wang tersebut bertujuan diberikan kepada pesawah-pesawah sebagai insentif hilang entah kemana.
Rakyat pun tak tahu penyelewengan tersebut sehingga didedahkan oleh laporan Ketua Audit Negara. Akhirnya pesawah berdemontrasi   meminta Noh memberikan hak mereka.

Noh kemudiannya diberi peruntukan tambahan oleh Najib sebanyak RM117 juta untuk dibayar kepada para pesawah.
Persoalan kemana wang RM110 juta yang dilesapkan masih tidak terjawab oleh Noh.

Sekarang Noh dipertanggungjawabkan terhadap dana hasil titik peluh petani, pesawah, pembayar cukai yang besar dan kecil bernilai RM2,710,000,000.

Lebih malang wang rakyat tersebut diperuntukan untuk Umno/BN di Selangor dan bukannya untuk seluruh rakyat Selangor.

Demikianlah kesimpulannya bagaimana dana dari titik peluh rakyat tersebut dijadikan hak milik mutlak pemimpin-pemimpin Umno.

Umno telah menjadi tulang belakang komponen BN sejak 54 tahun. Bayangkan berapakah jumlah wang negara dan wang rakyat telah disalah guna untuk kepentingan perompak dan para penyamun ini.

Cuba pula lihat kediaman ketua-ketua Umno di Selangor atau dimana-mana sahaja diseluruh negara. Ada dikalangan kediaman mereka tidak boleh lagi dikategori sebagai rumah atau kondo tetapi bagaikan istana.

Hitung pula jenis kenderaan dan bilangannya yang terpakir dilaman rumah ketua-ketua Umno tersebut.

Dari mana mereka beroleh kekayaan yang sebegitu lumayan?.

Apa yang telah dilakukan oleh Najib dan Noh Omar terhadap wang rakyat bernilai RM2,710,000,000 adalah salah satu dari ribuan deretan salah guna kuasa yang dilakukan oleh Umno sejak memerintah lebih 54 tahun.

Laporan Ketua Audit Negara tahun lalu juga memaparkan berlaku ketirisan wang negara sebanyak RM28,000,000,000 (RM28 bilion) setahun. Ketirisan ini berpunca dari amalan rasuah, kronisme, salah guna kuasa dan ketidak cekapan pengurusan dan pentadbiran negara.

Mengapa Selangor di Beri RM2,710,000,000

Matlamat Najib menyerahkan wang tersebut kepada penyamun dan perompak-perompak wang rakyat tersebut sememangnya telah di duga.

Namun tidak terduga pula jumlahnya sebegitu besar sehingga merupakan angka tertinggi dalam sejarah yang ‘difraidkan’ kepada Umno negeri.

Pertengahan Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perak mendapat peruntukan RM55.7 juta (RM0.056 bilion) sahaja. Tetapi wang tersebut disalurkan melalui kerajaan negeri.

Dasar tender terbuka Kerajaan Pakatan Rakyat yang menguasai Selangor sejak 2008 telah mengakibatkan ramai ketua-ketua bahagian serta pemimpin-pemimpin Umno negeri pokai dan tak kurang yang hampir muflis.

Selama ini, amalan rundingan terus, komisyen serta rasuah yang dinikmati oleh ketua-ketua Umno bahagian termasuk para Adun telah menjadikan mereka serta kaum kerabat dan kroni-kroni mereka senang lenang.

Amalan tender terbuka dalam Kerajaan PR Selangor sekarang menyebabkan pemimpin-pemimpin Umno hilang sumber pendapatan yang selama ini diperoleh secara mudah.

Dalam budaya Umno pula ‘tiada wang akan hilang kuasa dan pengaruh’. Semua aktiviti melibatkan parti akan dilakukan disebabkan ada peruntukan disediakan. Diringkaskan cerita, tak ada cerita, kerja secara sukarela dalam Umno. Inilah juga perbezaan besar antara Umno dan PR.

Akibat pembudayaan amalan rasuah wang ringgit inilah juga Najib serta pemimpin-pemimpin Umno tidak segan silu menggunakan segala dana dari wang rakyat sebagai hak mutlak milik Umno.

Bak kata bidalan apabila mengamanahkan harta kepada penyangak, maka ia akan membedak-bedakkannya kepada perompak dan para penyamun.

Kini setelah lebih tiga bulan RM2,710,000,000 wang rakyat tersebut sedang diagih-agih secara ‘tiga Abdul’ atau cara perompak dalam filem Nujun Pak belalang.

Tak ada siapa yang tahu.

Habuan masing-masing dah dapat dan setiap habuan mesti disertai kerja dan tugasan.

Maka tak hairanlah dengan pelbagai kenyataan media dibuat oleh pemimpin kecil dan besar Umno sejak kebelakangan ini menyerang pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim.

Serangan-serangan tersebut pula seolah-olah pentadbiran BN di Selangor sebelum ini terlalu maksum. Inilah budaya Umno. Apa yang dilakukan sekiranya tidak mengikut acuan sebagaimana Umno lakukan sebelumnya akan dianggap sebagai salah dan tidak patut.

Pemberian Air percuma yang diperkenalkan TS Khalid sejak mula mentadbir Selangor dahulu dianggap pemimpin Umno sebagai usaha memufliskan negeri tersebut.

Ini disebabkan sebelum ini Umno tidak melakukannya. Bagi Umno khazanah negara adalah untuk diperniagakan kerana kroni dan pemimpin mereka akan mendapat keuntungan dan komesyin.

Selamatkan Maruah Najib

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor yang juga perdana Menteri lahir dari keluarga bangsawan di Pekan. Begitu juga dengan laluan politiknya yang bermula sebagai pengganti bapa beliau, Tun Razak.

Pemimpin Umno sendiri menganggap Najib sebagai pemimpin yang suka ‘Play Save’ dan naik dalam politik di atas sikap tersebut. Beliau tidak pernah dicabar dalam jawatannya sebelum ini kerana bergantung kepada kekuatan orang lain termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam team wawasan.

Beliau yang lahir dalam ‘Golden Bowl’ juga tidak pernah merasai kesusahan. Apa yang dikehendaki semuanya pasti akan dapat.

Apabila diberi peranan mengetuai Umno Selangor untuk menawan kembali selangor dari PR, bukan hal yang mudah bagi beliau.

Walaupun berjaya merampas Perak dengan habuan wang, sogokan dan ugutan kepada beberapa pemimpin ‘bidan terjun’ PR yang menang dalam PRU12 lalu namun situasi di Selangor amat berbeza.

Sebagai pemimpin yang lahir dari keluarga bangsawan maka setentunya egoisnya tinggi dan akan cuba mendapatkan apa yang di peroleh dengan apa kaedah sekali pun.

Maka taklah salah Najib pernah berkata bahawa beliau dan Umno Selangor akan lakukan apa sahaja untuk menawan kembali Selangor dari PR. Dalam lawatan Najib ke Selangor semalam beliau berkata “Apa lagi yang hendak semua dah dapat, pendayong sudah ada di tangan, perahu sudah boleh berlayar dan jala sudah ada di tangan, ayuh kita terus pastikan kemenangan.”

Sejumlah RM2,710,000,000 wang dari harta milik rakyat Malaysia digunakan untuk memenohi tuntutan serakah anak Bangsawan Pekan tersebut menjadi bukti dari kata-kata tersebut… dan wang tersebut sudah habis dibedak hanya dalam masa tiga bulan. Demikianlah rakusnya wang rakyat diperkuda oleh pemimpin-pemimpin Umno.

Justeru dengan wang dari titik peluh rakyat itulah akan diperguna untuk dianugerahkan kepada pemimpin-pemimpin Umno supaya membuat pelbagai onak kepada pentadbiran Khalid.

Bukan setakat itu, wang tersebut juga akan digunakan untuk menyogok, merasuah dan mengugut pengundi.

Kepada rakyat Selangor diharapkan setiap pemberian dari mana-mana pemimpin Umno perlu diambil malah perlu diminta kerana wang tersebut bukan hak milik Umno tetapi wang rakyat.

Pemberian tersebut bukan dari Umno tetapi dari dana rakyat yang telah disamun oleh para penyangak dan perompak.

Amalan mencuri dan menyamun wang rakyat ini tidak akan berakhir selagi Umno diberi mandat untuk terus berkuasa di Selangor atau mana-mana negeri di Malaysia ini.

Begitu juga dengan amalan rasuah, kronisme dan salah guna kuasa yang membabitkan wang rakyat akan terus diseleweng dan diperguna untuk kepentingan peribadi, sanak famili dan para kroni.

Keangkuhan dan egois Najib dan Noh perlu ditamatkan. Selangor adalah negeri yang kaya dengan hasil negerinya. Inilah yang menjadi rebutan Najib disebabkan wang negara semakin susut disebabkan sikap boros dan terlalu ‘berimej’ tanpa memikirkan kemampuan kewangan negara.

Apa pun, bagi penyangak, penyamun dan perompak, ini bukanlah masa untuk menghitung satu persatu harta negara yang diperguna kerana kuasa mereka semakin terhakis.

Apabila tanpa kuasa atau Selangor gagal di tawan dan Putrajaya gagal di kekalkan nasib mereka akan ditentukan oleh kerajaan baru PR.

DAN…. semestinya semua ini akan di perhitung. Apa yang pasti penyangak, penyamun dan perompak akan di adili di mahkamah rakyat.

Ketika itu, Najib, Noh dan pemimpin-pemimpin Umno akan lebih memahami maksud sebenar berhubung HAK RAKYAT dan HAK UMNO.

Categories
NASIONAL

Mesyuarat MB dan CM Dedah Sikap Pilih kasih PM

SHAH ALAM 23 FEB : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak bersikap pilih-kasih dan tidak professional apabila beliau mengenepikan Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri Pakatan Rakyat daripada menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri baru-baru ini.

Dakwaan ini dibuat oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung tindakan Najib yang tidak memanggil Menteri Besar Selangor, Kelantan, Kedah dan Ketua Menteri Pulau Pinang ke Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-114 di Putrajaya, Selasa lalu.

“Adalah amat tidak professional untuk Perdana Menteri mengenepikan peranan Menteri Besar dan Ketua Menteri dari Pakatan Rakyat dalam satu mesyuarat yang membincangkan kebajikan rakyat.

“Apatah lagi rakyat dari Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan menyumbang lebih dari setengah hasil ekonomi Malaysia,” jelas Abdul Khalid dalam satu kenyataan media kepada TVSelangor hari ini.

Mesyuarat yang bermula pada 10 pagi itu dipengerusikan oleh Najib Razak dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan serta beberapa menteri Kabinet.

Mesyuarat itu bertujuan menyelaras pentadbiran antara negeri-negeri selain membincangkan isu-isu berbangkit.

Malangnya hanya Menteri Besar dan Ketua Menteri dari negeri Umno-BN sahaja dijemput hadir.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid menambah sikap yang dipamerkan Najib bukan sahaja membuktikan bahawa konsep 1Malaysia itu sekadar gimik politik malah ia juga memberi kesan buruk kepada proses transformasi yang ingin beliau Najib lakukan.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor menyeru Perdana Menteri untuk membuat satu penjelasan kepada media bahawa mesyuarat tersebut adalah sebenarnya Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Barisan Nasional,”katanya.

Categories
NASIONAL

Himpunan Hijau 2.0: Umno-BN Jangan Flip-flop

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Penganjur perhimpunan membantah loji nadir bumi di Gebeng, Pahang menyelar tindakan Kerajaan Umno-BN yang berdolak dalik tentang kebenaran bagi mengadakan protes itu pada Ahad ini.

Menurut Pertubuhan Himpunan Hijau 2.0, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) telah mengeluarkan satu perintah bagi menghalang protes itu di
di Padang Kuantan walaupun Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang telah membenarkan himpunan itu berlangsung.

Menurut Pertubuhan itu sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob telah memberikan kebenaran untuk perhimpunan itu dijalankan dengan syarat ianya tidak dibuat di jalan raya.

Sementara itu, beberapa NGO telah menyuarakan sokongan padu kepada perhimpunan tersebut dan bertekad akan mengadakan demonstrasi-demonstrasi yang sama di beberapa lokasi seperti Kuala Lumpur, Penang dan Perak.

Pengerusi Pertubuhan Himpunan Hijau 2.0, Wong Tack mengesa Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang agar mengotakan janji untuk membenarkan perhimpunan dijalankan di atas padang mengikut syarat yang ditetapkan sebelum ini.

“Tetapi nampaknya, MPK pula yang menghalang Perhimpunan Hijau untuk diadakan tanpa diberi sebarang alasan penolakan ini, cuma dinyatakan dalam surat yang dihantar ialah ‘tidak dapat dipertimbangkan.’

“Adakah kuasa yang ada pada MPK lebih besar berbanding kuasa PM dan MB atau satu dolak-dalik mereka untuk menggagalkan perhimpunan ini?

“Apa yang berlaku dalam isu Perhimpunan Hijau ini, sama seperti yang dihadapi oleh Bersih 2.0 dahulu.

“Sekejap boleh buat di stadium, tapi bila Ahli Jawatan Kuasa minta kebenaran guna stadium tak beri pula,” beritahu Pengerusi Pertubuhan Himpunan Hijau 2.0, Wong Tack di dalam satu sidang media di sini hari ini.

Perhimpunan itu bagi membantah pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) oleh Lynas Corporation yang bernilai RM700 juta.

Jumlah sisa buangan radioaktif projek itu dikatakan mampu mencecah keluasan dua buah padang bola dan mengancam kesihatan masyarakat di Kuantan dengan risiko terdedah kepada penyakit barah, leukimia dan lain-lain.

Selain itu, projek yang mendapat keistimewaan kerajaan dengan pengecualian cukai kerajaan selama 12 tahun dikatakan boleh mencemar alam sekitar termasuk sungai yang menjadi sumber bekalan air.

Wong juga melahirkan kekesalan dengan sikap MPK dan pihak PDRM yang dilihat tidak memberi kerjasama yang baik dalam isu ini.

“Sebelum ini, bila kami jumpa MPK mereka kata, dapatkan surat sokongan dari polis, tetapi bila kami tanya pada pihak polis, mereka suruh kami tanya MPK pula.

“Tindak-tanduk mereka seperti orang bermain ping pong tolak ke sana ke mari, sepatutnya MPK dan polis sama-sama selesaikan masalah komunikasi sesama mereka itu,” beritahunya lagi.

Dalam sidang media itu beliau turut menegaskan Perhimpunan Hijau 2.0 tetap akan diteruskan meskipun tidak mendapat kebenaran dari MPK.

“Perhimpunan Hijau 2.0 tetap akan kami teruskan pada Ahad ini, walaupun tidak mendapat lampu hijau dari MPK atau mana-mana pihak berkenaan.

“Perhimpunan ini diteruskan di padang seperti yang dirancang, tetapi sekiranya MPK bertindak menutup padang, jangan pula salahkan kami sekiranya kami terpaksa turun ke jalan raya,” ujar beliau lagi.

Di dalam satu sidang media yang lain, beberapa NGO mengumumkan perhimpunan solidariti turut diadakan secara serentak bermula jam 9 pagi di Kuala Lumpur (Maju Junction), Pulau Pinang (Esplanade), Perak (Bukit Merah) dan Sabah (Kota Kinabalu).

“Saya percaya Himpunan Hijau 2.0 ini merupakan platform semua orang yang mengambil berat mengenai alam sekitar, yang peduli tentang hak tinggal dalam persekitaran yang selamat untuk datang berhimpun.

“Hadirlah beramai-ramai bagi menunjukkan hak dan keprihatinan kita dalam isu ketidaktelusan penjagaan alam sekitar,” seru Pegawai Perhubungan penganjur Himpunan Hijau 2.0, Clement Chin.

Antara NGO yang menyokong Perhimpunan itu adalah Pusat Pembangunan Budaya LLG (LLGCDC) Asalkan Bukan Umno, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Kumpur dan Selangor, Kumpulan Kemajuan India Kebangsaan, Parti Rakyat Malaysia, Suara Rakyat Malaysia dan Jawatankuasa Selamatkan Jalan Sultan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Badrulamin: RM2.71b Wang Rakyat Untuk UMNO Jatuhkan PR Selangor

SHAH ALAM, 21 FEB : Pemberian dana dari wang rakyat sebanyak RM2.71 billion oleh Kerajaan Pusat kepada Umno Selangor Disember lepas dilihat sebagai satu usaha bersungguh mereka untuk menawan Negeri Selangor, ulas Pengarah Penerangan Pejabat Menteri Besar, Dr. Badrulamin Bahron.

Tindakan terdesak itu dilihat sebagai satu usaha tidak bermoral pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk ‘membeli’ undi rakyat Selangor pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

“Tindakan membeli rakyat dan memperkayakan pemimpin-pemimpin Umno ini saya anggap satu tindakan yang kolot, sombong dan angkuh sekali. Mereka anggap rakyat mudah dibeli dengan wang ringgit serta sogokan.

“Namun Najib lupa bahawa rakyat Selangor kini sudah bangkit bukan kerana kemiskinan atau mahukan duit tetapi rakyat bangkit kerana mereka sedar Umno itu zalim dengan segala penipuan dan pengkhianatan selama lebih 50 tahun memerintah,” ujar Badrulamin.

Bagaimanapun, Badrulamin menyatakan rakyat Selangor khususnya sudah mula membuka mata dan sedar kerajaan mana yang harus mereka beri kepercayaan mentadbir negeri ini.

“Rakyat boleh lihat tiga kejayaan besar Kerajaan Pakatan antaranya hutang negeri yang sudahpun dilunaskan sepenuhnya dan tabungan negeri yang kini hampir mencecah RM 2 billion.

“Malah, lebih RM1,000 juta sudah diagihkan kepada rakyat melalui Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dengan pemberian air percuma, khairat kematian, hadiah anak masuk IPT, Skim Kesihatan Wanita dan sebagainya yang diberikan secara berterusan dan bukan sekali bagi sahaja,” beritahu Badrulamin yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Selain itu, Badrulamin turut mempersoalkan sumber wang yang disalurkan kepada Umno Selangor itu.

“Dengan hutang isi rumah negara yang mencecah RM577 billion, saya kira ini merupakan wang hutang lagi yang mana perlu dibayar oleh rakyat seluruh negara, bukan sekadar rakyat Selangor.

“Bukan Umno yang akan melunaskan segala hutang ini sebaliknya rakyat dari muda sampai yang tua. Cukai, harga barang, tarif elektrik, minyak, tol semua ini akan naik untuk menampung beban hutang tersebut,” jelas Badrulamin sambil menambah rakyat perlu berhati-hati dengan permainan wang Umno.

 

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Sibuk Isu Pasir Untuk Elak Skandal NFC

SHAH ALAM, 21 FEB : Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sewajarnya memberi perhatian terharap isu besar seperti skandal Lembu Fidlot NFC yang dipertanggungjawabkan kepadanya daripada memperkatakan mengenai kes pasir di Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie berkata, Noh tidak seharusnya lepas tangan dalam isu itu dan cuba mengalihkan tumpuan rakyat terhadap pecah amanah duit rakyat berjumlah RM250 juta yang didakwa melibatkan seorang menteri.

Menurutnya, keutamaan perlu diberikan kepada kes itu sepertimana arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Noh untuk memantau kes tersebut.

Katanya, pihaknya bersetuju dengan saranan Noh supaya isu kepentingan rakyat dibawa ke “mahkamah rakyat” supaya rakyat boleh membuat penilaian berhubung sesuatu isu dibangkitkan. “Apakah Noh masih belum menyiapkan kertas laporan untuk dibawa ke ‘mahkamah rakyat’ seperti diarah Perdana Menteri untuk Noh pantau dalam skandal Lembu Fidlot

NFC? Dalam perkembangan terkini yang saya ikuti sewaktu ditanya wartawan berhubung perkembangan skandal yang melibatkan RM250 Juta wang rakyat, dilaporkan beliau terkial-kial untuk menjawab soalan wartawan dalam mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang mengatakan bahawa terdapat pecah amanah dana rakyat dalam pembelian aset NFC.

“Jawapan diberi Noh berhubung isu salahguna skandal Lembu Fidlot NFC adalah ‘saya tidak tahu’. Apakah itu jawapan seorang menteri yang ditugaskan oleh Perdana Menteri untuk memantau kegagalan projek Lembu Fidlot NFC? soalnya dalam satu kenyataan media dibuatnya hari ini.

Shuhaimi berkata, tidak cukup dengan itu adakah juga Noh bersedia untuk bersemuka di “mahkamah rakyat” berhubung skandal PKFZ, skandal tanah ADUN Umno dan yang lainnya.

Tidak mahu menyebut mana-mana pemimpin Umno Selangor, beliau berkata, cukuplah sekadar menjelaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit kerana terpaksa membeli tanah milik seorang ADUN Umno Selangor satu masa dahulu dan sehingga sekarang tiada siasatan pihak berkuasa berkaitan perkara itu.

Tambahnya, Noh tidak sepatutnya menyibuk dalam urusan lain yang bukan di bawah tugasnya dan perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap tanggungjawab diberikan kepadanya.

“Isu pasir di Selangor ditangani dengan baik oleh Kerajaan Pakatan Rakyat dalam masa hampir empat tahun dengan angka dan statistik menunjukkan pencapaian dalam peningkatan royalti pasir.

“Malah isu ini sudah lebih 30 tahun bermula. Bukan sahaja di Selangor bahkan juga di Johor, Negeri Sembilan dan Perak. Mana suara pimpinan Umno dalam isu yang sama di negeri lain?,” katanya.

Categories
NASIONAL

Debat Terbuka: Najib Takut Depani Realiti Rakyat

SHAH ALAM,28 JAN : PKR kesal dengan keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menyahut seruan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat secara terbuka mengenai beberapa isu kritikal semasa berkenaan politik, ekonomi dan kebajikan rakyat yang hangat diperkatakan.
Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty berkata alasan yang diberikan begitu memual dan menjengkelkan kerana sikap ini menampakkan betapa purbanya cara berfikir kepimpinan parti itu dan betapa gentarnya Umno untuk berbicara secara bersemuka mengenai hak rakyat.

“Jelas, UMNO belum berhenti dari muslihatnya terus memperbodoh dan menindas minda rakyat.Dengan ini, kuasa memerintah negara terus kekal di tangan dan pelbagai penyelewengan mudah diteruskan tanpa sekatan.

Apa yang kita pasti, sikap ini adalah manifestasi dari lesunya daya fikir dan intelek kepimpinan mereka dalam menghadapi realiti politik semasa dunia yang mengamalkan budaya telus dan terbuka,” kata Dr Muhammad Nur dalam kenyataan medianya.

Menurut Dr Muhammad Nur , PKR pendirian debat antara pemimpin adalah tradisi mana-mana kepimpinan hari ini dan silam bagi semua tamadun.

Hakikatnya, budaya debat adalah amalan lumrah para ilmuan dan kepimpinan silam. Melaluinya, kebenaran akan lebih terserlah dan”insight” baru dapat dicernakakan demi kepentingan negara dan rakyat.

Lebih penting, rakyat diberi peluang menilai secara empirikal dan adil akan ketrampilan dan keikhlasan kepimpinan yang akan diberikan amanah mengurus negara pada masa depan. Inilah demokrasi sebenar yang dituntut oleh rakyat.

“Kita pun merasa aneh mengapa pula pihak Najib tidak punyai keberanian menyahut cabaran ini. Sedangkan, beliau sendiri dikatakan selalu mempamirkan gaya pidato yang tidak kurang hebatnya semasa berucap di khalayak umum di mana-mana.

“Beliau sebenar lebih beruntung kerana dikelilingi ratusan pegawai dan pembantu yang bersiap siaga dengan bekalan idea dan maklumat jika diperlukan,” ujarnya beliau lagi.

Tambah Muhammad Nur, PKR dan Pakatan Rakyat kesal akan betapa hina dan rendahnya pandangan Umno-BN terhadap rakyat Malaysia yang bersifat majmuk ini.

Pemimpin yang enggan bersemuka dan bertentang mata memberikan persepsi ketidakikhlasan dan ketidakjujuran.

“Ia mempamirkan bahawa ada rahsia yang mahu disorokkan. Apakah sebenarnya mahu disembunyikan dari rakyat itu? Umno-BN wajib menjelaskannya,” katanya.