Categories
NASIONAL

Mahfuz : Tugas Shahrizat Diganti Rosmah

SHAH ALAM 8 APRIL : Hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau akan memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil dikhuatiri akan berakhir dengan telunjuk isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata tiada sebab untuk Najib gagal mencari penganti Shahrizat kerana beliau mempunyai masa yang panjang untuk berbuat demikian.

“Najib sudah tahu tentang tarikh tamat tempoh untuk Shahrizat menjadi senator ini sekian lama dan Shahrizat juga telah mengumumkan untuk tidak melanjutkan jawatannya itu.

“jadi Najib mempunyai masa yang panjang untuk mencari calon peganti, malangnya tiada calon yang mendapat kepercayaannya.

“Perkara ini menyebabkan beliau terpaksa memangku jawatan tersebut dan hakikatnya yang akan menjalankan peranan menteri wanita ini adalah Rosmah Mansor,” jelas Mahfuz ketika dihubungi Media Selangor hari ini.

Semalam, Najib mengumumkan bahawa beliau akan memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ia berikutan pengumuman Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil untuk melepaskan jawatannya dalam kabinet apabila tempoh perkhidmatannya sebagai senator untuk penggal pertama tamat pada hari ini.

Shahrizat terpalit dengan salah guna dana rakyat dalam kes National Feedlot Corporation yang melibatkan keluarganya.

Mahfuz menambah, walaupun pengumuman itu menghentikan spekulasi berhubung siapa pengganti Shahrizat, namun ia membuktikan bahawa tiada calon wanita dari parti itu yang berpotensi untuk mengalas peranan tersebut.

Sebelum ini, ketua Wanita Umno Selangor Datuk Raja Ropiaah diwar-warkan mengisinya jawatan itu setelah dilantik sebagai senator baru.

“Malang bagi wanita Umno kerana tidak mendapat kepercayaan Najib untuk mengalas peranan menteri wanita, Rosmah pula tidak mungkin dilantik menjadi senator, maka najib muncul sebagai pemangkunya manakala yang akan menjalankan peranannya ialah Rosmah,”jelas Mahfuz lagi.

Categories
NASIONAL

Budaya Rasuah Punca Najib Takut Isytihar Harta Kabinet

SHAH ALAM, 1 MAC: Budaya mengumpulkan harta melalui rasuah, kronisme dan salahguna kuasa menjadi punca utama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bimbang untuk melaksanakan pengisytiharan harta anggota pentadbiran pusat khususnya Menteri-Menteri Kabinet kepada awam.

Demikian menurut Timbalan Ketua Menteri 2, Pulau Pinang, Prof Dr P.Ramasamy ketika dihubungi TVS sebentar tadi.

“Mengapa BN masih tak isytihar harta dari dulu lagi sedangkan kerajaan Pulau Pinang yang ada sekarang baru empat tahun tadbir negeri ini dah melaksanakan pengisytiharan harta Ketua Menteri, timbalannya dan exco-exco lain.

“Mungkin ada banyak benda yang mahu dirahsiakan oleh PM hinggakan bimbang untuk mengisytiharkan harta dan pendapatan dia dan menteri-menteri kabinet lain kepada awam?

“Bila harta-harta menteri kabinet didedahkan sudah tentu akan menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan masyarakat umum apabila ada menteri yang didapati memiliki harta dan pendapatan yang melampau.

“Tentu sumber kekayaan itu dipersoalkan rakyat, adakah datangnya dari sumber rasuah, kronisme atau salahguna kuasa,” beritahu beliau.

Bagaimanapun menurut Ramasamy, langkah mengisytiharkan harta yang disebut oleh Najib baru-baru ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.

“Kita minta PM berikan maklumat harta serta pendapatan dengan dimulakan oleh menteri-menteri kabinet termasuk beliau dan lepas itu diikuti oleh semua ahli-ahli parlimen.

“Ia memang tak mustahil untuk dilaksanakan, tetapi soalnya samada PM mahu laksanakan atau tidak dan jangan cuma cakap sahaja.

“Kuasa ada di tangan PM, jadi terserah pada dia samada betul-betul nak laksanakan atau tak,” katanya lagi.

Terdahulu, dalam laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan bahawa pada masa ini menteri-menteri kabinet hanya diarahkan membuat pengisytiharan harta mereka kepada Perdana Menteri dan tidak kepada umum.

Pada masa ini dokumen pengisytiharan harta menteri-menteri berada di dalam simpanan Najib di Pejabat Perdana Memteri itu.

Arahan tersebut pertama kali dilaksanakan ketika era mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui pentadbiran negara ini.

Mengulas isu yang sama, Ramasamy tidak menolak kemungkinan isu pengistiharan harta tersebut boleh dijadikan sebagi ugutan terhadap mana-mana anggota kabinet tidak sehaluan dengan Perdana Menteri sebagimana dilakukan ketika era Dr Mahathir.

“Boleh jadi juga, sebab bila rahsia seseorang ada di tangan kita, ia boleh dijadikan senjata supaya orang ikut cakap kita,” ujar Ramasamy lagi.

Dalam perkembangan yang sama baru-baru ini Menteri DiJabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz memberikan reaksi bahawa tindakan pengistiharan harta tersebut boleh memberi risiko keselamatan kepada jamaah menteri.

Reaksi yang sama juga diberikan oleh Dr Mathathir.

Categories
NASIONAL

MB: Najib Jahil Prinsip Pentadbiran Dan Federalisme

SHAH ALAM, 25 FEB : Pengakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau tidak menjemput Ketua Negeri Pakatan Rakyat pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke 114 baru-baru ini menunjukkan beliau jahil tentang prinsip pentadbiran yang baik dan mengenepikan semangat federalisme yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau hairan bagaimana Najib dengan tanpa rasa bersalah mengakui bahawa mesyuarat tersebut adalah Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Barisan Nasional(BN), sedangkan ia turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Menurutnya, selaku penjawat awam, KSN sepatutnya bertindak secara profesional dan tidak boleh hadir dalam sebuah mesyuarat yang berbentuk kepartian.

“Tindakan Najib ini seolah-olah mahu membina laluan kepada tindakan yang tidak demokraktik kerana tindakan beliau itu umpama memberitahu kepada kakitangan perkhidmatan awam supaya mendiskriminasikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat,” katanya.

Tambahnya, KSN seharusnya bertindak untuk memberitahu Perdana Menteri bahawa mesyuarat itu adalah satu diskriminasi dan beliau (KSN) tidak sepatutnya dilibatkan.

Abdul Khalid dalam pada itu turut mempersoalkan pembiayaan mesyuarat berkenaan.

“Siapakah yang membayar untuk mesyuarat tersebut? Kerajaan Pusat atau Barisan Nasional? Jika ianya dibiayai oleh Kerajaan Pusat, mana mungkin Perdana Menteri boleh dengan angkuh mengatakan mesyuarat itu adalah amalan biasa dan tidak melanggar mana-mana aturan,” soalnya.

Beliau berkata, selaku ketua negara, perdana menteri harus menunjukkan teladan yang baik terutama kepada penjawat awam sekiranya beliau benar-benar mahu melaksanakan transformasi dalam negara ini.

Categories
NASIONAL

Menunggu Mimpi Najib Dan Tilikan Rosmah

KOMENTAR : Pilihanraya Umum 13 (PRU13) semakin hampir. Ada pihak menyatakan akan diadakan March ini. Namun bila melihatkan sidang dewan rakyat yang akan berlangsung pada 12 March depan menampakkan desas desus PRU13 pada March tidak akan diadakan.

Manakala fakta lain pula menyatakan mungkin akan diadakan pada Mei ini memandangkan bulan tersebut jatuh pada minggu cuti sekolah.

Berdasarkan fakta juga berkemungkinan besar Selangor tidak akan menyertai pilihanraya negeri sekiranya diadakan sebelum Jun ini.

Tan Sri Abdul Khalid ketika sidang Dun November tahun lalu menyatakan Selangor tidak akan membubarkan Dun sekiranya PRU13 dilaksanakan sebelum Jun 2012. Tindakan tersebut dianggap berpatutan bagi memastikan peruntukan RM1.9 bilion kerajaan negeri dapat dinikmati rakyat negeri itu.

Menurut Khalid, beliau tidak mahu berlaku sebagaimana PRU 2008 dimana peruntukan kerajaan negeri dibawah BN hilang entah kemana dalam masa tiga bulan berikutan PRU12 pada March 2008.

Sama ada rakyat atau pemimpin-pemimpin politik tahu bahawa tarikh pilihanraya di negara ini hanya di tentukan oleh Perdana Menteri (PM). Penetapan tarikh oleh PM ini telah menjadi kuasa mutlak dalam ritual Umno/BN sejak menguasai negara ini.

Sedangkan di negara-negara lain tarikh pilihanraya seterusnya telah ditentukan sejurus tamat pilihanraya atau setahun sebelum pilihanraya diadakan.

 

Ini bagi membolehkan parti-parti politik mengadakan persiapan dan strategi masing-masing bagi menghadapi pilihanraya akan datang. Tetapi malangnya di Malaysia, PRU ditentukan oleh ‘ilham mimpi’ PM.

Maka secara mutlaknya keputusan mengadakan PRU tersebut bergantung kepada keyakinan PM serta kesediaan BN untuk memenangi PRU tersebut.

Najib masih takut

Menurut teori R.A.H.M.A.N, Najib adalah pemimpin terakhir dalam hierarki penguasaan Umno/BN dinegara ini. Najib juga dikatakan percaya kepada ‘ong’ nombor 111111.

Berdasarkan maklumat internet pula, kalau nak cerita pasal tilikan bomoh setentunya isteri beliau, Rosmah Mansur boleh menyediakan maklumat tambahan berhubung ‘alam ghaib’ kepada suaminya.

Sebagai Perdana Menteri yang tidak pernah diuji dengan PRU, Najib amat bimbang dan takut. Jika tersilap langkah Umno/BN akan menjadi pembangkang.

Umno akan lumpuh jika menjadi pembangkang. Segala amalan rasuah, kronisme, salah guna kuasa, sogokan, ugutan, politik wang dan seribu satu amalan tidak bermoral yang dilakukan sejak 54 tahun berkuasa akan diheret ke mahkamah untuk di adili sekiranya PR menguasai Putrajaya.

Begitu juga sumber kewangan untuk membuat pelbagi program politik yang selama ini berselindung disebalik program bersama pemimpin. Apatah lagi sogokan-sogokan politik seperti membuat jalan, bantuan-bantuan yang semuanya bersifat ‘mee segera’ kepada pengundi.

Selama ini pemimpin-pemimpin Umno ini mempergunakan sewenang-wenangnya wang rakyat untuk di berikan kepada pemimpin-pemimpin Umno menjelang PRU.

Contohnya, peruntukan RM2.71 bilion untuk Umno Selangor bermatlamat untuk memastikan pelbagai ‘onak’ dilakukan untuk menjatuhkan pimpinan Khalid Ibrahim di negeri Jugra tersebut.

Dari segi isu semasa pula skandal ‘lembah Daging’ NFC yang membabitkan keluarga Shahrizat Jalil yang juga seorang menteri kabinet Najib dianggap sebagai beban paling berat yang terpaksa di pikul beliau.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ini tidak termasuk kekangan ekonomi yang mencengkam negara sehingga semua harga barang terpaksa dibiarkan melambung disebabkan tidak mampu lagi dikawal.

Rakyat paling terasa bebanan ekoran kenaikan harga barang, kenaikan tarif letrik serta tol.

Begitu juga dengan sokongan masyarakat bukan melayu seperti orang Cina dan India yang tidak lagi memberi sokongan kepada BN.

Namun apa yang lebih penting adalah maklumat dari sumber polis Politik di Bukit Aman. Mimpi Najib tidak dapat menjadi nyata selagi SB-SB (Unit Tindakan Khas) di Bukit Aman tidak memberikan laporan positif berhubung sokongan rakyat.

Najib juga tidak percaya dengan maklumat retorik bertujuan untuk mengambil hati beliau dari ketua-ketua bahagian Umno.

Najib pernah mengalami pengalaman pahit bersandarkan sumber maklumat dari bahagian-bahagian Umno di Pekan dalam PRU10 dahulu. Najib hanya memenangi 204 undi di parlimen Pekan sedangkan ‘pengampu-pengampu’ beliau mengatakan ‘ok datuk, semua ok datuk, jangan risau datuk’.

Dr Mahathir paling takut

Mimpi Najib berhubung tarikh PRU masih belum muncul disebabkan kelibat musuh politik beliau yang sering mengganggu laluan fikirannya.

Mungkin juga tilikan bomoh-bomoh Rosmah juga memberikan ‘klu’ yang sama.

Tapi nampaknya orang yang paling ‘kalut’ adalah bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad. Semua orang tahu Dr M tidak akan duduk diam selagi Anwar Ibrahim masih berligar di pentas politik.

Mungkin beliau telah menduga apa yang akan berlaku kepada beliau serta kroni-kroni yang berhutang berbilion ringgit kepada rakyat. Anwar juga tahu jumlah sebenar yang Dr M gunakan untuk ‘bail out’ syarikat-syarikat anak-anak serta kroni-kroni beliau ketika krisis ekonomi 1998.

Malah paling di takuti Dr M adalah berhubung pengkhianatan yang telah beliau lakukan pada negara ekoran projek pemberian kad pengenalan kepada lebih 600,000 warga Filipina dan Indonesia untuk menjatuhkan kerajaan Pairin Kitingan pada era 1980’an dahulu.

Lantaran itu selama enam tahun selepas dibebas dari penjara Sungai Buluh, Anwar Ibrahim dihujani serangan bertali arus berhubung pelbagai isu liwat.

Isu Liwat dijadikan ikon serangan bertujuan untuk mengasak di minda rakyat berhubung persepsi rakyat ke atas ketua Pembangkang tersebut.

Lantaran itu apa sahaja kenyataan media Mahathir ketika ini semuanya berkisar kepada usaha mengaibkan Anwar.

Dr Mahathir pernah berkata sesuatu yang tidak benar itu sekiranya diulang berulang kali akan menjadikan pembohongan itu suatu kebenaran.

Itulah juga formula yang diguna pakai oleh Najib setelah melihat kejayaan taktik tersebut ketika era Dr Mahathir.

Calon Tikam Belakang

Masalah paling besar yang sedang dihadapi Najib setelah selesai segala ‘sogokan’ kepada rakyat melalui pelbagai bentuk pemberian adalah masalah pemilihan calon yang mewakili Umno/BN dalam PRU13 nanti.

Walaupun Najib cuba membawa pendekatan kesantunan ‘Winable candidate’ (calon boleh menang) dalam lawatan beliau kesetiap negeri namun hasilnya masih belum terbukti.

Pembuktian tersebut hanya diperoleh setelah PRU selesai dan selepas ‘post-mortem’ dilakukan. Situasi ini sememangnya telah terlewat.

Pengalaman PRU 2008 lalu telah dikenalpasti banyak kerusi BN tewas disebabkan tindakan calon yang tidak terpilih bertindak memberi sokongan kepada pembangkang untuk mengalahkan calon BN.

Ini adalah igauan paling ngeri buat Najib. Begitu juga sejak tiga tahun berturut-turut perhimpunan Agung Umno diadakan, Najib mengelak dari diadakan pemilihan kepimpinan baru kerana takut dan bimbang berlaku perpecahan dalam parti pimpinannya.

Apatah lagi akan tiba saat apabila membabitkan pemilihan calon untuk PRU13 nanti. Hanya Najib yang rasa bahananya walaupun Rosmah mungkin hanya mampu menghembuskan asap kemian pemulih semangat ke tubuh suaminya.

Media ‘over kill’ Anwar

Kegagalan mengheret Anwar untuk dijatuhkan hukuman bersalah pada 9 Januari (901) lalu memberi impak yang besar kepada ‘kemaksuman’ pemimpin-pemimpin Umno termasuk Najib-Rosmah.

Kesan paling ketara adalah persepsi rakyat terhadap Anwar telah berubah. Anwar telah dianggap sebagai orang yang sengaja di aniaya oleh pemimpin-pemimpin Umno/BN sedangkan hakikatnya mahkamah membuktikan beliau tidak bersalah.

Persepsi rakyat juga akan beranggapan pelbagai deretan fitnah yang dibuat ke atas Anwar selama ini merupakan palsu dan tidak benar.

Simpati rakyat akan melihat Anwar sebagai pemimpin bersih yang difitnah oleh musuh-musuh politik beliau.

Pun begitu, tidak sempat Anwar memasuki rumah setelah berkunjung ke Mumbai selepas 901, media cetak dan eletronik milik Umno/BN yang terdiri dari 26 saluran Radio, 8 saluran tv dan hampir 10 media cetak kembali menghentam beliau.

Malah tidak ada satu hari pun selepas itu yang boleh di istihar sebagai ‘detik bebas’ bagi Anwar dari serangan media-media tersebut.

Sukar juga mempercayai bagaimana ‘think tank’ media-media tersebut gagal memikirkan kesan ‘over kill’ dari bahan berita yang dibawa ke minda rakyat berhubung Anwar.

Atau mungkin pemimpin-pemimpin Umno/BN tidak mempunyai pengalaman disebabkan selama 54 tahun media dikuasai oleh mereka.

Inilah juga amalan yang diamalkan sejak 12 kali PRU berlangsung dan mereka terus menerus memperoleh kemenangan. Justeru formula ini perlu diteruskan. Dan kaedah yang sama akan diguna pakai.

Apakah media dan pemimpin BN lupa memikirkan 70 peratus dari lebih 12 juta pengundi dalam PRU13 nanti adalah pengundi berusia 21 hingga 40 tahun.

Mereka yang di klas sebagai pengundi muda ini majoritinya adalah pengundi klas menengah yang berpendidikan sekurang-kurangnya pemegang Diploma dari pusat pengajian tinggi.

Golongan ini juga adalah celik sumber maklumat dan tidak terpengaruh dengan sentimen perjuangan pemimpin silam.

Golongan ini sebahagian besarnya terbelenggu dengan hutang PTTN disamping persekitaran kehidupan mereka terperangkap dengan ketiadaan pekerjaan dan kos sara hidup yang tinggi.

Sedangkan apa yang terhidang dihadapan mereka adalah pelbagai isu yang melibatkan kos kenaikan harga barang, amalan rasuah yang berleluasa, kronisme yang kronik, salah guna kuasa pemimpin Umno/BN, kekangan media yang tidak bebas, cengkaman AUKU dan pelbagai lagi.

Kemajuan dunia telekomunikasi membolehkan generasi muda ini menjadi pengundi yang bijak kerana memperoleh sumber maklumat dari pelbagai pihak.

Berdasarkan dari beberapa kajian mendapati golongan ini terdiri dari golongan atas pagar dan penyokong pembangkang. Malah generasi ini juga tidak mudah terpengaruh atau tunduk dengan pelbagai sogokan laporan dari media milik Umno/BN.

Pada Najib dan Rosmah mungkin masih boleh beraksi hebat didada media milik mereka. Hak mereka untuk ‘syok sendiri’… dan mungkin ada yang terpesona.

Namun dalam kehebatan aksi-aksi tersebut masih belum terpacul dari mulut Najib berhubung PRU13 walaupun wisil penamatnya pada March tahun hadapan.

Atau Najib terpaksa merubah angka ‘ong’ 111111 (tarikh 11.11.11) yang tidak mungkin menjadi realiti itu kepada angka 121212 (12.12.12) setelah tilikan ‘alam ghaib’ Rosmah mendapati BN akan memperoleh kemenangan pada angka tersebut.

ends

Categories
NASIONAL

Najib Digesa Buktikan Rosmah Bukan ‘First Lady Of Shopping’

SHAH ALAM 3 FEB : Aktivis politik, Jingga 13 hari ini mendesak Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan undang-undang menyaman kesemua mereka yang terlibat mendedahkan sikap boros isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketua koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata cabarannya adalah untuk Perdana Menteri membuktikan segala tuduhan terhadap isterinya yang digelar ‘First Lady Of Shopping’ adalah tidak benar.

“Kalau benar ianya satu fitnah, sila tampil untuk saman kesemua mereka yang terlibat, bukannya hanya bermain persepsi untuk mempengaruhi siasatan dan kefahaman rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor (SPRM) di sini hari ini. Jingga 13 tampil ke SPRM hari ini untuk mengemukakan bukti tambahan bagi laporan rasmi mereka yang telah dihantar pada 26 Januari lalu.

Beberapa media antarabangsa dan tempatan sebelum ini pernah melaporkan gelagat Rosmah yang suka membeli belah di luar negara.

Terbaru, Najib dan Rosmah telah mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa Rosmah telah “berbelanja sakan” di dalam satu lawatan membeli belah ke Sydney, Australia Januari lepas.

Akhbar Autralia Sydney Morning Herald (SMH), Kolumis Andrew Hornery dalam kolum ‘Private Sydney’ serta artikel wartawan fesyen, Patty Huntington mendakwa Rosmah telah membelanjakan RM325,000 (A$ 100,000) di butik milik pereka fesyen, Carl Kapp.

“Kita yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia sedang menanti reaksi dan tindakan Najib Razak dan Rosmah Mansor berhubung isu scandal ini.

“Tidak pernah berlaku pada mana-mana isteri Perdana Menteri Malaysia sebelum ini tidak kira Siti Hasmah (isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed Tun Siti Hasmah Mohd Ali) mahupun Arwahyarhamah Endon (Datin Seri Endon Mahmood), sebaliknya berlaku apabila Rosmah bersikap boros dan tidak sensitif kepada kesusahan rakyat yang menderita dengan kenaikan harga barang dan sebagainya,”katanya.

Dalam pada itu, Jingga 13 juga mendesak Najib agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mempengaruhi siasatan bagi tujuan menyelamatkan beliau dan isterinya dengan scandal tersebut.

Bercakap kepada pemberita, Fariz juga mengesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan secara telus dan tidak bersikap ‘double standart’ terhadap kes-kes seperti ini.

“Kita tidak mahu melihat kes-kes kecil ditangkap sedangkan jerung-jerung besar bebas tanpa sebarang tindakan secara tegas.

“Kita lihat sepertimana yang berlaku pada kes Khir Toyo (bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo) dan rakyat biasa, kes mencuri susu bayi melibatkan RM20 ditangkap mencuri dan dihukum 3 tahun penjara. Kes Khir Toyo melibatkan jutaan ringgit hanya satu tahun penjara,” katanya.

Categories
NASIONAL

Umno-BN Di Ambang Kiamat?

KOMENTAR

Tahun 2012 telah diberikan pelbagai gambaran tragis termasuk terjadinya bencana besar, kekacauan, keruntuhan kerajaan dan peperangan diseluruh dunia yang merintis kepada berlakunya Kiamat.

Tahun 2012 juga akan melibatkan banyak peristiwa besar termasuk kejatuhan ekonomi dunia melibatkan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika, Eropah, China dan Jepun.

Sebagai umat Islam, urusan hari kiamat hanya ada dalam perbendaharaan Allah dan bukan dalam tanggapan hamba Allah. Manusia hanya di beri hak untuk merancang, mengkaji dan menghujah.

Manakala menurut ahli tasawuf pula pengertian kiamat tersebut boleh di rungkai dalam pelbagai keadaan seperti bencana, kecewa, penyakit, kemalangan dan sebaginya.

Berdasarkan kepada hak merancang, mengkaji dan berhujah yang diberikan Allah kepada manusia tersebut kemungkinan gambaran tersebut ada kebenarannya.

Keruntuhan kerajaan pimpinan Hosni Mubarak selepas 30 tahun menguasai mesir, terbunuhnya pemimpin Libya, Muhammar Gaddafi setelah lebih 36 tahun memerintah dan runtuhnya LDP setelah menguasai kerajaan Jepun selama 40 tahun adalah antara deretan keruntuhan kerajaan yang dicatatkan oleh sejarah dunia.

Di Malaysia, Umno telah menguasai kerajaan selama 54 tahun. Pelbagai kezaliman, rasuah, salah guna kuasa, sogokan, politik wang, pembaziran wang rakyat, fitnah, lucah, ketirisan, kronisme, nepotisme dan pemborosan, semuanya telah sinonim dengan pemimpin-pemimpin Umno.

Ikon-ikon tersebut tidak akan diberikan lebel sedemikian sekiranya tidak ada kebenarannya.Bak pepatah, masakan pokok bergoyang kalau tiada angin. Malah kecelikan rakyat berhubung sumber maklumat memperteguhkan lagi bahawa Umno semakin tersisih ekoran penolakan rakyat.

Kesimpulannya pemimpin Umno sendiri menyedari bahawa pilihanraya Umum (PRU) akan datang Umno/BN sedang berhadapan dengan detik paling getir dalam sejarah.

Pilihanraya Paling Getir

Pengerusi pilihnraya BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bahawa pilihanraya kali ini adalah amat getir bagi Umno/BN.

Begitu juga dengan kenyataan beberapa menteri kabinet serta pemimpin-pemimpin BN lain yang melihat kesukaran BN untuk menang.

Maklumat dari kenyataan tersebut mungkin datangnya dari risikan polis dibawah cawangan politik yang sememangnya wujud di Bukit Aman bagi mendapatkan maklumat berhubung sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Pengunduran Dr Mahathir ekoran penyerahan kuasa kepada Abdullah Badawi juga dipercayai dari maklumat risikan pihak polis.

Bagi Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Razak pula dilema untuk menetapkan tarikh PRU-13 merupakan suatu keputusan yang amat berat.

Isu-isu berhubung pelbagai penyelewengan wang rakyat seperti isu NFC, PKFZ, isu ekonomi yang mencengkam rakyat selain masalah dalaman Umno/BN yang kucar kacir tidak memihak kepada BN untuk meraih sokongan rakyat.

Begitu juga berhubung isu calon-calon yang masih belum mencapai penyelesaian.

Calon Tikam Belakang

Kebimbangan Najib berhubung calon yang akan menikam dari belakang sekiranya tidak terpilih masih menjadi keutamaan yang belum di selesaikan.

Isu calon menikam dari belakang dan memberi sokongan kepada pembangkang sememangnya banyak berlaku ketika PRU 2008 lalu.

Ini disebabkan bagi Umno, sesiapa yang dipilih menjadi ketua bahagian atau calon bererti akan memperolehi kekayaan dan kuasa. Budaya ini telah lama berkembang dalam Umno/BN sejak 54 tahun mencapai kemerdekaan lagi.

Manakala calon yang tidak terpilih akan dianggap sebagai calon yang gagal dan tersisih. Selain hilang kuasa dan mendapat malu calon serta pengikutnya juga akan terpinggir dari mendapat sebarang projek dan kontrak.

Isu pergaduhan ketika pemilihan di perhimpunan Agong Umno bukan perkara baru. Sengketa antara puak-puak dari pimpinan tertinggi hingga kepada Umno Bahagian telah menjadi budaya yang tidak lagi boleh disembunyikan lagi. Ini termasuk team Muhyiddin dan team Najib sendiri.

Najib Yang Lemah

Ahli Falsafah Yunani, Plato berkata kelemahan seseorang terletak pada keputusan dan tindakan yang diambil bukan berdasarkan apa yang dicakapkan.

Najib pula adalah pemimpin yang terlalu banyak melaung untuk menjayakan tranformasinya dan bersikap ‘flip-flop’ bila melibatkan tuntutan rakyat sebagimana BERSIH 2.0.

Isu yang membabitkan seorang menteri kabinet beliau berhubung skandal NFC memperjelaskan betapa Najib begitu lemah dan membuat keputusan dan tindakan.

Di pihak parti pembangkang, tindakan Najib mempertahankan Shahrizat Jalil merupakan kondisi yang amat menyenangkan. Ini disebabkan isu ini terus menjadi bahan kempen berpanjangan yang menyegarkan.

Najib mungkin merasakan tindakan beliau membiarkan isu yang membabitkan keluarga Shahrizat itu sebagai tekanan untuk Ketua Wanita Umno tersebut melepas jawatan secara sukarela.

Sebelum ini ramai dikalangan pemimpin Umno termasuk Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Dr M) menggesa Najib bertindak menghukum Shahrizat namun Najib masih membisu.

Manakala kem-kem di dalam Umno juga telah wujud gerakan yang meletakkan kelemahan Najib sebagai asas untuk melobi ahli-ahli Umno menentang beliau.

Tindakan Najib yang juga Presiden Umno yang enggan mengadakan pemilihan ketika perwakilan Umno bersidang dalam beberapa perhimpunan Agung parti itu perjelaskan lagi kebimbangan Najib berhubung perpecahan dalaman parti yang dipimpin beliau.

Najib di kuasai Dr M

Ramai dikalangan pemimpin Umno/BN sendiri menyedari bahawa Dr M masih bertaring di era Najib. Dan Najib pula bukan seorang berani. Beliau tiba dipuncak sekarang bukan disebabkan oleh ketokohan beliau tetapi lebih kepada sikap ‘play safe’ beliau selama ini.

Najib juga menyedari kejatuhan Tun Abdullah disebabkan oleh gerakan yang dilakukan oleh Dr M dan Muhyiddin yang mengkritik Abdullah secara terbuka ekoran kekalahan teruk BN dalam PRU 12 lalu.

Najib kemudiannya memberikan kerusi Timbalan Menteri kepada anak Dr M (Mukhriz). Dan kemudiannya Dr M mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana memberi jawatan tersebut kepada anaknya.

Sejak itu setiap tindakan Najib sentiasa dibayangi oleh Dr M. Najib pula akan meminta pihak media mendapatkan kenyataan dari Dr M berhubung sesuatu yang akan dibuat supaya tidak mendapat tentangan.

Dr M Perlu Kuasai Najib

Dalam Umno tidak ada orang yang paling dimarahi Dr M selain dari Abdullah Badawi. Hingga ke saat ini permusuhan dan saling serang menyerang masih antara mereka masih berlarutan

Kemarahan Dr M bukan sekadar kekalahan teruk BN dalam PRU 2008 sahaja tetapi tindakan membebaskan Anwar dari Sungai Buluh menjadikan beliau tidak dapat memaafkan Abdullah.

Membebaskan Anwar membuktikan Anwar tidak bersalah selain persepsi rakyat bahawa Anwar sengaja di aniaya oleh beliau. Abdullah dianggapnya cuba menjadi hero dengan memalukan beliau.

Selain itu pembebasan Anwar juga menyebabkan pembangkang menjadi kuat kerana ketokohan Anwar sememangnya di geruni beliau sendiri.

Dengan pembebasan Anwar tersebut telah memaksa beliau kembali aktif memantau Umno dari luar selain memberi cadangan dan jalan kepada kepimpinan Umno/BN sekarang.

Dr M tahu, Anwar mempunyai banyak rahsia tentang kelemahan Umno dan rahsia diri dan keluarga beliau. Anwar juga tahu bagaimana Dr M menggunakan dana awam seperti KWSP dan Tabung Haji untuk membantu syarikat-syarikat anak beliau ketika krisis ekonomi 1998.

Di Majlis Rapat Rakyat Perdana Di Alor Setar pada 14 Januari lalu, Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata setelah PR menguasai Putrajaya semua pemimpin negara akan disiasat.

“Dr Mahathir tak boleh lari, Rosmah pun sama,” kata beliau di hadapan lebih 50,000 hadirin di malam penutup konvensyen PR itu.

Menurut Karpal lagi, walaupun kes tersebut telah lama berlaku namun tidak ada sebab untuk membolehkan kes itu dibuka semula untuk dibicarakan sekiranya perlu.

Anwar dan Pakatan Rakyat

Tekanan Najib paling hebat datangnya dari pembangkang yang di terajui Anwar Ibrahim. Selepas berjaya menguasai lima negeri Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihanraya Umum 2008 lalu gerakan PR dilihat lebih menyerlah berbanding BN.

Walaupun propoganda media perdana hanya sekadar dapat memujuk diri sendiri namun hakikatnya Umno/BN sedang berada dalam situasi paling sukar.

Ketika Konvensyen PR ke-3 di Alor Star baru-baru ini, Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim menyatakan beberapa negeri seperti Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu bakal jatuh ke tangan PR.

Selain itu di beberapa negeri seperti Melaka dan Johor di semenanjung serta Sabah dan Sarawak akan mengalami lonjakan kerusi bagi membolehkan PR menguasai Putrajaya.

Ketika PRU-10 pada 1999, ekoran isu pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, orang-orang melayu bangun dan menolak kepimpinan Umno/BN. Kesannya pembangkang menguasai 42 (PAS-27, DAP-10, ADIL(PKR)-5) kerusi parlimen.

Bimbang dengan kebangkitan Rakyat tersebut, akhirnya Dr M terpaksa berundur setelah menerima maklumat dari jentera pilihanraya pusat dan pihak risikan polis. Susulan maklumat tersebut akhirnya beliau menyerahkan kuasa kepada Tun Abdullah.

RM1.077 Trilion Keluar Negara

Ketika berucap di Konvensyen PR ke-3 baru-baru ini, Pengerusi BERSIH 2.0 yang juga bekas Pengerusi Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan menyarankan supaya PR berusaha membawa balik pulang USD291 billion (RM1.07 trilion) wang negara yang telah dibawa keluar dalam beberapa bulan kebelakngan ini.

Menurut Ambiga, usaha tersebut harus dilakukan sebagai tindakan terawal apabila PR berjaya menguasai Putrajaya kelak.

Katanya wang tersebut merupakan aset negara paling berharga yang telah diseludup keluar melalui pelbagai cara.

Berdasarkan kenyataan tersebut, jelas membuktikan bahawa terdapat segelintir rakyat yang berkepentingan telah dapat menghidu akan berlaku berubahan tompok pemerintahan negara selepas PRU akan datang.

Setakat ini tiada laporan yang menyatakan siapakah individu yang terlibat dalam pengkhianat terhadap aset negara tersebut.

Terpulanglah juga kepada pembaca untuk menafsirkan kedudukan kemudian.

Setakat ini Najib tidak memberi sebarang reaksi berhubung isu tersebut walaupun pelbagai pihak termasuk PR cuba mengenengahkan isu tersebut untuk di tangani.

Apa pun keadaannya, masanya akan tiba juga untuk menyaksikan kuasa rakyat akan meletakkan hakikat kebenaran. Kekalahan akan menjadikan Umno berada di ambang kiamat.

Waktu telah terlewat untuk Umno/BN memperbaiki apa yang telah dirosakkan. Yang ada hanya jalur waktu untuk menunggu detik kiamat tersebut untuk dihakimi rakyat.