Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mahkamah Rayuan kekalkan sabitan Najib bersalah seleweng dana SRC

PUTRAJAYA, 8 DIS: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melakukan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Najib, 68, adalah bekas Perdana Menteri pertama di negara ini yang didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman. Beliau masih berpeluang mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.

Panel itu bagaimanapun membenarkan permohonan Najib untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan, yang menurut peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan difailkan hari ini.

Mahkamah juga mengekalkan jaminan RM2 juta yang ditetapkan Mahkamah Tinggi.

Prosiding hari ini dijalankan melalui sidang video berikutan Ahli Parlimen Pekan itu dan peguam belanya merupakan kontak kasual kepada anak lelaki Muhammad Shafee, Muhammad Farhan, yang disahkan positif Covid-19.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Abdul Karim berkata mahkamah mendapati tiada kekhilafan yang dilakukan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali apabila memutuskan kes prima facie bagi kesemua tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan terhadap Najib.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Hakim Abdul Karim berkata pemindahan RM42 juta daripada SRC International ke akaun Najib tidak diklasifikasikan sebagai kepentingan negara.

“Dalam kes CBT, bukti menunjukkan Najib yang merupakan Perdana Menteri ketika itu, mempunyai kuasa untuk melantik dan memecat pengarah dan bukti juga menunjukkan pengarah SRC mengikut arahan Najib,” katanya.

Hakim Abdul Karim selanjutnya berkata panel itu juga bersetuju bahawa kesalahan tersebut dilakukan dengan sengaja.

Beliau berkata Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat kesimpulan yang betul bahawa Najib sememangnya pengarah bayangan SRC dan mengawal SRC dan juga menunjukkan bahawa pengarah dilantik oleh Najib dan beliau menandatangani surat pelantikan mereka.

“Najib adalah individu yang mengarahkan SRC dan mengambil alih syarikat itu,” kata Hakim Abdul Karim sambil menambah bahawa keterangan menunjukkan Najib mengarahkan dan mengawal SRC yang ketika itu beliau merupakan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri serta Pengarah SRC.

Beliau berkata panel itu juga bersetuju bahawa Najib tidak bertindak sebagai pemegang saham tunggal Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) apabila beliau menguruskan syarikat itu (SRC).

Hakim selanjutnya berkata Najib tidak bertindak dalam skop wakil MoF Inc tetapi lebih seperti pengarah bayangan SRC yang berkuasa memberi arahan dalam operasi hariannya.

“Najib tahu bahawa RM42 juta itu datangnya daripada SRC dan tiada bukti menunjukkan bahawa RM42 juta itu datang daripada keluarga diraja Arab Saudi,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan itu.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib akan mengetahui nasibnya berhubung rayuan SRC hari ini

PUTRAJAYA, 8 DIS: Mahkamah Rayuan akan menyampaikan keputusannya hari ini berhubung rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Keputusan itu dijadualkan disampaikan melalui dalam talian pada 9 pagi, berikutan bekas perdana menteri itu dan peguam belanya merupakan kontak kasual kepada anak lelaki Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan, yang disahkan positif Covid-19.

Difahamkan pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram akan hadir dalam prosiding mahkamah terbuka itu.

Seramai 42 wartawan dari media tempatan dan asing telah diberi pas untuk mengikuti prosiding itu melalui pautan video di dewan persidangan dan 47 jurugambar dan jurukamera akan berada di lobi Istana Kehakiman untuk membuat liputan.

Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang menjatuhi hukuman 10 tahun penjara ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Pekan itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya.

Bagi pertuduhan CBT, Najib sebagai penjawat awam dan ejen, iaitu perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia, serta Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC), didakwa menyeleweng masing-masing RM27 juta dan RM5 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Dis 2014, dan 29 Dis 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa menyeleweng RM10 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC, di tempat sama antara 10 Feb 2015, dan 2 Mac 2015.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan sejumlah RM42 juta apabila beliau mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman daripada KWAP kepada SRC International berjumlah RM4 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Precinct 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang, menerusi sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (Rentas) ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad kepunyaannya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan AmBank, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 26 Dis 2014, dan 10 Feb 2015.

Najib didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang membawa hukuiman penjara sehingga 15 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai daripada hasil yang diperoleh secara tidak sah atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib gagal kemuka bukti baharu, keputusan rayuan kes SRC hari ini

PUTRAJAYA, 8 DIS: Mahkamah Rayuan akan mengumumkan keputusan rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atasnya hari ini selepas beliau didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, seperti yang dijadualkan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membuat keputusan itu sebulat suara selepas menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuannya.

Dalam penghakimannya, Abdul Karim yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berkata mahkamah berpendapat Najib telah gagal secara kumulatif untuk memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman bahawa bukti baharu diperlukan untuk menegakkan keadilan dalam kes itu.

“Dalam keadaan ini, kami mendapati bukti tambahan tidak diperlukan dalam rayuan ini. Tiada keadaan luar biasa dalam rayuan ini bagi membolehkan mahkamah menerima bukti tambahan.

“Justeru, permohonan ini ditolak. Keputusan bagi rayuan (kes SRC Najib) akan diteruskan esok (hari ini) seperti yang telah ditetapkan,” katanya semasa prosiding itu berlangsung secara dalam talian.

Abdul Karim: Keputusan esok (hari ini) tetap akan diteruskan. Saya nasihatkan Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk hadir ke mahkamah atau mengikuti prosiding melalui aplikasi zoom pada 9 pagi esok.

Muhammad Shafee: Mereka (Najib dan beberapa peguamnya) dilarang memasuki mahkamah kerana mereka merupakan kontak (pesakit Covid-19).

Abdul Karim: Ya, itulah sebabnya saya memberi pilihan untuk prosiding secara dalam talian. Boleh kita kendalikan secara dalam talian?

Muhammad Shafee: Ya.

Difailkan pada 1 Dis lepas, Najib memohon Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan agar keterangan viva voce (lisan) diambil daripada bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, Pegawai Penyiasat SPRM Rosli Hussein, yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam kes SRC dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut yang berbangkit.

Najib, 68, berkata beliau membuat permohonan itu susulan siaran akhbar oleh SPRM pada 19 Nov lepas berhubung aset dana 1MDB antaranya dari Singapura yang menyaksikan kerajaan republik itu telah memulangkan sejumlah US$15.4 juta kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) milik Datuk Dr Tawfiq Ayman iaitu suami bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Pada 23 Nov lepas, Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Dis untuk memutuskan rayuan itu namun pada hari yang sama, Najib telah memohon agar tarikh itu dikosongkan kerana beliau akan berada di Singapura sehingga 5 Dis. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan telah menolak permohonan itu pada hari berikutnya.

Pada prosiding hari ini, Muhammad Shafee berhujah bahawa Najib telah didakwa sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 manakala Zeti dan keluarganya masih disiasat oleh pihak berkuasa.

“Najib didakwa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 sedangkan Zeti dan keluarga, yang mungkin menerima lebih RM42 juta daripada 1MDB, masih disiasat sehingga kini. Ia jelas menunjukkan tindakan berat sebelah terhadap Najib,” katanya sambil menambah pendakwaan telah menyorokkan perkara itu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram pula berhujah permohonan Najib itu, yang dibuat pada saat-saat terakhir, adalah berniat jahat dan tidak mempunyai kaitan dengan rayuan selain tidak terdapat hubungan antara bukti tambahan yang dipohon dengan pertuduhan terhadap Najib.

“Dalam permohonannya, Najib meminta mahkamah membenarkan dan mengarahkan agar keterangan viva voce diambil daripada Azam Baki, Rosli Hussein dan mana-mana saksi yang mempunyai kaitan dengan kes itu. Pembelaan tidak menyebut sebarang nama saksi… mereka akan memanggil saksi yang tidak dinyatakan jumlahnya… Mereka sebenarnya cuba mengadakan perbicaraan semula.

“Dana SRC International berjumlah RM42 juta telah dipindahkan ke akaun perayu, itu tidak ada kena-mengena dengan BNM atau Zeti. Justeru, saya memohon mahkamah agar menolak permohonan ini,” kata Sithambaram.

Pendengaran semalam sepatutnya berlangsung di mahkamah terbuka namun ditukar kepada prosiding secara dalam talian.

Abdul Karim telah memerintahkan peguam Najib agar menghadiri prosiding mahkamah secara dalam talian selepas dimaklumkan bahawa seorang daripada ahli pasukan pembelaan positif Covid-19.

Najib telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 selepas beliau didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bicara SRC Najib: Kawalan ketat polis di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Polis memperketatkan kawalan di sekitar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur termasuk dua laluan masuk utama bangunan itu berikutan Mahkamah Tinggi dijadual mengumumkan keputusan kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa anggota polis ditempatkan di sekitar kawasan kompleks itu bagi mengawal aliran trafik dan situasi semasa.

Polis dilihat menggunakan pembesar suara untuk memaklumkan orang ramai yang hadir di luar kawasan pagar mahkamah supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memakai pelitup muka bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

Kira-kira 1,000 orang penyokong bekas perdana menteri itu yang juga Ahli Parlimen Pekan, berkumpul di pekarangan kompleks mahkamah, di sini, sejak jam 5.45 pagi ini.

Difahamkan sebanyak 20 buah bas digunakan bagi membawa penyokong Najib termasuk dari Pekan dan Chini.

Beberapa pengamal media yang mempunyai pas khas dibenarkan masuk tetapi jumlah wartawan dan jurufoto membuat liputan dihadkan selari dengan SOP Covid-19.

Sehingga 10.30 pagi, keadaan dilihat masih terkawal tanpa sebarang kekecohan dan kejadian tidak diingini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bicara 1MDB Najib disambung selepas sidang Parlimen

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Perbicaraan kes berprofil tinggi Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menghadapi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dijadual 18 Mei, ditangguh kepada keesokan hari berikutnya bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menghadiri sidang sehari Dewan Rakyat.

Timbalan pendakwaraya, Ahmad Akram Gharib berkata, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menghantar e-mel kepada Mahkamah Tinggi pada Jumaat lepas untuk memohon tarikh baharu itu.

“Permohonan pihak pembela telah diluluskan dan perbicaraan akan bersambung pada 19 Mei, pukul 2.00 petang,” katanya.

Perbicaraan itu yang mendapat liputan meluas menjalani prosiding terakhir pada 13 Mac di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Mahkamah sebelum itu menetapkan 19-20 Mac, 23-27 Mac dan 30-31 Mac; 1-30 April; dan 4-8 Mei, 11-22 Mei termasuk Jumaat untuk meneruskan perbicaraan itu.

Tarikh lain yang ditetapkan ialah seluruh Jun, Julai, Ogos, September dan Oktober termasuk Jumaat.

Namun, prosiding itu ditangguhkan beberapa kali susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.

Apabila perbicaraan disambung semula, peguam bela Najib dijangka akan meneruskan soal balas saksi kesembilan pendakwaan iaitu bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang menjadi saksi sejak 23 September tahun lepas.

Najib, 67, berhadapan dengan empat pertuduhan menyalahguna kedudukannya untuk memperoleh gratifikasi berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib akan dipanggil beri keterangan di Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan hadir memberi keterangan di Bukit Aman minggu ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kenyataannya yang berbaur fitnah terhadap Anggota Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya telah berhubung dengan Najib bagi membantu siasatan kes tersebut.

Beliau berkata, Kor Ming juga akan turut dipanggil untuk memberi keterangan namun tidak memberitahu hari dan tarikh Pengerusi DAP Perak itu akan hadir ke Bukit Aman, katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.

Pada 29 September lepas, tular di media sosial mengenai hantaran yang dimuat naik di Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ yang didakwa mengajak kaum Cina membuat protes berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi-bahasa di Selangor.

Kor Ming bagaimanapun menafikan beliau dan DAP terlibat dalam membuat hantaran itu dan menegaskan akaun itu sebagai akaun palsu yang menyamar mewakili dirinya dan parti itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Najib terkejut, sedih bila tahu ada orang masuk duit ke akaun peribadi – Saksi

 

KUALA LUMPUR, 29 Mei: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan reaksi terkejut dan sedih apabila mengetahui ada seseorang telah memasukkan wang ke dalam akaun peribadinya.

Pengarah Urusan Ihsan Perdana Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman, 58, berkata Najib bagaimanapun tidak menyuruhnya membuat laporan polis atau laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata Najib menunjukkan reaksi itu ketika beliau pergi menemui Anggota Parlimen Pekan itu di kediamannya di Langgak Duta, di sini, selepas ditahan reman oleh SPRM pada 2015.

Saksi pendakwaan ke-37 itu memberitahu demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada perbicaraan kes Najib yang didakwa atas tujuh tuduhan berhubung dana SRC International Sdn Bhd yang masuk hari ke-20, hari ini.

Muhammad Saifuddin : Selepas kena reman, Datuk ada jumpa Najib?

Dr Shamsul Anwar : Ya

Muhammad Saifuddin : Datuk kata dia (Najib) terkejut, sedih apabila tahu ada seseorang telah memasukkan duit dalam akaun, ada dia kata pada Datuk suruh buat laporan polis atau laporan pada SPRM?

Dr Shamsul Anwar : Tidak

Sementara itu semasa diperiksa balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, saksi itu berkata bekas perdana menteri itu terkejut apabila diberitahu mengenai pemindahan wang ke dalam akaun beliau itu.

Muhammad Shafee: Bagaimana reaksi dia?

Dr Shamsul Anwar: Dia terkejut dan sedih… dia berkata seseorang telah memasukkan wang ke dalam akaunnya… dan dia kata dia tidak tahu-menahu langsung mengenai transaksi kewangan itu. Kenapa transaksi dilakukan menerusi syarikat saya (Ihsan Perdana).

Muhammad Shafee: Tindakan dia itu tulus atau hanya “lakonan” seperti seorang pelakon?

Dr Shamsul Anwar: Tindakan dia itu tulus.

Muhammad Shafee: Jika kamu tahu bahawa itu akaun Najib adakah kamu tidak akan memindahkan wang itu?

Dr Shamsul Anwar: Ya.

Muhammad Shafee: Kamu juga boleh ke rumah atau pejabat dia untuk bertanya mengenai projek-projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu?

Dr Shamsul Anwar: Ya. dan juga menerusi SMS dan WhatsApp.

Muhammad Shafee: Kamu sangat selesa dengan Najib?

Dr Shamsul Anwar : Ya

Beliau menambah bahawa kebanyakan program CSR di bawah Ihsan Perdana adalah daripada idea Najib dan dia tulus mahu membantu mengatasi kesusahan rakyat.

Najib, 66, dituduh dengan tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes Najib: Pendakwaan bantah permohonan pembelaan supaya saksi pertama kemuka dokumen

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang didakwa atas tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd membantah permohonan pembelaan supaya saksi pertama mengemukakan tiga dokumen tambahan dalam perbicaraan kes itu.

Peguam Datuk V Sithambaram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya berkata, mahkamah perlu meneliti sama ada dokumen tambahan itu boleh diterima dan sama ada ia relevan untuk dikemukakan bagi tujuan menyoal balas saksi pertama, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaludin Abdullah, 35.

Dokumen itu termasuk butiran semua individu yang pernah menjawat jawatan pengarah di Yayasan Rakyat 1Malaysia.

“Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah jelas menyatakan bahawa mahkamah perlu meneliti dokumen yang akan dikemukakan itu sama ada boleh diterima di mahkamah ini dan sama ada terdapat keperluan untuk dokumen terbabit digunakan di mahkamah untuk menyoal balas saksi,” kata Sithambaram pada hari kedua perbicaraan kes Najib itu.

–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib pula berhujah bahawa dokumen itu mesti ditunjukkan terlebih dahulu, kemudian baru diputuskan sama ada ia relevan atau sebaliknya.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar perbicaraan kes itu memutuskan bahawa kedua-dua pihak perlu meneliti dokumen itu terlebih dahulu sebelum ianya boleh dikemukakan, di mahkamah.

Pada prosiding 3 April lalu, Harvinderjit meminta Muhamad Akmaludin membuat carian berhubung Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) bagi mendapatkan butir semua individu pernah menjawat sebagai pengarah, di syarikat itu.

Perbicaraan kes itu kemudiannya diteruskan dengan pihak pembelaan menyoal balas Muhamad Akmaludin.

Pada 3 April lalu, saksi itu selesai memberikan keterangan pada peringkat pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu yang juga perdana menteri keenam, didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan dan pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, antara 17 Ogos dan 10 Feb 2015.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes Najib, Arul Kanda ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy akan dibicarakan, di Mahkamah Tinggi.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan dan membicarakan kes itu, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Notis permohonan untuk memindahkan kes itu dibuat pada 28 Februari lalu mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

“Permohonan hari ini adalah permohonan pihak pendakwaan di bawah Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. Saya dimaklumkan peguam bagi pihak responden (Najib dan Arul Kanda) tiada bantahan,” kata Timbalan Pendakwa Raya Amir Nasrudin ketika pendengaran permohonan pendakwaan itu.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib, 66, dan peguam Datuk N Sivananthan mewakili Arul Kanda, 43, mengesahkan pihak pembelaan tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan itu.

Bagaimanapun, tarikh pengurusan kes di Mahkamah Tinggi akan ditetapkan kemudian dan kes terbabit akan disebut di Mahkamah Sesyen pada 5 April ini bagi memaklumkan perkembangan terbaru itu.

Pada 12 Disember lalu, Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Najib dituduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan terbabit bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Januari lalu, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Najib dan Arul Kanda dibicarakan bersama.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Najib, Irwan dituduh pecah amanah lebih RM6.6 bilion

KUALA LUMPUR 25 OKT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam tuduhan pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan Malaysia berjumlah RM6,636,065,000.

Najib, 65 dan Mohd Irwan Serigar, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan bersama-sama di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, Najib dan Mohd Irwan Serigar didakwa bersama-sama sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia masing-masing dalam kapasiti tersebut telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta itu iaitu sejumlah RM1.2 billion milik kerajaan Malaysia telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan.

Mengikut pertuduhan kedua, Najib dan Mohd Irwan Serigar didakwa bersama-sama atas jawatan sama yang telah diamanahkan dengan harta sejumlah RM655 juta milik Kerajaan Malaysia, telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut.

Bagi pertuduhan ketiga mereka didakwa bersama-sama atas jawatan serupa telah melakukan pecah amanah iaitu sejumlah RM220 juta, peruntukan di bawah “Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)”, milik Kerajaan Malaysia.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa bersama-sama atas jawatan sama telah melakukan pecah amanah sejumlah RM1.3 bilion, peruntukan di bawah “Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai”, milik Kerajaan Malaysia.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka didakwa bersama-sama atas jawatan serupa melakukan pecah amanah sejumlah CNY1,950,000,000 (bernilai RM1,261,065,000) dan RM2 bilion milik Kerajaan Malaysia.

Najib dan Mohd Irwan Serigar dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia,Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 21 Disember 2016 bagi pertuduhan pertama dan kedua, pada 3 Ogos 2017 pertuduhan ketiga manakala pertuduhan keempat hingga keenam pada 10 Ogos 2017, 23 Ogos 2017 dan 18 Disember 2017 .

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mengetuai barisan pendakwaan manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk K. Kumaraendran serta Datuk Geethan Ram Vincent bertindak bagi pihak Mohd Irwan Serigar.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Najib mengaku tidak bersalah 25 pertuduhan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 SEPT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaku tidak bersalah atas sabitan 25 pertuduhan, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau juga dituduh atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi mendapat rasuah RM2.3 bilion.

Bagaimanapun, Najib, 65, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pendakwaan diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai barisan pembelaan.

Memetik laporan BERNAMA, berkenaan kes rasuah, Najib turut didakwa untuk mendapatkan suapan sejumlah RM60,629,839.43 dengan mengambil empat tindakan pada 24 Feb 2011 dan 14 Jun 2011, di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan ;

— Pada 1 April 2009, di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya melalui memorandum daripada Menteri Kewangan, Najib mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri supaya Kerajaan Malaysia memberi jaminan kepada Terengganu Investment Authority Berhad (TIA). Jaminan itu bagi membolehkan TIA mendapatkan pinjaman sehingga RM5 bilion daripada pasaran domestik dan luar negara melalui Islamic Medium Term Notes Programme.

— Pada 29 Julai 2009, di tempat sama, Najib pada 3 April 2009 memutuskan supaya Kerajaan Persekutuan mengambil alih TIA, sekali gus menyebabkan nama TIA ditukar kepada 1MDB yang menjadikan beliau mempunyai kepentingan secara langsung.

— Pada 26 Sept 2009, Najib mengarahkan Lembaga Pengarah 1MDB yang mengadakan satu Mesyuarat Khas di The Royale Bintang, Damansara, Petaling Jaya, untuk meluluskan satu Resolusi membenarkan 1MDB untuk menyertai satu usahasama bersama PetroSaudi International Limited dengan membuat pelaburan sejumlah RM1 bilion saham biasa dalam syarikat itu pada harga AS$1.00 setiap saham.

— Pada 16 Mei 2011, di Pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, No 8, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, Najib turut menyebabkan Lembaga Pengarah 1MDB untuk meluluskan satu Circular Resolution yang membenarkan satu pelaburan tambahan sebanyak RM1 bilion (atau dengan nilai yang bersamaan dalam AS$) di bawah Murabaha Financing Agreement bertarikh 31 Mac 2010 dibuat di dalam 1MDB Petro Saudi Limited.

Mengikut pertuduhan kedua, Najib didakwa antara 31 Okt 2012 dan 20 Nov 2012, di tempat sama, atas jawatan sama menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya berjumlah RM90,899,927.28 dengan mengambil dua tindakan:

— Pada 9 Feb 2012, di Pejabat 1MDB, sebagai selaku menteri kewangan turut meluluskan 1MDB iaitu beliau secara langsung mempunyai kepentingan melalui 1MDB Energy Sdn Bhd yang juga anak syarikat milik penuh 1MDB untuk menawarkan bidaan bagi tujuan cadangan pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd pada harga bidaan sebanyak RM10.6 bilion.

— Pada 10 Ogos 2012, di tempat sama, Najib selaku menteri kewangan meluluskan pengambilalihan ekuiti Syarikat Mastika Lagenda Sdn Bhd dengan harga pembelian agregat sehingga RM2.75 bilion dan selanjutnya meluluskan 1MDB, yang mengenainya beliau secara langsung mempunyai kepentingan untuk melaksanakan penerbitan 10-Year Structured Loan Note bernilai AS$1.75 bilion.

Manakala, bagi pertuduhan ketiga, bekas perdana menteri itu didakwa antara 22 Mac 2013 dan 10 April 2013, menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan kepada dirinya sendiri berjumlah RM2,081,476,926 melalui dua tindakan:

— Pada 25 Feb 2003, di Pejabat 1MDB, sebagai menteri mewangan turut meluluskan 1MDB, yang mengenainya beliau secara langsung mempunyai kepentingan untuk memasuki satu perjanjian usahasama dengan Aabar Investment PJS.

— Pada 14 Mac 2013, Najib meluluskan Letter of Support kepada 1MDB Global Investment Limited bagi tujuan sokongan kepada terbitan bon berjumlah AS$3 bilion bagi pihak 1MDB, yang mengenainya beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Bagi pertuduhan keempat, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri Malaysia, menteri kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat (1MDB) menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM49,930,985.70 dengan cara mengambil tindakan seperti berikut :

— Pada 20 Ogos di Pejabat 1MDB, dengan kapasitinya selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, Najib mengarahkan Lembaga Pengarah 1MDB untuk meluluskan 1MDB Energy Holdings Limited untuk membuat pinjaman melalui Term Loan Facility sehingga AS$975,000,000 daripada Deutsche Bank AG bagi tujuan terbitan 1MDB Energy Group IPO, yang mengenainya beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 23 Jun 2014 dan 19 Dis 2014.

Bagi kempat-empat pertuduhan terbabit, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Categories
NASIONAL

PM: Najib perlu kemuka bukti nafi bayaran GST tidak hilang

OLEH HAFIZAN TAIB

SERDANG, 12 OGOS: Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, perlu mengemukakan bukti bagi menafikan dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkaitan bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM18 bilion dilaporkan hilang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Najib tidak boleh sekadar menafikannya dan membuktikan bayaran balik GST dilakukan dengan betul.

“Tidak boleh nafi sahaja, Najib kata lain dan Lim pula kata lain.

“Bukti perlu ditunjukkan bayaran balik GST itu tidak hilang,” katanya kepada media selepas melawat pameran seni, Tun M: A Forever Legacy di Universiti Perdana, Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas penafian Najib mengenai kenyataan Lim merujuk audit Jabatan Kastam Diraja Malaysia menghadapi kekurangan RM18 bilion bagi bayaran balik GST.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, kerajaan hari ini menghadapi masalah kewangan akibat perlu membayar segala hutang ditinggalkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) diketuai Najib.

Beliau berkata, kerajaan diterajuinya kini mengamalkan pendekatan berbeza dan langkah berjimat cermat bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Kerajaan sekarang perlu membayar hutang ditinggal pentadbiran BN dan akibatnya kita hadapi masalah kewangan.

“Kita tidak seperti kerajaan dahulu dan curi seperti Najib,” katanya.

Beliau berkata, bantuan kepada rakyat juga tidak dapat dilaksanakan seperti mana dilakukan BN sebelumnya akibat masalah berkenaan.

“Rakyat mengharapkan kita beri bantuan duit tetapi sekarang kita tidak boleh macam itu akibat kekurangan wang. Dahulu Najib sesuka hati beri,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Universiti Perdana, Norpisah Mat Isa dan isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.