Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Tambah baik agenda pendigitalan, cipta peluang ekonomi belia

SHAH ALAM, 25 NOV: Agenda pendigitalan perlu diperhalusi dan ditambah baik bagi memastikan ekonomi anak muda dapat dikembangkan, kata wakil rakyat Kota Anggerik.

Langkah itu berikutan dunia bergerak pantas dan golongan tersebut bakal tercicir jika masih berfikir dalam kerangka modal ekonomi lama, tegas Najwan Halimi.

“Belanjawan lepas mengumumkan agenda pendigitalan dan kita perlu lihat semula aspek untuk ditambah baik kerana Smart Selangor ramai nampak naik taraf infrastruktur dan perkhidmatan seperti parkir.

Najwan Halimi bercakap kepada media selepas melawat Program Ujian Antigen RTK Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ia bukan sekadar perkhidmatan untuk pihak berkuasa tempatan dan negeri sahaja tetapi perlu dikembangkan dari sudut menambah baik ekonomi anak muda,” katanya dalam bual bicara Media Selangor.

Najwan juga berharap Kerajaan Negeri menawarkan inisiatif untuk membantu anak muda dengan lebih berkesan berbanding bantuan bersifat sekali bayar yang kurang memberi dampak.

“Kita perlu beri bimbingan seperti Sitham (Pembangunan Usahawan India Selangor) dan kembangkannya merentasi kaum dengan membantu semua anak muda tidak kira di bandar atau desa,” katanya.

Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor esok menumpukan usaha merancakkan semula ekonomi bagi membantu rakyat pascapandemik.

Turut ditekankan ialah menambah hasil dan bantuan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19.

Pembentangan boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV dan Facebook Media Selangor.

Categories
ADN SELANGOR

Tuisyen maya percuma untuk calon SPM Kota Anggerik

SHAH ALAM, 26 OGOS: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dipelawa menyertai program e-tuisyen percuma bagi mata pelajaran matematik tambahan.

Ahli Dewan Negeri (ADN)nya berkata pensyarah berpengalaman dari Universiti Selangor (Unisel) akan membimbing peserta dalam program bermula 6 September hingga 6 Oktober itu.

“Tiga pelajar terbaik dari aspek kehadiran dan keputusan kuiz keseluruhan topik akan dihadiahkan peranti Samsung Galaxy Tab A7 bagi penggunaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” kata Najwan Halimi di Facebook hari ini.

Pendaftaran untuk e-Tuisyen SPM Kota Anggerik boleh dibuat melalui pautan, http://t.ly/xY4r.

Program itu diadakan jam 8 hingga 10 malam setiap Isnin dan Rabu dengan pelajar didedahkan 10 topik dalam mata pelajaran berkenaan.

Categories
ADN SELANGOR

Pinjamkan 500,000 dos vaksin bantu negara cepatkan imuniti kelompok

SHAH ALAM, 26 OGOS: Keputusan Kerajaan Selangor meminjamkan 500,000 dos vaksin kepada negeri lain tindakan tepat bagi mempercepat imuniti kelompok dalam negara.

Wakil rakyat Kota Anggerik berkata suntikan pelalian salah satu usaha mengekang penularan wabak dengan kerajaan dan rakyat perlu bersama memainkan peranan.

“Kita harap sumbangan ini dapat membantu kerajaan menambah baik jumlah kapasiti penerima vaksin di seluruh negara dan pada masa sama masyarakat perlu beri kerjasama.

ADN Kota Anggerik, Najwan Halimi bercakap kepada media selepas membuat lawatan Program Ujian Antigen RTK Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ini bukan tugas kerajaan semata-mata tetapi semua peringkat masyarakat untuk bangkit kesedaran supaya ramai lagi ambil vaksin,” kata Najwan Halimi ketika ditemui.

Sementara itu, wakil rakyat Bukit Gasing meminta Kerajaan Negeri mempertimbang semula hasrat untuk meminjamkan vaksin berikutan masih ramai penduduk negeri ini belum disuntik.

“Kita beli dengan peruntukan kita sendiri sepatutnya dahulukan rakyat kita, bukan kata tak nak tolong negeri lain tetapi keperluan di Selangor masih ada,” kata Rajiv Rishyakaran.

Kerajaan Negeri meminjamkan 500,000 dos bekalan vaksin yang dibeli kepada Pasukan Petugas
Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi membantu beberapa negeri yang memerlukan bekalan tersebut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan Kedah, Pulau Pinang dan Sabah antara penerima selain dijual kepada syarikat swasta di negeri berkenaan.

Sebanyak 500,000 dos vaksin percuma dibeli bagi mempercepat pemberian vaksin kepada warga emas, golongan berpendapatan rendah, orang kelainan upaya dan penerima skim Inisiatif Peduli Rakyat.

Sebanyak dua juta dos turut disediakan kepada majikan untuk diagih percuma kepada sejuta pekerja termasuk warga asing.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor disaran ambil iktibar kelemahan sistem daftar vaksin

SHAH ALAM, 27 MEI: Selangor wajar mengambil iktibar kelemahan sistem tempahan vaksin AstraZeneca bagi memastikan program suntikan pelalian negeri ini berjalan lancar.

Wakil rakyat Kota Anggerik Najwan Halimi berkata isu gangguan teknikal ketika proses pendaftaran perlu diatasi kerana dikhuatiri mencetuskan kemarahan rakyat.

“Sekiranya tidak boleh daftar, ia satu perkara yang dikesali dan menyusahkan rakyat. Selangor harus jadikan apa yang berlaku (semalam) sebagai contoh supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut.

“Apabila mahu buat program (suntikan vaksin) nanti, semua faktor perlu diambil kira seperti pendaftaran dan pelaksanaan. Jangan kita buat sesuatu program yang tidak memuaskan,” katanya ditemui pada program Saringan Komuniti Covid-19 di sini.

Kenyataan itu merujuk kesukaran pengguna mengakses beberapa butang ciri laman sesawang Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sewaktu tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca semalam.

Sebanyak 956,609 tempahan dos vaksin jenis itu bagi penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas dipenuhi dalam tempoh kira-kira sejam.

Sementara itu, Najwan mencadangkan Kerajaan Negeri membuat program suntikan vaksin secara besar-besaran seperti Saringan Komuniti yang dijalankan ketika ini.

“Kalau kita boleh buat saringan menyeluruh, jadi tiada sebab untuk Selangor tidak menerajui negeri lain buat program suntikan vaksin besar-besaran.

“Kita berdepan pandemik agak lama, yang penting semua pihak baik masyarakat atau kerajaan perlu teruskan ikhtiar membantu mengekangnya. Kawalan kendiri itu penting, jika tiada keperluan keluar sila duduk rumah,” katanya lagi.

Selangor membeli antara tiga hingga lima juta dos vaksin bagi membendung penularan Covid-19 yang dijangka diagihkan kepada orang ramai mulai Jun.

 

Categories
ADN SELANGOR

60 keluarga Orang Asli DUN Kota Anggerik terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 23 APRIL: Sebanyak 60 keluarga Orang Asli sekitar Kampung Air Kuning dan Bukit Bandaraya Seksyen U11 di sini menerima bantuan makanan daripada Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik berkata sumbangan menerusi Pakej Kita Selangor diagih semalam untuk meringankan beban mereka yang terkesan susulan pandemik Covid-19.

“Terima kasIh Kerajaan Negeri menerusi Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) kerana menggerakkan inisiatif bantuan makanan ini.

“Alhamdulillah, hubungan baik saya dengan ketua komuniti Orang Asli, Tok Batin Kamal memudahkan proses pengagihan kepada semua keluarga terlibat,” kata Najwan Halimi menerusi Facebook.

Pada 9 April, Kerajaan Negeri memperuntuk RM297,050 untuk agihan bantuan kepada 22,992 Orang Asli seluruh Selangor dan Januari lalu membelanjakan RM600,000 bagi bantuan sama.

Categories
AGENSI SELANGOR

AMK Selangor cadang lebih ramai anak muda tanding PRU15

SHAH ALAM, 8 APRIL: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor mencadangkan lebih ramai anak muda diberi peluang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya berkata ramai pemimpin muda di negeri ini berkebolehan serta layak dinamakan sebagai calon, sekali gus menjadi pelapis masa depan.

“KEADILAN tidak memandang rendah anak muda, contohnya saya diberi kepercayan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik pada PRU14 ketika usia 33 tahun.

“Malah Dato’ Menteri Besar juga masih muda kerana baru mencecah usia 40 tahun,” kata Najwan Halimi pada Majlis Perasmian Bilik Gerakan Utama KEADILAN di Seksyen 13 malam tadi.

Beliau turut mengingatkan ahli AMK kekal bersemangat meskipun kecewa dengan pengkhianatan segelintir pemimpin parti.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Selangor bantu rakyat daftar program vaksin

SHAH ALAM, 17 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor sentiasa bersedia membantu rakyat terutama golongan warga emas mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Wakil rakyat Kota Anggerik berkata usaha itu dibuat bagi memudahkan penduduk yang masih ramai tidak mendaftar dan memberi kesedaran mengenai pentingnya pengambilan vaksin dalam mencegah pandemik.

“Saya telah menghubungi persatuan penduduk, jawatankuasa serta pengurusan masjid untuk bersama membantu orang ramai menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Penting untuk kita semua memastikan ahli keluarga dan masyarakat sekeliling mendaftar untuk suntikan vaksin,” kata Najwan Halimi ketika dihubungi.

Manakala ADN Rawang turut mengambil inisiatif sama dan akan mulakan kempen kesedaran vaksin di kawasan pasar serta luar bandar dalam masa terdekat.

“Mengenai golongan antivaksin saya nasihatkan agar tidak percayakan berita palsu kerana perkara ini yang menjadi punca mereka tidak berani mengambilnya.

“Tidak terima imunisasi ini hanya akan menyebabkan diri sendiri dan orang sekeliling dalam keadaan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19,” jelas Chua Wei Kiat.

Baru-baru ini Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata kira-kira 1.4 juta individu tidak melengkapkan pendaftaran menerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, mereka hanya mengisi nama dan nombor kad pengenalan untuk pendaftaran penerimaan suntikan vaksin namun tidak menjawab soalan penilaian kesihatan serta melengkapkan alamat terkini masing-masing.

Categories
ADN SELANGOR

Hargai wanita, ADN Kota Anggerik edar 200 kuntum ros

SHAH ALAM, 11 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik mengedar 200 kuntuman ros kepada pengunjung serta peniaga wanita di Pasar Moden Seksyen 6 dan 16 hari ini sebagai simbolik penghargaan.

Wakil rakyat Najwan Halimi berkata pemberian itu sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut Isnin lalu selain merupakan tanda terima kasih terhadap pengorbanan kaum itu.

“Dalam apa jua bidang dan lapangan yang diceburi sama ada suri rumah, peniaga, penjawat awam, pendidik dan lain-lain, peranan wanita sememangnya cukup signifikan dan wajar diraikan.

“Semoga kuntuman ros ini dapat menambahkan keceriaan dan kegembiraan mereka untuk sepanjang hari ini,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, sejak menjadi wakil rakyat, beliau memastikan Hari Wanita disambut dan tahun ini memilih kawasan pasar yang menjadi lokasi tumpuan wanita.

“Edaran ros ini dilakukan bersama Penggerak Wanita Berdaya (PWB) DUN Kota Anggerik dan Batu Tiga,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Kota Anggerik sumbang tablet kepada murid kurang mampu

SHAH ALAM, 31 JAN: Kira-kira 30 murid sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menerima sumbangan tablet untuk memudahkan pembelajaran.

Wakil rakyatnya berkata bantuan bernilai RM20,000 melalui peruntukan program Mesra Rakyat bagi meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah.

Najwan Halimi memaklumkan kriteria pemilihan murid dibuat dengan kerjasama sekolah untuk memastikan hanya yang layak menerima manfaat.

“Saya terima banyak rungutan daripada ibu bapa yang tidak mampu untuk membeli komputer atau tablet kepada anak mereka, justeru saya mengambil keputusan untuk menyumbang keperluan ini,” katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, sebanyak tiga tablet sudah diagihkan kepada murid berkenaan setakat ini dan selebihnya akan diberi secara berperingkat.

Sementara itu, wakil penerima Siti Hajar Haderan, 30, berterima kasih kepada Ahli Dewan Negeri atas bantuan itu dan mengakui kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) agak mencabar.

“PdPR bukan sahaja menuntut disiplin tinggi murid tetapi ibu bapa perlu memainkan peranan dan bersabar bagi memastikan anak tidak tercicir terutama yang baharu memasuki alam persekolahan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM disaran perluas akses TV Pendidikan melalui YouTube

SHAH ALAM, 25 JAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran meluaskan capaian program TV Pendidikan secara percuma menerusi YouTube, kata Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik.

Mohd Najwan Halimi berkata langkah mempelbagaikan akses program pendidikan akan memperkasa kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang sedang dilaksanakan.

“Program TV Pendidikan membantu murid khususnya mereka yang tidak memiliki kelengkapan telefon bimbit dan komputer atau yang menetap di kawasan tiada capaian internet.

“Sudah tiba masanya KPM bertindak lebih proaktif merencana kaedah PdPR untuk murid peringkat rendah dan menengah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menerusi kenyataan semalam.

Mohd Najwan berkata sebagai seorang bapa, beliau seperti ibu bapa lain menaruh harapan tinggi keupayaan PdPR untuk mengangkat mutu pendidikan serta membentuk keyakinan diri murid menerusi segenap aspek.

Kelmarin, menteri pendidikan berkata pihaknya berusaha memperkasa TV Pendidikan yang bersiaran sembilan jam sehari menerusi beberapa stesen televisyen.

Dr Radzi Jidin berkata setakat ini saluran yang menyiarkan program tersebut adalah TV Okey, Astro Tutor TV dan NTV7.

KPM mewujudkan kembali TV Pendidikan pada 6 April tahun lepas sejurus pelaksanaan PKP pertama pada 18 Mac tahun sama.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

51 sekolah DUN Kota Anggerik terima dana naik taraf kemudahan

SHAH ALAM, 5 JAN: Sebanyak 51 buah sekolah sekitar Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik menerima bantuan berjumlah RM868,000 untuk menambah baik infrastruktur.

Wakil rakyatnya Mohd Najwan Halimi berkata sumbangan oleh Kerajaan Negeri meliputi 33 sekolah agama, 14 maahad tahfiz, tiga sekolah jenis kebangsaan (SJK) Tamil dan satu SJK Cina.

“Saya berharap sumbangan ini membantu pengurusan sekolah untuk menambah baik kemudahan sedia ada menjelang sesi persekolahan tidak lama lagi dan memastikan keselesaan pelajar mengikut norma baharu,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 23 November 2020, Dato’ Menteri Besar memperuntuk sejumlah RM22.473 juta untuk menaik taraf infrastruktur 740 buah sekolah di Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan RM9.113 juta diagih kepada 538 sekolah agama rakyat, RM6 juta untuk 101 SJK Cina dan RM2 juta kepada empat sekolah menengah persendirian Cina.

Turut menerima manfaat ialah 83 SJK Tamil melibatkan dana RM4.36 juta manakala RM1 juta kepada 14 sekolah mubaligh serta sekolah menengah jenis kebangsaan.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

PN ‘retak’, PAKATAN harus perkukuh kerjasama hadapi PRU15

SHAH ALAM, 4 JAN: Hubungan politik parti mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini dalam keadaan retak menanti belah, kata ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor.

Najwan Halimi berkata perkembangan politik mutakhir ini menyaksikan bibit perpecahan ketara antara Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Daripada 191 bahagian UMNO di seluruh negara, 189 bahagian menyatakan pendirian rasmi menolak kerjasama politik dengan PPBM dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Hal ini sewajarnya direnung serta diinsafi pimpinan dan pendukung Pakatan Harapan (PAKATAN) bahawa mana-mana kerjasama politik dibentuk menerusi muslihat, penipuan serta pengkhianatan tidak akan mampu bertahan lama dan bakal menemui pengakhiran memalukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik juga menggesa parti komponen PAKATAN mengambil peluang itu untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam menghadapi PRU15.

Jelas Najwan, gabungan tersebut perlu bergerak lebih agresif dengan merangka semula kebijakan ekonomi dan sosial lebih berkesan demi memenangi semula kepercayaan rakyat seterusnya mengambil alih kembali Putrajaya dalam pilihan raya tersebut.

“Justeru, dalam situasi sempang peranang sedang melanda PN ketika ini, PAKATAN seharusnya mengambil ruang dan ikhtibar memperkukuhkan kerjasama di antara parti komponen KEADILAN, DAP dan AMANAH serta siap siaga untuk menghadapi PRU15 dijangka akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.