Categories
ADN SELANGOR

ADN Kota Anggerik serah bantuan makanan kepada pemandu teksi

SHAH ALAM, 28 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik menyantuni 150 pemandu teksi yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

Najwan Halimi berkata mereka diberi bantuan makanan asas yang berlangsung di dataran Stadium Malawati di sini pagi tadi.

“Pemandu teksi antara golongan yang sangat terjejas terutama ketika penularan Covid-19. Justeru, saya mengambil langkah untuk bantu meringankan beban mereka menerusi bantuan makanan ini.

“Terima kasih juga kepada Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Bandaraya Shah Alam yang membantu pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menyempurnakan program tadi,” katanya di Facebook.

Menurutnya, agihan sumbangan juga dibuat menerusi pandu lalu dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Dewan Negeri Selangor lulus usul pertahan status warta hutan simpan

SHAH ALAM, 11 NOV: Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan usul menggesa Kerajaan Negeri mempertahankan status warta hutan simpan di seluruh negeri.

Usul dibawa Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan empat ADN iaitu Edry Faizal Eddy Yusof dari Dusun Tua, Lim Yi Wei (Kampung Tunku), Dato’ Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang) dan Michelle Ng Mei Sze (Subang Jaya).

Najwan menggesa supaya kawasan tadahan air dan hutan simpan dikekalkan serta dipelihara dengan baik supaya sumber air mencukupi pada masa akan datang.

“Ia adalah selari dengan nasihat serta ingatan dari Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar kawasan tadahan air dan hutan simpan di negeri ini kekal dipelihara dengan baik,” katanya pada sidang DNS hari ini.

Sementara itu, EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan hutan simpan dikekalkan.

“Oleh sebab itu kita berjaya meningkatkan keluasan hutan sehingga 205,207 hektar atau 31.5 peratus dari keluasan negeri, pada masa sama 44,543 hektar hutan sudah diwarta di bawah kelas hutan tadahan air.

“Manakala 130,360 hektar diwarta sebagai hutan perlindungan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pencemaran air: Wakil rakyat gesa siasatan unsur sabotaj, khianat

SHAH ALAM, 19 OKT: Unsur sabotaj dan khianat perlu disiasat berhubung pencemaran sumber air yang kerap berlaku di Selangor, kata Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik.

Mohd Najwan Halimi berkata langkah itu perlu memandangkan masalah berkenaan kerap berlaku sehingga menyusahkan orang ramai.

“Kekerapan berlakunya insiden henti tugas tidak berjadual mutakhir ini perlu disiasat dan tindakan tegas wajib diambil Kerajaan Negeri,” katanya di Twitter hari ini.

Dalam ciapan hantaran yang sama, beliau berkata insiden itu berlaku ketika rakyat melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Bekalan air baru pulih selepas insiden paip pecah, tiba-tiba pagi ini sumber air dicemar sekali lagi.”

Awal pagi tadi, pencemaran dikesan di Sungai Selangor hingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Sungai Selangor Fasa 2, Sungai Selangor Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Susulan itu, lebih 1.1 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan sekitar wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air.

Categories
ADN SELANGOR

MBSA peruntuk RM306,000 naik taraf jalan Flat PKNS Seksyen 16

SHAH ALAM, 2 OKT: Sebanyak RM306,000 diperuntuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menaik taraf jalan di sekitar Flat PKNS Seksyen 16 di sini, kata Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik.

Mohd Najwan Halimi berkata projek yang dijangka siap bulan ini bakal memberi kemudahan kepada penduduk setempat yang menggunakan laluan tersebut.

“Permohonan (naik taraf jalan) sudah lama dikemukakan iaitu sejak 2018 dan kita meminta (MBSA) untuk melihat serta mengkaji peruntukan ini memandangkan keadaan jalan memang agak uzur malah tidak pernah ada penyelenggaraan sejak lima hingga enam tahun lalu.

“Alhamdulillah, tahun ini kita dapat laksanakan penurapan semula seluruh jalan di kawasan flat berkenaan dan kerja naik taraf giat dilaksanakan oleh kontraktor lantikan MBSA.

“Diharapkan pelaksanaan ini memberi kegembiraan kepada masyarakat kerana walaupun bukan jalan utama tetapi ia menjadi laluan penduduk yang berulang-alik dari tempat kerja,” katanya ketika dihubungi.

Najwan berkata beliau turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk menambah baik gelanggang takraw di flat terbabit bagi kegunaan riadah anak muda.

Menurutnya, komuniti setempat perlu memanfaatkan kemudahan itu dengan sebaiknya dan mengelak aktiviti laku musnah yang boleh menyebabkan kerosakan.

“Justeru, saya minta penduduk untuk menggalas tanggungjawab menjaga dan memantau (gelanggang takraw) kerana dikhuatiri terdapat individu tidak bertanggungjawab yang menyalah guna kemudahan ini,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat sokong pinda akta air, beri hukuman berat

SHAH ALAM, 5 SEPT: Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik bersetuju Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Kualiti Alam Sekeliling dipinda bagi memberi hukuman lebih berat kepada pesalahnya.

Najwan Halimi berkata demikian berhubung cadangan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin melalui Twitternya malam tadi.

“Syor sama telah dikemukakan tatkala saya bahas usul Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Sumber Air Selangor berhuhung Pencemaran Sumber Air Sehingga Menyebabkan Henti Tugas Tidak Berjadual Loji-Loji Rawatan Air Dan Pembekalan Semasa Kecemasan, Julai lalu,” katanya melalui medium sama.

Semalam, Najwan yang juga ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air bagi Dewan Negeri Selangor meminta undang-undang pencemaran air diperketatkan bagi menghalang pencemaran berulang sehingga menjejaskan ramai pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beliau berpendapat Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 harus dipinda segera supaya hukuman lebih berat dapat dikenakan terhadap pesalah pencemaran air serta membolehkan hukuman penjara dan jumlah denda dipertingkatkan berikutan peruntukan sedia ada kurang tegas sehingga banyak pihak berani melanggar undang-undang.

Khairy dalam cadangannya berkata, “Wajar kerajaan meminda Akta Industri Perkhidmatan Air & Akta Kualiti Alam Sekeliling untuk memperuntukkan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang mencemarkan sumber air. Sumber air perlu dilihat sebagai kategori keselamatan negara. Akan dibawa ke Jemaah Menteri”.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Kota Anggerik bantu penulis bebas terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 11 OGOS: Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi menghulur bantuan wang ringgit kepada seorang penulis bebas yang terkesan penularan Covid-19.

Najwan berkata, lebih malang rumah penerima bantuan, Aina Mastura Mohamed Said yang merupakan anak Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan turut dipecah masuk Jun lalu mengakibatkan barangan berharga termasuk komputer riba milik suaminya hilang.

“Saya dimaklumkan suami Aina perlu menggantikan komputer berkenaan. Aina pula berhenti kerja ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan ini menjadi beban kepada keluarga muda ini.

“Oleh sebab itu saya mengambil inisiatif menyumbang wang ringgit dari peruntukan DUN. Diharap bantuan ini dapat meringankan beban mereka,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sementara itu, Aina Mastura,32, berkata beliau terharu dengan keprihatinan Najwan membantunya ketika berdepan masalah.

“Gaji suami dipotong mulai bulan ini. Dengan bantuan diterima semalam, ia dapat membantu kami dari segi kewangan. Terima kasih YB,” katanya.

Categories
SELANGOR

AMK Selangor himpun kekuatan kukuhkan parti

SHAH ALAM, 7 OGOS: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor mengingatkan ahlinya supaya tidak diheret rasa kecewa berikutan pengkhianatan segelintir pemimpin parti.

“Pastikan jangan pernah gundah gulana, patah harap (dengan parti). Selagi setia dengan parti, kita akan rangkul, raikan dan bergerak padu,” kata Najwan Halimi.

Berucap dalam Majlis Jelajah Presiden ke Selangor di sini malam tadi, beliau sebaliknya berkata ‘Langkah Sheraton’ pada Februari lalu memberi hikmah kerana pergerakan AMK mereka tidak lagi disekat.

“Sebelum ini nak bergerak banyak kekangan, bukan dari luar tapi dari dalam. Mereka dah nyah dari parti jadi kita boleh berhimpun dan bergerak,” kata beliau.

‘Langkah Sheraton’ melibatkan beberapa bekas pemimpin utama parti itu mengakibatkan Pakatan Harapan hilang kuasa pada peringkat persekutuan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik berkata kejayaan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menerajui Selangor membuktikan parti berkenaan mampu memimpin negara.

“Ini kekuatan kita (KEADILAN). Jangan bagi ruang mana-mana pihak perlekehkan kita. Jangan cabar, kita kena kukuh,” katanya.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor yang juga Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta pemimpin utama parti hadir program itu.

Categories
ADN SELANGOR

Tambah baik prestasi urus tadbir, kukuh sokongan semua kaum

SHAH ALAM, 27 JULAI: Angkatan Muda KEADILAN Selangor yakin sokongan bukan Melayu terus kukuh sekiranya prestasi pentadbiran Kerajaan Negeri terus ditambah baik.

Ketuanya Najwan Halimi berkata pencapaian cemerlang dipacu kepimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) mampu membentuk hala tuju sokongan masyarakat.

“Justeru, Kerajaan Negeri perlu terus mengekalkan prestasi dan menambah baik perkhidmatan kepada semua masyarakat tanpa mengira kaum.

“Sekiranya ia terus diperkukuhkan, sudah pasti PAKATAN akan menerima sokongan tanpa mengira peringkat umur mahupun kelompok kaum,” katanya kepada SelangorKini.

Kelmarin, portal The Star melaporkan sokongan kaum Cina terhadap PAKATAN turun kepada 44 peratus berbanding 95 peratus pada pilihan raya umum 2018.

Categories
ADN SELANGOR

PBT digesa pertimbang cadangan kajian sistem saliran elak banjir

SHAH ALAM, 5 JUN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mempertimbangkan  cadangan pelaksanaan kajian keberkesanan sistem saliran dalaman bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan pentadbiran masing-masing.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi berkata cadangan diajukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan sistem saliran lebih efisien susulan banjir kilat melanda sekitar Seksyen 13 dan Bukit Jelutong di sini semalam.

Katanya, agensi itu turut mencadangkan kaedah kawalan pada sumber dilaksanakan sebagai penyelesaian jangka panjang memandangkan Sungai Damansara sudah tidak mampu menampung air yang dialirkan secara cepat.

“Saya berharap cadangan penyelesaian ini dapat dikaji dan dilaksanakan dengan segera oleh agensi serta jabatan berkaitan bagi memastikan insiden banjir kilat (seperti berlaku semalam) dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, hujan lebat kira-kira jam 11.30 pagi mengakibatkan kereta yang diletakkan di kawasan parkir awam sebuah pasar raya berdekatan Stadium Shah Alam, Seksyen 13 di sini ditenggelami air.

Memetik Harian Metro, kawasan terbabit sudah beberapa kali mengalami banjir kilat sekitar 2015 dan 2018.

Dua tahun  lalu, kejadian berlaku ketika perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Perak sehingga menyebabkan banyak gerai jualan sekitar lokasi terbabit terjejas.

 

Categories
ADN SELANGOR

ADN cadang bantuan untuk peniaga berpremis

SHAH ALAM, 18 MEI: Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik mahu mencadangkan bantuan tunai sekali bayar diberi kepada peniaga yang memiliki premis.

Najwan Halimi berkata mereka memerlukan bantuan itu bagi menyuntik kembali modal perniagaan berikutan perniagaan mereka terjejas teruk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya akan usulkan cadangan ini kepada Kerajaan Negeri khususnya Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari untuk beliau kaji bantuan kepada kelompok berkenaan,” katanya ketika melawat peniaga di Tempat Orang Lokal (TOL) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, hari ini.

Najwan berkata pakej rangsangan Selangor Prihatin fasa satu dan dua lebih menumpukan bantuan kepada penjaja kecil termasuk gerai dan penjaja tepi jalan manakala peniaga berpremis tidak tergolong sebagai penerima.

Dalam lawatan yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Fakru Radzi Ab Ghani, beliau berpuas hati berikutan peniaga dan pengurus premis PKNS mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Categories
ADN SELANGOR

Ramai anak muda hilang kerja akibat PKP, kerajaan perlu bantu

SHAH ALAM, 13 MEI: Golongan anak muda antara paling terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, kata Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik.

Najwan Halimi berkata ramai mengadu kehilangan sumber pendapatan biarpun mereka dari kalangan individu berkemahiran atau memiliki tahap pendidikan tinggi.

“Ramai anak muda diberhentikan kerja hingga terpaksa menganggur akibat wabak Covid-19 kerana majikan lebih mengutamakan pekerja lama yang dianggap banyak pengalaman.

“Saya sarankan mereka cari peluang yang ada untuk tambah pendapatan seperti membawa Grab. Cuba apa yang ada asalkan ia menjamin rezeki halal,” katanya ketika diwawancara menerusi program Cendol Pak Ya, hari ini.

Beliau juga berharap Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada golongan anak muda dalam pelan rangsangan ekonomi akan datang .

“Walaupun ramai mengeluh tapi ia perlu dilakukan. Saya harap lepas PKP ini, kerajaan Persekutuan dan negeri akan memberi sokongan untuk bantu golongan ini,” kata Najwan.

Categories
ADN SELANGOR

Kaji semula rancangan pembangunan hutan Bukit Cerakah – ADN

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri perlu mengkaji semula perancangan pembangunan melibatkan agensi dan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri ke atas kawasan hutan di Bukit Cerakah.

Ahli Dewan Negeri, Najwan Halimi berkata, kajian itu perlu ekoran timbul desas-desus kononnya wujud rancangan pembangunan melibatkan kawasan hutan berkenaan.

“Justeru sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan mengutamakan kelestarian alam, saya memohon kajian ini dibuat bagi menangkis tohmahan liar.

“Ini kerana sejak awal Kerajaan Negeri menekankan aspek memelihara dan memulihara hutan simpan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perbahasan rang undang-undang enakmen perbekalan 2020 pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Najwan berkata, beliau menyambut baik pengumuman peruntukan serta inisiatif khusus dalam menyokong usaha menjamin kelestarian alam sekitar seperti pemasangan panel solar, program tanam pokok dalam bandar serta pelaksanaan konsep taman dalam bandar.

“Kesemua ini amat dialu-alukan namun demikian pada masa sama adalah mustahak untuk Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada usaha memulihara serta mengekalkan sebahagian kawasan hutan yang masih wujud di negeri ini,” katanya.