Categories
ADN SELANGOR

Jangan ambil mudah tugas wakil rakyat

SHAH ALAM, 4 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) dari barisan pembangkang tidak sepatutnya mengambil mudah tanggungjawab sebagai wakil rakyat, tegas ADN Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Beliau berkata demikian ekoran kegagalan ADN dari barisan pembangkang yang dipercayai ‘hilang’ pada sesi petang perbahasan Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

“Sesungguhnya kedudukan kita semua sebagai wakil rakyat bukanlah satu keistimewaan atau kelebihan yang boleh diambil mudah oleh kita semua.

“Keberadaan kita di dalam dewan yang mulia ini adalah sebagai jurubicara rakyat dan sebagai pemegang amanah yang telah dimandatkan oleh mereka kepada kita.

“Sama-sama kita bertekad untuk memberikan khidmat bakti yang terbaik serta terus konsisten menjuarai hal-hal kebajikan dan keadilan buat rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perbahasan rang undang-undang enakmen perbekalan 2020 pada Sidang DNS, hari ini.

Najwan berkata, beliau mengucapkan tahniah buat ADN dari pihak kerajaan yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan belanjawan.

“Saya berharap semangat yang ditunjukkan oleh wakil kerajaan akan terus dikekalkan,” katanya.

Categories
SELANGOR

DUN Kota Anggerik sumbang lebih RM70,000 kepada rumah ibadat

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 7 MEI: Lebih RM70,000 sumbangan diserahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, bagi mengimarahkan masjid dan surau sepanjang Ramadan.

Sumbangan itu disampaikan Ahli Dewan Negerinya, Najwan Halimi, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Anggerik, pada 5 Mei lalu.

Najwan berkata, setiap sumbangan yang diluluskan kepada semua masjid dan surau terbabit berpandukan pelbagai aspek serta kriteria.

“Program terbabit perlu memberi impak kepada masyarakat dan berpotensi untuk diperluaskan pada masa hadapan.

“Saya komited untuk memberdayakan masyarakat melalui pelbagai program dan pendekatan yang lebih segar serta dinamik,” katanya menerusi coretan di Twitter.

Pada masa sama, beliau meminta umat Islam supaya mengambil peluang memanfaatkan Ramadan supaya menjadi seorang Muslim yang lebih baik, pada tahun ini.

“Saya mendoakan semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan keampunan buat kita semua,” tulisnya.

Categories
SELANGOR

Najwan mahu wujud lebih banyak perpustakaan komuniti

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi berhasrat membina lebih banyak perpustakaan komuniti di kawasannya, sebagai galakan membaca dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut merancang membina perpustakaan komuniti di beberapa pangsapuri kos rendah di DUN terbabit bagi kemudahan penduduk yang tinggal jauh dan tiada pengangkutan.

“Di DUN Kota Anggerik, kita ada beberapa kawasan perumahan kos rendah terutama di Bukit Subang, iaitu Pangsapuri Melati untuk kita buka satu perpustakaan komuniti di situ.

“Hal ini sudah dibincangkan dengan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (Mastura Muhamad) dan mereka akan mengenal pasti sama ada kawasan itu sesuai untuk dibangunkan perpustakaan komuniti,” katanya kepada SelangorKini.

Najwab berkata, pihaknya turut bercadang mewujudkan perpustakaan mini di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kota Anggerik, pada masa akan datang.

“Saya bercadang mahu melaksanakan perpustakaan mini di ruang legar PKM DUN Kota Anggerik kerana apabila orang ramai datang sementara menunggu giliran berurusan, mereka boleh luangkan masa dengan membaca naskhah yang terdapat di situ,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pemaju diarah bayar ganti rugi 10 kali ganda nilai pokok

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Pemaju perumahan di Bukit Cherakah, Mukim Bukit Raja dikehendaki membayar ganti rugi 10 kali ganda bagi setiap batang pokok yang dimusnahkan selepas didapati menceroboh kawasan Hutan Simpanan Kekal di Bukit Cherakah Tambahan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri juga akan mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat pemaju perumahan terbabit.

“Arahan berhenti kerja sudah pun dikeluarkan dan kita juga akan menilai berapa batang pokok yang terbabit di mana kita akan minta ganti rugi 10 kali ganda dan kerosakan lain juga akan dinilai.

“Kita akan ambil tindakan dan mengikut undang-undang, hukuman penjara maksima lima tahun dan denda RM500,000 boleh dikenakan,” katanya kepada media ketika melawat tapak pembinaan projek perumahan terbabit di Bukit Cherakah Tambahan di sini, hari ini.

Katanya, pemaju terbabit adalah pemilik tanah ke atas tanah seluas 45.47 hektar yang akan dibangunkan dengan pembangunan bercampur tetapi didapati menceroboh ke atas hutan simpan kekal seluas 11.19 hektar untuk dijadikan cerun.

Loy Sian berkata, beliau akan mengadakan satu mesyuarat khas dengan semua pihak bertanggungjawab pagi esok bagi membincangkan tindakan seterusnya terhadap pemaju terbabit.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, beliau tidak menolak pembangunan tetapi hendaklah mengikut syarat ditetapkan.

“Kita tiada masalah dengan pembangunan kalau tanah ini dimiliki pemaju dengan sah dan pembangunan mengikuti prosedur tetapi kita kesal dengan pencerobohan kerana ini adalah hutan simpan kekal,” katanya.

Katanya, beliau mendapat maklumat berhubung pencerobohan ini apabila beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk mengadukan hal ini beberapa hari lalu.

Categories
SELANGOR

Tegas tolak LGBT

OLEH UMIRAH IZRIN

SHAH ALAM, 10 MAC: Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi, menegaskan rakyat Malaysia menolak budaya songsang komuniti penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Golongan LGBT perlu terima hakikat rakyat Malaysia secara majoritinya menolak budaya songsang yang mereka amalkan.

“Hormati sensitiviti awam. Henti tuntut perkara yang tak munasabah,” tulisny di Twitter.

Posting itu sehingga kini mendapat 13,000 retweet dan lebih 8,400 like.

Kenyataan itu susulan perarakan sempena Hari Wanita Antarabangsa yang disertai sekumpulan komuniti penyokong LGBT, di ibu negara, semalam

Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menzahirkan rasa terkejut kerana perarakan sambutan itu digunakan untuk mempertahankan hak LGBT.

Katanya, tindakan itu disifatkan sebagai salah guna ruang demokrasi.

“Saya amat terkejut dengan tindakan segelintir pihak yang menyalahgunakan ruang demokrasi untuk mempertahankan perkara yang salah di sisi Islam.

“Seperti yang pernah saya maklumkan sebelum ini, kerajaan amat tegas bahawa amalan LGBT tidak akan diterima sama sekali di negara ini. Mana mungkin, kita mengiktiraf suatu perbuatan yang salah disisi undang-undang,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

 

Categories
SELANGOR

ADN ucap tahniah, Amirudin ‘lakar sejarah’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JUN : Dato’ Menteri Besar baru, Amirudin Shari terus menerima ucapan penghargaan daripada masyarakat selepas dipilih menerajui kepimpinan negeri sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor ke 16.

Tidak melepaskan peluang itu, barisan pimpinan Ahli Dewan Negeri (ADN) turut sama menzahirkan penghargaan tahniah kepada ADN Sungai Tua itu.

Antaranya di Twitter, ADN Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, pemilihan Amirudin dianggap sebagai lakaran sejarah baru, selepas mengambil kira faktor usia muda Dato’ Menteri Besar itu yang baru berusia 38 tahun.

“Tahniah dan selamat berkhidmat buat sahabatku Amirudin Shari yang menempa sejarah baru sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

“Semoga diberi kekuatan dan hikmah dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini kepada rakyat dan negeri,” katanya.

ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli menyifatkan Amirudin sebagai individu berkredibiliti dan layak menerajui kepimpinan negeri.

“Beliau seorang yang sangat bersemangat dan tegas. Ini memberikan kelebihan kepada beliau sebagai pemimpin muda untuk bekerja lebih kuat dan memberikan perhatian yang lebih kepada pembangunan anak muda Selangor.

“Tentunya saya akan memberikan sepenuh kerjasama dan komitmen dalam membantu pentadbiran Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan beliau,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi ADN Gombak Setia, Hilman Idham, beliau percaya kredibiliti Amirudin untuk terus mengekalkan kemajuan Selangor sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

“Amirudin Shari adalah kesinambungan kecemerlangan negeri Selangor. Stay cool bro!” katanya di Twitter.

Categories
SELANGOR

Najwan sedia terima cadangan di laman sosial

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Najwan Halimi membuka ruang kepada masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik untuk menghubunginya di laman sosial jika terdapat sebarang isu mahupun cadangan.

Ahli Dewan Negeri itu berkata, inisiatif berkenaan adalah alternatif lain selain ke Pusat Khidmat Masyarakat Kota Anggerik, di Seksyen 9, di sini.

“Selain di Facebook dan Twitter, saya juga boleh dicapai menerusi laman Instagram di instagram.com/NajwanHalimi,” tulisnya di Facebook.

Beliau juga bersedia menerima aduan mahupun cadangan yang dikemukan masyarakat apabila salah seorang netizen menyuarakan hasrat itu di ruangan komen statusnya.

Perkara itu turut mendapat sambutan baik daripada netizen lain.

Pada masa sama, Najwan berkata, pihaknya masih menjalankan operasi menggunakan PKM pemangku terdahulu, iaitu Dr Yaakob Sapari.

“Selepas Aidilfitri kita akan berpindah. Antara kawasan yang dirancang setakat ini adalah Seksyen 7, Shah Alam,” katanya kepada SelangorKini.

Categories
SELANGOR

Najwan manfaat masa santuni masyarakat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi komited menyantuni masyarakat di DUN itu dengan pelbagai program bagi mendekati di samping mengenali antara satu sama lain.

Najwan berkata, baru-baru ini beliau merasmikan Program Intervensi Awal (PIA) Kanak-Kanak bersama Persatuan Orang Pekak Selangor anjuran bersama Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS) dan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).

“Ia khusus diberikan kepada kanak-kanak berkeperluan khas dengan pendidikan berteraskan pelbagai jenis terapi termasuk ‘physiotherapy’, ‘occupational therapy’, ‘speech therapy’ dan ‘hydrotherapy’.

“Program ini membantu ibu bapa mengambil langkah awal mengelakkan berlaku masalah sampingan pada keadaan fizikal anak-anak mereka di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Najwan bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan pemangku ADN Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari menyantuni dan berbuka puasa bersama kariah Surau Al-Falah di Bukit Subang.

Seterusnya beliau juga menyantuni kariah serta menunaikan solat Isyak dan solat sunat Terawih di Surau Al-Iman di Pangsapuri Teratai, Bukit Subang.

“Saya turut menyampaikan tazkirah ringkas dan mengupas tentang kelebihan melakukan kebajikan dalam bulan Ramadan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Najwan mahu tingkat taraf hidup golongan belia

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SAHAH ALAM, 8 MEI: Calon Kota Anggerik, Najwan Halimi bersedia membawa suara anak muda ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya menang kawasan ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Najwan berkata, suara anak muda penting untuk didengar kerana mereka adalah pemangkin yang akan membangunkan masa depan negara.

“Ini adalah hasrat saya untuk Kerajaan Negeri dengar aspirasi anak muda antaranya melibatkan bidang pendidikan kerana masih ramai anak muda di Kota Anggerik yang masih tercicir dari sudut akademik dan kerjaya.

“Peluang pekerjaan terhad juga antara faktor ramai masih mengangur, sebab itu perlu ada inisiatif atau dasar baru untuk kita bantu memberdayakan ekonomi.

“Kita akan rangka pelbagai inisiatif sebagai dorongan membantu anak muda mengembangkan kreativiti mereka di negeri ini agar dapat meningkatkan taraf hidup yang sering dibelenggu akibat kos yang semakin meningkat namun pendapatan yang kecil,” katanya kepada Selangor kini.

Dalam pada itu, Najwan berkata, hasratnya tidak terhenti disitu, beliau juga akan memfokuskan isu-isu pembangunan wanita dan kemasyarakatan.

“Saya akan meneruskan legasi penyandang di sini iaitu Yaakob Sapari yang cemerlang. Beliau banyak membantu saya untuk lebih mengenali masyarakat di Kota Anggerik dan berkongsi ilmu pembangunan serta program yang perlu di pandang serius,” katanya.

Categories
SUKANKINI

Ekspedisi Berbasikal Tandem KL – Tasik Banding santuni golongan istimewa

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 OKT: Ekspedisi Berbasikal Tandem Kuala Lumpur – Tasik Banding 2017 sejauh lebih 400 kilometer (km) disertai peserta memenuhi misi bagi menyantuni golongan istimewa – Orang Kelainan Upaya (OKU).

Program anjuran Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor bersama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) bermula dari Kuala Lumpur hingga ke Tasek Banding, Perak, membabitkan 46 peserta diketuai Timbalan Pengarah MSN Selangor, Najwan Halimi.

Ia berlangsung empat hari mulai 19 hingga 22 September lalu dengan pelepasan disempurnakan Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari di Pusat Latihan MAB, Brickfields, Kuala Lumpur.

EKSPEDISIProgram itu dijayakan dengan disertai pegawai dan kakitangan MSN Selangor serta pelajar Pusat Latihn MAB, adalah sebahagian dari komitmen juga inisiatif sokongan Kerajaan Negeri kepada golongan OKU khususnya golongan belia kurang penglihatan.

Ekspedisi berbasikal ditempuhi peserta dengan semangat berpasukan tinggi bagi mengharungi perjalanan penuh cabaran demi melengkapkan misi.

Hari pertama dari Pusat Latihan MAB, Brickfields, Kuala Lumpur, peserta mula berkayuh dari pagi bagi merentasi laluan sejauh 105 km dan sampai ke Slim River, Perak, pada petangnya.

Peserta menyambung kayuhan sejauh 100 km, keesokannya menuju bandar raya Ipoh yang disinggahi mereka di Pusat Latihan MAB, Ipoh, sambil dirai dengan jamuan minum petang.

Memasuki hari ketiga, peserta menyambung kayuhan dari Ipoh ke Chenderoh seterusnya Gerik sejauh 150 km menempuh laluan berliku dan berbukit, yang dihabiskan lewat petang.

Pada tengah hari, peserta berhenti rehat seketika di Chenderoh, sambil menjamu selera disediakan Ahli Dewan Negerinya, Zainun Mat Noor.

EKSPEDISI 1Peserta meneruskan kayuhan pada pagi hari terakhir dari Gerik menuju ke Tasik Banding di hutan Royal Belum sejauh 50km dan menyudahinya pada sekitar jam 12 tengah hari.

Ekspedisi berbasikal itu turut menyaksikan penyertaan empat marshall yang mengiringi peserta bagi memastikan keselamatan dan kawalan trafik selain Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan bantuan ambulan dan lori untuk tujuan penyimpanan basikal.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Peserta perlu faham objektif demontrasi

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 9 DIS: Orang ramai yang menyertai demontrasi perlu memahami tujuan sebenar ia diadakan dan bukan untuk berseronok atau disebabkan mendapat habuan tertentu.

Pengasas Akademi Pak Sako, Najwan Halimi berkata, kegagalan peserta demontrasi berbuat demikian menyebabkan penganjur mengambil kesempatan ke atas mereka.

“Itu yang menyebabkan ada yang pergi demontrasi kerana dapat duit dan makanan, malahan bas turut disediakan.

“Tidak kurang juga datang, kemudian ber’selfie’ tetapi tidak faham dengan jelas apa tujuan sebenar, justeru penganjur perlu bertanggungjawab memberi penerangan,” katanya.

Najwan berkata, peserta demontrasi hari ini juga lebih bernasib baik apabila tidak merasai pengalaman perit dilalui peserta demontrasi terdahulu.

“Dahulu ditangkap, ditembak meriam air, gas pemedih mata hingga pengawal peribadi Datuk Seri Anwar sendiri terkena kelongsong peluru gas pemedih mata.

“Itu bukan kehendak kita atau sesiapa kerana keadaan berubah mengikut peredaran masa, misalnya kalau dahulu kena pukul dan ditangkap tetapi sekarang sudah berubah, ” katanya.

Selain itu, Najwan turut menegaskan kebebasan selepas berhimpun secara aman juga perlu dipelihara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

-AA-