Categories
AGENDA NASIONAL

Subsidi minyak masak hanya bungkusan 1 kilogram – KPDNHEP

PUTRAJAYA, 17 JAN: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini menjelaskan bermula November 2016, subsidi harga minyak masak hanya diberikan kepada bungkusan polibeg satu kilogram (kg).

Katanya pelaksanaan itu dibuat menerusi Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS).

“Tujuan kerajaan mengekalkan pemberian subsidi bagi minyak masak dalam polibeg satu kg adalah untuk memastikan rakyat masih boleh mendapatkan bekalan minyak masak bagi kegunaan isi rumah pada harga mampu milik iaitu RM2.50 satu kg,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, pengguna media sosial membanjiri platform itu dengan rungutan harga minyak masak dalam bungkusan lima kilogram dijual pada harga jauh lebih tinggi daripada kebiasaan.

Mengulas lanjut, Nanta berkata pada masa ini sebanyak 60,000 tan minyak masak bersubsidi disediakan setiap sebulan untuk diedarkan di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar dan jumlah itu mencukupi bagi kegunaan rakyat Malaysia.

Kementerian komited memastikan keberadaan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran menerusi pemantauan ke atas pengilang dan syarikat pembungkus minyak masak, mengaudit di setiap rantai bekalan minyak masak serta menjalankan pemeriksaan harian di peringkat peruncit, pemborong dan pasar raya, katanya.

Sementara itu, Nanta berkata sebanyak 477 premis perniagaan diberi amaran agar melakukan penambahbaikan segera terhadap tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka.

Premis terbabit merupakan antara 321,850 premis perniagaan yang diperiksa oleh penguat kuasa kementerian dalam tempoh pelaksanaan PKP pada 13 Jan lalu hingga semalam, katanya, menambah sebanyak 7,355 premis diberi nasihat menambah baik dan mengekalkan pematuhan secara konsisten semasa beroperasi.

Nanta berkata mereka yang gagal mematuhi SOP PKP akan dikompaun RM1,000 menurut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga siling pelitup muka boleh turun ikut bekalan

PUTRAJAYA, 6 OGOS: Harga siling pelitup muka yang diturunkan kepada RM1.20 daripada RM1.50 mulai 15 Ogos ini, mungkin boleh diturunkan lagi berdasarkan penilaian berterusan ke atas kedudukan bekalan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, penurunan harga kepada RM1.20 itu diputuskan dua minggu sebelum kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos 2020 di dalam pengangkutan awam dan tempat tumpuan umum yang sesak, serta merupakan langkah berperingkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“KPDNHEP sedang memantau bekalan di peringkat pengeluaran, pengimportan dan di peringkat runcit bagi tujuan menentukan penurunan harga maksimum yang wajar berdasarkan kepada situasi pasaran semasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada 23 Julai lepas, Nanta mengumumkan harga siling pelitup muka diturunkan kepada RM1.20 daripada RM1.50 seunit bermula 15 Ogos, manakala harga borong bahan itu yang ketika ini RM1.45 seunit juga diturunkan kepada RM1.15 bermula pada tarikh sama.

Nanta berkata kementerian juga  mewartakan larangan eksport produk itu di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) (Pindaan) 2020 bagi memastikan bekalan pelitup muka mencukupi dalam pasaran bagi memenuhi keperluan semasa.

Larangan yang berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 itu dilaksanakan kerana kerajaan khuatir situasi kekurangan bekalan peringkat dunia berulang dan seterusnya menyebabkan harga meningkat secara mendadak, kata Nanta.

Menurutnya, melalui pemantauan bekalan dan pengeluaran ke atas lapan kilang pelitup muka tempatan bermula April hingga 28 Julai lepas, didapati sebanyak 78 juta unit produk itu telah dikeluarkan dan diedarkan dalam pasaran.

“Didapati tidak ada masalah bekalan atau kekurangan pelitup muka di pasaran pada ketika ini,” katanya.

Selain itu, katanya pengguna kini mendapatkan pelitup muka jenis fabrik sebagai alternatif, dan ini akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada pelitup muka pakai buang.

“KPDNHEP memberi jaminan akan sentiasa mencari pendekatan terbaik yang seimbang demi kepentingan pelbagai pihak bagi memastikan harga pelitup muka dapat dikawal dan sekali gus memastikan keberadaannya di dalam pasaran dapat dikekalkan,” katanya.

-BERNAMA