Rafizi : Mana Pergi Pinjaman RM 163 juta Untuk Projek NFC?

NFC- Shahrizat & Salleh

KUALA LUMPUR 9 JULAI : Kerajaan Persekutuan perlu menjelaskan bagaimana ia akan memungut kembali wang pembayar cukai yang disia-siakan oleh syarikat pengusaha Pusat Fidlot Nasional.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ismail berkata penjelasan ini perlu kerana masih ada bahagian yang belum dilangsaikan setelah syarikat National Feedlot Corporation berhenti beroperasi dan bakal muflis.

Rafizi berkata daripada pinjaman RM 250 juta, RM 163 juta telah diberikan kepada syarikat tersebut.

“Sebahagian dari dana itu sudah digunakan untuk menanggung perbelanjaan bukan aset. Termasuklah gaji, elaun perjalanan dan pelbagai belanja lain yang tidak boleh dikutip kerana tiada aset.

“Kerajaan juga tidak pernah mengenakan jaminan peribadi terhadap Pengarah NFC iaitu keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil dan tiada tindakan susulan diambil,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, di sini.

Kontroversi NFC bermula apabila Jabatan Audit Negara dalam laporan 2010 berkata projek itu, yang bermula pada 2006, gagal mencapai sasaran pembekalan daging lembu yang telah ditetapkan.

Laporan itu berkata pengusaha NFC telah diberikan pinjaman RM 250 juta dengan faedah empat peratus.

Beliau yang juga Pengarah Strategi PKR berkata suatu laporan terkini menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan bersetuju untuk melantik satu konsortium baru bagi mengambil alih operasi projek NFC itu.

“Dalam sidang Dewan Rakyat, saya sudah bertanyakan mengenai jumlah-jumlah aset yang disita dan diambil kembali dari NFC setakat ini.

“Tetapi Menteri Kewangan menjawab bahawa kedua-dua Kondominium di One Menerung, satu plot tanah di Bangi dan satu plot tanah di Putrajaya dirampas setakat ini.

?Beliau juga mengatakan bahawa operasi NFC sudah dihentikan sepenuhnya akhir tahun lepas,” katanya.

“Jadi saya beranggapan bahawa dana RM 163 juta yang dibelanjakan oleh NFC itu dikira hangus dan tidak dapat dikutip lagi,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pameran Peluang Zunar Berinteraksi Lebih Dekat Dengan Peminat

SHAH ALAM 28 OGOS : Pameran solo kartunis Zunar yang akan diadakan di Galeri Shah Alam bulan depan memberi peluang kepada peminat melihat karyanya dengan lebih dekat.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anuar Ulhaq berkata sebelum ini, beliau banyak menghadapi kekangan dalam menghasilkan karya.

“Kebanyakkan masalah yang dihadapi ialah cara untuk berinteraktif dengan peminat. Ada buku yang dirampas, pencetak buku diugut malah buku juga diharamkan.

“Oleh kerana banyak larangan dan masalah yang berlaku jadi tiada peluang untuk peminat melihat dan terbatas untuk memiliki karya saya,” katanya ketika dihubungi.

Oleh itu, persediaan untuk mengadakan pameran yang akan bermula pada 1 September hingga 9 September depan memerlukan persediaan rapi dan teliti.

Pameran kartun solo bertajuk “Zunar” akan bertempat di ruang pameran 1, Galeri Shah Alam dan ia akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Zunar menambah pameran kali ini menampilkan perbezaan berbanding pamerannya di London, Februari lalu.

“Pameran ini lebih kepada diri saya sendiri. Ia lebih menyeluruh berbanding di London yang hanya menekankan isu kebebasan bersuara,” katanya.

Katanya, sebanyak 150 buah karya ditampilkan yang menyentuh senario politik tanah air bermula dari 1999 hingga kini.

Ia berkisar mengenai isu National Feedlot Corporation (NFC), BERSIH, pemberian IC dan isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu.

“Ini adalah pameran pertama saya di tanahair. Sebelum ini saya tidak diberi peluang untuk membuat pameran sebegini walaupun sudah mencuba beberapa kali.

“Dengan pameran ini, diharapkan peminat dan orang ramai akan dapat melihat lukisan saya dengan lebih dekat dan memahami maksud dan mesej yang disampaikan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana memberi peluang yang terbaik untuk saya,” katanya.

Zunar memberitahu beliau kini dalam perancangan untuk mengadakan pameran solonya di Pulau Pinang dan negeri Pakatan Rakyat yang lain selepas ini.

Pameran ini terbuka kepada setiap hari kepada orang ramai dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang.