Categories
GLOBAL

Trump mahu Brazil jadi negara sekutu utama luar NATO

WASHINGTON, 9 MEI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pada Rabu beliau berhasrat menjadikan Brazil sebagai negara sekutu di luar NATO, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan Trump kepada Kongres.

“Ia sebagai pengiktirafan terhadap komitmen Brazil baru-baru ini dalam meningkatkan kerjasama pertahanan dengan AS,” kata Trump.

Bagi membolehkan taraf negara sekutu di luar NATO diberikan kepada sesebuah negara, Trump perlu menunggu 30 hari selepas memaklumkan kepada Kongres.

Tujuh belas negara lain memegang status sekutu di luar NATO termasuk Israel, Jepun dan Korea Selatan.

Sekiranya ia menjadi kenyataan Brazil akan menjadi negara Amerika Latin pertama menyertai NATO. Kesemua 29 negara anggota NATO dari Amerika Utara dan Eropah.

– BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Ukraine mohon bantuan ketenteraan NATO

KIEV 30 NOV: Presiden Ukraine, Petro Poroshenko menggesa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk membantu menghantar kapal tentera ke Laut Azov berikutan pertembungan dengan Russia yang kini makin tegang.

Beliau memberitahu akhbar Bild dari Jerman bahawa pihaknya berharap kehadiran kapal berkenaan dapat ditempatkan bagi tujuan membantu membekalkan keselamatan kepada Ukraine.

“Jerman adalah sekutu kita paling rapat, kami berharap negara ahli NATO bersedia untuk menempatkan sejumlah kapal tentera laut di Laut Azov untuk membantu Ukraine dan memberikan keselamatan,” katanya.

Namun, Presiden Russia, Vladimir Putin pula memberi pandangan sinis terhadap apa yang mahu dilakukan rakan sejawatannya dari negara jiran itu.

Dalam perhubungan yang makin bertambah buruk ketika ini, beliau mendakwa Poroshenko mahu mencipta satu provokasi semata-mata untuk menarik sokongan menjelang pilihan raya 2019.

Apa pun, kerajaan negara Barat tampak menyebelahi Kiev dan menuduh Moscow menyekat akses ke Laut Azov secara haram yang digunakan kedua-dua negara serta menggunakan kekerasan tanpa sebab munasabah.

Ahad lalu, Russia merampas tiga kapal milik Ukraine serta menahan kru mereka di Selat Kerch di antara Laut Hitam dan Laut Azov.

NATO pula menyuarakan sokongan penuh kepada Ukraine ketika negara berkenaan bukan anggota pertubuhan itu.

Di Moscow, Putin menegaskan tindakan Russia tempoh hari adalah tepat, namun Presiden Donald Trump menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Moscow itu membabitkan sekutu Amerika Syarikat (AS).

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Rusia adakan latihan perang terbesar babit 300,000 tentera 11 September

MOSCOW 29 OGOS: Rusia akan menjadi tuan rumah latihan perang terbesar pernah diadakan sejak 1980-an, Vostok-2018, dengan penyertaan kira-kira 300,000 anggota tentera dan 1,000 pesawat, pada bulan depan.

Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu berkata, latihan itu akan diadakan dari 11 sehingga 15 September di timur negara ini dan akan disertai oleh China dan Mongolia.

“Program ini adalah pengulangan daripada Zapad-81 namun lebih besar,’’ katanya yang merujuk latihan perang 1981 di timur Eropah.

Menurut beliau, lebih 1,000 pesawat dan hampir 300,000 anggota tentera daripada kesemua peringkat bahagian tengah dan timur akan terlibat dalam latihan tersebut.

“Cuba anda bayangkan lebih 36,000 peralatan tentera bergerak serentak pada waktu yang sama- kereta kebal, pengangkut perisai, kenderaan perang infantri. Semua ini akan memperlihatkan situasi seperti peperangan,’’ katanya.

Moscow memaklumkan, latihan tentera Zapad-2017 yang diadakan bersama-sama Belarus dan beberapa wilayah di Rusia menyaksikan penyertaan 12,700 anggota tentera.

Walau bagaimanapun Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mendakwa, kenyataan Rusia itu sengaja diperbesar-besarkan malah beberapa sekutu mereka memberitahu, latihan itu hanya disertai 100,000 anggota tentera.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Trump desak NATO bayar kos pertahanan

BRUSSELS 11 JUL: Presiden Donald Trump meminta negara sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) supaya membayar kos pembiayaan pertahanan yang dikeluarkan negara itu, sebaik sahaja beliau tiba di sini, bagi menghadapi sidang kemuncak perikatan itu.

Ketibaan Presiden Amerika Syarikat di sini, dengan menaiki pesawat Air Force One turut disambut dengan amaran keras dari pegawai kanan Kesatuan Eropah yang mahu Washington lebih menghormati sekutunya.

Kesemua pemimpin 28 anggota perikatan NATO berharap dapat mencapai persetujuan mengenai beberapa perkara, di sebalik wujud ketegangan membabitkan isu merentas atlantik, terutama selepas beberapa kritikan yang dikeluarkan oleh Trump berhubung perbelanjaan pertahanan.

“Kebanyakan negara di dalam NATO, yang mengharapkan pertahanan dari kami, bukan sahaja gagal melaksanakan komitmen sebanyak dua peratus (sangat rendah), tetapi juga gagal membayar tunggakan selama beberapa tahun.

“Bila mereka akan membuat pembayaran kepada Amerika Syarikat,” kata Trump di Twitter ketika pesawat Air Force One masih dalam perjalanan ke Brussels.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Qatar mahu sertai NATO, impian strategik jangka panjang

DOHA 6 JUN: Menteri Pertahanan Qatar berkata semalam, impian strategik jangka panjang negaranya adalah untuk menyertai perikatan pertahanan tentera barat, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Bercakap bersempena setahun pertikaian diplomatik negara Teluk, yang menyaksikan Qatar terpisah dari bekas sekutunya di rantau itu, Khalid bin Mohamed Al-Attiyah berkata Qatar mahu menjadi ahli penuh gabungan 29 negara itu.

Tambah beliau, wujud perkembangan hubungan antara Qatar dan kumpulan pakatan, dan Doha mampu menjadi tuan rumah kepada unit Nato atau satu daripada pusatnya yang khusus.

Kenyataan itu dibuat ketika rantau berkenaan berdepan suasana politik yang agak sensitif.

Setahun lalu, pada 5 Jun 2017 sekumpulan negara termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan dengan Qatar menuduhnya menyokong kumpulan pengganas dan Iran.

SUMBER: AFP